Tag Archives: Rasulullah SAW

KURMA MADINAH

 

Image result for image ladang kurma madinah

Ketika Rasulullah SAW memerintahkan para sahabatnya untuk segera berangkat ke Tabuk menghadapi kaum kafir, mereka semua bersegera menyambutnya. Hanya beberapa orang sahabat yang tidak mengikuti peperangan tersebut, selain orang tua, para wanita dan anak-anak serta orang-orang munafik. Musim tuai kurma hampir tiba dan masa itu musim panas yang terik sedang melanda, sementara perbekalan dan persenjataan yang dimiliki sangat minima, akan tetapi Rasulullah SAW dan para sahabatnya tetap berangkat.

Di waktu itulah keimanan dan pengorbanan para sahabat diuji. Orang-orang munafik mulai menyebarkan desas-desus dan menghasut para sahabat agar tidak meninggalkan kebun kurma mereka dan tidak menyertai peperangan tersebut. Hasutan para munafiqin itu tidak hanya kepada para sahabat tetapi isteri para sahabat pun tidak luput dari hasutan mereka. Mereka para munafiqin itu berkata, “Suami-suami kalian pergi ke Tabuk sementara kurma di kebun-kebun kalian sebentar lagi ranum, siapakah yang akan mengurusnya. Mereka meninggalkan kesempatan yang bagus ini dan pergi meninggalkannya begitu saja”. Isteri-isteri para sahabat itu menjawab dengan keimanan mereka, “Pencari rezeki telah pergi dan pemberi rezeki telah datang”.

Pada masa itu Rasulullah SAW dan para sahabat dengan pertolongan Allah SWT kembali dari peperangan dalam waktu yang sangat singkat. Allah SWT menjaga kebun-kebun kurma dan keluarga mereka. Tidak satu pun buah kurma yang telah masak itu jatuh dari tangkainya, hasil mereka berlipat ganda hasilnya dan walaupun demikian harga kurma Madinah saat itu mencapai harga tertinggi sehingga para sahabat tidak mendapatkan kerugian sedikit pun. Sampai saat ini kurma Madinah adalah yang paling digemari dan terkenal di mana-mana.

PERBEZAAN ANTARA BERKAT DAN ISTIDRAJ

Image result for image garden malaysia

Terima kasih Tuhan kerana masih lagi memilih kita untuk terus hidup dan masih lagi mengizinkan kita untuk menimba ilmu Tuhan yang sangat berseni ini. Selawat dan salam keatas Nabi Besar Junjungan kita Muhammad SAW.

Muslimin muslimat yang dikasihi. Sunnatullah. Sudah jarang umat Islam mengambil pengajaran tentang hal ini. Sunnah Rasulullah selalu orang perkatakan.

Pada kita Sunnatullah merupakan rahsia Tuhan, mestilah kita mengambil tahu, membincangkan. sebab dunia ini berjalan, terutama pentadbiran Tuhan pada manusia melalui sunnah-Nya, sedangkan sunnah itu dilakukan sejak azali lagi dan tidak diubah-ubah oleh Tuhan.

Yang tidak diubah Tuhan inilah kita bahaskan, kita intai-intai supaya tindakan kita tidak bersalahan dengan Sunnatullah dan agar selamat kita dunia akhirat.

Dalam beberapa ayat yang Tuhan sebut bahawa sunnah-Nya tidak berubah-ubah, disinilah keadilan Tuhan, padahal Tuhan berkuasa mutlak, apa saja Dia nak lakukan siapa nak objek, tapi Tuhan tidak langgar.

Diantara Sunnah Tuhan kepada alam, terutama manusia, adalah berdasarkan rahmat-Nya dan berdasarkan berkat. Ikut rahmat-Nya: siapa yang ikut Sunnatullah Tuhan mula-mula sekali memberi rahmat kepada Rasulullah, Tuhan cipta Rasulullah menjadi rahmat kepada alam, sebelum dan sesudah, beliau Shahibul Zaman, apa-apa saja yang diciptakan kerana Rasulullah, sebab itu Rasulullah itu disebut sebagai Rahmat kepada alam.

Padahal kalau Tuhan tak jadikan dunia kerana Rasulullah bukan Tuhan cacat, bukan Tuhan susah, tapi Tuhan nak melihatkan kebesaran hamba-Nya, yaitu Rasulullah. Seolah-olah Tuhan hadiahkan dunia ini pada Rasulullah, apa saja yang berlaku baik buruk kerana Rasulullah.

Rahmat Rasulullah itu kalau dialirkan kepada hamba-hamba Tuhan. Kalau pada orang bertaqwa dikatakan berkat: “walau anna ahlal…. Jadi kalau Tuhan nak cetuskan kebaikan kepada orang bertaqwa samada ilmu, kekayaan, kepandaian itu atas dasar berkat.

Apa arti berkat?

Muslimin muslimat yang dikasihi. Berkat, asalnya Rahmat, kepada Rasulullah, selepas Rasulullah maka diberi pada Mujaddid, kemudian dialirkan kepada orang-orang bertaqwa maka jadi berkat, ertinya bertambah.

Kalau Tuhan beri kerana berkat, maka ilmu, kejayaannya kerana berkat maka ertinya keimanannya bertambah, kebaikannya bertambah. Rahmat Rasulullah tadi dialirkan kepada orang bertaqwa di namakan berkat.

Apa erti Istidraj ?

Tapi bagi orang-orang yang durhaka, orang jahat Tuhan bagi juga atas dasar Rahmat yang telah diperuntukkan kepada Rasululah, berupa kejayaan, rezeki tapi dengan istidraj atau kemurkaan-Nya.

Tuhan tidak diskriminasi, kedua-dua kelompok manusia Tuhan bagi tapi ada atas nama kasih sayang-Nya, berkat ada juga atas nama murka-Nya atau Istidraj.

Saperti kita pergi ke Zoo ke kawasan beruk, beruk datang berebut-rebut pisang yang kita bawa, kita sakit hati, lalu kita lempar pisang itu ke muka beruk, di makannya, tapi kita benci.

Begitulah manusia sama-sama dapat nasi, duit, kaya, tapi atas murka Tuhan, akhirnya ada duit tapi tak ada ketenangan, tak ada keamanan dan keselamatan.

Begitulah manusia hari ini nak apa saja bukan ikut cara Tuhan, boleh juga Tuhan bagi tapi kesannya isteri tak taat, anak durhaka, pergi sana sini takut, bertambah rosak bertambah buruk sehingga kejayaan sudah tidak ada arti apa-apa, bahkan menyusahkan. Kalau diberi kepada orang-orang yang bertaqwa kesannya akan bertambah baik.

Berkat: Berkat ini ada yang didapati atas dasar individu dan jemaah. Kalau pada individu mungkin kerana ada individu yang bertaqwa. Ini mudah dikesan.Yang payah dikesan apabila diberi oleh Tuhan atas nama jama’ah.

Tuhan beri supaya jamaah nampak indah, tapi tidak semua individu dapat kerana Tuhan nak lakukan keadilan-Nya. Supaya ada kasih sayang, perpaduan. Sebab itu jama’ah kebenaran, Tuhan berbagaikan berkat, tidak sama jenisnya.

Sebab itu kita tidak boleh mengatakan sesuatu yang kita dapat kerana berkat kita seorang, tapi katakan berkat orang lain, sandarkan dengan salah seorang pemimpin kita, baru beradab, tawadu’. Kalau kita lihat kejayaan lahir para jutawanlah yang banyak berkat, lalu sombong maka yang asalnya berkat, lama-lama jadi istidraj.

Kerana itu bukan orang-orang tu tak ada berkat, tapi bentuknya lain. Seperti pokok kalau tak faham, kita pujilah ranting-ranting yang banyak buahnya, manis buahnya, lupa dengan pokok dan akar.

Jadi masing-masing ada peranan. Kerana itu dikalangan kita jangan kita anggap lebih. Kita tidak tahu di tangan siapa yang mendapat berkat itu. Walaupun kita kata nak lahirkan orang-orang bertaqwa tapi kalau tak faham maka kita akan sakit-sakit hati, jatuh menjatuhkan. Pecah ukhuwah.

Kalau kita faham kita akan takut dengan Tuhan, malu, cemas, bimbang dan sandarkan dengan berkat orang lain. Peristiwa Kehancuran Islam di zaman Kamal Artartuk di Turki:

Nak hancurkan orang yang istidraj . Nak naikkan orang yang ikhlas. Tuhan dalam mengatur alam ini sangat berseni. Nabi Yunus Tuhan biarkan 40 hari dalam perut ikan demi hendak menginsyafkan umatnya.

Kita tidak akan mampu membaca secara lahir cara Tuhan dalam kejadian Nabi Yunus itu. Kejadian itu bukan kejadian istidraj tapi berkat. Kalau betul-betul kita bertaqwa kalau ada yang mahu menonjolkan kita, kita akan tolak.

Akhir Zaman nanti Tuhan akan alihkan dengan sendirinya yang akan berperanan sekalipun nampak sekarang yang menojol itu banyak dikalangan pemimpin-pemimpin yang ada sekarang, maka Tuhan dengan sendirinya akan mengubah peranan itu.

Sekian

UMUR MANUSIA UMUR DUNIA

Mari berfikir-fikir sejenak tentang sejarah umur manusia di dunia hinggalah ke akhir zaman.

Ada hadis menyebut bahawa dunia ini bagaikan penjara kepada orang Mukmin, dan bila kita fikir penjara dah tentu kita tak nak duduk lama-lama, nak balik cepat, nak keluar penjara… dunia dah tak ada keindahannya. Siapa nak duduk lama-lama di dunia tersilaplah dia. Bagi orang kafir, dunia ini adalah syurga bagi mereka.

Sebelum Rasulullah SAW, ALLAH datangkan seorang Rasul atau Nabi kepada umat manusia setiap 300 tahun (selewat-lewatnya pun 500 tahun). Rasul-rasul yang bergelar Ulul Azmi bermula daripada Nabi Nuh a.s., 500 tahun kemudian datang Nabi Ibrahim a.s., 500 tahun kemudian datang Nabi Musa a.s., 500 tahun kemudian datang Nabi Isa a.s. dan akhir sekali 500 tahun kemudian datanglah Nabi Muhammad SAW.

Daripada zaman Rasulullah SAW ke zaman Imam Al Ghazali ialah 500 tahun dan daripada Imam Al Ghazali ke zaman Sheikh Qadir Al Jailani ialah 500 tahun dan dari zaman Sheikh Qadir Al Jailani hingga sekarang pun hampir 500 tahun juga.
Selepas wafat Nabi Muhammad SAW, tidak ada lagi nabi atau rasul tetapi ALLAH datangkan peristiwa-peristiwa besar setiap 500 tahun…kita dah diberitahu oleh ALLAH melalui lidah kekasih-Nya Rasulullah SAW dan sama ada kita nak buat persiapan atau tidak, terpulanglah kepada diri kita sendiri.

Semua umat Islam akan bertemu dengan Kiamat Kubro (Kiamat besar) dan ada 10 tanda-tanda besar Kiamat ini… bolehlah cari buku-buku yang banyak di pasaran dan cuba baca sendiri. Kiamat Sugro (Kiamat kecil) ialah bila kita menghadapi kematian dan pengalaman hidup kita sendiri sudah tentu banyak mendidik kita iaitu mati itu ALLAH boleh datangkan bila-bila.

Tanda yang pertama untuk Kiamat Kubro ini ialah bila lahirnya Imam Mahdi kemudian diikuti oleh keluarnya Dajjal, kemudian datangnya Nabi Isa a.s., kemudian keluarnya Yakjuj dan Makjuj dan ramainya orang soleh mati dan banyak lagi tanda-tanda yang lain.

Umur Manusia di dunia
———————

Berdasarkan sejarah yang di tulis oleh Imam Sayuti rhm…dan berdasarkan satu hari Ahkirat bersamaan dengan 1000 tahun dunia maka kita boleh buat sedikit perkiraan mengenai umur manusia yang hidup di dunia ini. ALLAh beri kita 7 hari (hari Jumaat hingga hari Khamis) dan ini bermakna manusia berada di dunia dalam 7,000 tahun. Kalau kita nak kira umur dunia, memanglah ia lebih lama dan bagi kita orang Islam, biarlah hanya ALLAH yang tahu berapa sebenarnya umur dunia.

Orang Barat memang gemar mengkaji umur dunia dan makhluk-makhluk yang hidup sebelum kedatangan manusia tetapi bagi kita umat Islam, mari kita kaji umur manusia semenjak Nabi Adam diturunkan ke dunia. Syaitan suka kalau kita bersibuk-sibuk dengan hal-hal selain yang berkaitan dengan ALLAH. Tahun Nabi Adam a.s. diturunkan kita kira sebagai tahun pertama dan apabila Rasulullah SAW dilahirkan, manusia sudah berada di dunia 5,593 tahun lamanya.

Mengapa kita nak kaji berapa lama kita hidup dan berapa lama kita nak hidup?…supaya kita dapat menilai hidup kita di dunia dan nilai hidup di Akhirat di mana ALLAH suruh kita pentingkan Akhirat. Umat Rasulullah SAW kebanyakannya hidup sampai umur 63 tahun.

Satu hari Akhirat sama dengan 1000 tahun dunia. Kita tolak pula waktu kita tidur, mandi, ke bilek air, waktu makan dan minum, jadi tinggal berapa minit yang kita hidup, tak sampai setengah jam pun.Ini ikut ukuran Tuhan bukan ukuran kita. Bermakna hidup kita di dunia ini tak lamalah sebab masa Akhirat dan dunia tak sama.

Umur dunia semenjak Nabi Adam a.s. hingga Rasulullah SAW ialah 5,593 tahun tolak 7,000 tahun yang ALLAH sediakan dunia untuk manusia… jadi tinggal 1,407 tahun. Tetapi hari ini kita dah masuk 1432 tahun Hijrah, maknanya kita dah masuk ‘injury time’, dah masuk ‘sudden death’ Akhirat, dunia dah nak roboh, bila-bila masa sahaja sangkakala akan ditiupkan, kita dah tak boleh main-main lagi. Kita masih tak sedar yang Tuan Rumah kata rumah ini dah nak roboh tetapi kita pula sibuk nak hidup lama. Kita hidup dalam naungan Tuhan jadi kita perlu ikut Jadual ALLAH, bukan jadual kita sendiri.

Imam Sayuti rhm telah buat kiraan dan umur dunia untuk manusia hidup adalah lebih kurang 140 tahun lagi. Dalam 140 tahun inilah nak lahir Imam Mahadi, turunnya Nabi Isa dan segala alamat Kiamat Besar. Ini bermakna kurun akan datang dah tak ada tetapi soal ALLAH nak buat kurun lain atau dunia lain itu hak ALLAH , bukan soal kita. 1432 tolak 1407 tinggal 25, maknanya 25 tahun dah berlalu. Imam Mahdi belum lahir lagi tetapi ALLAH sudah berjanji melalui lidah Rasulullah SAW iaitu sebelum dunia dikiamatkan akan lahir Imam Mahdi yang akan menguasai dunia dan mengembalikan kegemilangan
Islam untuk kali kedua.

Orang Barat pun tahu hal ini dan sebab itulah mereka sibuk mencari planet-planet lain di angkasa lepas untuk kehidupan akan datang. Bagi kita umat Islam ALLAH dah beri maklumat, jadi janganlah kita buat sesuka hati, jangan kita belajar agama kerana nak seronok-seronok, nak syok. ALLAH dah datangkan terlalu banyak tanda-tanda dunia dah nak hancur: perang sana-sini, gempa bumi, banjir, ribut taufan, kapal terbang terhempas dan juga bertembung di udara, bas masuk gaung dll. Ini semua peringatan kepada yang nak mencari kebenaran, kepada yang hendakkan kebenaran…Larilah kepada Tuhan bukan lari kepada syaitan.

HIDUP DI DUNIA HANYA SEKALI

Hidup di dunia hanya sekali
Bila pergi tidak akan kembali lagi
Itu pun bukan lama
Paling lama seratus tahun
Itu pun jarang berlaku dan tidak indah lagi
Tapi banyak yang pergi sebelum usia itu
Di Akhirat tempat tinggal kekal abadi
Buat selama-lamanya tidak diukur dengan masa lagi
Tersilap hidup di dunia
Padahnya diterima di sana
Merana. sengsara, menderita,
tidak dapat dibayangkan bagaimana?
Berhati-hatilah hidup di dunia
Ikutlah panduan Yang Punya
Jangan ikut nafsu kita
Jangan ikut perasaan sahaja
Kelak di sana merana

Pagi 10-11-1997

ANTARA PETUA NABI MUHAMMAD SAW

Tahukah anda mengamal minum secawan air ‘teh-o’ setiap pagi boleh mengawal berat badan anda. InsyaAllah jika anda mengamalkannya, berat badan anda akan berkurangan (memang terbukti keberkesanannya).

Islam ada mengajar kita menjaga kesihatan dengan beramal seperti berikut :-

1. Mandi awal pagi sebelum Subuh atau sekurang kurangnya sejam sebelum matahari naik. Suhu sejuk yang meresap ke dalam badan boleh mengurangkan lemak berkumpul. Kita boleh saksikan orang yang mengamalkan mandi awal pagi kebanyakan badannya tidak gemuk.

2. Rasulullah mengamalkan minum segelas air sejuk setiap pagi. Mujarabnya InsyaAllah dijauhkan dari penyakit. (susah terkena sakit).

3. Setelah habis sembahyang Subuh disunatkan kita bertafakur (sujud sekurang kurangnya seminit selepas membaca doa). Ia boleh mengelak dari sakit pening atau migrain. Ahli-ahli sains telah menemui bukti bahawa kedudukan bersujud meningkatkan kelajuan dan isipadu darah segar yang mengalir ke otak/serebrum (cerebral blood flow) tanpa mengenakan tekanan. Dalam keadaan biasa terdapat beberapa millimeter ruangan khas di otak yang sangat kekurangan bekalan darah.

Diet Rasulullah

Dalam Islam, Allah telah memilih Rasulullah SAW untuk menjadi model kepada seluruh alam sejagat. Baginda juga turut diutus sebagai penyempurna akhlak manusia. Di antara yang perlu diikuti dan hayati bersama adalah tatacara pemakanan sihat Rasulullah SAW.

Antaranya :

1. Rasulullah tidak mengambil susu sewaktu baginda memakan daging, ayam, ikan, cuka atau buah-buahan.

2. Rasulullah juga tidak makan ikan bersama telur atau daun salad. (Namun saintis menggalakkan pengambilan yogurt bersama jus buah-buahan selagi yogurt tidak terlalu masam yang akan mengganggu perut yang bermasalah gastrik. Yogurt sangat baik untuk menyembuhkan masalah ketidakselesaan perut dan ketidakhadaman.)

3. Rasulullah tidak memakan buah-buahan selepas memakan gandum, roti atau makanan berat sebaliknya Rasulullah memakan buah-buahan SEBELUMNYA.

4. Rasulullah melarang manusia untuk meninggalkan makan malam. Barangsiapa yang meninggalkan makan malamnya dia akan dimamah usia dan tahap kolestrol dalam darah dan badannya akan berganda.

5. Rasulullah melarang manusia makan dengan banyak dan melampau. Sebaliknya manusia itu hanya perlu makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.

6. Rasulullah sentiasa mengamalkan meminum air dengan banyak, baginda meminta seseorang untuk sentiasa memenuhkan setengah ruang perutnya dengan air. Nabi juga mengamalkan minum air sejuk (bukan ais) yang bercampur sedikit madu setiap pagi. Mujarabnya InsyAllah sukar untuk mendapat penyakit.

7. Rasulullah juga mengajar supaya manusia meminum air dengan meneguk perlahan-perlahan. Baginda melarang manusia untuk bernafas (membuihkan air) dalam air yang untuk diminum. Hal ini kerana udara yang sengaja dibuihkan dalam air itu mungkin mengandungi kuman dan bakteria yang merbahaya kepada manusia.

8. Rasulullah juga menyarankan untuk bersugi (memberus gigi) setiap kali untuk menunaikan solat. Rasulullah amat tidak menyukai kepada orang yang tidak bersugi setiap hari.

9. Rasululah juga turut meminta untuk berwuduk setiap kali ingin membuat perkara suci seperti solat, membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya.

10. Berdoa sebelum dan setelah makan. Cuci tangan sebelum dan selepas makan dan minum dengan memegang gelas dengan tangan kanan sebaik-baiknya sebelum makan. Jangan meneguk air sedangkan dalam sesi menjamah makanan, minum air jika tersedak, berasa kekeringan ataupun setengah jam sesudah makan, hal ini makan melancarkan selera makan serta mengelakkan dari terkena penyakit kembung air. Meminum air sekurang-kurangnya setengah jam sesudah makan dapat mengembalikan tenaga yang hilang pada kadar tempoh yang lama.

11. Jangan dibazirkan sebutir nasi/bahan makanan pun yang masih elok untuk dimakan, kerana makanan juga turut berzikir pada Allah SWT. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Apabila salah seorang dari kamu makan, kemudian suapannya jatuh dari tangannya, hendaklah ia membersihkan apa yang kotor darinya lalu memakannya, dan janganlah ia membiarkannya untuk (dimakan) syaitan. [Silsilah hadits-hadits Shahih) no. 1404]

12. Makan dan minum perlulah dalam keadaan duduk, tidak berdiri, baik sekali makan berjemaah bersama keluarga, mahupun rakan. Ini dianjurkan bagi kaum Muslimin di samping akan mendapatkan keutamaan berdasarkan hadis berikut:

“Berjemaahlah dalam menyantap hidanganmu dan sebutlah Nama Allah padanya, nescaya akan mengandungi berkat bagimu”. (Silsilah Hadits-hadits Shahih no. 664).

Berkenaan dengan seseorang yang datang kepadanya dan ia berkata:

Hadis ini dikhabarkan oleh Rasulullah SAW, Wahai Rasulullah, kami ini setiap kali makan tidak pernah kenyang. Maka Rasulullah berkata: “Pasti masing-masing kamu makan sendiri-sendiri. Orang itu menjawab: Benar, Ya Rasulullah! Rasulullah berkata: “Berjamaahlah dalam menyantap makananmu.”

13. Sunnah Nabi Muhammad juga ada menyuruh untuk makan garam secubit sebelum makan untuk menolak 70 macam penyakit, dan ambil lagi secubit dengan jari manis tangan kanan setelah makan. Makanlah dengan tangan kanan tanpa sudu, garfu ataupun kayu chopstick. Sebaiknya kita yang menunggu makanan dan bukan makanan yang menunggu kita.

14. “Dan janganlah ia mengelap tangannya dengan kain/tuala hendaklah ia menjilati jarinya, kerana seseorang itu tidak mengetahui pada makanannya yang mana yang mengandungi berkat untuknya,sesungguhnya syaitan itu selalu mengintai untuk merampas harta manusia dari segala penjuru sehingga di tempat makannya. Dan janganlah ia mengangkat shahfahnya hingga menjilatinya dengan tangan, kerana sesungguhnya pada akhir makanan itu mengandung berkat. (Kitab Silsilah Hadits-hadits Shahih no. 1404).

Berkata Imam Nawawi, tentang makna kalimat “Pada makanannya yang mana yang diberkahi.” Ia berkata: Sesungguhnya makanan yang dihidangkan untuk manusia itu mengandung berkat, sedang dia tidak mengetahui apakah berkat itu pada makanan yang ia makan atau pada sisa makanan yang melekat di tangannya atau pada sisa makanan di dalam shahfah atau pada suapan yang jatuh. Demikian hendaklah ia menjaga semua itu agar selalu mendapat berkat. (Fathul Bari 9/578).

* Nabi meminta umatnya untuk menjamah makanan dengan menggunakan Shahfah/Qash’ah (talam/dulang) dan diletakkan di atas hamparan.

Makan berjamaah di atas hamparan dengan menggunakan Shahfah merupakan salah satu sunnah Nabi yang harus diikuti: ” Tidaklah makan di atas meja makan dan tidak pula menggunakan Sukurrajah (Diriwayatkan oleh Imam Tarmizi dalam Syamail, sahih Bukhari no. 5386 dalam kitab Fathul Bari 9/532).

Ibnu Hajar berkata: “Guru kami berkata dalam (Syarah at-Tirmidzi): “Sukurrajah itu tidak digunakan kerana mereka (Rasulullah dan para sahabat) tidak pernah menggunakannya, sebab kebiasaan mereka makan bersama-sama (dengan Shahfa-pent) atau kerana makan dengan menggunakan sukurrajah itu menjadikan mereka tidak merasa kenyang. (Al-Fath 9/532).

15. Nabi juga mengajar kita makan dengan tangan dan bila habis hendaklah menjilat jari. Begitu juga ahli saintis telah menjumpa bahawa enzim banyak terkandung di celah jari jari, iaitu 10 kali ganda dari yang terdapat dalam air liur.

16. Islam melarang penganutnya untuk meminum arak, memakan babi dan keluarganya, memakan anjing dan keluarganya, binatang dan tumbuhan yang beracun dan berbahaya. Islam juga melarang umat manusia untuk memakan najis, (darah, nanah, air mazi dan sebagainya).Serangga yang hidup melata, jijik lagi beracun adalah haram dalam Islam.

17. Rasulullah melarang untuk manusia tidur sesudah Subuh (sesudah solat Subuh sekitar pukul 6.00 pagi sehingga solat Dhuha dalam pukul 8.00 pagi) kerana rezeki yang berkat mula hadir ketika waktu tersebut. Rasulullah juga melarang untuk manusia tidur selepas solat Asar (dari sekitar pukul 4.00 petang sehingga habis menunaikan solat Isyak sekitar pukul 8.00 dan 9.00 malam).

18. Rasulullah menggalakkan umat Islam untuk bangun menunaikan Qiyamullail bermula sekitar pukul 3.00 pagi hingga masuk waktu solat Subuh).

19. Islam mewajibkan penganutnya untuk berpuasa pada bulan Ramadhan selama sebulan serta disunatkan berpuasa pada hari-hari yang disunatkan berpuasa bagi menjamin kesihatan yang berkekalan sepanjang hayat.

20. Apabila berpuasa, makan sahur (sekurang-kurangnya meminum segelas air sejam sebelum solat Subuh dan selewat-lewatnya 10 minit sebelum masuk waktu Subuh adalah diperlukan bagi menjamin kekuatan sewaktu menjalani ibadah puasa). Manakala apabila berbuka puasa pada waktu sebelah Maghrib pula adalah perlu disegerakan dengan memakan manisan terlebih dahulu).

PENGURUSAN SOLAT BERJEMAAH – HURAIAN, TEKNIK DAN PENDEKATAN

Marilah sama-sama kita membaca paparan mengenai Pengurusan Solat Berjemaah. Semoga kita sama-sama dapat merasakan betapa perlunya hal ini diberi perhatian. Inilah apa yang patut kita lakukan jika kita benar-benar berusaha mengamalkan sunnah Baginda Nabi saw. Apa yang dipaparkan ini adalah suatu yang dipandang besar dan berharga oleh Nabi Muhammad saw.

1) Ibadah solat adalah amalan yang sangat istimewa dan paling utama. Ianya anugerah Allah kepada Nabi Muhammad saw dan umat Baginda. Solat adalah kayu ukur dan penentu baik jahatnya seseorang hamba itu di sisi Tuhan. Kehidupan kita sepatutnya didasarkan dan difokaskan kepada solat. Kita wajar mengubahsuai jadual harian kita dengan waktu solat. Inilah punca keberkatan diri kita dan keluarga kita pada setiap waktu dan setiap hari. inilah juga punca keberkatan rezeki yang kita perolehi. Justeru GISB dan YKPPM menjadikan bangun tidur untuk beribadah malam sebagai syarat utama seseorang staf itu layak bekerja di sebelah siangnya. Jika dia tidak mengerjakan solat malam, maka dia wajar diberikan cuti atau diberikan kerja yang bukan kritikal. Biasanya mereka diminta melakukan kerja-kerja sampingan yang akan membantu mereka membaiki diri. Pelik bukan? Pada kami, hal sebegini adalah perkara biasa bahkan inilah inovasi yang kami lakukan bagi memastikan tahap kualiti setiap warga GISB / YKPPM setiasa meningkat dari masa ke semasa.

2) Setiap malam di seluruh dunia, warga GISB / YKPPM akan bangun awal dan berada di saf solat untuk solat taubat, solat tahajjud, solat hajat, solat witir dan sebagainya. Sekurang-kurangnya satu jam sebelum masuk waktu Subuh, alunan selawat akan mula dikumandangkan. Semua yang sudah selesai mengerjakan solat-solat sunat akan mula mengalunkan selawat Badawi, Selawat Ibrahimi dan Selawat Rindu Nabi beramai-ramai. Selawat ini dialunkan dengan penuh rasa ingin mendapatkan rasa rindu, kasih dan cintakan Nabi Saw. Apa yang penting amalan ini akan sangat membantu mengkhusyukkan hati ketika mengerjakan solat.

3) Bagi kebanyakan tempat yang mengadakan kawalan malam, aktiviti selawat adalah amalan rutin yang dilakukan secara bergilir-gilir sepanjang malam. Ianya tentulah berbeza dari kelompok kawalan malam yang menghabiskan masa malam mereka dengan bermain terup, mendengar musik yang melalaikan atau melayari laman internet yang merosakkan.

4) Para petugas surau hendaklah menyediakan hamparan solat berwarna putih yang memenuhi seluruh ruang solat tersebut. Warna putih sangat dianjurkan Baginda Nabi saw ketika mengerjakan solat kerana ianya membantu mengingatkan kita kepada kematian. Solat yang khusyuk itu mudah dirasai jika hati sangat mengenang-ngenangkan hari kematian dan merasakan solat yang akan didirikan itu adalah solat terakhir.

5) Pastikan arah kiblat yang tepat. Sedikit kita tersasar, kiblat kita iaitu Baitullah di Mekah akan tersasar ribuan km! Jangan ambil mudah hal ini kerana seseorang yang serius dengan hal solat, dia pasti akan berbuat semuanya dengan tepat, yakin dan sesempurna mungkin. Sediakan juga minyak wangi dan air minum untuk keperluan para jemaah. Minyak wangi untuk memastikan suasana ibadah solat dalam situasi yang segar dengan haruman menarik. Manakala air minuman (air kosong) juga diperlukan oleh sebahagian Jemaah.

6) Azan akan dikumandangkan tepat pada waktunya. Untuk bulan Ramadhan, azan bagi solat Maghrib yang juga untuk berbuka puasa,’ dilajukan’ sedikit. Orang yang dipilih untuk azan dan alunan selawat semestinya dari kalangan yang bersuara merdu. Azan yang merdu dengan nada laungannya yang enak didengar akan mendorong jiwa untuk menyambut seruan azan itu bagi mengerjakan ibadah.

7) Selesai azan, bacalah doa selepas azan dengan memahami dan menghayati ungkapannya. Ianya adalah doa khusus untuk Baginda Nabi saw yang kita panjatkan kepada Allah SWT agar mengurniakan berbagai kelebihan kepada Baginda. Bukankah natijah bagi mendoakan Baginda adalah balasan doa yang penuh bermakna untuk kita daripada Baginda Nabi SAW?

8) Selepas azan dan doa, bangunlah untuk solat sunat qabliah (solat sunat dua rakaat sebelum solat fardu) dan berdoalah selepas solat sunat tersebut dengan rintihan hati mengharapkan segala yang kita inginkan dan hajatkan. Itulah antara waktu yang mustajab doa (waktu yang mudah diterima doa kita oleh Tuhan).

9) Dalam berdoa, rasakan Allah itu dekat dengan kita dan Maha Mendengar apa yang kita minta. Bersangka baiklah dengan Tuhan yang berjanji akan memberi (mengkabulkan) apa jua permintaan kita. Berharaplah jika ianya tidak kita perolehi di dunia, Tuhan akan simpankannya untuk kita di akhirat. Sebaik-baik doa, doalah dengan keberkatan Rasulullah dan para kekasih Baginda SAW. Berazam dan berjanjilah dengan Allah bahawa kita akan kekalkan rasa hamba yang lemah dan hina dan tidak akan sombong atau lupakan Tuhan diwaktu senang dan susah. Apa juga pemberian Tuhan, kita berharap kita akan menerimanya dengan penuh rasa kehambaan. Itulah adab kita dalam meminta hajat dengan Tuhan.

10) Kemudian bilal akan meminta para makmum bangun untuk berada di saf masing-masing dengan menyebut ‘Saf!!’ yang bermaksud isyarat agar para makmum bangun dan masuk ke dalam saf. Bilal tidak perlu tergesa-gesa melafazkan ‘iqamat’ sebaliknya beri ruang untuk makmum siap sedia dengan tenang. Hendaklah dipenuhkan saf yang lebih depan dahulu dan kemudiannya baru saf di belakang. Setiap orang mendatangi saf dengan memenuhkan bahagian belakang imam kemudian ke bahagian sebelah kanan imam dan bahagian sebelah kiri imam. Seorang demi seorang akan menempati ruang sebelah kanan dan kiri sehingga penuh. Begitulah untuk saf yang kedua dan seterusnya. Saf lelaki yang akhir ialah kanak-kanak lelaki yang sudah baligh manakala saf paling akhir adalah saf kanak-kanak lelaki yang belum baligh. Selepas itu baharulah saf wanita dewasa dan seterusnya.

11) Imam hendaklah berdiri menghadap para makmum untuk memeriksa kedudukan makmum yang di belakangnya. Untuk barisan kedua dan seterusnya, hendaklah bilal dan para ‘siak’ memastikan agar setiap saf berada dalam keadaan yang sangat lurus. Menepati kiblat dan rapat dalam ertikata kaki masing-masing bersentuhan bagi lelaki dan bersentuhan bahu, atau siku, atau lengan atau badan bagi kaum wanita. Pastikan juga makmum yang paling akhir sudah berada di dalam saf sebelum imam mengalihkan badannya mengadap kiblat. Pastikan tidak ada makmum yang masbuk (tertinggal mendapatkan rakaat pertama bersama imam).

12) Pastikan jarak antara saf tidak terlalu jauh dan tidak perlu terlalu dekat. Seelok-eloknya gunakan ukuran seorang yang sederhana tingginya. Sebaik-baik jarak antara kedua saf diukur ketika sujud. Pastikan sujud yang sederhana itu menjadikan hujung kepala / kopiah atau serban makmum di belakang berjarak kurang dari sejengkal dengan kaki imam atau kaki makmum yang di depan ketika sujud. Agakkanlah ini semua di awal solat agar jarak antara barisan saf itu adalah pada kadar yang dibenarkan.

13) Mengenai keadaan makmum yang masbuk atau masuk untuk solat berjemaah tetapi tidak sempat berada dalam rakaat yang pertama bersama imam, maka keadaan sebegini tidaklah digalakkan kecuali ada hal yang tidak dapat dielakkan. Seboleh-bolehnya apabila setiap orang sudah berada di saf solat – dalam masa satu jam, tidaklah memungkinkan lagi ada yang masbuk (tertinggal). Maka semua anak cucu dan warga GISB / YKPPM hendaklah memastikan TIDAK ADA lagi staf yang masbuk ketika mengerjakan solat berjemaah. Kita sedang berusaha menjadikan solat berjemaah itu benar-benar penting dan serius sepertimana Rasulullah SAW mengatakan boleh dibakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.

14) Setelah semua orang bersiap dalam barisan saf yang lurus, barulah imam mengadap kiblat, mengangkat takbiratul ihram dan mengimamkan solat.

15) Bermula dari detik itu, peranan imam menjadi sangat utama dan paling bermakna. Imam sedang menerajui satu amalan ibadah yang paling agung dan sangat dinilai Allah SWT. Inilah satu-satunya ibadah yang Rasulullah SAW diminta agar mikraj bertemu Tuhan di Sidratul Muntaha bagi menerima perintah kewajipan mengerjakannya. Jadi ketika solat dimulakan, Imam sedang mengepalai sekelompok jemaah umat Islam yang sedang melakukan suatu amalan, pergerakan dan bacaan yang serupa. Semuanya dihadapkan kepada Tuhan. Semuanya sedang dinilai bagaimana hati mereka dengan Allah swt. Ketika itu hanya suara imam sahaja yang kedengaran. Makmum hanya mengaminkan Al-Fatehah dan mengungkapkan takbir peralihan antara rukun dengan menyebut ‘Allahu Akbar!’ atau Samiallahu Liman Hamidah setelah rukuk.

Hebatnya peranan imam ketika itu. Dia menjadi jurupandu membawa semua makmum di belakangnya mengadap Allah SWT. Mereka sedang membawa hati masing-masing untuk merasa ‘melihat Allah’ atau merasa ‘dilihat Allah’. Perasaan mereka berbaur-baur. Bukan mudah untuk mendapat rasa luar biasa iaitu khusyuk dengan Tuhan. Bukan mudah menolak lintasan demi lintasan api kealpaan yang ditembak iblis dan nafsu dari segenap sudut.

Solat yang hanya antara 5 ke 10 minit itu rupanya menjadi medan perang yang dahsyat. Perebutan antara nafsu syaitan dengan para malaikat dan hati yang inginkan Tuhan berlarutan tanpa henti. Sulitnya mendapat kelepasan dari gangguan yang melalaikan. Jika imam itu orang bertaqwa yang kuat hubungan hatinya dengan Allah swt, mungkin dia akan berupaya membawa anggota jemaahnya mendapatkan sedikit sebanyak rasa yang dikecapinya.

Di sinilah betapa perlunya seseorang imam itu dipimpin jiwanya agar ruhnya meningkat. Imam itu sendiri mesti sanggup merendah diri untuk dididik hati dibawa kepada Allah dan Rasul. Imam itu mesti melalui proses membuang ego dan sombong untuk membolehkan rasa hamba wujud kembali di dalam hatinya. Imam yang bertaqwa diharapkan akan berhasil mengembangkan rasa khusyuk ke hati para makmumnya. Solat berjemaah yang sebeginilah akan mempunyai kesan membentuk peribadi muslim dan masyarakat muslim.

Tanpa setiap makmum terbina jiwanya bagaimana mungkin mereka boleh membaiki diri dan meningkat rasa hati mereka dengan Tuhan. Alhasil jadilah mereka orang yang gagal dan terus gagal. Walaupun rajin bersembahyang, jika rasa khusyuk tidak ada, kemungkinan niat di hati boleh diubah oleh nafsu dan syaitan. Datang ke masjid dan surau bukan lagi atas dasar untuk mendapatkan Allah dan Rasul tetapi mungkin sekadar mengisi masa lapang atau bertemu kawan-kawan. Niat yang tersasar biasanya berlaku tanpa sedar kerana ianya berubah dalam dorongan bukan lagi niat yang diqasadkan di dalam hati.

Jadi besarlah peranan imam dan para pembantunya dalam menguruskan solat berjemaah. Alangkah beruntungnya umat Islam jika jiwa mereka dapat dibina, dicanai dan diasuh melalui sembahyang berjemaah. Jika ruh atau hati mereka dapat meningkat rasa takutkan Allah dan rasa rindukan Nabi saw, pastilah akan ada keajaiban yang Tuhan anugerahkan kepada mereka. Itulah janji Tuhan bagi kaum yang serius dan bersungguh-sungguh menegakkan sembahyang berjemaah.

Bayangkan umat Islam akan menjadi bangsa yang kuat hubungan hatinya dengan Tuhan, kuat keyakinan dan iman mereka dengan Allah yang mencipta seluruh alam. Mereka akan jadi bangsa yang bersatu padu, berkasih sayang dan aktif bekerja untuk mendaulatkan sistem hidup Islam di dalam kehidupan seharian. Islam yang ada di hati kelompok umat yang terbina sebegini rupa yang menjadi kuasa melepaskan umat Islam dari belenggu nafsu, syaitan dan sistem yahudi yang merosakkan.

Bayangkan kebebasan umat Islam dari kemelut sosial yang berbagai ragam apabila mereka semua digembelingkan hati jiwanya kepada Tuhan. Apabila semua hati memusatkan perhatian kepada Allah dan Rasul, mereka tidak akan berpecah belah atau berantakan sebaliknya mereka akan hidup harmoni, berkasih saying saling bekerjasama.

Itulah kubu yang terbina jika kita benar-benar meralisasikan “Pengurusan HablumMinallah!!”

Call Now
Directions