Tag Archives: nafsu
PENGURUSAN SOLAT BERJEMAAH – HURAIAN, TEKNIK DAN PENDEKATAN
Marilah sama-sama kita membaca paparan mengenai Pengurusan Solat Berjemaah. Semoga kita sama-sama dapat merasakan betapa perlunya hal ini diberi perhatian. Inilah apa yang patut kita lakukan jika kita benar-benar berusaha mengamalkan sunnah Baginda Nabi saw. Apa yang dipaparkan ini adalah suatu yang dipandang besar dan berharga oleh Nabi Muhammad saw.
1) Ibadah solat adalah amalan yang sangat istimewa dan paling utama. Ianya anugerah Allah kepada Nabi Muhammad saw dan umat Baginda. Solat adalah kayu ukur dan penentu baik jahatnya seseorang hamba itu di sisi Tuhan. Kehidupan kita sepatutnya didasarkan dan difokaskan kepada solat. Kita wajar mengubahsuai jadual harian kita dengan waktu solat. Inilah punca keberkatan diri kita dan keluarga kita pada setiap waktu dan setiap hari. inilah juga punca keberkatan rezeki yang kita perolehi. Justeru GISB dan YKPPM menjadikan bangun tidur untuk beribadah malam sebagai syarat utama seseorang staf itu layak bekerja di sebelah siangnya. Jika dia tidak mengerjakan solat malam, maka dia wajar diberikan cuti atau diberikan kerja yang bukan kritikal. Biasanya mereka diminta melakukan kerja-kerja sampingan yang akan membantu mereka membaiki diri. Pelik bukan? Pada kami, hal sebegini adalah perkara biasa bahkan inilah inovasi yang kami lakukan bagi memastikan tahap kualiti setiap warga GISB / YKPPM setiasa meningkat dari masa ke semasa.
2) Setiap malam di seluruh dunia, warga GISB / YKPPM akan bangun awal dan berada di saf solat untuk solat taubat, solat tahajjud, solat hajat, solat witir dan sebagainya. Sekurang-kurangnya satu jam sebelum masuk waktu Subuh, alunan selawat akan mula dikumandangkan. Semua yang sudah selesai mengerjakan solat-solat sunat akan mula mengalunkan selawat Badawi, Selawat Ibrahimi dan Selawat Rindu Nabi beramai-ramai. Selawat ini dialunkan dengan penuh rasa ingin mendapatkan rasa rindu, kasih dan cintakan Nabi Saw. Apa yang penting amalan ini akan sangat membantu mengkhusyukkan hati ketika mengerjakan solat.
3) Bagi kebanyakan tempat yang mengadakan kawalan malam, aktiviti selawat adalah amalan rutin yang dilakukan secara bergilir-gilir sepanjang malam. Ianya tentulah berbeza dari kelompok kawalan malam yang menghabiskan masa malam mereka dengan bermain terup, mendengar musik yang melalaikan atau melayari laman internet yang merosakkan.
4) Para petugas surau hendaklah menyediakan hamparan solat berwarna putih yang memenuhi seluruh ruang solat tersebut. Warna putih sangat dianjurkan Baginda Nabi saw ketika mengerjakan solat kerana ianya membantu mengingatkan kita kepada kematian. Solat yang khusyuk itu mudah dirasai jika hati sangat mengenang-ngenangkan hari kematian dan merasakan solat yang akan didirikan itu adalah solat terakhir.
5) Pastikan arah kiblat yang tepat. Sedikit kita tersasar, kiblat kita iaitu Baitullah di Mekah akan tersasar ribuan km! Jangan ambil mudah hal ini kerana seseorang yang serius dengan hal solat, dia pasti akan berbuat semuanya dengan tepat, yakin dan sesempurna mungkin. Sediakan juga minyak wangi dan air minum untuk keperluan para jemaah. Minyak wangi untuk memastikan suasana ibadah solat dalam situasi yang segar dengan haruman menarik. Manakala air minuman (air kosong) juga diperlukan oleh sebahagian Jemaah.
6) Azan akan dikumandangkan tepat pada waktunya. Untuk bulan Ramadhan, azan bagi solat Maghrib yang juga untuk berbuka puasa,’ dilajukan’ sedikit. Orang yang dipilih untuk azan dan alunan selawat semestinya dari kalangan yang bersuara merdu. Azan yang merdu dengan nada laungannya yang enak didengar akan mendorong jiwa untuk menyambut seruan azan itu bagi mengerjakan ibadah.
7) Selesai azan, bacalah doa selepas azan dengan memahami dan menghayati ungkapannya. Ianya adalah doa khusus untuk Baginda Nabi saw yang kita panjatkan kepada Allah SWT agar mengurniakan berbagai kelebihan kepada Baginda. Bukankah natijah bagi mendoakan Baginda adalah balasan doa yang penuh bermakna untuk kita daripada Baginda Nabi SAW?
8) Selepas azan dan doa, bangunlah untuk solat sunat qabliah (solat sunat dua rakaat sebelum solat fardu) dan berdoalah selepas solat sunat tersebut dengan rintihan hati mengharapkan segala yang kita inginkan dan hajatkan. Itulah antara waktu yang mustajab doa (waktu yang mudah diterima doa kita oleh Tuhan).
9) Dalam berdoa, rasakan Allah itu dekat dengan kita dan Maha Mendengar apa yang kita minta. Bersangka baiklah dengan Tuhan yang berjanji akan memberi (mengkabulkan) apa jua permintaan kita. Berharaplah jika ianya tidak kita perolehi di dunia, Tuhan akan simpankannya untuk kita di akhirat. Sebaik-baik doa, doalah dengan keberkatan Rasulullah dan para kekasih Baginda SAW. Berazam dan berjanjilah dengan Allah bahawa kita akan kekalkan rasa hamba yang lemah dan hina dan tidak akan sombong atau lupakan Tuhan diwaktu senang dan susah. Apa juga pemberian Tuhan, kita berharap kita akan menerimanya dengan penuh rasa kehambaan. Itulah adab kita dalam meminta hajat dengan Tuhan.
10) Kemudian bilal akan meminta para makmum bangun untuk berada di saf masing-masing dengan menyebut ‘Saf!!’ yang bermaksud isyarat agar para makmum bangun dan masuk ke dalam saf. Bilal tidak perlu tergesa-gesa melafazkan ‘iqamat’ sebaliknya beri ruang untuk makmum siap sedia dengan tenang. Hendaklah dipenuhkan saf yang lebih depan dahulu dan kemudiannya baru saf di belakang. Setiap orang mendatangi saf dengan memenuhkan bahagian belakang imam kemudian ke bahagian sebelah kanan imam dan bahagian sebelah kiri imam. Seorang demi seorang akan menempati ruang sebelah kanan dan kiri sehingga penuh. Begitulah untuk saf yang kedua dan seterusnya. Saf lelaki yang akhir ialah kanak-kanak lelaki yang sudah baligh manakala saf paling akhir adalah saf kanak-kanak lelaki yang belum baligh. Selepas itu baharulah saf wanita dewasa dan seterusnya.
11) Imam hendaklah berdiri menghadap para makmum untuk memeriksa kedudukan makmum yang di belakangnya. Untuk barisan kedua dan seterusnya, hendaklah bilal dan para ‘siak’ memastikan agar setiap saf berada dalam keadaan yang sangat lurus. Menepati kiblat dan rapat dalam ertikata kaki masing-masing bersentuhan bagi lelaki dan bersentuhan bahu, atau siku, atau lengan atau badan bagi kaum wanita. Pastikan juga makmum yang paling akhir sudah berada di dalam saf sebelum imam mengalihkan badannya mengadap kiblat. Pastikan tidak ada makmum yang masbuk (tertinggal mendapatkan rakaat pertama bersama imam).
12) Pastikan jarak antara saf tidak terlalu jauh dan tidak perlu terlalu dekat. Seelok-eloknya gunakan ukuran seorang yang sederhana tingginya. Sebaik-baik jarak antara kedua saf diukur ketika sujud. Pastikan sujud yang sederhana itu menjadikan hujung kepala / kopiah atau serban makmum di belakang berjarak kurang dari sejengkal dengan kaki imam atau kaki makmum yang di depan ketika sujud. Agakkanlah ini semua di awal solat agar jarak antara barisan saf itu adalah pada kadar yang dibenarkan.
13) Mengenai keadaan makmum yang masbuk atau masuk untuk solat berjemaah tetapi tidak sempat berada dalam rakaat yang pertama bersama imam, maka keadaan sebegini tidaklah digalakkan kecuali ada hal yang tidak dapat dielakkan. Seboleh-bolehnya apabila setiap orang sudah berada di saf solat – dalam masa satu jam, tidaklah memungkinkan lagi ada yang masbuk (tertinggal). Maka semua anak cucu dan warga GISB / YKPPM hendaklah memastikan TIDAK ADA lagi staf yang masbuk ketika mengerjakan solat berjemaah. Kita sedang berusaha menjadikan solat berjemaah itu benar-benar penting dan serius sepertimana Rasulullah SAW mengatakan boleh dibakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.
14) Setelah semua orang bersiap dalam barisan saf yang lurus, barulah imam mengadap kiblat, mengangkat takbiratul ihram dan mengimamkan solat.
15) Bermula dari detik itu, peranan imam menjadi sangat utama dan paling bermakna. Imam sedang menerajui satu amalan ibadah yang paling agung dan sangat dinilai Allah SWT. Inilah satu-satunya ibadah yang Rasulullah SAW diminta agar mikraj bertemu Tuhan di Sidratul Muntaha bagi menerima perintah kewajipan mengerjakannya. Jadi ketika solat dimulakan, Imam sedang mengepalai sekelompok jemaah umat Islam yang sedang melakukan suatu amalan, pergerakan dan bacaan yang serupa. Semuanya dihadapkan kepada Tuhan. Semuanya sedang dinilai bagaimana hati mereka dengan Allah swt. Ketika itu hanya suara imam sahaja yang kedengaran. Makmum hanya mengaminkan Al-Fatehah dan mengungkapkan takbir peralihan antara rukun dengan menyebut ‘Allahu Akbar!’ atau Samiallahu Liman Hamidah setelah rukuk.
Hebatnya peranan imam ketika itu. Dia menjadi jurupandu membawa semua makmum di belakangnya mengadap Allah SWT. Mereka sedang membawa hati masing-masing untuk merasa ‘melihat Allah’ atau merasa ‘dilihat Allah’. Perasaan mereka berbaur-baur. Bukan mudah untuk mendapat rasa luar biasa iaitu khusyuk dengan Tuhan. Bukan mudah menolak lintasan demi lintasan api kealpaan yang ditembak iblis dan nafsu dari segenap sudut.
Solat yang hanya antara 5 ke 10 minit itu rupanya menjadi medan perang yang dahsyat. Perebutan antara nafsu syaitan dengan para malaikat dan hati yang inginkan Tuhan berlarutan tanpa henti. Sulitnya mendapat kelepasan dari gangguan yang melalaikan. Jika imam itu orang bertaqwa yang kuat hubungan hatinya dengan Allah swt, mungkin dia akan berupaya membawa anggota jemaahnya mendapatkan sedikit sebanyak rasa yang dikecapinya.
Di sinilah betapa perlunya seseorang imam itu dipimpin jiwanya agar ruhnya meningkat. Imam itu sendiri mesti sanggup merendah diri untuk dididik hati dibawa kepada Allah dan Rasul. Imam itu mesti melalui proses membuang ego dan sombong untuk membolehkan rasa hamba wujud kembali di dalam hatinya. Imam yang bertaqwa diharapkan akan berhasil mengembangkan rasa khusyuk ke hati para makmumnya. Solat berjemaah yang sebeginilah akan mempunyai kesan membentuk peribadi muslim dan masyarakat muslim.
Tanpa setiap makmum terbina jiwanya bagaimana mungkin mereka boleh membaiki diri dan meningkat rasa hati mereka dengan Tuhan. Alhasil jadilah mereka orang yang gagal dan terus gagal. Walaupun rajin bersembahyang, jika rasa khusyuk tidak ada, kemungkinan niat di hati boleh diubah oleh nafsu dan syaitan. Datang ke masjid dan surau bukan lagi atas dasar untuk mendapatkan Allah dan Rasul tetapi mungkin sekadar mengisi masa lapang atau bertemu kawan-kawan. Niat yang tersasar biasanya berlaku tanpa sedar kerana ianya berubah dalam dorongan bukan lagi niat yang diqasadkan di dalam hati.
Jadi besarlah peranan imam dan para pembantunya dalam menguruskan solat berjemaah. Alangkah beruntungnya umat Islam jika jiwa mereka dapat dibina, dicanai dan diasuh melalui sembahyang berjemaah. Jika ruh atau hati mereka dapat meningkat rasa takutkan Allah dan rasa rindukan Nabi saw, pastilah akan ada keajaiban yang Tuhan anugerahkan kepada mereka. Itulah janji Tuhan bagi kaum yang serius dan bersungguh-sungguh menegakkan sembahyang berjemaah.
Bayangkan umat Islam akan menjadi bangsa yang kuat hubungan hatinya dengan Tuhan, kuat keyakinan dan iman mereka dengan Allah yang mencipta seluruh alam. Mereka akan jadi bangsa yang bersatu padu, berkasih sayang dan aktif bekerja untuk mendaulatkan sistem hidup Islam di dalam kehidupan seharian. Islam yang ada di hati kelompok umat yang terbina sebegini rupa yang menjadi kuasa melepaskan umat Islam dari belenggu nafsu, syaitan dan sistem yahudi yang merosakkan.
Bayangkan kebebasan umat Islam dari kemelut sosial yang berbagai ragam apabila mereka semua digembelingkan hati jiwanya kepada Tuhan. Apabila semua hati memusatkan perhatian kepada Allah dan Rasul, mereka tidak akan berpecah belah atau berantakan sebaliknya mereka akan hidup harmoni, berkasih saying saling bekerjasama.
Itulah kubu yang terbina jika kita benar-benar meralisasikan “Pengurusan HablumMinallah!!”
PUASA YANG DIHAYATI
Untuk menghayati puasa sehingga mendapatkan puasa yang hakiki, marilah kita mengenal manusia, kita ini manusia, ertinya mari mengenal diri. Kata Rasulullah SAW, “Barangsiapa kenal dirinya, akan kenal Tuhannya.” Jadi kita hendak kenal diri kita. Kalau tidak kenal diri, tidak kenal Tuhan. Makin banyak kenal diri, makin banyak kita kenal Tuhan. Makin mendalam kita kenal diri, makin mendalam kita kenal Tuhan.
Perkataan manusia itu dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Inggeris disebut human being. Dalam bahasa Arab, disebut ‘insan’. Insan itu, kalau diterjemah ke bahasa Malaysia, ertinya pelupa. Mari kita kenal bahawa kita adalah makhluk pelupa. Jadi bila disebut manusia atau insan itu, bukanlah satu benda yang gah. “Kalau kita kata, mari kita kenal intan.” Besarlah. Tapi kalau sebut,”mari kita kenal orang pelupa,” apalah indahnya. Intan tidak ada rasa bangga tetapi manusia yang pelupa ini suka bangga. Apalah indahnya bila Tuhan kata kita ini makhluk pelupa?
Sekarang kita hendak kenal makhluk pelupa iaitu kita. Makhluk pelupa atau insan ini, ada 4 unsur yang paling penting padanya. Kalau tidak ada 4 unsur ini, dia bukan manusia, bukan pelupa. Dia boleh jadi malaikat, binatang, syaitan atau jamadat yakni benda-benda yang keras seperti kayu, batu, tanah. Jadi pada diri manusia itu ada 4 unsur yang sangat penting. 4 unsur itu merupakan satu pakej yang menggerakkan tenaga manusia. Yang satu sama lainnya, perlu-memerlukan. Kalaulah ada satu yang jam, tidak boleh kerjasama, habis.
Sebab itu keempat-empat unsur ini hendaklah dihidupkan dan dicergaskan untuk membolehkan manusia ini bergerak. Supaya keempat-empat unsur itu boleh bekerjasama, bantu-membantu untuk menggerakkan manusia, agar boleh bertindak, bekerja, berjuang, membangun dan sebagainya. Unsur-unsur itu adalah:
1. Fizikal atau dalam bahasa Arabnya, jawarih.
2. Akal
3. Nafsu
4. Roh
Apakah peranan keempat-empat unsur ini?
1. Apa peranan fizikal? Tenaga lahir adalah rakyat dalam diri. Ia alat yang dialatkan oleh roh, akal dan nafsu. Yang lahir ini ia taat sahaja. Kalau 3 unsur tadi tidak aktif, maka fizikal pun tidak aktif. Itu yang jadi kaki tidur. Sebab akal, roh dan nafsu tidak aktif, maka ia tidur. Anggota lahir tidak pandai berfikir atau merancang, ia hanya tunggu arahan. Dia jadi rakyat dalam kerajaan diri.
2. Apa pula peranan akal? Kita ada akal tetapi kita tidak tahu apa peranannya. Pelik juga. Sebab ia bersifat maknawiyah. Anggota lahir itu kita nampak ia bekerja. Tapi kalau kita tanya orang, “Apa kerja akal awak?” “Entahlah.” Sebab itu perlu kenal akal sebab ia sebahagian dari manusia. Akal itu peranannya atau kerjanya menerima maklumat, menerima pengalaman, menerima ilmu, kemudian, masuk ke otaknya, ia diproses dan disimpan. Bila perlu, ia dikeluarkan balik. Proses itu yang dikatakan berfikir. Contohnya, dia tengok cawan, maklumat itu masuk. Dia tidak biarkan. Dia berfikir. Itu kalau otaknya aktif. Kalau tidak, kita tidak ajak otak bekerja. Macam fizikal yang tidak diajak bekerja. Begitulah kebanyakan umat Islam kini. Maklumat sudah jumpa tetapi akal tidak diajak bekerja, jadi pasif. Sebab maklumat tidak diproses. Jadi peranan akal, terima maklumat, ilmu, pengalaman, masuk ke otak dan diproses. Disimpan. Bila perlu, dikeluarkan.
3. Nafsu peranannya berkehendak. Dia pendorong. Tanpa nafsu, manusia tidak dapat hidup sebagai manusia. Kalau nafsu itu terdidik, ia akan mendorong manusia kepada kebaikan dan kepada mentaati Tuhan. Kalau ia tidak terdidik, ia akan mendorong kepada kejahatan dan jalan syeitan. Tuhan berfirman : “Sesungguhnya nafsu itu sangat menyuruh kepada kejahatan”
4. Roh dikatakan juga hati atau jiwa. Peranannya ialah untuk merasa. Merasa susah, senang, suka duka takut, cemas, bimbang, risau, gelisah, gembira, sedih dll. Ia raja dalam diri. Roh manusia itu sensitif dan selalu berubah-ubah. Perubahan itu berlaku terlalu cepat hingga susah kita hendak mengesannya. Sifat roh terbagi kepada 2 : sifat mahmudah dan sifat mazmumah.
Ramadhan adalah untuk menghidupkan fikiran, hati dan jiwa dengan rasa bertuhan. Hendak memeriahkan jiwa dengan rasa kehambaan, rasa hina, rasa lemah dan rasa kerdil di hadapan Tuhan yang Maha Kuasa. Hendak mengimarahkan jiwa dengan rasa rendah diri, takutkan Tuhan, cintakan-Nya, rasa bertuhan sentiasa, menghidupkan jiwa timbang rasa sesama manusia, rasa kasih sayang, simpati sesama manusia yang derita, yang tidak punya apa-apa. Ramadhan hendak menebalkan rasa berdosa, takut kalau terlibat lagi dengan dosa. Ramadhan hendak rasa agung-Nya Tuhan, hebat dan kuasa-Nya Tuhan. Ramadhan bukan sekadar ibadah luaran-luaran yang meriah dan ceria yang dalam gelap-gelita. Yang penting jiwa hendak dihidupkan, memeriahkan yang di dalam jiwa.
Tuhan pandang bukan yang luaran tapi yang di dalam. Tuhan hendak melihat yang di dalam batin manusia apakah hidup jiwanya rasa bertuhan. Siangnya berpuasa, malam sembahyang, banyak membaca Al Quran untuk memberi cahaya kepada jiwa yang selama ini gelap-gelita. Membanyakkan berzikir bukan lafaznya tapi penghayatannya. Berzikir bukan sekadar menyebut di lidah tapi menyebut di hati, dirasa oleh jiwa. Berzikir bukan di lidah tapi ingatan di hati.
Kedatangan Ramadhan adalah dengan tujuan hendak menghidupkan hati yang mati sebelumnya. Moga-moga kesan sebulan menghidupkan hati tahan setahun lamanya. Kemudian Ramadhan datang lagi hidupkan pula lagi hati yang mati tahan pula setahun lagi. Itu bagi orang awam yang selalu sahaja cuai dan lalai. Bagi orang yang bertaqwa jiwanya hidup setiap masa. Kedatangan Ramadhan hanya untuk darjat dan pangkat di sisi Tuhannya.Tapi kalau kedatangan Ramadhan tidak pun menghidupkan jiwa. Luar meriah di dalam tidak meriah. Luar terang-benderang dengan syariat lahir, syariat batinnya gelap. Kalau di luar Ramadhan tentulah lebih-lebih lagi malang. Gelaplah hati sepanjang tahun. Tidak ada masa hati yang terang, sungguh malang.
WAHAI NAFSU, ISLAMLAH ENGKAU!
Nafsu yang tidak terdidik boleh mengheret kita ke Neraka Allah SWT.
Nafsu yang terdidik dan jinak serta nafsu yang sudah di Islamkan akan membawa kita ke Syurga Allah Taala.
Nafsu Ammarah adalah peringkat nafsu yang paling jahat dan buruk sekali lakunya. Nafsu di peringkat ini akanmenjunamkan kita ke dalam Neraka Jahanam. Wal’iyazubillah.
Nafsul mutmainnah yakni nafsu yang tenang, nafsu yang sudah dijinakkan, nafsu yang boleh membawa seseorang mendapat keredhaan Tuhannya.
Nafsu yang selamat dan layak mendapat pengampunan Allah Taala, nafsu peringkat ini sudah mampu melatih diri seseorang sabar, tawakkal, pemurah, bertolak ansur. Mesra, mudah berurusan, memahami masalah orang lain, tawaduk, pemaaf, dan lain-lain sifat-sifat terpuji ada padanya.
Sedangkan nafsu Ammarah yang jahat dan belum Islam lagi seperti di atas penuh dengan sifat-sifat keji yang menjijikkan, tamak, dengki, dendam, pemarah, sombong, ego, kasar, kedekut, panas baran, tidak memahami perasaan orang, suka menyakiti hati sesiapa sahaja bahkan sangat jahat sangka dengan Allah dan sangat derhaka pada Tuhannya.
Nafsu Ammarah adalah seburuk-buruk nafsu, nafsu liar yang menjerumuskan kita terjun ke Neraka Allah.
Firman Allah yang membawa maksud:
“Sesungguhnya nafsu ammarah itu sangat mengajak kepada kejahatan”.
Manakala Firman Allah yang berkaitan dengan nafsul mutmainnah yang membawa maksud:
“Wahai nafsu yang tenang! Kembalilah kepada Tuhan Mu dalam keadaan redha dan diredhai, masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurga Ku”.
Kita diajar supaya mengekang nafsu dan bercakap-cakap dengan nafsu agar janganlah nafsu menggoda kita.
Kita juga diajar supaya memohon kepada Allah agar Islamlah nafsu yang ada dalam diri kita agar selamatlah kita dari ditunggang oleh nafsu yang jahat.
Saiyidina Ali KWJ pernah berkata “Wahai Dunia janganlah tipu aku, kalau kau nak tipu , tipulah orang lain”.
Maka kita katakanlah kepada nafsu Ammarah yang ada dalam saluran darah kita “Wahai Nafsu yang jahat, kalau kau nak tipu, janganlah tipu aku, tipulah orang lain”.
Muga dengan kita selalu memberi amaran kepada nafsu yang ada dalam jasad kita, nafsu tidak lagi bermaharajalela dalam diri dan tidak lagi menguasai diri kita. Justeru itu selamatlah kita dari tunggangan nafsu yang liar bagaikan kuda liar itu.
Hati yang selamat dari godaan nafsu Ammarah dan Lawwamah akan berbahagia di alam Akhirat sana dengan membawa hati yang aman dan sejahtera di sisi Tuhan nya.
Berbahagialah bagi mereka yang berjaya memperolehi nafsul Mutmainnah. Bahagia dunia lebih-lebih lagi bahagia di Akhirat yang kekal lagi abadi.
BISIKAN NAFSU DAN SYAITAN
Syaitan dan nafsu tipuannya sangat halus,
Selalu sahaja membisik-bisikkan di dalam hati, menyedapkan hati,
Di antara bisikan-bisikannya biasanya begini sungguh menghiburkan jiwa kita:
Engkau masih muda! Buatlah apa sahaja, tidak mengapa,
Kalau berdosa pun masa tua nanti bertaubatlah, taubat Tuhan terima,
Jika engkau buat dosa Tuhan itu bukankah Maha Pengasih bertaubatlah, habislah dosa,
Masa muda hanya sekali, di waktu muda enjoy-enjoylah dahulu,
setelah tua beribadahlah banyak-banyak,
Adakalanya dia bisikkan kita begini: Di dalam membuat dosa buatlah baik,
Satu kejahatan baru satu dosa, satu kebaikan diberi sepuluh kebaikan,
Kalau buat sepuluh kejahatan, satu kebaikan sudah sama,
Betapa pula kalau lebih dari satu kebaikan sudah mengatasinya,
Tidak kurang juga bisikannya:
Buat jahat tidak mengapa, yang penting hati baik,
Tuhan bukankah pandang hati, tidak pandang lahir,
Ada juga apabila lahirnya tidak membuat dosa-dosa besar, sudah tidak terasa berdosa lagi,
Tidak terfikir hati juga membuat dosa,
Dosa batin payah dikesan,
Maka hati pun terasa senang, bahawa dia merasakan dia tidak membuat dosa,
Padahal sombong, riya’, ujub, ingin dipuji, tidak suka dikeji adalah dosa yang tersembunyi,
Ia berlaku begitu sahaja tanpa disedari,
Kalaupun ada terasa kerana ia bukan bersifat perbuatan, tidak terasa itu adalah dosa,
Dia tertipu di dalam sangkaannya,
Dia lupa hati juga turut berdosa,
Bahkan sebenarnya dosa batin lebih banyak daripada dosa lahir,
Biasanya dengan dosa batin jarang orang bertaubat, hingga dibawa mati.
Wal’iya zubillah
KRISIS NILAI DI KALANGAN UMAT ISLAM
Seluruh dunia Islam, umat Islam sudah salah berfikir,
Mereka sudah tidak pandai menilai baik buruknya di dalam kehidupan,
Mereka tidak kenal gejala masyarakat yang merosakkan kehidupan yang sebenarnya,
Ada yang dianggap gejala ada yang anggap bukan gejala,
Kerana orang tidak kenal mana padi mana lalang,
Mana pokok yang sebenar, mana pokok yang menumpang, dedalu namanya,
Akibatnya padi dibuang, lalang disuburkan,
Dedalu dibiarkan, pokok yang sebenar ditebang,
Yang untung dimusnahkan, yang merugikan dibiarkan,
Racun tikus dimakan ubat sebenarnya dibuang,
Akhirnya semenjak merdeka negara-negara Umat Islam tidak habis-habis masalah,
Bahkan semakin banyak masalah yang ditimpakan,
Diantaranya: perpecahan, kemunduran, kemiskinan,
kekotoran dan penindasan,
Ertinya masyarakat Islam sedunia tidak kenal mana yang baik, mana yang buruk,
Mana memberi faedah, mana yang mendatangkan padah dan parah,
Kerana kayu pengukur hanya akal dan nafsu,
Bukan Al Quran dan As Sunnah
Tidak hairanlah masyarakat Umat Islam sedunia punah ranah dan musnah
Kalau ada orang yang membawa kebenaran dan membuat teguran jadi gejala pula,
Bukan sahaja tidak diterima, bahkan dianggap musuh umat dan Negara,
Setengah Negara, mereka ditangkap dan dipinggirkan,
Tapi orang yang menjadi racun kepada masyarakat dihormati dan dibelai,
Selagi krisis nilai masih berlaku dikalangan dunia dan masyarakat Islam, masalah masyarakat Islam tidak akan selesai,
Krisis nilai tidak akan selesai selagi umat Islam merujuk kepada akal dan nafsu,
Tempat rujuk yang sebenar bagi umat Islam adalah Al Quran dan As Sunnah,
Ia membawa perpaduan, membawa satu dasar dan kekuatan,
Disamping mengawal gejala masyakarakat didalam satu nilai bersama,
Agar gejala sama-sama dimusnahkan
Yang memberi faedah sama-sama dipertahankan.
14-05-05
Menjelang Zohor