Tag Archives: Pendidikan
PESANAN UNTUK IBU BAPA
Mesej dari seorang yang berpengalaman dalam sistem pendidikan di dalam negara kita. Beliau menyaksikan satu sistem pendidikan yang melahirkan generasi yang tidak mampu berdikari bahkan bermasalah. Jika ada pun yang berjaya, kategori berjaya belum tentu dalam bentuk yang sempurna. Dalam banyak sudut yang lain pula, mereka yang dikatakan berjaya itu adalah orang yang gagal. Sebab itu dalam sesuatu sistem pendidikan, mesti berlaku secara rantaian kerjasama semua pihak dari hati dan jiwa yang ada rasa mahu membangunkan sistem yang berkualiti. Teras kualiti ialah rasa takutkan Allah. Awal Agama mengenal Allah!! Bacalah luahan hati beliau terhadap peranan dan sikap ibu bapa:
Pesanan untuk semua ibu bapa… Cikgu juga adalah ibu bapa kepada seseorang anak… peringatan untuk semua… mudah2an membantu membentuk anak2 dlm masyarakat yg perihatin…
Tanamkan dalam hati bahawa;
1. Anak kita bukan baik sangat.
Walau kat rumah dia taat, dia mungkin nakal dibelakang kita. Jadi dia mungkin lawan cakap cikgu, pukul kawan dia, dan buat pelbagai perkara yang kita tak jangka.
2. Bukan anak kita sorang saja kat dalam kelas tu.
Kita kat rumah paling banyak anak 6 7 orang. Itu pun kita tak mampu nak beri perhatian pada semua. Anak cakap banyak sikit kita dah suruh diam. Just imagine kita ada anak kembar seramai 40 orang. Macam tu lah apa yang cikgu alami sewaktu mengajar anak-anak kita.
3. Anak kita juga pandai menipu.
Jangan percaya sangat dengan cerita2 anak kita. Dia mungkin menipu. Tak kiralah seyakin mana kita dengan kesolehan dia, dia mungkin menipu. Siasat dan jangan cepat melatah. Nanti kita yang malu.
4. Anak kita layak dimarah.
Anak kita bukan malaikat. Dia tidak sempurna. Dia pasti melakukan banyak silap. Dia perlu dididik. Character dia di rumah dan di sekolah tak sama. Dia mungkin sangat annoying waktu di dalam kelas dan kita takkan tahu itu. Jika dia dimarah, itu tandanya gurunya sedang mendidiknya.
5. Ingat semula kenapa kita hantar dia kesekolah.
Untuk dia jadi diva kah? Sampai tak boleh diusik.
Untuk dia jadi samseng? Sampai tak boleh dijentik.
Untuk dia jadi biadap? Sampai tak boleh dididik.
6. Dia sedang dididik. Dengan cara yang kita suka, mahupun tidak suka.
Jika tak boleh terima orang lain didik dia dengan cara yang tak sama dengan didikan kita, jangan hantar dia ke sekolah. Kita tak boleh harapkan orang ikut cara kita. Cara kita tak semestinya betul.
7. Kita tak mampu berikan semua ilmu yang diperlukannya.
Kita perlukan guru2. Kita mungkin pakar kimia, tapi kita tak tahu matematik, geography, biology dan sebagainya. Kita mengharapkan guru2 itu mencurahkan ilmu kepada anak kita. Hormati mereka.
8. Duit bukan segalanya.
Kita mungkin kaya. Tapi duit tak mampu jadikan anak kita sempurna. Duit tak boleh membentuk akhlaknya. Dia perlu didik, diajar, dibentuk. Baru dia mampu menjadi manusia.
9. Kita tak mampu membentuknya seorang diri.
Anak kita perlu dilatih hidup dengan masyarakat. Dia perlu diajar bagaimana menghadapi dunia yang ganas di luar sana. Dia perlukan sekolah sebagai langkah pertama untuk memahamkan dia bagaimana untuk survive di dunia ini. Guru2 itulah yang akan membantu kita membuatnya melihat dunia. Beri guru2 itu ruang untuk membantu kita.
10. Kita bukanlah orang yang paling betul dalam dunia.
Cara guru dan kita mungkin berbeza. Tapi pengalaman mereka mendidik memang kita tak mampu menandinginya. Paling hebat kita didik 6 7 orang anak kita sendiri. Mereka dah didik 6 7 orang anak sendiri dan beratus malahan beribu anak-anak orang lain yang mereka didik seperti anak-anak mereka sendiri.
11. Jangan sombong dengan guru2. Allah sebut darjat mereka tinggi di dalam al quran.
Mereka bukan sahaja bekerja kerana gaji, tapi mereka melakukan amal jariah dengan memberi ilmu yang bermanfaat kepada ribuan manusia, dan amal ini allah kira sahamnya walaupun setelah mereka meninggal dunia. Amal kita?
12. Ilmu anak kita takkan berkat tanpa redha gurunya.
Tanamkan itu dalam peribadi anak-anak kita. Yang 11A tapi jika biadap dengan guru belum tentu berkat ilmunya, belum pasti tenang hidupnya. A kurang tak apa. Asalkan tak kurang adabnya. Biar berkat ilmunya. Kejayaan akan datang dalam pelbagai cara.
13. Guru2 sentiasa mengingatkan anak kita agar hormat ibu bapanya.
Ibu bapa sentiasa menjadi sentimen utama yang digunakan oleh guru2 untuk menasihati anak-anak kita. Mengapa kita tak boleh buat perkara yang sama? Satu sahaja, kerana kita rasa kita lebih bagus dari segenap segi daripada guru2 anak-anak kita.
Justeru itu,
Berlapang dadalah.
Ilmu itu bukan bilangan “A”.
Tapi apa yang anak kita dapat untuk dia jadikan panduan untuk jalani kehidupan di dunia dan di Akhirat.
petikan: www.suaramuhajirin313.blogspot.com.my
MEMBERI KASIH SAYANG DENGAN CARA YANG TEPAT
Sebenarnya untuk mendidik rakyat, anak-anak dan murid-murid, memang tidak terlepas dari kasih sayang sebab ia merupakan keperluan. Bagaimanapun kasih sayang itu bukan atas dasar akal, nafsu atau perasaan. Pendapat akal itu mesti ditapis oleh syariat. Kehendak atas dasar nafsu itu perlu ditapis syariat. Begitu juga perasaan itu mesti dicensor oleh syariat. Setelah disahkan oleh syariat, itulah kaedah yang boleh dipakai. Itulah dia cara atau pendidikan yang akan perlu digunakan untuk murid-murid dan rakyat. Itu pun syariat sahaja tidak cukup bila tidak ditunjang iman. Walau pun atas dasar ilmunya ia berdasarkan syariat tetapi kalau Tuhan tidak wujud di situ, syariat itu sudah jadi ideologi, jadi isme. Mana boleh ideologi itu baiki manusia walaupun secara kebetulan ia sama dengan syariat Tuhan.
Bila mana Tuhan tidak dibawa bersama, yakni kalau syariat itu tidak dididik bersama pendidikan yang membesarkan dan mengagungkan Tuhan, manusia tidak akan boleh dididik. Kalau begitu dalam mendidik manusia ini, samada ibu bapa hendak mendidik anak-anak, guru-guru hendak mendidik muridnya atau pemimpin hendak mendidik rakyatnya, tidak boleh merujuk pada 3 aspek tadi. Mesti dirujuk pada iman dan syariat Tuhan. Dengan kata lain, rujuk pada Tuhan dan syariat Nya. Mungkin peringkat awal menggunakan kaedah ini, sesetengah golongan tidak rasa diberi kasih sayang tetapi sebenarnya jangka panjang baru dia akan dapat hasilnya. Jangka panjang barulah dia akan faham dan boleh terima bahawa apa yang dilakukan ibu bapa, guru atau pemimpin itu membuahkan hasil yang baik. Dia akan rasakan itulah kasih sayang.
Peringkat awal mungkin dia rasa tersiksa dan terasa diikat oleh disiplin tetapi bila sudah cerdik, setelah dia mendapat faedah dari hasil didikan itu, barulah dia terfikir, rupanya bijak mak ayah atau guru atau pemimpin buat dia begitu. Cara pendidikan dengan iman dan syariat ini sebenarnya, buahnya tidak dirasa dalam jangka pendek. Tetapi jangka panjang, bila dia sudah dewasa dan sudah boleh berfikir, dia akan berkata, Bijaknya orang-orang yang sudah mendidik aku hingga aku jadi begini. (Samada ibu bapanya, gurunya atau pemimpinnya) Mereka akan rasakan kemuncak kasih sayang ibubapa, guru atau pemimpin itu adalah untuk selamatkan orang yang dididik itu dari neraka. Hingga dapat masuk syurga yang nikmatnya kekal abadi. Inilah pendidik yang baik, yang sangat memberi kasih sayang, yang tidak dapat dirasa peringkat awalnya.
Mendidik orang dengan nikmat dunia yang tidak kekal ini, tidak akan ke mana. Jangka pendek akan merosakkan dan jangka panjang nanti akan merugikan. Jangka pajang menyesal tidak sudah. Pemimpin, ibubapa atau guru yang mendidik dengan mengatakan dunia ini adalah segala-nya, nikmat dunia ini termasuk makan, minum, kenderaan dan rumah adalah segala-galanya, walaupun niatnya baik dan orang yang dididik cepat terasa, tetapi pada hakikatnya inilah para-para pendidik yang paling khianat pada bangsanya kerana untung seguni, rugi segunung. Orang yang dididik itu tidak terasa sebab hasilnya cepat. Dia fikir, Baik mak ayah aku. Bagi orang yang faham, dia akan kata ini pengkhianat bangsa. Bagi Allah dan Rasul, pendidik itu dianggap pengkhianat kepada amanah-amanah Allah.
Pemberian kasih sayang mengikut usia anak
Kemudian kasih sayang yang hendak kita beri itu pula ia berperingkat-peringkat :
1. Anak yang baru lahir hingga darjah satu. Anak-anak di usia ini, dia akan rasa disayangi dengan sentuhan-sentuhan pada dirinya. Walaupun tidak kita cakap, tidak diberi ilmu, dari sentuhan itu dia akan faham maknya sayang. Pada golongan ini, kasih sayang dapat ditunjukkan dengan didukung, dicium, bergurau.
2. Anak yang sekolah rendah hingga remaja. Ayah, ibu tidak tunjuk sayang atau benci. Kecuali pendidik akan hukum atau marah bilamana dia buat kesalahan yang berat. Pendidik boleh bercakap sedikit perkataan yang memberitahu kita kasih kepadanya. Sekadarnya, sebab takut dia riak. Selain itu berilah hadiah.
3. Golongan anak yang sudah dewasa. Pendidik dapat menunjukkan kasih sayang dengan dijadikan kawan. Kadang kita dengar ilmunya, tanya khabar berita, ajak berbincang.
Itulah peringkat-peringkat dalam cara memberi kasih sayang. Cara memberi kasih sayang dengan bertunjangkan Tuhan dan syariat memang susah sedikit, tapi untungnya untuk jangka panjang sangat besar.
Macamlah kita hendak makan durian yang manis, maka kita letak baja tahi ayam dan tahi lembu pada pokok durian itu. Nanti hasilnya akan dapat buah durian yang manis. Kalau dicampak gula yang manis pada pokok itu, mungkin pokok itu akan mati.
Rasulullah-lah paling sayang umatnya. Semoga ibu bapa, guru, pemimpin, berusaha bersungguh-sungguh memberi kasih sayang pada orang-orang dibawah tanggung jawabnya, dengan cara yang telah Rasul SAW contohkan.
ANTARA PELAJARAN DAN PENDIDIKAN
Pelajaran dan pendidikan, atau dalam bahasa Arabnya, Taalim dan Tarbiah ialah dua perkara yang penting di dalam usaha membina anak-anak. Pelajaran dan pendidikan adalah dua perkara yang berlainan. Ia tidak serupa di antara satu sama lain. Namun begitu ramai di kalangan ibu bapa malahan di kalangan para guru sendiri yang tidak faham tentang kedua-dua perkara ini.
Pelajaran khusus ditujukan kepada akal. Sebab itu ia mudah dan “straightforward” . Pendidikan pula ialah pembinaan insan yang bukan sahaja melibatkan perkara fizikal dan mental tetapi juga hati dan nafsu.Malahan apa yang sebenarnya dididik ialah hati dan nafsu itu sendiri.Justeru itu pendidikan adalah lebih rumit dan lebih sukar.
Kedua-dua perkara ini harus kita fahami betul-betul di dalam membina anak-anak kita.Kedua-dua pelajaran dan pendidikan perlu di dalam membina peribadi yang pandai berbakti kepada Tuhan dan pada masa yang sama pandai berbakti kepada sesama manusia.
Pelajaran ialah proses belajar atau proses mengumpul ilmu. Ada guru, ustaz atau ustazah yang mengajar dan ada murid yang belajar. Hasilnya, murid menjadi pandai, alim dan berilmu pengetahuan.
Pendidikan pula ialah proses pemahaman, penghayatan, penjiwaan dan pengamalan. Ilmu yang telah diperolehi terutamanya ilmu agama, cuba difahami dan dihayati hingga ia mendarah mendaging dan dapat diamalkan di dalam kehidupan seharian.
Di dalam erti kata yang lain, pelajaran menyentuh tentang soal ilmu dan pendidikan menyentuh tentang soal akhlak.Pendidikan di antara lain ialah memperkenalkan Tuhan kepada manusia. Membersihkan hati manusia dari segala sifat-sifat yang keji atau mazmumah dan mengisinya dengan segala sifat-sifat yang terpuji atau mahmudah. Pendidikan juga ialah mengembalikan hati nurani manusia kepada keadaan fitrah asal semula jadinya yang suci dan bersih. Nafsu perlu dikekang supaya ia tidak cenderung kepada kejahatan dan maksiat tetapi cenderung kepada kebaikan dan ibadah.
Sepertimana yang telah dinyatakan, kita tidak boleh mendidik sahaja tanpa memberi ilmu, dan kita tidak boleh memberi ilmu sahaja tanpa mendidik. Pelajaran dan pendidikan kedua-duanya perlu. Pendidikan bertujuan untuk membentuk akhlak. Pelajaran sahaja tanpa didikan akan menghasilkan manusia yang pandai tetapi jahat dan tidak bermoral. Sebaliknya, pendidikan sahaja tanpa pelajaran akan menghasilkan manusia yang baik tetapi tidak dapat berfungsi dan berkhidmat di tengah masyarakat.
Dalam skop yang lain pula, ilmu tanpa didikan boleh menyebabkan anak-anak jadi beku (jumud) kerana jiwa tidak hidup.Didikan tanpa ilmu pula boleh menyebabkan mereka jadi kaku ( tidak tahu bagaimana hendak melangkah dan bergerak ) kerana walaupun jiwa hidup, ilmu tidak ada untuk dijadikan panduan.Kalau ilmu sahaja yang diberi tetapi didikan tidak ada, manusia menjadi pandai dan maju di dalam berbagai bidang . Tertegak tamadun kebendaan dan hidup menjadi selesa. Tetapi di dalam kemajuan itulah berlakunya hasad dengki. Di dalam kemewahan itulah hilang hati budi.Manusia menjadi sombong, angkuh dan mementingkan diri. Manusia hidup nafsi-nafsi, hilang perikemanusiaan, ukhwah dan kasih sayang. Manusia hilang identiti.Rupa sahaja macam manusia tetapi perangai tak ubah seperti syaitan dan haiwan.
Sebenarnya, dalam memimpin dan membina manusia, ada dua faktor yang terlibat .
Pertama ialah faktor ilmu , dan kedua ialah faktor didikan .
Namun begitu, peranan ilmu hanyalah sepuluh peratus sahaja sedangkan peranan didikan ialah sembilan puluh peratus. Ilmu selalunya lengkap dengan falsafahnya, hikmahnya, usulnya dan berbagai-bagai lagi. Tetapi di dalam mendidik, tidak semua ilmu itu berguna atau dapat dimanfaatkan. Paling banyak satu perempat sahaja daripada ilmu layak digunakan dalam mendidik.
Semua orang yang berilmu mampu mengajar tetapi tidak semua orang yang berilmu layak atau mampu untuk mendidik sebab mendidik itu ialah satu kemahiran dan kebolehan yang tersendiri . Ramai orang mempunyai ilmu yang banyak tetapi tidak pandai mendidik. Ada pula orang yang kurang ilmunya tetapi dengan ilmu yang sedikit itu, dia mampu mendidik. Dia pandai mengaplikasikan ilmunya itu untuk mengubah sikap, perangai dan kelakuan manusia. Dia faham psikologi dan perjalanan hati manusia. Dia dapat melihat kelebihan-kelebihan dan kelemahan-kelemahan maknawi yang ada pada diri manusia. Dia dapat menawan hati dan membuatkan manusia yakin dan percaya dan mahu mengikutnya. Dia mampu menjadi model untuk diikuti dan dicontohi oleh anak-anak didiknya.
Orang jadi jahat bukanlah kerana dia tidak ada ilmu. Seberapa ramai orang bodoh yang jahat, seramai itu jugalah orang pandai yang jahat. Malahan orang pandai yang jahat itu, jahatnya lebih serius dan lebih bahaya daripada jahat orang yang bodoh, kerana jahatnya dibantu oleh akalnya yang pintar. Jadi, orang jahat itu selalunya adalah disebabkan pendidikan yang tidak selesai.
Di dalam mencari ilmu, seseorang itu boleh belajar dari seberapa ramai guru sekalipun dalam satu-satu masa.Dia boleh ada seorang guru untuk satu matapelajaran dan guru yang lain pula untuk matapelajaran yang lain dan seterusnya.Berapa ramai guru pun tidak mengapa kerana hanya ilmu yang perlu dipelajari. Tetapi di dalam mendidik, tidak boleh ada lebih dari seorang pendidik. Setiap murid hanya boleh mempunyai seorang pendidik sahaja dalam satu-satu masa . Bukan dua, bukan tiga dan bukan pula satu jawatankuasa atau komiti yang mendidik. Pendidik itulah pemimpin, model dan contoh untuk diikuti. Kalau ramai pendidik, maka jadilah murid itu sebagai satu masakan yang dimasak oleh ramai tukang masak. Dia akan jadi rosak. “Too many cooks spoil the broth”.
Tidak semua ilmu mempunyai nilai pendidikan. Ilmu agama, khususnya ilmu fardhu ain memanglah ilmu untuk mendidik. Tetapi kebanyakan ilmu akademik seperti matematik, perdagangan, pertanian, sejarah, ilmu alam, sains dan sebagainya tidak mengandungi apa-apa nilai pendidikan. Ilmu akademik bukan ilmu untuk mendidik. Anak-anak tidak dapat memperoleh akhlak melalui ilmu seperti ini.
Namun begitu, bagi pelajar yang sudah ada asas akidah dan ketauhidan, mereka tetap akan dapat menambah keyakinan dan dapat melihat kuasa dan kehebatan Tuhan di dalam ilmu-ilmu akademik yang mereka pelajari. Malahan, melalui ilmu-ilmu tersebut, iman mereka boleh bertambah.
Tetapi bagi pelajar-pelajar yang kosong jiwa mereka dari mengenal Tuhan, ilmu-ilmu tersebut boleh melalai dan memesongkan mereka, sebab mereka tidak dapat kaitkan apa yang mereka belajar dengan Tuhan.Di dalam membangunkan dan membina manusia, pelajaran dan pendidikan adalah perkara yang wajib. Namun di antara keduanya, pendidikan lebih penting dan perlu diutama dan didahulukan.
Kalau dalam sesuatu sistem itu tidak wujud kedua-duanya atau soal pendidikan tidak didahulukan atau tidak diberi keutamaan; maka manusia yang akan lahir dari sistem tersebut pasti rosak dan merosakkan. Dia akan jadi musuh kepada Tuhan dan musuh kepada manusia. Kunci bagi membina anak-anak kita ialah didik dahulu dan kemudian baru ajar. Didiklah dan ajarlah.Jadikan mereka baik dahulu sebelum menjadikan mereka pandai. Jadikan mereka berakhlak dahulu sebelum menjadikan mereka berilmu. Kenalkan mereka kepada Tuhan dahulu sebelum dikenalkan kepada ciptaan-Nya.
Jadikan mereka hamba Allah dahulu sebelum menjadikan mereka khalifah-Nya. Salahnya kita di dalam membina anak-anak dan muda-mudi kita ialah kita terlalu banyak mengajar terutama ilmu-ilmu akademik atau ilmu-ilmu dunia tetapi tidak cukup mendidik. Kita mesti berbuat sesuatu sebelum semuanya menjadi punah-ranah.