Tag Archives: Rasul
MENERIMA RAMADHAN DENGAN PERASAAN TAKUT DAN BIMBANG
Dari Anas bin Malik r.a berkata: “Nabi saw apabila tiba bulan Rejab baginda akan berdoa: “ Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. (Riwayat Ahmad dan Tabrani)
Para Salafussoleh berdoa kepada Allah supaya mempertemukan mereka ke bulan Ramadhan, kemudian berdoa supaya mereka dapat menyambut Ramadhan. Apabila kelihatan anak bulan Ramadhan mereka bergegas berdoa dengan berkata: “Allah Maha Besar, Ya Allah anugerahilah kami keamanan, keimanan, keselamatan dan Islam. Limpahkanlah kami taufik seperti yang Engkau sukai dan redhai, Tuhanku dan TuhanMu adalah Allah”. (Riwayat At-Tirmizi, Darimi dan disahihkan oleh Ibn Hibban)
2. Panjatkan pujian dan syukur kerana dipertemukan kita dengan Ramadhan. Menurut Imam Nawawi Rahimahullah di dalam Kitab Al-Azkar: “Ketahuilah bahawa Allah sangat menyukai orang yang apabila memperolehi nikmat yang zahir dan mengelakkan daripada terkena sesuatu kecelakaan yang zahir dia akan bersujud dan memuji-muji Allah kerana syukur kepadaNya”.
Di antara nikmat yang paling besar yang Allah kurniakan kepada hamba ialah taufik dan hidayah untuk melakukan ketaatan dan ibadah. Justeru suatu nikmat yang besar apabila seorang tiba bulan Ramadhan dalam keadaan kesihatan yang baik. Dengan itu sewajarnya dia bersyukur dan memuji Allah sebagai pemberi nikmat dan kelebihan kepadanya. Berilah pujian sebanyak-banyaknya sepertimana yang patut dilakukan kepada Allah SWT yang memiliki keagungan dan ketinggian kekuasaan.
3. Bergembira dan suka dengan kedatangan Ramadhan. Satu riwayat yang sahih dari Rasulullah saw, bahwa baginda akan menggembirakan para sahabat dengan kedatangan bulan Ramadhan sambil bersabda: “Telah datang bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan yang Allah wajibkan puasa di dalamnya, di bulan ini dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka”. (Ahmad)
Walaupun para salafussoleh yang terdiri dari para Sahabat dan Tabien sangat memberi perhatian dengan kedatangan bulan Ramadhan serta bergembira dengan ketibaannya, hati mereka yang khusyuk dengan Allah menghalang mereka dari terus merasa gembira. rasa sedih dan cemas itulah yang kembali dirasakan di dalam hati. Itulah hati orang yang kuat dengan Allah.
5. Jadikan Ramadhan bulan menimba ilmu bukannya bulan untuk bermalas-malas dan hanya tidur seharian. Menuntut ilmu adalah fardhu dan kewajipan. Hadiri majlis ilmu yang biasanya diadakan setiap pagi selepas subuh di kebanyakan masjid dan surau di negara kita. Beribadah kepada Allah wajiblah mempunyai pengetahuan dan tidak dibenarkan sama sekali jahil tentang perkara-perkara fadhu yang telah Allah wajibkan ke atas hambaNya. Oleh itu tentang puasa Ramadhan, seorang muslim sewajarnya mempelajari permasalahan dan hukum puasa supaya ibadah puasanya betul dan diterima Allah.
SOLAT YANG ADA ROH
Solat yang benar-benar dihayati lahir dan batin akan membuahkan peribadi yang agung, iaitu lahir satu bangsa yang kuat dan berdaulat. Bukan sahaja berdaulat tetapi boleh mencatur dunia dengan ajaran Allah hingga bukan umat Islam dapat manfaat tetapi orang bukan Islam pun dapat manfaat di dunia ini. Kalau begitu ajaran Islam ini sangat indah dan hebat, selamat dan menyelamatkan. Selama ini kita lakukan solat sekadar cukupkan syarat dan rukunnya sahaja.
Hasil solat yang tepat dan dijiwai atau ada roh akan menjadikan dirinya sangat memberikan manfaat kepada umat Islam dan orang bukan Islam di atas muka bumi ini. Hasil solat yang agung juga dapat bangunkan satu bangsa yang berkasih sayang, yang bersatu padu, yang boleh rasa bersama, bekerjasama, boleh berdaulat dan menjadi empayar. Islam yang menaungi dunia.
BAGAIMANA SOLAT BOLEH MEMBINA KEKUATAN.
Solat atau sembahyang itu, Tuhan yang menetapkan rukun-rukunnya. Ia bukan ciptaan manusia, bukan direka-reka atau dibentuk oleh manusia. Kalau difahami dan dihayati, sembahyang itu adalah sesuatu yang sangat hebat. Kita akan dapat merasakan bahawa Tuhan itu hebat. Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya tetapi terasa kebesaran-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan bagaimana wujud-Nya tetapi terasa wujud-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya tetapi terasa kekuasaan-Nya. Terasa oleh kita akan kesempurnaan Tuhan. Kita boleh minta apa sahaja dari Tuhan. Tuhan sedia melayannya.
Solat itu adalah satu modul yang lengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia. Dalam solat ada ubat, ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung. Boleh timbul berbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solatnya tetapi dengan syarat, mesti ada ilmunya, faham dan solat itu benar-benar dijiwai serta dihayati.
PENDIDIKAN ITU MELALUI IBADAH.
Untuk mendapatkan sifat-sifat yang agung ini bukanlah sesuatu yang senang. Perlu ada latihan yang berterusan dalam keluarga yang mendidik ke arah solat yang agung. Kalau tidak ada pimpinan dalam keluarga yang mendidik, ia mustahil boleh berlaku. Pemimpin keluarga itu pula tidak boleh sebarang atau calang-calang ketua keluarga. Ketua keluarga yang hendak menjadikan keluarganya kuat dan agung mestilah mempunyai segala ciri-ciri dan sifat-sifat yang agung itu pada dirinya terlebih dahulu. Kalau tidak, bagaimana dia mahu mendidik anak isterinya supaya mempunyai ciri dan sifat yang agung tadi. Dia mesti usahakan berkat dari Tuhan melalui mursyidnya. Bila terhubung berkat dengan mursyidnya barulah ada kekuatan. Dia juga akan memiliki kekuatan yang mampu mendidik hati-hati manusia sepertimana para nabi dan rasul mendidik. Dia mesti faham perjalanan hati dan roh manusia. Dia mestilah orang yang sangat bertaqwa dan mempunyai wibawa yang tinggi. Manusia mudah memberi hati, mencintai dan taat kepadanya.
Pendidikan keluarga mestilah melalui ibadah. Itulah sebabnya Tuhan memerintahkan kita supaya beribadah kepada-Nya sama ada ibadah pokok mahupun ibadah sampingan atau sunat. Kalau ibadah yang Tuhan perintahkan itu kita laksanakan dengan bersungguh-sungguh maka dari situ akan lahirlah kekuatan sesuatu bangsa. Ibadah pokok atau ibadah asas ialah solat lima waktu. Ibadah-ibadah lain adalah sampingan atau sunat. Ibadah pokok atau ibadah asas mesti ada. Ia menjadi syarat. Kalau ibadah pokok atau asas ini tidak cukup untuk memberi kekuatan, ia boleh ditampung dan dicukupkan oleh ibadah-ibadah sampingan yang lain. Kekuatan yang timbul atau yang boleh diperolehi dari setiap ibadah itu pula tertakluk dan berkait rapat dengan tiga perkara iaitu:
1. Ilmu
2. Kefahaman
3. Penghayatan
Setiap ibadah yang dibuat mesti mempunyai ketiga-tiga perkara ini.
Ilmunya sudah tentu penting kerana tanpa ilmu kita tidak tahu cara yang sebenar untuk beribadah dan ibadah kita pasti akan tertolak. Tuhan tidak terima ibadah yang dibuat tanpa ilmu. Kefahaman lebih penting. Faham itulah hikmahnya. Faham itu ialah ilmu dalam ilmu. Sebab itulah ada Hadis yang mengatakan: “Barangsiapa yang hendak dijadikan baik, maka dia diberi faham tentang agama.” (Riwayat Muawiyah)
Dalam doa pun selalu kita minta kepada Tuhan begini: Maksudnya: “Ya Tuhanku, berikanlah aku ilmu dan rezekikanlah aku kefahaman.”
Kemuncak daripada ilmu dan faham itulah penghayatan. Penghayatan itu ialah apabila ilmu dan kefahaman itu betul-betul menjadi roh kita, otak kita, hati kita dan sikap kita. Apabila sesuatu ibadah itu ada ilmunya, difaham dan dihayati maka akan jadilah ibadah itu satu sumber kekuatan. Inilah sumber kekuatan umat Islam yang Allah janjikan. Siapa yang mengusahakannya pasti akan dibantu. Siapa yang bercita-cita menjadi pejuang Islam dan pejuang kebenaran, ini mesti diketahui dan diambil perhatian. Jika tidak, perjuangannya boleh dipersoalkan dan dipertikaikan. Dari mana lagi sumber kekuatan umat Islam jika tidak dari sembahyang!
SEKOLAH RASA HATI
SEKOLAH RASA HATI – MELAHIRKAN HAMBA DAN KHALIFAH ALLAH
Semua orang tahu bahawa sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang praktikal atau ilmu yang bermunafaat atau berbuah yakni berhasil dalam kehidupan. Untuk apa ladang rambutan beratus ekar kalau ia tidak berbuah! Bersembahyang itu hasilnya ialah “Kemenangan Dunia Akhirat” dengan syarat setiap sekali bersembahyang bertambahnya rasa takut kepada Allah dan bertambah rindukan Nabi Muhammad SAW. Itulah khusyuk namanya yakni sembahyang dengan rasa hati.
Sembahyang yang sempurna lahir dan batin melahirkan masyarakat atau jemaah yang takut Allah dan rindu Nabi, inilah masyarakat bertaqwa. Mereka mampu praktikalkan Islam sebagai cara hidup. Inilah masyarakat aman, makmur dan mendapat keampunan Allah.
Formula Sekolah Rasa Hati yang dikeluarkan oleh Allah dan Rasul:
Awal-awal agama ialah mengenal Allah. Maknanya sesiapa yang betul-betul mahu berjaya dunia Akhirat, menjadi Muslim yang hakiki, hendaklah ia bermula atau berawal dengan mengenal Allah.
Allah tidak boleh dikenal dengan akal. Akal cuma tahu tentang Allah tapi untuk kenal dan cinta mestilah menggunakan hati. Akal mampu bercerita tentang Allah manakala hati rasa bangga, kagum dan cinta serta takut pada Allah. Akal tahu Nabi tapi hati mampu merindui Nabi.
Maka sesiapa mahu beragama, syaratnya kenalah dia bersekolah tentang hati dan rasa-rasa hati. Tidak cukup kalau ia hanya bersekolah akal dan sekolah ilmu tentang Allah. Sekolah rasa hati telah dibangunkan di muka bumi ini oleh para mursyid. Mereka golongan sufi, tasawuf dan tariqat. Mereka juga mempunyai tauhid dan aqidah yang tinggi. Sebab itu mampu mencapai ilmu tentang hal-hal hati manusia.
Roh atau hati diaktifkan dengan rasa-rasa yang suci melalui sembahyang. Sembahyang itu agung. Pendidikan Rasulullah itu ialah anak-anak 7 tahun disuruh sembahyang. Rasululah tidak perintahkan belajar menulis dan membaca di umur itu. Manusia perlu di rohkan atau dapat rasa-rasa hati dahulu. Bukan akalkan dahulu. Keutamaan diberi pada roh. Akal diasuh membaca menulis untuk kegiatan roh iaitu sembahyang yakni akal itu dibentuk mengikut hala tuju roh ! Akal jangan berdiri sendiri supaya nafsu syaitan tidak dapat menguasai akal.
Dalam sembahyang, Rasulullah akan jadi jambatan dengan berkat guru mursyid ! Setiap orang Islam kena ada guru roh ! Tidak cukup setakat mempunyai guru akal walaupun ramai ! Mursyid seorang cukup ! Siapa yang roh nya tiada mursyid maka syaitan lah mursyidnya. Hati dipenuhi syaitan dan nafsu !
Daripada bacaan-bacaan sembahyang tahulah orang Islam hidup untuk Tuhan. Hidup bukan untuk diri. Sebab diri bukan kepunyaan sendiri. Diri kita ialah ciptaan Tuhan ! Hasil berhubung hati dengan Tuhan di dalam sembahyang maka hati merasai diri hanyalah barang ciptaan ! Diri bukan milik diri ! Diri di ciptakan untuk menjadi hamba dan khalifah Tuhan di bumi. Hati pun rasa takut pada Pencipta bila mana hidup digunakan untuk selain Allah. Hati jatuh cinta pada Tuhan yang sayang gila pada sihamba ! Tuhan sanggup ciptakan alam sebagai bukti cinta pada manusia !. Namun sebesar zarrah pun kejahatan dicatatNya untuk disoal siasat di Padang Mahsyar ! Siapalah tidak takut gila pada Allah yang dahsyatnya begitu sekali ! Sebab itulah sekolah rasa hati mampu lahirkan pejuang-pejuang yang sanggup memperjuangkan Allah dan Rasul. ISO perjuangan yang harganya melebihi nilai dunia dan seisinya !
Hati ialah sumber rasa-rasa. Manakala akal ialah sumber fikiran. Antara Rasa dan fikiran sebenarnya rasalah yang lebih berkesan kepada pembentukan peribadi. Yakni, bila hati itu baik maka balah diri. Bila hati itu jahat maka jahatlah peribadi-peribadi itu ! Demikian maksud Sabda Nabi SAW tentang seketul daging yang terletak di dada-dada manusia. Dia ialah Hati !
Ertinya hati dengan Otak, hati lebih utama ! Maka kalau akal disekolahkan begitu tinggi lebih-lebih lagilah rasa hati itu perlukan pengajian yang lebih tinggi dan utama.
Hari ini umat Islam hanya mengalami proses latihan-latihan akal yang macam-macam bentuk dan jenisnya di pusat-pusat pengajian mereka sekalipun dalam bidang agama Islam ! Hasilnya jadilah umat Islam dapat menguasai ilmu-ilmu tinggi di berbagai-bagai bidang kehidupan duniawi mereka. Namun semua itu hanya lah 50% daripada apa yang sepatutnya mereka kuasai untuk menjadi seorang Islam yang baik ! Sebab dalam Islam, Hati juga kena disucikan. Dilatih untuk menyuburkan segala-gala rasa hati yang baik ! Juga untuk membenteras rasa-rasa hati yang jahat. Supaya seorang teknokerat Islam ialah seorang yang tidak sombong. Supaya seorang ulama’ Islam ialah seorang yang tidak berhasad dengki. Supaya seorang seniman Islam itu juga ialah seorang yang tidak bakhil. Supaya tokoh sains dan politik Islam itu juga ialah seorang yang sangat berkasih sayang ! Demikianlah seterusnya : agar umat Islam itu ialah orang-orang yang bernilai dunia dan juga bernilai akhirat.
Untuk mencapai kecemerlangan insaniah dan lahiriah yang begitu hebatnya oleh umat Islam, kenalah kita mempunyai sekolah-sekolah, institut-institut, kolej-kolej dan universiti-universiti yang melakukan proses latihan rasa hati atau roh atau jiwa !
Namun sebaiknya kedua-dua latihan akal dan roh digabungkan dalam satu sekolah dan Universiti ! Sebaiknya lagi bilamana siswa siswi di persiapkan untuk muncul sebagai pejuang yang full time. Yakni bukan untuk makan gaji dengan majikan ! Yakni Universiti yang melahirkan majikan-majikan. Yang berjuang untuk ugama, bangsa dan Negara tanpa meminta bayaran ! Sebab dirinya sendiri merupakan sumber rezeki kerana mempunyai hubungan yang kuat dengan sekaya-kaya kuasa iaitu Tuhan.
Dasar pandang ke Mekah Madinah yakni kepada Allah dan Rasul dengan mengambil dari Quran dan Hadis itulah yang mampu mencipta sistem yang pendidikan yang ajaib ini. Sebab Allah dan Rasul akan bersetuju untuk menjadi Pemimpin dan Mahaguru serta ibu ayah kepada sistem ini. Allah dan Rasul kedua-duanya ialah kuasa ghaib lagi ajaib yang kemampuan mereka tiada terbatas !. Segala halangan dapat diatasi oleh keajaiban kerana kemampuan kuasa teknologi roh yang ghaib ini ialah mencipta keajaiban. Tentunya keajaiban dapat mengatasi segala kebuntuan akal.
Lihat pembangunan akal material semata-mata sekalipun cukup menakjubkan namun ia berakhir dengan kehancuran ! Sebab manusia-manusianya itu mempunyai hati yang tidak pernah disucikan di sekolah-sekolah tinggi ! Bila manusia dikuasai nafsu semata-mata maka mereka saling jatuh menjatuhkan ! Akhirnya perang dan hancur
Kata Rasulullah SAW : Belajarlah sekalipun sampai keliang lahad !Ertinya manusia-manusia itu sepatutnya menuntut ilmu sampai mati. Sebab manusia perlukan ilmu dari Allah dan Rasul itu, setiap hari, detik dan saat sehinggalah ke akhir hayat. Hatinya kena mampu berdepan dengan kematian penuh tabah ! Waktu itu akal sudah tidak mampu berfikir lagi. Tapi hati sangat perlu kekuatan untuk berdaya tahan untuk menghadapi liang lahad ! Supaya waktu nafas terakhir itu biarlah manusia mampu senyum dan berkata : Tuhan ku dan Nabi ku, selamat bertemu kembali.