Tag Archives: Neraka
PENYAKIT LEMAH JIWA
KITA sungguh biasa dengan istilah lemah jantung. Sebut saja lemah jantung segeralah kita fahamianya satu penyakit fizikal yang merbahaya, yang meletakkan pesakit itu di ambang maut. Tapi kita kurang arif dengan penyakit lemah jiwa. Dan kita pun kurang tahu yang penyakit ini lebih bahaya daripada sakit lemah jantung. Sebab penyakit ini bila-bila mass saja boleh membunuh jiwa. Bila jiwa mati, manusia sebenarnya sudah mati sebelum mati. Dan kes ini sebenarnya lebih dahsyat daripada kes kematian itu sendiri. Tapi sayang, doktor-doktor tidak dapat mengesan sakit ini. Sebab ia bukan sakit fizikal, yang boleh dikesan dengan komputer lahir.Ia adalah sakit rohani yang bersifat rohaniah yang hanya dapat dikesan oleh doktor-doktor rohani yang mursyid. Hanya mereka itu yang dapat melihatnya, menggunakan pandangan basyirah mereka serta pandangan hati yang tembus. Seterusnya memka jugalah yang tahu sebab-sebab terjadinya penyakit ini dan apa pula cara pengubatan dan ubat-ubatan yang boleh menyembuhkannya. Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis Qudsi ertinya, “Takutilah olehmu firasat (pandang tembus) orang Mukmin kerana mereka memandang dengan pandangan Allah. ”
Maknanya, Allah-lah yang membukakan rahsia-rahsia di alam hakikat untuk diketahui oleh hamba-hamba-Nya yang dikasihi-Nya. Supaya menjadi panduan pada orang-orang lain, yang mahu mengambil pengajaran dan kebaikan darinya. Sebab itu Allah berfirman:
Terjemahannya: Beruntunglah orang-orang yang menyucikan jiwanya. Rugilah orang-orang yang mengotorkun jiwanya. (Surah Asy Syam : 9-10)
Jiwa yang bersih adalah jiwa yang sihat, sejahtera dan selamat. Manakala jiwa yang kotor itulah jiwa yang sakit.
Sakit lemah jiwa.
Jiwa yang sihat ialah jiwa yang merdeka, berani dan kuat. Jiwa mukmin yang sihat ialah jiwa yang berpegang kuat dan terlalu yakin pada Allah. Maka jadilah dia cukup merdeka, berani dan kuat memegang dan mempertahankan keyakinan jiwanya itu.
Sebaliknya jiwa yang sakit ialah jiwa yang lemah, mudah goyang oleh keadaan, terhoyong-hayang ke sana ke mari tidak ada pendirian dan takut. Bagi seorang Islam yang jiwanya sakit, keyakinan pada Allah adalah lemah, bergoyang-goyang bila ditiup angin dan penakut. Dan inilah yang sudah terjadi pada seluruh umat Islam hari ini. Jiwa mereka yang sakit itu terasa sakitnya dan lemahnya bila bertembung dengan kejadian-kejadian malang atau ujian atau nikmat. Jiwa akan lemah dan bergoyang dan tumbang bila menghadapi keadaan-keadaan yang mencabarnya, sama ada positif atau negatif. Tegasnya keyakinan dan pergantungan pada Allah jadi lemah bila berhadapan dengan ujian atau pun nikmat. Jiwanya akan menyerah pada kehendak keadaan dan jadi longgar atau terlepas langsung pergantungan dengan Allah. Mari kita lihat beberapa contohnya:
Bila berhadapan dengan rumah mewah, kereta besar, binatang ternak dan ladang-ladang tanaman yang luas, terpautlah jiwa padanya.Lemahlah jiwa dan terus menyerah pada dunia itu. Iaitu dengan berusaha dan berharap untuk mendapatkannya. Hingga kerana itu tinggallah perjuangan di jalan Allah, berhentilah ia dari memberi khidmat kepada manusia. Takut untuk menegakkan kebenaran. Jiwa diserah pada dunia yang melambai-lambai itu. Dan lemahlah penyerahan pada Allah SWT.
Bila dapat jadi orang atas, orang besar, pemimpin atau ketua kumpulan, berhadapan dengan kemewahan hidup, sogokan pujian orang, maka lemahlah jiwa dengan Allah. Sebab jiwa terpaut pada kemewahan, sanjungan dan sogokan tadi. Padahal sebelum itu, sebelum berada di kedudukan itu beria-ia berjanji mahu membela nasib rakyat, kalaulah dirinya terpilih jadi pemimpin atau wakil rakyat. Tapi jiwa yang suci itu jadi lemah bila dimasuki oleh keinginan mengambil kemewahan dan sogokan serta pujian orang itu untuk kepentingan diri sendiri. Lupa tanggungjawab. Diri terasa penting, istimewa dan mahu bolot semua peluang-peluang istimewa sebagai orang besar itu untuk diri. Bukan lagi untuk Allah. Itulah penyakit lemah jiwa.
Bila berhadapan dengan perempuan cantik, hati pun tertarik dan jatuh padanya. Lupa Allah, lupa isteri, lupa tanggungjawab. Jiwa diruntun oleh perempuan itu, hinggakan kerja-kerja lain yang lebih besar, jadi kecil dan kurang penting. Keinginan untuk memiliki perempuan itu begitu mencengkam hati hingga jika perempuan itu mengenakan syarat-syarat apa pun, nescaya dia sanggup terima, sekalipun berlawanan dengan syariat Allah.
Bila dapat kejayaan dalam hidup seperti naik pangkat atau dipuji orang, maka hilanglah rasa kehambaan, kekurangan dan kelemahan diri pada Allah SWT, tentu rasa ujub dan riak, rasa diri mampu, besar, istimewa dan hebat. Seterusnya terasalah pula besar diri dan hebat diri, dan terlupalah bahawa segala-gala kejayaan itu pinjaman Allah semata, sedangkan diri tetaplah kerdil dan lemah serta hina. Sama saja dengan orang lain. Lalu menyombonglah ia dengan manusia. Tiada kasih sayang, timbang rasa, kasihan belas pada orang lain terutama orang bawah yang kurang dan lemah. Senyum pun mahal, apa lagi hendak duduk-duduk bersama mereka itu. Kerana rasa tidak layak dan hendak jaga status. Berlanjutanlah keadaan itu hingga akhirnya orang semua benci dan kawan pun lari, tinggallah seorang diri. Itulah akibat penyakit lemah jiwa.
Pejuang-pejuang Islam yang sering berkorban dan terkorban, hingga hiduplah dia dalam susah payah walhal dilihatnya orang lain hidup senang-lenang maka lemah jiwanya pun datang. Dirasanya tidak sabar lagi untuk bersusah-payah. Ingin rasa lapang dan senang macam orang lain. Syaitan pun memberikan suntikan dan menghasut, maka jadilah pejuang tadi pejuang yang letih dan malas.
Para pejuang yang mempunyai isteri yang cerewet, tidak taat, degil dan sombong, selalu mengalah dengan isteri itu. Jiwa perjuangan dan cinta pada Allah dan Rasul tergugat, bergoyang-goyang dan lemah oleh kehendak istri. Bila isteri minta kurangkan keluar rumah, cukup dengan pergi kerja dan balik, tidak payah ‘over-time’ dengan perjuangan, dia pun tidak berani atau tidak sampai hati hendak tolak pandangan isteri itu. Maka tinggallah perjuangan. Tinggallah Allah dan Rasul demi cinta pada seorang perempuan.
Dalam mencari rezeki yang halal, selalunya disiplin sangat ketat. Sengaja orang-orang yang anti-Islam mengenakan undang-undang yang keras misalnya, hendak kerja tidak boleh pakai purdah atau tidak boleh berjubah serban. Maka si lemah jiwa pun tidak berani lagi hendak ikut syariat Allah, maka ikut kata boss pejabat. Atau bagi orang-orang yang berniaga, oleh kerana modal kecil, lambat untung, maka kerana hendak untung besar dan cepat, buatlah pinjaman yang ada riba. Longlailah jiwanya kerana menyerah pada keuntungan dunia yang sedikit. Atau, peniaga-peniaga juga sering berhadapan dengan masalah: barang yang halal, kurang laris, tapi yang haram laris sekali. Maka lemahlah jiwanya. Dijuallah barang haram atau syubhat itu. Maka dapatlah untung di dunia, tapi alangkah ruginya di akhirat nanti.
nAda pemimpin-pemimpin yang kuat jiwanya, pada mulanya. Tapi bila diuji dengan pengikut yang tidak suka dengan perkara-perkara yang diperintahkan Allah seperti sembahyang, tutup aurat, pergaulan yang terbatas lelaki perempuan, menghormati dan mengasihi orang lain, jangan mengata, jangan menuduh. Maka, kerana takut pengikut lari, pemimpin itu pun korbankan prinsip. Berlagaklah dia ikut kehendak pengikut dengan membelakangkan kehendak Allah. Itulah jiwa lemah. Dia sanggup korban prinsip demi harapkan pengikut sokong dan undi dia untuk terus jadi pemimpin. Gila kuasa lebih dari cintakan Allah SWT.
Bila diuji dengan kesusahan hidup seperti turun pangkat, orang kata, miskin, ugutan di tempat kerja, maka jiwa yang asalnya begitu optimis, tiba-tiba saja terasa sakit dan lemah. Rasa kecewa, terhina, takut, putus asa, derita, gelisah, keluh-kesah dan kucar-kacir sekali. Ada yang rasa tidak mahu hidup lagi, terus bunuh diri. Ada yang hendak lupakan semua itu, minum arak atau ambil dadah atau buat maksiat-maksiat lain. Ada yang menuduh-nuduh, meracau-racau, mengadu-ngadu, menghina diri bahkan menyangkan-yangka buruk terhadap Allah SWT. Hingga kerana itu sanggup mengecil-ngecilkan perintah Allah dan Rasul untuk ikut nafsu dan syaitan. Ujian itu tidak dapat diambil sebagai ingatan dari Allah dan penghapusan dosa, pada dosa-dosa yang telah banyak dilakukan. Sedangkan melalui kesusahan-kesusahanlah ramai orang mendapat kebaikan dan kemuliaan dalam hidup. Dalam kesusahan penuh kebaikan, tapi si lemah jiwa jadi lebih susah dengan kesusahan. Susah di dunia dan akhirat. Itulah hasil dari sakit lemah jiwa. Lebih dahsyat dari akibat sakit lemah jantung. Sebab lemah jantung boleh bawa maut tetapi lemah jiwa boleh bawa ke neraka dunia dan akhirat. Ini adalah kerana pesakit jantung tidak bersalah, tapi pesakit lemah jiwa adalah pesalah, penderhaka dan kufur dengan Allah SWT. Allah sudah ingatkan supaya datang ke dunia untuk menghambakan diri pada Allah, yakni dengan merasakan diri adalah hamba Allah. Firman-Nya:
Terjemahannya: Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku. (Surah AZ Dzariat : 56)
Dalam pada itu tiap-tiap kali berdiri sembahyang mengadap Allah berjanji lagi, hanya Allah yang aku abdikan diriku, bahkan hidup mati untuk Allah. Habis kenapa dalam melaksanakan hidup, berdolak-dalik dengan Allah, bahkan Allah dibelakangkan? Kata-kata Allah, pesanan Rasul, tiada dipakai langsung. Bahkan dipertikai dan diragui, bahkan dikecil-kecilkan dan diketawakan. Konon terasa diri itu pandai, mampu, kuat, berkuasa dan rasa tuan bahkan kadang-kadang rasa ketuhanan itu menguasai hati. Rasa hati seperti apa yang dirasa oleh Firaun itu. Hingga dia berkata, “Akulah Tuhan.”
Sebenarnya rasa inilah sudah masuk dalam hati-hati kita. Terutamanya orang-orang yang Allah kurniakan padanya nikmat bijak pandai, kaya, mewah, disanjung, sihat, cantik, mampu dan serba boleh. Seolah-olah dia berkata akulah Tuhan, dilihat pada sikap dan cakapnya. Rasa kehambaan yakni rasa kecil dan hina bagaikan kecil dan hinanya air mani yang darinyalah Allah reka-bentukkan diri ini, sudah disapu bersih oleh kejahilan, kedegilan, kesombongan, keangkuhan yang sudah berkarat di hati. Yang tinggal dalam hati dan jiwa ialah nafsu dari syaitan. Jadilah jiwa itu kotor sekotor-kotornya. Maka sakitlah ia. Sakit lemah jiwa. Bila dapat amat terlonjak-lonjak, lupa diri, lupa asal-usul dan lupa bahawa Allah berkuasa menarik balik nikmat itu, bila-bila masa saja.
Sebaliknya, bila dapat ujian, rasa putus asa, menderita, kecewa dan hilang pertimbangan. Itulah sifat nafsu amarah dan lawwamah. Nafsu yang sangat jahat, yang setiap detik menuntun jiwa untuk kufur pada Allah. Maka nerakalah tempatnya selama-lamanya. Siapa yang boleh lepas? Sedangkan tiada seorang dari kita yang sihat jiwanya. Semuanya sakit. Pemimpin sakit, ulama sakit, pejuang Islam pun sakit, tok guru pun sakit, anak murid apa lagi. Ayah sakit, anak-anak lebih lagi. Suami sakit, isteri sakit. Pemuda kena pemudi pun sama. Pendek kata semuanya sakit-sakit belaka. Semuanya masih berada di senarai ahli neraka. Wal’iyazubillah.
Tepatlah sabda Rasul tercinta, bahawa. di akhir zaman umatnya ramai. Tapi mereka itu dikeronyok oleh musuh bagaikan makanan dikeronyok oleh tangan manusia. Sebab mereka semuanya sakit., Yakni jiwa mereka lemahnya bagaikan buih. Kerana diserang oleh sakit wahan. Cinta dunia dan takut mati.
Inilah taraf taqwa kita semua. Taqwa yang penuh dengan keinginan pada dunia hingga lupakan akhirat, lupakan mati, bahkan mahu lupa-lupakan mati itu, kerana takut dan benci. Maka inilah hasilnya. Umat Islam hidup bagaikan mayat yang boleh diperlakukan apa saja oleh musuhnya. Umat Islam tidak punya identiti sendiri. Semuanya bersalut dengan salutan musuh, hingga kerana itu makin hari makin hancur dan berkecai, punah-ranah. Mana ada satu negara Islam dan masyarakat Islam yang benar-benar ditakuti kawan dan lawan? Hatta jemaah yang memperjuangkan Islam pun tidak wujud identiti Islamnya.
Kesilapan utama dan pertama pada kegagalan ini ialah kerana kita tidak cukup iman. Hati kita, jiwa kita tidak sekuat yang sepatutnya. Iman dan taqwa kita terlalu lemah. Maka selemah itulah jiwa kita dan nilai diri kita. Sebab Allah tidak bersama kita. Yang memimpin dan mendorong kita selama ini ialah nafsu dan syaitan. Dalam pada itu kita kata kita Islam, Allah Tuhan kita, Muhammad nabi kita. Walhal yang sebenarnya jadi Tuhan dan Nabi kita ialah nafsu dan syaitan. Manalah Allah tidak kutuk kita dan umat Islam seluruhnya.
Kalaulah keadaan ini tidak dibaiki, pasti kita tidak selamat, di dunia pun tidak boleh selamat, apa lagilah di akhirat. Tujuh buah neraka telah disiapkan untuk orang-orang yang sesat dan orang- orang yang Allah benci. Pesakit-pesakit lemah jiwa adalah termasuk orang-orang kebencian Allah, yang pasti menjerit melolong nanti di akhirat oleh azab-Nya. Jangan sampai berita ini diragukan atau tidak difikirkan secara serius. Sebab Allah tidak pernah mungkir janji-Nya. Firman Allah:
Terjemahannya: Sesungguhnya Allah tidak mungkir janji. (Surah Ali Imran: 194)
Orang yang selamat di dunia dan akhirat ialah orang yang hatinya selamat. Lihat betapa indahnya firman Allah. Dan firman Allah lagi:
Terjemahan: Pada hari itu, tidak berguna lagi harta dan anak-anak melainkan mereka yang membawa hati yang selamat sejahtera. (Surah As Syuara’ : 89)
Hati dan jiwa yang selamat ialah yang mendapat maqam mutmainnah atau sekurang-kurangnya mulhamah. Iaitu orang-orang yang mempunyai iman ayyan, yang hatinya sentiasa teringat Tuhan yang Pengasih itu, yakni Allah SWT. Hati diperhambakan betul untuk Alah hingga tidak pernah membesar dan memuliakan diri, walau bagaimana besar pun nikmat yang didapati. Dan hatinya tidak pernah cacat dengan Allah, walau bagaimana dahsyat pun ujian yang diberi. Hati ini adalah hati yang sungguh gagah dan kuat. Nikmat dan ujian tidak pun menggoyang dan melemahkannya. Dia cukup merdeka untuk Allah. Berani dan yakin serta tawakal dan harap pada Allah menyebabkan dia sangat mengutamakan kehendak dan hukum Allah. Hinggal sekiranya dia terpaksa mati untuk tugas itu, maka dirasanya kematian itu ialah pintu pertemuannya dengan Allah yang sangat dicinta dan dirinduinya. Dia sanggup mati mempertahankan prinsip Islam.
Kenapa kita tidak mencuba dapatkan hati yang begitu? Sedangkan Allah sudah berlaku terlalu baik dengan kita. Patut kita sudah rasa terlalu terhutang budi dan malu dengan Allah. Jadilah hendaknya kita umat yang merdeka jiwa. Merdeka dengan Allah. Takut hanya dengan Allah. Tidak lagi takut pemerintah, takut isteri, takut periuk nasi tidak berasap, takut miskin, takut masuk dapur, takut emak dan bapa mertua dan macam-macam lagi. Sebab semua itu tidak ada kuasa apa-apa kalau bukan dengan kuasa dan kehendak Allah. Agar dengan itu selamatlah kita dari penyakit lemah jiwa.
=== sekian ===
WAHAI NAFSU, ISLAMLAH ENGKAU!
Nafsu yang tidak terdidik boleh mengheret kita ke Neraka Allah SWT.
Nafsu yang terdidik dan jinak serta nafsu yang sudah di Islamkan akan membawa kita ke Syurga Allah Taala.
Nafsu Ammarah adalah peringkat nafsu yang paling jahat dan buruk sekali lakunya. Nafsu di peringkat ini akanmenjunamkan kita ke dalam Neraka Jahanam. Wal’iyazubillah.
Nafsul mutmainnah yakni nafsu yang tenang, nafsu yang sudah dijinakkan, nafsu yang boleh membawa seseorang mendapat keredhaan Tuhannya.
Nafsu yang selamat dan layak mendapat pengampunan Allah Taala, nafsu peringkat ini sudah mampu melatih diri seseorang sabar, tawakkal, pemurah, bertolak ansur. Mesra, mudah berurusan, memahami masalah orang lain, tawaduk, pemaaf, dan lain-lain sifat-sifat terpuji ada padanya.
Sedangkan nafsu Ammarah yang jahat dan belum Islam lagi seperti di atas penuh dengan sifat-sifat keji yang menjijikkan, tamak, dengki, dendam, pemarah, sombong, ego, kasar, kedekut, panas baran, tidak memahami perasaan orang, suka menyakiti hati sesiapa sahaja bahkan sangat jahat sangka dengan Allah dan sangat derhaka pada Tuhannya.
Nafsu Ammarah adalah seburuk-buruk nafsu, nafsu liar yang menjerumuskan kita terjun ke Neraka Allah.
Firman Allah yang membawa maksud:
“Sesungguhnya nafsu ammarah itu sangat mengajak kepada kejahatan”.
Manakala Firman Allah yang berkaitan dengan nafsul mutmainnah yang membawa maksud:
“Wahai nafsu yang tenang! Kembalilah kepada Tuhan Mu dalam keadaan redha dan diredhai, masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurga Ku”.
Kita diajar supaya mengekang nafsu dan bercakap-cakap dengan nafsu agar janganlah nafsu menggoda kita.
Kita juga diajar supaya memohon kepada Allah agar Islamlah nafsu yang ada dalam diri kita agar selamatlah kita dari ditunggang oleh nafsu yang jahat.
Saiyidina Ali KWJ pernah berkata “Wahai Dunia janganlah tipu aku, kalau kau nak tipu , tipulah orang lain”.
Maka kita katakanlah kepada nafsu Ammarah yang ada dalam saluran darah kita “Wahai Nafsu yang jahat, kalau kau nak tipu, janganlah tipu aku, tipulah orang lain”.
Muga dengan kita selalu memberi amaran kepada nafsu yang ada dalam jasad kita, nafsu tidak lagi bermaharajalela dalam diri dan tidak lagi menguasai diri kita. Justeru itu selamatlah kita dari tunggangan nafsu yang liar bagaikan kuda liar itu.
Hati yang selamat dari godaan nafsu Ammarah dan Lawwamah akan berbahagia di alam Akhirat sana dengan membawa hati yang aman dan sejahtera di sisi Tuhan nya.
Berbahagialah bagi mereka yang berjaya memperolehi nafsul Mutmainnah. Bahagia dunia lebih-lebih lagi bahagia di Akhirat yang kekal lagi abadi.
KEISTIMEWAAN BULAN RAMADHAN
Bulan Ramadhan memiliki keutamaan dan keistimewaan yang besar. Semua amal soleh yang dilakukan pada bulan ini akan mendapat balasan lebih banyak dan lebih baik. Oleh kerana itu kita sangat dianjurkan untuk memperbanyak amal kebajikan dan meninggalkan kemaksiatan. Diantara keutamaan dan keistimewaan bulan Ramadhan tersebut, disebutkan dalam beberapa riwayat:
1. Ramadhan adalah bulan penuh berkat, pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu Neraka ditutup dan syaitan-syaitan pun dibelenggu. Pada bulan Ramadhan terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan. Rasulullah SAW bersabda:
قَدْ جَاءَكُمْ رَمَضَانُ شَهْرٌمُبَارَكٌ افْتَرَضَ اللهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ تُفْتَحُ فَيْهِ أبْوَابُ الْجَنَّةِ
وَيُغْلَقُ فَيْهِ أبْوَابُ الْجَحِيْمِ وَتُغَلًّ فَيْهَ الشَّيَاطَيْنُ فَيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ ألْفِ شَهْرٍ
“Telah datang Bulan Ramadhan, bulan penuh berkat, maka Allah mewajibkan kalian untuk berpuasa pada bulan itu, saat itu pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu Neraka ditutup, para syaitan diikat dan pada bulan itu pula terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan.” (Riwayat Ahmad)
2. Allah SWT membebaskan penghuni Neraka pada setiap malam bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda:
إذَا كَانَ أوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِرَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِيْنُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أبْوَابُ الجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِيْ مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ وَذَلِكَ كُلُّ لَيْلَةٍ
“Jika awal Ramadhan tiba, maka syaitan-syaitan dan jin dibelenggu, pintu-pintu Neraka ditutup, tidak ada satu pintu pun yang dibuka. Sedangkan pintu-pintu Syurga dibuka, dan tidak satu pintu pun yang ditutup. Lalu ada seruan (pada bulan Ramadhan); Wahai orang yang menginginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang ingin kejahatan, tahanlah dirimu. Pada setiap malam Allah SWT memiliki orang-orang yang dibebaskan dari Neraka.” (Riwayat Tirmidzi)
3. Puasa bulan Ramadhan adalah sebagai penebus dosa hingga datangnya bulan Ramadhan berikutya. Rasulullah SAW bersabda:
اَلصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَاُن إلَى رَمَضَانَ
مُكَفِّرَاةٌ مَا بَيْنَهُنَّ إذَاجْتَنَبَ اْلكَبَائِرَ
“Jarak antara solat lima waktu, solat Jumaat dengan Jumaat berikutnya dan puasa Ramadhan dengan Ramadhan berikutnya merupakan penebus dosa-dosa yang ada diantaranya, apabila tidak melakukan dosa besar.” (Riwayat Muslim)
4. Puasa Ramadhan boleh menebus dosa-dosa yang telah lalu, dengan syarat puasanya ikhlas. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إيْمَا نًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barangsiapa berpuasa dibulan Ramadhan kerana Iman dan mengharap pahala dari Allah maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
5. Barangsiapa memberi makan untuk orang ramai berbuka puasa maka mendapat pahala sebanyak pahala orang puasa tersebut.
مَنْ فَطَرَ صَائِمًا كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أجْرِ الصَّا ئِمِ لَا يَنْقُصَ مِنْ أجْرِ الصَّائِمِ شَيْئٌ
“Barangsiapa memberi makanan untuk berbuka (makanan atau minuman) kepada orang yang berpuasa, maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut.” (Riwayat Ahmad)
6. Sedekah yang paling baik adalah pada bulan Ramadhan.
أيُّ الصَّدَقَةِ أفْضَلُ؟ قَالَ صَدَقَةٌ فَيْ رَمَضَانَ
Rasulullah SAW pemah ditanya; Sedekah apakah yang paling mulia? Beliau menjawab: “Yaitu sedekah dibulan Ramadhan.” (Riwayat Tirmidzi)
7. Orang yang banyak beribadah (menghidupkan) bulan Ramadhan, maka dosa-dosanya diampuni oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إيْمَا نًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barangsiapa beribadah (menghidupkan) bulan Ramadhan dengan iman dan mengharap pahala, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
8. Doa orang yang berpuasa adalah mustajab Rasulullah SAW bersabda:
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٍ ؛دَعْوَةُ الصَّائِمِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُوْمِ
“Ada tiga jenis doa yang mustajab, yaitu doa orang yang sedang puasa, doa musafir dan doa orang yang teraniaya. (Riwayat Baihaqi)
9. Puasa dan ِAl-Qur’an yang dibaca pada malam Ramadhan akan memberi syafaat kepada orang yang mengerjakannya kelak dihari kiamat. Rasulullah SAW bersabda:
اَلصُّيَامُ وَاْلقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ اْلقِيَامَةِ يَقُوْلُ اَلصِّيَامُ
أيْ رَبِّ مَنَعْتُهُُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتَ بِالنَّهَارِ فَشَفِّعْنِى فَيْهِ
وَيَقُوْلُ اْلقُرْآنُ مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِالَّيْلِ فَشَفِّعْنِي فِيْهِ قَالَ فَيُشَفِّعَانِ
“Puasa dan Al-Qur’an akan memberikan syafaat seorang hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: “Ya Rabbi, aku mencegahnya dari makan dan minum di siang hari”, ِAl-Qur’ an juga berkata: “Aku mencegahnya dari tidur dimalam hari, maka kami mohon syafaat buat dia.” Beliau bersabda: “Maka keduanya dibolehkan memberi syafaat.” (Riwayat Ahmad)
10. Orang yang melaksanakan Umrah pada bulan Ramadhan maka mendapat pahala seperti melakukan Haji. Rasulullah SAW bersabda:
فَإِنَّ عُمْرَةَ فِيْ رَمَضَانَ حَجَّةٌ
“Sesungguhnya umrah dibulan Ramadhan sama dengan pahala haji” (Riwayat Bukhari)
Keistimewaan bulan Ramadhan:
Pada awal-awal bulan Ramadhan. Allah akan senantiasa memperhatikan setiap ummat Nabi Muhammad SAW. Dengan harapan segala amal perbuatan baiknya akan dilipat gandakannya. Manakala amalan yang sunat dilipat gandakan lagi seakan-akan menjadi wajib sedangkan amalan-amalan wajib akan dilakukannya lebih dari biasa secara bersungguh-sungguh. Dan barangsiapa yang diperhatikan oleh Allah moga-moga dia akan terhindar dari azab kubur dan siksa neraka.
Bau mulut orang yang berpuasa yang berbau akan berubah menjadi wangi sewangi-wanginya melebihi wangi kasturi di hari kiamat.
Pada setiap malam bulan Ramadhan akan ada berpuluh ribu malaikat yang turun ke bumi dan senantiasa memohon keampunan bagi orang orang yang memanfaatkan malamnya dengan solat, sujud, berzikir serta beribadah pada Allah.
Allah akan memerintahkan Syurga untuk berhias diri, sehingga umat Nabi Muhammad SAW yang memasuki Syurga akan senantiasa merasa nyaman dan tenang. Pada akhir-akhir bulan Ramadhan, Allah akan menghapus dosa-dosa orang yang bertaqwa dan beriman pada Allah.
AIR MATA TAKUTKAN ALLAH PEMADAM API NERAKA
Alhamdulillah kerana saat ini kita masih diberi nafas untuk hidup di bumi Allah yang maha luas ini. Manusia yang hidup tak pernah lari dari membuat kesilapan kerana kealpaan dan sifat manusia itu sendiri. Manusia juga tak dapat lari dari digoda iblis dan anak cucunya yakni syaitan. Oleh yang demikian kita dapat lihat di dunia sekarang pelbagai masalah yang timbul akibat sifat manusia yang tidak berpegang teguh pada kalam Allah.
Rasulullah S.A.W telah bersabda, “Bahawa tidak akan masuk Neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya.”
Dalam sebuah kitab Daqa’iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam Neraka.
Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, “Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke Neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepadaMu.”
Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api Neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut.”
Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan Neraka Jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, “Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan.” (Surah Al-Jatsiyah: ayat 28)
Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api Neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, “Diriku, diriku (selamatkanlah diriku ya Allah) kecuali hanya seorang nabi sahaja yang akan berkata, “Umatku, umatku.”
Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api Neraka Jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad berusaha menghalanginya dengan berkata, “Wahai api, demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali.”
Walaupun dikata demikian, api Neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, “Sesungguhnya api Neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W”
Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S. “Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya.” Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka terpadamlah api itu.
Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S. “Wahai Jibril, Apakah air itu?” Maka Jibril berkata, “Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu.” Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.
Telah bersabda Rasulullah S.A.W, ” Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata.”