Tag Archives: Padang Mahsyar

CUKUPLAH MATI SEBAGAI PENASIHAT

 

mati

Dalam Al-Quran Tuhan berfirman:

Maksudnya: “Tuhan yang menjadikan mati dan hidup supaya menguji manusia siapa di kalangan mereka itu yang baik amalannya.” (Mulk: 2)

Di sini ada dua perkara yang akan dihuraikan:

Tuhan jadikan mati dan hidup
Tuhan jadikan manusia di dunia untuk diuji, siapakah yang baik amalannya.

TUHAN JADIKAN MATI DAN HIDUP

Kalaulah kita yang sebut ayat ini, bukanTuhan yang menyebutnya tentu kita berfikir secara lojik akal, kita akan sebut hidup dahulu baru mati. Memang kenyataannya kita hidup dahulu baru mati. Tapi Tuhan sebut mati dahulu baru sebut hidup. Tuhan tidak sebarangan menyebutnya, walau pun satu huruf ada maksud dan hikmah, ada nilai yang besar di sisi Tuhan. Secara lojik akal tentu kita berfikir, tidak kisahlah yang mana dahulu, hidup atau mati. Menurut lojik akal, kita tidak kira yang mana dahulu tapi Tuhan tidak begitu. Satu huruf pun yang Tuhan sebut ada maksud, tidak secara suka-suka.

Mengapakah Tuhan menyebut mati dahulu dan tidak memilih hidup dahulu baru mati. Ini menunjukkan Tuhan hendak tarik perhatian manusia supaya kita memandang besar perkara mati, lebih daripada soal hidup. Mengapa? Sebab hidup di dunia hanya sementara. Hidup di Akhirat selama-lamanya kekal abadi. Hidup di dunia, sudahlah tidak lama, masa yang ada pun hanya sekejap sangat.

Cuba kita analisa tempoh hidup kita di dunia. Kita tidak usah fikirlah masa dalam kandungan, bayi, kanak-kanak dan sebelum baligh, itu tidak ada erti apa-apa. Kehidupan seorang manusia itu sejak lahir sahaja hingga menjelang baligh, tidak ada erti apa-apa. Sebab masa itu manusia tidak ada kebebasan, hidupnya betul-betul bergantung pada ibu dan ayahnya. Sebahagian masa kita sedar, sebahagiannya tidak. Sejak waktu bayi sampai usia lima tahun kita tidak sedar. Dari lima tahun hingga baligh baru sedar, itupun tidak indah, keadaannya terkongkong oleh ibu dan ayah. Masa yang kita hendak ambil kira ialah sejak mula baligh, secara puratanya umur 12 tahun.

Kita akan kira dari umur kita 12 tahun. Paling lama berapa tahun manusia hidup? Katalah hidupnya 100 tahun. Jadi hidup prime time kita kira 100 kurang 12 tahun, iaitu 88 tahun. Tapi katalah dari umur 80 hingga 100 tahun sudah nyanyuk, jadi 20 tahun itu sudah tidak di kira. Kita tolak lagi 88 dengan 20, jadi tinggal 68 tahun sahaja. Hidup selama 68 tahun itu pun jarang dapat, mungkin dalam 1000 orang, seorang sahaja. Tapi pada umumnya, panjang masa manusia dapat hidup adalah sekitar 40 hingga 50 tahun sahaja masa primanya, setelah itu mati. Jadi kita hendak bahaskan masa yang 50 tahun

Di sini Tuhan hendak mengambil perhatian kita supaya besarkan Akhirat. Walaupun kita hidup istimewa, sejak lahir sahaja sudah berada dalam kekayaan, 50 tahun hidup dalam kekayaan. Nampak hebatlah, rumah besar, makan besar, pangkat besar dan di besar-besarkan orang sampai ke mati. Kalau dalam masa 50 tahun ini, kita tidak ikut disiplin Tuhan, dalam masa itu diuji oleh Tuhan 50 tahun hidup istimewa, lepas itu kena hidup dalam Neraka selama-lamanya. Bila kita gagal berhadapan dengan ujian Tuhan walaupun hidup istimewa, tapi kita akan berhadapan dengan 4 penderitaan.

1. Penderitaan sewaktu mati
Mati ini kita tidak boleh ukur pada pandangan lahir semata-mata. Kalau di ukur secara lahir, kadang-kala orang berkata, “Si Polan itu nampaknya senang matinya, bagus matinya, nampak elok sahaja, mudah sahaja,” itu kata kita yang menilai lahirnya sahaja sedangkan di waktu itu dia sudah berada di alam lain, bukan di alam kita. Kita tidak boleh mengukur alam syahadah dengan alam lain. Penderitaan yang dihadapi oleh orang yang hendak mati bukan kita tahu.

Rasulullah SAW pernah berkata bahawa orang yang mati dalam penderitaan itu ada tanda-tandanya, di antaranya ialah:
– mata terbeliak
– telinga kembang
– berbunyi macam kerbau berdengkur

Itulah di antara ciri-ciri orang yang mati di dalam azab. Jadi orang yang gagal ujian Tuhan walau dia kaya sekalipun, hidup senang, dilayan istimewa, tidak pernah susah hanya sekitar 50 tahun, tapi selepas itu tetap tidak akan terlepas daripada penderitaan mati. Itu nisbah seorang yang kaya raya, kita tidak cakap tentang orang biasa, yang kadangkala susah, kadangkala senang hidupnya. Ini kita cakap tentang orang yang 50 tahun hidup dengan penuh istimewa sungguh, dunianya syurga, tidak pernah sakit, tidak pernah susah tidak pernah orang kata, tidak pernah orang hasad dengki. Tapi bila gagal menjalani ujian Tuhan, selepas itu yang pertama dihadapi adalah penderitaan mati.

Hadis juga ada menceritakan sakit mati itu bagaikan 300 tetakan pedang . Bayangkan kalau sekali orang sembelih kita, walaupun kita tidak pernah alami, tentu terasa sakitnya, sedangkan sakit mati itu ialah 300 kali ganda. Walaupun nampak macam sekejap sahaja hilang nyawa tapi sebenarnya macam dapat 300 tetakan.

2. Penderitaan di alam kubur
Sewaktu di tanam, Hadis mengatakan, apabila orang yang mengiringi jenazah sudah balik, setelah tujuh langkah bermulalah penderitaan kubur. Pertama kejahatan kita itu dilembagakan. Kerana busuknya kalaulah tercium, orang di dunia boleh mati, bahkan akan mati makhluk seluruh dunia. Kemudian orang yang mati itu akan bertanya, “Kau siapa?” Lembaga itu akan menjawab, “Aku ini kejahatan engkau.” Lepas itu barulah malaikat datang, bertanya pula, bila tidak dapat jawab, disebat hingga terperosok ke dalam tanah 70 hasta, setiap kali ditanya dan tidak boleh jawab malaikat akan sebat dan terperosok lagi sampailah kiamat, apakah mampu menanggung azab itu?

3 . Penderitaan Padang Mahsyar
Antara penderitaan Padang Mahsyar, bagi orang jahat, matahari berada di atas ubun-ubun. Kerana banyaknya manusia di Padang Mahsyar, dalam Quran diceritakan betis-betis bertindih macam rokok dalam kotaknya, rapat, padat, ketat. Tuhan biarkan beratus tahun dalam keadaan begitu hingga peluh keluar dan manusia tenggelam dalam peluhnya. Sanggupkah?

4. Penderitaan Neraka
Penderitaan paling dahsyat adalah Neraka. Manusia nanti kena meniti Siratal Mustaqim. Orang yang jahat akan jatuh ke Neraka. Penderitaan Neraka di antaranya; kaki dengan tangan diikat, dicantum pada tengkok dan dibelenggu. Api membakar, menyala, panasnya 90 kali ganda api yang ada di dunia. Api yang paling kuat di dunia dianggap satu, di Neraka ditambah power 90 kali ganda lagi panas, apakah larat? Disebat setiap hari oleh malaikat, bila lapar diberi makan zakum, iaitu bara api Neraka. Apakah larat? Bagi orang kafir, kekal selamanya dalam Neraka, bagi orang Islam yang buat dosa, tidak kekal, tapi mungkin sejuta tahun, 3000 tahun, seribu tahun. Apakah larat?

Jadi orang yang waktu hidup di dunia tidak ikut disiplin Tuhan kemudian dia tidak tahan diuji Tuhan, maka ada empat penderitaan tadi yang akan ditempuh. Oleh itu kalaulah orang tahu hakikat ini, maka kerana Tuhan, susah di dunia pun tidak mengapa. Kesusahan 50 tahun di dunia tidak sama dengan susah yang empat jenis tadi itu. Di dunia ujian paling susah mungkin kena langgar kereta dan mati, jatuh ke laut, mati lemas, sakit kuat lalu mati. Tapi tidaklah tersiksa sangat berbanding dengan kesusahan di Akhirat nanti. Sebab itulah tidak pelik mengapa Tuhan sebut tentang Akhirat dahulu baru dunia.

Cuba kita lihat realiti yang berlaku hari ini, bila disebut antara dunia dan Akhirat, manusia lebih cenderung untuk memikirkan tentang yang dekat iaitu dunia berbanding Akhirat yang jauh. Lebih mengambil berat tentang dunia berbanding Akhirat. Ertinya kalau nisbah dunia dan Akhirat kita fikir yang dekat iaitu dunia. Tapi kalau di antara dunia dengan dunia kita tidak fikir yang dekat, kita fikir jauh. Di dunia seseorang itu akan fikir untuk masa depannya, sanggup belajar jauh di luar negara, jual tanah, jual aset, dan berfikir biar susah dahulu asalkan senang kemudian.

Nisbah kehidupan di dunia, manusia cenderung untuk fikir yang jauh, tidak fikir yang dekat, tapi nisbah Akhirat dia tidak fikir yang jauh, padahal itu lagi berat. Akhirat lagi utama kerana ia kekal selama-lamanya. Untuk masa depan di dunia orang sanggup susah payah belajar, ambil PhD di Amerika, pinjam duit merata-rata, tapi tidak mengapa susah dahulu, nanti senang kemudian. Pandai pula berfikir susah dahulu senang kemudian. Mengapa tidak buat untuk Akhirat begitu?

Penderitaan dunia dan Akhirat itu jauh bezanya. Nisbah penderitaan dunia dengan Akhirat, susah di dunia ini macam digigit nyamuk, manakala di Akhirat macam dibaham singa. Walaupun sebenarnya kadarnya bukan sebegitu tapi itu sahaja yang boleh kita cuba bandingkan. Yang kita takut sangat nyamuk gigit sampai sanggup ambil risiko dibaham singa mengapa? Sebenarnya bandingannya entah berapa ribu kali ganda.

Nikmat dunia ini apalah sangat? Nisbah makan, apa yang paling sedap? Katalah durian. Lepas makan durian ke mana? Tak ke istana tapi ke tandas. Tapi nisbah makanan di Akhirat, katalah kita makan epal, kita gigit kali pertama, lain rasanya, gigit lagi kali ke dua sudah lain pula rasa, bertambah sedap, bertambah sedap lagi, sudahlah bertambah sedap, tidak sakit perut, tidak ke tandas selepas itu. Tapi orang tidak nampak itu semua, orang nampak durian di dunia, tidak nampak durian di Akhirat. Katalah ada 100 jenis buah, dalam sekelip mata boleh makan 100 jenis itu. Tidak sakit perut, tidak ke tandas! Betapa indahnya Akhirat!

Di Syurga, orang yang paling lemah iman dapat 50 bandar, bukan bandar macam Kuala Lumpur atau New York, tapi tidak dapat digambarkan keindahannya. Kalau di dunia, katalah orang hadiah kita 50 bandar macam Kuala Lumpur, itu malah menyusahkan. Yang kedua, bolehkah lawat semua? Hari ini secara detail kita tidak boleh melawat semua. Tidak mampu. Kalau mampu pun tentu letih, jemu, fed-up, apa indahnya lagi? Sedangkan di Akhirat, teringat sahaja sesuatu, tidak sampai seminit semua dapat lihat. Yang imannya lebih tinggi lagi banyak dapat bandar. Bila mahu melawat dalam sekelip mata boleh lawat semua. Ingat sahaja, katalah kita ingat sesuatu di New York, niat sahaja sudah sampai. Teringat sesuatu di Kuala Lumpur, niat sahaja sudah sampai. Katalah hendak lawat dengan kapal terbang, kapal terbang tidak jatuh. Kalau kita minta dijatuhkan sedap pula dijatuhkannya. Tak takut.

Kalau isteri, ada seribu, 2000, 3000, di antaranya bidadari. Walaupun bidadari istimewa, isteri kita besok ketua isteriisteri, kalau isteri kita masuk Syurga sama. Kalau tidak masuk Syurga sama, habislah. Jadi ketua isteri itu isteri kita yang solehah. Di Syurga kehidupannya tidak pernah bergaduh, berkasih sayang sepanjang masa. Teringat gaduh pun tak. Tenggelam dalam nikmat dan tidak jemu.

Di Akhirat penderitaannya dahsyat, nikmatnya pun dahsyat, sebab itu Tuhan sebut mati dahulu. Sebab is besar, sedangkan dunia kecil tidak ada harga. Sebab itu di sisi Tuhan dunia ini kalau ada nilai setakat sebelah sayap nyamuk, dan orang jahat tidak akan dapat apa-apa.

Kerana dunia ini tiada nilai di sisi Tuhan, maka orang jahat diberi banyak, siapa paling jahat dapat lebih banyak, yang baik-baik, makin tidak dapat. Macam Rasul-rasul, Tuhan tidak bagi kekasih-Nya perkara yang tidak ada nilai. Dunia ini untuk orang jahat, sila ambil. Untuk para kekasih Tuhan, Tuhan berkata: “Engkau kekasih-Ku, Aku hendak simpan di Syurga.”

Setelah kita buat perbandingan dunia Akhirat, munasabahlah Tuhan sebut mati dahulu sebelum Akhirat supaya kita bagi tumpuan pada Akhirat daripada dunia.

Dijadikan Hidup Untuk Diuji
Manusia hidup didunia tetapi tidak mahu diuji,tidak kenalah.Sebab itu sudah dasar Tuhan.Manusia kena akur dengan Tuhan.Setelah manusia diuji Tuhan hendak tengok siapa di antara manusia yang biasa,siapa yang jahat.Yang baik ke Syurga yang jahat ke Neraka.

Kalau mengikut pandangan kita,ujian itu benda yang negatif ujian itu ada dua bentuk:

1.Ujian yang menyukakan,menggembirakan, atau menyenangkan (positif)
Contoh: Menjadi raja, Perdana Menteri, pegawai tinggi, dapat kekayaan, harta banyak, ilmu banyak dan sebagainya. Itu di antara contoh besar.

2.Ujian yang tidak menyukakan,mendukacitakan atau menyusahkan (negatif)
Contoh:Lumpuh,sakit kronik,sakit yang teruk,tidak boleh jalan,itu paling azab.Ujian lain sudah ringan,contohnya orang mengata kita,isteri tidak sayang,suami benci.Luka atau kudis lagi ringanlah. Di antara dua ujian ini yang lebih mudah merosakkan manusia adalah ujian senang. Sebab itu Tuhan sebut yang banyak masuk Neraka adalah orang kaya, high class tetapi yang banyak masuk Syurga adalah orang miskin.

Padahal lojiknya kalau orang kaya atau high class tentu boleh buat baik, ada kuasa tolong orang, bantu orang, hiburkan orang. Tapi yang berlaku tidak begitu. Bila jadi kaya raya, jadi megah, sombong, ada kuasa, zalim. Bila ada yang mencabar, dia akan mencari jalan supaya orang tersebut dipersalahkan untuk ditangkap. Jadi lojik tidak boleh pakai.

Sebelum dapat, lojik berfikir: Kalau aku kaya, aku akan tolong orang,bantu orang,untuk dapat pahala besar.Tapi bila sudah jadi kaya,jadi jutawan,dia sudah jadi Tuhan pula.Seperti Firaun,dia raja tapi dia kata:Ana rabb,Ana Rabb.Dia mengaku Tuhan.

Jadi dari segi logiknya,sebelum kaya kita berfikir:kalau aku kaya aku akan buat baik,tolong orang,bantu orang,banyakkan sedeqah.Orang miskin aku tolong,kan baik.Bila sudah kaya apa yang terjadi?Sombong,bakhil,makin megah.Logik sudah tidak boleh pakai.Sebelum dapat pakai logik,kalau tak kaya,macamana nak buat baik?Macam mana nak naik haji?Tapi bila sudah kaya lain jadinya.

Begitu juga bila ilmu belum dapat,kita berfikir:Kalau dapat ilmu banyak boleh khidmat pada orang,boleh ajar orangaku boleh tunjuk jaln.Itu secara logik.Tapi bila sudah dapat kita jadi megah,sombong dan meghina orang yang bodoh.

Jadi sebenarnya ujian yang positiflah yang banyak merosakkan daripada ujian yang negatif.Tapi Tuhan Maha Bijaksana,segala apa yang dilihat di dunia ini Tuhan sudah siapkan hujah disini.Katalah ada orang kaya,berkuasa,diazab oleh Tuhan,kerana derhakanya,dia hendak bahas:Wahai Tuhan,aku kena azab ni sebab Engkau juga.Engkau bagi aku kaya,bagi aku kuasa ,sebab itu aku jadi jahat.Kalau Engkau tidak jadikan aku raja dan kaya,aku taklah kena azab.Lalu Tuhan memberi hujah dengan berkata:Bukankah ada di kalangan orang baik yang jadi raja?Nabi Sulaiman jadi raja,Nabi Daud jadi raja,Nabi Muhammad jadi raja tapi mereka lebih baik dari engkau.Sebab itu di kalangan Rasul ada tiga orang yang Tuhan jadikan raja supaya jadi hujah di Akhirat.

Kalau orang kaya pula kata pada Tuhan: “Saya ini jahat pasal Engkau jadikan aku kaya. Cuba Engkau tidak jadikan aku kaya, tentu aku tidak jahat.” Lalu Tuhan berkata: “Engkau mana lebih kaya dari Nabi Sulaiman?” Orang tersebut tidak boleh menjawab. Kemudian Tuhan berkata: “Dia lebih kaya dari engkau tapi dia jauh lebih baik dari engkau.”

Ada juga orang miskin masuk Neraka. Walaupun banyak juga orang miskin masuk Neraka tapi orang high class lebih banyak. Orang miskin pun berhujah pada Tuhan: “Macam mana aku tidak jahat, Engkau miskinkan aku. Aku nak makan terpaksa mencuri, terpaksa menipu. Kalau aku kaya tidaklah jadi begitu.”

Lalu Tuhan pun bertanya: “Engkau lebih miskin atau Nabi Muhammad lebih miskin?” Maka orang tersebut tidak boleh menjawab. Jadi Tuhan berkata, “Aku jadikan mati dan hidup untuk manusia diuji dengan ujian positif atau negatif, dengan maksud siapa di kalangan kamu yang baik.” Rupanya bila diuji, ramai orang jadi jahat. Jadi nampaknya dengan ujian yang menggembirakan, orang makin ramai jadi jahat berbanding orang yang diuji dengan kesusahan. Kalaupun jahat tidak sebesar yang dibuat orang yang senang.

Jadi hidup di dunia ini ujian. Kalau tidak kuat dengan Tuhan tidak takut dan cinta Tuhan, tidak pandang besar Akhirat, ujian apa pun sama ada positif atau negatif, kita akan tewas. Senang pun gagal, miskin pun gagal. Berkuasa pun gagal, tidak berkuasa pun gagal.

Sebab itu Tuhan adalah penting dalam hidup kita. Besarkan Akhirat itu penting, supaya apa pun ujian, kita tidak terjejas. Apapun ujian sama ada positif atau negatif, tidak mengubah kita, tetap Tuhan tujuan kita, kita tidak akan berubah.

Bahkan orang yang takut dan cinta Tuhan, kalau dia senang, misalnya dia jadi raja, banyak harta maka banyak kebaikan yang dia boleh buat seperti sedekah, tolong orang, bantu orang, selamatkan orang.

Tapi kalau orang miskin, susah, sakit, menderita, kalau dia takut dan cinta Tuhan, pahalanya lain. Kalau nikmat dia tidak dapat, kalau dia redha maka dia dapat pahala sabar. Kalau sabar apa kata Tuhan:

Maksudnya: “Kalau sabar, aku bagi hadiah tidak berkira, bighairi hisab.” (Zumar: 10)

Maka sudah kalah orang kaya. Orang miskin bila nampak ada orang jual durian, tetapi dia tidak boleh beli hingga tercicir air liur, maka Tuhan ampunkan dosanya. Itulah rahmat Tuhan. Kalau orang miskin teringin beli durian tetapi tidak boleh beli, maka itu adalah penghapusan dosa. Maha Adilnya Tuhan.

Selama ini kita selalu persoalkan Tuhan. Sebenarnya apa yang Tuhan buatkan sudah adil. Para Rasul adalah orang yang paling kenal Tuhan dan kenal kerja Tuhan, apa pun Tuhan buatkan pada dia, Ilia faham bahawa itu adalah keadilan Tuhan. Rasul-rasul sejak lahir sudah diuji tetapi tidak pernah susah hati. Contohnya, Nabi Ibrahim lahir di gua, Nabi Musa waktu bayi lagi dihanyutkan di sungai Nil.

Bahkan ada di antara kita beribadah kerana hendak pahala banyak tetapi mendapat lebih banyak pahala dengan tidak ibadah. Ada orang hendak pahala banyak lalu beribadah banyak, yang lain pula hendak pahala banyak tetapi ibadahnya tidak banyak. Biasanya orang yang hendak banyak pahala, dia akan banyak bersolat dan berpuasa, tetapi pahalanya tidak banyak. Sebenarnya pahala yang banyak adalah apabila sakit. Bila sakit selalu, itu dianggap banyak bersembahyang dan berpuasa. Sebab itu para Rasul sakit pun tidak merasa susah. Bagi mereka perkara itu adalah kerja Tuhan.

Untuk dapat pahala banyak, apakah kita larat sembahyang 1000 rakaat? Jadi kalau sakit panjang hendaklah redha. Itu kalau orang faham kerja Tuhan. Jadi bagi orang yang faham kerja Tuhan, bila ditimpa sakit, dia sabar, redha, kerana di situ lebih banyak pahalanya.

Bila orang miskin nampak makanan yang banyak tetapi tidak boleh beli kerana tidak mampu, di situlah keampunan Tuhan. Selalunya kita kata, “Kenapa Tuhan buat begini?” Isteri menyakitkan kita itu pahala. Tuhan buat itu untuk bagi pahala. Lebih baik isteri meragam dan redha dengannya. Lain kali kalau isteri celupar mulut, kita kata elok-elok, nanti pahala di catit. Bila dia berhenti rugilah, “Cakap lagilah jangan berhenti lagi, ini income aku.” Lama-lama isteri malu sendiri. Kalau kita faham kerja Tuhan, kita akan seronok dengan Tuhan.

Sekian.

CONTOH KEHIDUPAN YANG MENGUTAMAKAN AKHIRAT

RAHSIA kejayaan Rasulullah SAW, Khulafa ur Rasyidin dan sekalian salafussoleh dapat memerintah dan memajukan tiga perempat dunia dengan jayanya ialah kerana mereka cintakan Akhirat lebih dari cintakan dunia.
Kerana memberi tumpuan yang serius kepada Akhiratlah maka mereka dapat menundukkan dunia. Dan kalaulah mereka tidak dapat mengutamakan Akhirat daripada dunia, nescaya mereka pun senasib dengan kita. Yakni bukan sahaja mereka tidak dapat menegakkan empayar, perintah satu negara pun tidak akan berjaya. Satu negeri pun gagal. Bahkan memerintah satu kampung pun tidak upaya. Kalau masalah dalam rumah pun tidak boleh diatasi, tidak selesai-selesai, apa lojiknya kita boleh selesaikan masalah yang lebih besar dari itu.
Berjayanya Rasulullah SAW dan para Sahabat mengIslamkan dunia adalah kerana mereka serius dalam menguruskan Akhirat. Proses itu berlaku begini:
Apabila yang diutamakan itu Akhirat, maka mereka tidak mengambil kepentingan-kepentingan duniawi untuk peribadi, keluarga dan klik-klik mereka. Sebab orang yang sangat memikirkan nasib di Akhirat, mereka sangat takut pada Hari Hisab di Padang Mahsyar nanti. Hari penggelidahan lahir batin oleh polis-polis Akhirat, iaitu para malaikat, terhadap setiap orang manusia tanpa kecuali. Yang mana pada hari itu, orang-orang kaya di dunia, yang menimbunkan kekayaan yang halal untuk diri dan keluarganya sahaja, akan tertahan lama di border. Manakala yang kumpul kekayaan secara haram, terus terjun ke Neraka. Sementara orang miskin terutamanya yang miskinnya itu disengajakan kerana harta bendanya digunakan untuk khidmat masyarakat, untuk jihad fisabilillah, untuk ALLAH dan Rasul, untuk pembangunan-pembangunan material demi tertegaknya tamadun Islam yang canggih, maka ia akan dibebaskan dengan mudah, untuk pergi ke Syurga. Dalam Hadis, Rasulullah ada berkata:

Terjemahannya: Orang miskin itu akan masuk ke Syurga 500 tahun sebelum orang kaya.
(Riwayat At Tarmizi)

Atas dasar itulah Rasulullah SAW dan para Sahabat. sangat merebut peluang ini. Mereka meminta agar mereka tetap dapat hidup seperti orang miskin, sekalipun mereka diberi seluruh kekayaan dunia. Sebab itu di waktu ¾ dunia sudah ada dalam tangan, mereka masih tetap dapat zuhud lagi dengan dunia. Dan dengan sebab itulah mereka dapat memerintah dengan jayanya.
Apabila setiap individu sanggup hidup macam orang miskin, kerana kckayaan mereka itu dikorbankan untuk kepentingan masyarakat, demi membangunkan hukum ALLAH, maka hasilnya masyarakat dapat melahirkan banyak projek pembangunan seperti sekolah, hospital, kilang-kilang dan lain-lain lagi. Dalam pada itu kerajaan yang adil pula akan menggunakan wang negara untuk projek-projek pembangunan masyarakat yang semua itu , akan memberi kemudahan pada rakyat. Maka rakyat akan mendapat keselesaan hidup serta kemudahan-kemudahan yang diperlukan. Jadilah negara itu penuh dengan pembangunan-pembangunan kepunyaan umat Islam dan rakyatnya hidup aman makmur. Proses inilah yang membawa kepada terbangunnya negara yang ALLAH kehendaki, iaitu:
Terjemahannya: Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan ALLAH. (Saba: 15)

Tanpa proses ini, negara dan masyarakat akan dikuasai oleh orang lain, dan rakyat hidup susah. Sebaliknya orang yang memerintah hidup senang-lenang. Keadaan ini boleh dilihat di Malaysia dan lain-lain negara umat Islam di seluruh dunia. Yang mana ekonomi negara dan masyarakat berada dalam tangan bangsa asing. Perojek-projek ekonomi yang besar-besar berada dalam tangan orang luar atau beberapa orang kapitalis Melayu, Cina dan India. Rakyat hidup ala kadar. Pemerintah hidup kaya-raya. Wakil rakyat pun lebih kaya dari sebelumnya. Yang miskin terlalu miskin. Yang kaya terlalu kaya. Keadilan yang sebenar tidak wujud. Keamanan yang sebenar tidak jadi realiti. Kemakmuran yang sebenar tidak terasa. Keampunan dari ALLAH tidak diperolehi hasilnya. Akhirnya di Akhirat masuk Neraka.
Sebab itu Islam meminta umatnya agar berjuang dan berkorban. Yang mana dengan kaedah itu, sistem ekonomi kapitalis akan terbunuh dengan sendirinya. Sayidina Abdul Rahman bin Auf berjaya menghalau kapitalis Yahudi dari Madinah, sekaligus membunuh sistem kapitalis itu, bukan dengan pergaduhan dan peperangan. Tetapi dengan membangunkan sistem ekonomi Islam di sebelah sistem kapitalis. Bila masyarakat memilih sistem Islam, dengan sendirinya sistem kapitalis terbunuh.
Dalam masyarakat yang mengamalkan cara hidup Islam, kemasukan wang kepada negara dan masyarakat cukup besar. Sebab pemerintah tidak ambil wang negara lebih dari keperluan. Mereka cuma ambil maasy yakni mengikut keperluan. Selebihnya untuk negara dan rakyat. Ini yang dapat dibuat oleh Rasulullah dan para Sahabat. Orang-orang kaya pula sangat kuat berkorban. Maka semua wang yang terkumpul digunakan untuk membangunkan kilang-kilang, perniagaan-perniagaan dan macam-macam perusahaan untuk rakyat. Sebab itu rakyat dapat hidup senang. Mungkin lebih senang dari pemimpin-pemimpin dan orang-orang besar mereka. Sebab itu masyarakat tidak buat masalah lagi. Dan jadilah negara itu negara yang benar-benar aman dan makmur.
Tetapi mana ada kerajaan yang mampu mengorbankan kekayaan mereka untuk rakyat. Hampir semua pemimpin yang naik, menjadi lebih kaya dari sebelumnya, sama ada dirancang atau tidak. Sebab dunia itu penipu, kata ALLAH. Pemimpin yang bercita-cita hendak menegakkan Islam pun dapat ditipunya. Apalagilah yang memang bercita-cita untuk dapatkan dunia. Lagi hebatlah tipuannya.
Oleh itu mari kita kaji semula cara hidup Rasulullah SAW dan salafussoleh supaya kita benar-benar terdidik dan cukup kuat untuk menghadapi dunia ini. Moga-moga kita selamat sebagaimana selamatnya Rasulullah dan para Sahabat dalam menghadapi dan menguruskan dunia ini.
Sikap mereka terhadap urusan dunia:
1. Rumah
Kalaulah Rasulullah SAW mahu, rumahnya boleh mengalahkan semua rumah raja-raja di dunia. Sebab baginda dengan doa sahaja boleh dapat apa yang dimahunya. Pasir pun boleh jadi emas. Gunung Uhud pernah bertukar menjadi emas hasil doa Rasulullah. Tetapi semua itu ditolaknya. Bila Rasulullah SAW tolak dunia, jangan kita kata, “Dia Nabi, bolehlah!” Baginda menolak itu bukan kerana dia Nabi. Yang mana kalau bukan Nabi, bolehlah baginda mengambilnya. Bukan begitu! Rasul itu contoh kita dalam segala hal. Rasulullah SAW menolak kekayaan adalah kerana baginda tidak mahu umatnya mengambil kekayaan untuk peribadi dan duniawi. Itulah maksudnya. Sekalipun baginda Rasul kekasih ALLAH, apa saja baginda boleh dapat, tetapi baginda tetap mahu hidup macam hamba. Itulah sikap pemimpin sejati. Yang boleh pun, tidak diambil, apalagi yang tak boleh. Sebab itu rumahnya betul-betul macam rumah seorang hamba kecil, sempit, berbumbung rendah, dibuat dari tanah dan pintunya dari kain guni.
2. Tempat tidur
Alas tidur Rasulullah SAW cumalah anyaman tikar daun kurma (macam tikar mengkuang). Bila bangun, berbekas urat-urat daun anyaman pada badan baginda yang mulia itu. Kebesaran baginda sebagai pemimpin dunia, yang namanya sampai hari ini dilaungkan di segenap pelosok dunia, di surau dan masjid, terkenal dan dicintai oleh dunia, tidak pun menghalang baginda untuk terus hidup seperti hamba yang lemah dan hina. Walhal kita baru jadi kerani sudah mahu bergaya, lagak macam tuan. Sudah rasa tidak layak hendak menjadi hamba. Apalagilah tuan-tuan besar kita itu. Memang takkan sudilah untuk mencemar kemuliaan seperti seorang hamba yang lemah lagi hina di sisi Tuhannya.

3. Makan dan makanan
Rasulullah memanglah makan. Tetapi seringkali juga baginda berlapar. Perutnya pernah diikat dengan batu untuk menahan kelaparan. Kerana makanannya diberikan pada orang lain. Apabila baginda makan, yakni makan hanya bila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang, seringnya makanan baginda cuma susu, air dan kurma. Kiranya ada berlebih, baginda tidak buang. Pantang Rasulullah menghina pemberian ALLAH sekalipun sekecil-kecil barang. Baginda sangat sayang dan menjaga rezeki yang ALLAH kurniakan. Sebab itu kalau berlebih, cepat cepat dihantar ke rumah jiran yang perlu untuk dihabiskan. Baginda tidak menyimpan makanan di malam hari. Hidupnya bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Makan pula betul-betul macam hamba. Macam orang susah makan. Iaitu baki-baki kuah dan makanan dalam bekas makannya dijilat hingga licin, disapu bersih. Siti Fatimah AZ Zahra puteri Rasulullah SAW, sangat kenal bekas makan Rasulullah kerana katanya begitu licin seolah-olah sudah berbasuh. Serbuk-serbuk makanan dikutip, kuah yang tumpah disapu dengan jari dan dijilatnya. Dan baginda tidak akan makan seorang diri, mesti secara jemaah.
4. Pakai dan Pakaian
Rasulullah SAW cuma ada sedikit pakaian. Itu pun jenis pakaian orang susah. Sesekali baginda pakai juga pakaian mahal yang dihadiahkan orang, bukan hasil usahanya sendiri. Baginda memakainya kerana menghormati pemberian hadiah dari orang itu. Tetapi lazimnya pakaiannya yang cantik, kemas dan bersih serta wangi itu adalah jenis pakaian murah.
5. Kenderaan
Sebagai hamba, baginda tidak rasa jijik untuk naik keledai. Tetapi baginda juga berkuda dan naik unta sesuai dengan keperluan perjalanan. Sementelahan pula, keperluan perhubungan yang jauh serta peruntukan-peruntukan perjuangan memang memerlukan kenderaan yang agak canggih. Misalnya, baginda menunggang kuda Sambrani, seekor kuda yang dihadiahkan kepadanya.
6. Harta Benda dan Wang Ringgit
Rasulullah SAW asalnya kaya dan berada. Kerana seluruh kekayaan isterinya Siti Khadijah diserahkan padanya. Tetapi sewaktu wafat, baginda tidak meninggalkan apa-apa harta dan wang ringgit. Ertinya kekayaannya bukan untuk tumpuk harta dan simpan harta. Semuanya telah dikorbankan untuk jihad fisabilillah sebagai sumber pembangunan ummah.
Bila sudah berkorban sampai begitu sekali, apa jaminan masa depan anak-anak yang ditinggalkan? Persoalan ini tidak timbul sama sekali. Sebab setiap anggota masyarakat tentu mendapat pembelaan dari masyarakat yang beriman. Iaitu dari kerajaan dan masyarakat yang memerintah, menjaga dan mengawal anak buahnya dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab; yang cintakan ALLAH dan Akhirat lebih dari cintakan dunia dan segala kesenangan di dalamnya. Siapa yang hidup dalam jemaah Islam atau negara Islam pasti terbela. Dunia dan Akhirat. Bukan dunia sahaja dan bukan Akhirat sahaja.

Begitulah sikap Rasulullah terhadap dunia. Baginda seolah-olah tidak peduli sangat dengan urusan dunianya. Yakni rumahnya, pakaian, makan minum, tidur baring dan lain-lain urusan duniawi dan peribadi. Tetapi untuk Akhirat, baginda sangat serius. Baginda tidak main-main. Baginda sangat ambil berat dan bersungguh-sungguh.
Marilah kita lihat buktinya:
1. Perjuangan
Saya letakkan perjuangan sebagai perkara pertama dalam kerja-kerja Akhirat yang Rasulullah lakukan. Tujuan saya ialah untuk menarik perhatian pembaca tentang pentingnya perjuangan ini. Di samping untuk menyatakan bahawa ia bukan urusan dunia tetapi adalah urusan Akhirat. Yang mana selama ini ramai menganggap perjuangan itu tidak penting dan merupakan kerja-kerja duniawi, bukan Ukhrawi.
Rasulullah SAW berjuang sepanjang umurnya. Berjuang untuk menegakkan kalimah ALLAH di muka bumi. Dengan kata lain, berjuang untuk meng-Islamkan dunia. Bahkan perjuangan itu menjadi cita-cita hidup matinya. Dan untuk itulah baginda dilantik jadi nabi dan Rasul. Sebab itu baginda sungguh serius dalam perjuangan. Demi menegakkan perintah ALLAH, baginda sanggup hadapi apa saja risiko. Sekalipun mati. Rasulullah pernah bertegas dengan bapa saudaranya:

Terjemahannya: Demi Allah wahai bapa saudaraku, sekulipun mereku meletukkun matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini nescaya aku tidak akan tinggalkannya, sehingga ALLAH memberi keputusannya.

Umur baginda habis untuk perjuangan. Harta benda habis untuk itu. Tenaga, fikiran, jiwa raga semuanya untuk jihad fisabilillah. Baginda jadi miskin, dihina, diburu, dikejar, diundang ke medan perang dan hampir-hampir mati ditetak. Semuanya dihadapi semata-mata mahu memperkenalkan ALLAH pada dunia serta menegakkan syariat-Nya. Begitulah bersungguh-sungguhnya baginda Rasulullah SAW dalam berjuang.
2. Mendidik
Usaha ini adalah satu dari cabang perjuangan yang penting. Ia juga urusan Akhirat. Rasulullah SAW siang malam, pagi petang, atau di mana saja, sentiasa mendidik umatnya. Tidak minta upah dan tidak cari kepentingan. Baginda lakukan itu semata-mata kerana sayangkan umat, agar mereka selamat dunia Akhirat. Baginda sangat serius menasihati, menegur, memandu dan menunjuk ajar siapa saja tanpa mengira pangkat atau darjat. Baginda pergi ke pasar, pergi ke Taif, pergi ke mana-mana sahaja, sekalipun di atas unta, untuk menyampaikan mesej Ilahi pada manusia. Hingga waktu sakit tenat dan hampir wafat pun baginda masih bercakap tentang nasib umat.
3. Berkorban
Perjuangan dan pendidikan tidak akan berjalan baik tanpa pengorbanan. Sebab itu Rasulullah sangat serius berkorban. Korban wang ringgit, harta benda, masa, tenaga, fikiran dan segala-galanya. Baginda pergi ke medan perang, di baris hadapan. Baginda ikut sama mengorek parit dan mengangkat batu dalam Perang Khandak. Baginda hidup bersama fakir miskin, janda dan anak yatim untuk menjadi pembela pada orang-orang susah itu. Bila dapat harta rampasan perang, baginda dahulukan ahli suffah dan masyarakat lainnya. Diri dan keluarga tidak dapat apa-apa. Orang berhutang, bagindalah yang membayar. Kalau ada masakan, mesti dihulurkan pada jiran, sekalipun kaki kambing. Pendeknya, untuk keselamatan ummah, baginda yang menanggung susah dan payahnya.
4. Akhlak
Baginda sangat serius menjaga akhlaknya. Ini juga soal Akhirat. Baginda memiliki akhlak yang agung, kata ALLAH. Ertinya ALLAH pun kagum dan memuji keupayaan Rasul-Nya dalam melayani ALLAH dan hamba-hamba ALLAH, dengan sebaik-baik akhlak. Kita lihat tiga contoh yang memperlihatkan agungnya akhlak Rasulullah:
a. Pemaaf
i. Ada seorang perempuan tua Yahudi yang selalu menyusahkan Rasulullah di perjalanan. Yakni dengan menabur duri dan najis di jalan yang dilalui oleh Rasulullah bila pergi berdakwah. Si tua itu sangat benci dengan Rasulullah. Tetapi satu hari ketika ia jatuh sakit, satu-satunya orang yang datang ziarah beliau ialah Rasulullah. Alangkah pemaafnya baginda. Bukan sahaja diziarah tetapi dicarikan ubat. Hingga di atas akhlak yang luar biasa itu, perempuan tua itu akhirnya memeluk Islam.
ii. Satu hari Rasulullah berjalan dengan memakai baju Arab Najran. Tiba-tiba seorang Arab Badwi menarik baju itu dan meminta diberikan kepadanya. Hampir-hampir luka leher Rasulullah kerana tarikan tersebut. Tetapi baginda memaafkan si Badwi tersebut. Bahkan baju itu dibuka dan dihadiahkan kepada si Badwi tadi.
b. Kasih Sayang
Kalau dua tiga hari Rasulullah tidak nampak salah seorang Sahabatnya atau tidak bertemu, nescaya akan ditanya dan dicari oleh baginda. Bagindalah yang akan ziarah ke rumah Sahabat tanpa rasa sombong. Baginda makan, sembahyang, dan duduk sama-sama dengan para Sahabat. Satu hari, ketika sedang mengadap hidangan makanan, datang seorang tua yang berkudis, hitam legam kulitnya, buruk rupanya dan berair pula kudisnya, datang meminta makanan. Rasulullah tanpa jijik dan dengan penuh tawadhuk, memegang tangan orang itu, dibawa ke sebelahnya untuk makan bersama-sama. Masya-ALLAH, agungnya akhlakmu ya Rasulullah.
c. Ibadah
Perkara ini memanglah perkara Akhirat. Yang pada sesetengah orang Islam telah ‘diduniakan’ juga, untuk mencari untung dunia. Rasulullah telah menunjukkan ibadah yang terbaik dan terbanyak. Tetapi ingat, hal itu bukan khusus untuknya sebagai Nabi. Rasulullah mencontohkan ibadah untuk kita ikuti jejak langkahnya. Rasulullah sembahyang sunat terlalu banyak. Adakala semalaman tidak tidur hingga bengkak-bengkak kakinya. Ertinya beribu-ribu rakaat baginda dapat rukuk dan sujud untuk Tuhan dalam menyatakan syukur dan kehambaan yang setinggi-tingginya.
Puasa juga banyak. Sehari puasa, sehari pula makan. Begitulah digilir-gilirkan. Tentang zikir, bukan sahaja waktu jaga, dalam tidur pun baginda berzikir. Baginda adalah ‘Al Quran bergerak’. Ertinya Al Quran bukan sahaja dihafal bahkan dijadikan panduan seluruh hidupnya. Melihat kepada ciri-ciri ini, benarlah dia Nabi kekasih ALLAH. Yang sangat cintakan ALLAH dan Akhirat. Hatinya tidak terpaut sedikit pun pada dunia. Maka marilah kita letakkan kasih dan rindu padanya. Ini adalah kerana terlalu besar jasanya pada kita.
Setelah menyaksikan bagaimana sikap Rasulullah SAW terhadap dunia dan juga terhadap Akhirat, bolehlah kita simpulkan bahawa nisbah dunia Akhirat bukan fifty-fifty (50:50). Sebaliknya ialah 1:99.
Untuk dunia satu peratus sahaja. Untuk Akhirat 99 peratus. Kesederhanaan atau keseimbangan tenaga kerja untuk dunia ialah satu. Manakala kesederhanaan atau keseimbangan tenaga kerja untuk Akhirat ialah 99. Barulah sesuai dengan darjat dan nilai masing-masing. Itulah keseimbangan dalam Islam. Itulah ukuran yang tepat, bijak, lahir dari fikiran yang luas dan matang. Sesiapa yang masih mahu menyamakan kerja untuk dunia dengan keperluan untuk Akhirat, 50-50, itu datangnya dari nafsu yang jahat dan fikiran yang sempit. Bukan sahaja orang dewasa, kanak-kanak pun akan hairan dan mentertawakannya. Tersesat dalam berfikir! Jahil dalam menilai dunia dan Akhirat.
Bila Islam meletakkan nisbah dunia Akhirat 1:99, jangan kita anggap umat Islam mesti tinggal dunia. Sebaliknya kerana diuntukkan kepada Akhirat 99 itulah maka dunia dapat dibangunkan dengan keadaannya yang aman dan wujud masyarakat yang kaya-raya. Hingga semua orang dapat merasa nikmat hidup termasuk orang kafir. Sebaliknya kalau dunia 99, Akhirat 1, akan terjadilah macam hari ini. Yakni individu kaya tetapi masyarakat miskin dan Islam tidak dapat ditegakkan.

Call Now
Directions