Tag Archives: Rasulullah SAW
WAHAI NAFSU, ISLAMLAH ENGKAU!
Nafsu yang tidak terdidik boleh mengheret kita ke Neraka Allah SWT.
Nafsu yang terdidik dan jinak serta nafsu yang sudah di Islamkan akan membawa kita ke Syurga Allah Taala.
Nafsu Ammarah adalah peringkat nafsu yang paling jahat dan buruk sekali lakunya. Nafsu di peringkat ini akanmenjunamkan kita ke dalam Neraka Jahanam. Wal’iyazubillah.
Nafsul mutmainnah yakni nafsu yang tenang, nafsu yang sudah dijinakkan, nafsu yang boleh membawa seseorang mendapat keredhaan Tuhannya.
Nafsu yang selamat dan layak mendapat pengampunan Allah Taala, nafsu peringkat ini sudah mampu melatih diri seseorang sabar, tawakkal, pemurah, bertolak ansur. Mesra, mudah berurusan, memahami masalah orang lain, tawaduk, pemaaf, dan lain-lain sifat-sifat terpuji ada padanya.
Sedangkan nafsu Ammarah yang jahat dan belum Islam lagi seperti di atas penuh dengan sifat-sifat keji yang menjijikkan, tamak, dengki, dendam, pemarah, sombong, ego, kasar, kedekut, panas baran, tidak memahami perasaan orang, suka menyakiti hati sesiapa sahaja bahkan sangat jahat sangka dengan Allah dan sangat derhaka pada Tuhannya.
Nafsu Ammarah adalah seburuk-buruk nafsu, nafsu liar yang menjerumuskan kita terjun ke Neraka Allah.
Firman Allah yang membawa maksud:
“Sesungguhnya nafsu ammarah itu sangat mengajak kepada kejahatan”.
Manakala Firman Allah yang berkaitan dengan nafsul mutmainnah yang membawa maksud:
“Wahai nafsu yang tenang! Kembalilah kepada Tuhan Mu dalam keadaan redha dan diredhai, masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurga Ku”.
Kita diajar supaya mengekang nafsu dan bercakap-cakap dengan nafsu agar janganlah nafsu menggoda kita.
Kita juga diajar supaya memohon kepada Allah agar Islamlah nafsu yang ada dalam diri kita agar selamatlah kita dari ditunggang oleh nafsu yang jahat.
Saiyidina Ali KWJ pernah berkata “Wahai Dunia janganlah tipu aku, kalau kau nak tipu , tipulah orang lain”.
Maka kita katakanlah kepada nafsu Ammarah yang ada dalam saluran darah kita “Wahai Nafsu yang jahat, kalau kau nak tipu, janganlah tipu aku, tipulah orang lain”.
Muga dengan kita selalu memberi amaran kepada nafsu yang ada dalam jasad kita, nafsu tidak lagi bermaharajalela dalam diri dan tidak lagi menguasai diri kita. Justeru itu selamatlah kita dari tunggangan nafsu yang liar bagaikan kuda liar itu.
Hati yang selamat dari godaan nafsu Ammarah dan Lawwamah akan berbahagia di alam Akhirat sana dengan membawa hati yang aman dan sejahtera di sisi Tuhan nya.
Berbahagialah bagi mereka yang berjaya memperolehi nafsul Mutmainnah. Bahagia dunia lebih-lebih lagi bahagia di Akhirat yang kekal lagi abadi.
KEISTIMEWAAN BULAN RAMADHAN
Bulan Ramadhan memiliki keutamaan dan keistimewaan yang besar. Semua amal soleh yang dilakukan pada bulan ini akan mendapat balasan lebih banyak dan lebih baik. Oleh kerana itu kita sangat dianjurkan untuk memperbanyak amal kebajikan dan meninggalkan kemaksiatan. Diantara keutamaan dan keistimewaan bulan Ramadhan tersebut, disebutkan dalam beberapa riwayat:
1. Ramadhan adalah bulan penuh berkat, pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu Neraka ditutup dan syaitan-syaitan pun dibelenggu. Pada bulan Ramadhan terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan. Rasulullah SAW bersabda:
قَدْ جَاءَكُمْ رَمَضَانُ شَهْرٌمُبَارَكٌ افْتَرَضَ اللهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ تُفْتَحُ فَيْهِ أبْوَابُ الْجَنَّةِ
وَيُغْلَقُ فَيْهِ أبْوَابُ الْجَحِيْمِ وَتُغَلًّ فَيْهَ الشَّيَاطَيْنُ فَيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ ألْفِ شَهْرٍ
“Telah datang Bulan Ramadhan, bulan penuh berkat, maka Allah mewajibkan kalian untuk berpuasa pada bulan itu, saat itu pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu Neraka ditutup, para syaitan diikat dan pada bulan itu pula terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan.” (Riwayat Ahmad)
2. Allah SWT membebaskan penghuni Neraka pada setiap malam bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda:
إذَا كَانَ أوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِرَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِيْنُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أبْوَابُ الجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِيْ مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ وَذَلِكَ كُلُّ لَيْلَةٍ
“Jika awal Ramadhan tiba, maka syaitan-syaitan dan jin dibelenggu, pintu-pintu Neraka ditutup, tidak ada satu pintu pun yang dibuka. Sedangkan pintu-pintu Syurga dibuka, dan tidak satu pintu pun yang ditutup. Lalu ada seruan (pada bulan Ramadhan); Wahai orang yang menginginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang ingin kejahatan, tahanlah dirimu. Pada setiap malam Allah SWT memiliki orang-orang yang dibebaskan dari Neraka.” (Riwayat Tirmidzi)
3. Puasa bulan Ramadhan adalah sebagai penebus dosa hingga datangnya bulan Ramadhan berikutya. Rasulullah SAW bersabda:
اَلصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَاُن إلَى رَمَضَانَ
مُكَفِّرَاةٌ مَا بَيْنَهُنَّ إذَاجْتَنَبَ اْلكَبَائِرَ
“Jarak antara solat lima waktu, solat Jumaat dengan Jumaat berikutnya dan puasa Ramadhan dengan Ramadhan berikutnya merupakan penebus dosa-dosa yang ada diantaranya, apabila tidak melakukan dosa besar.” (Riwayat Muslim)
4. Puasa Ramadhan boleh menebus dosa-dosa yang telah lalu, dengan syarat puasanya ikhlas. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إيْمَا نًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barangsiapa berpuasa dibulan Ramadhan kerana Iman dan mengharap pahala dari Allah maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
5. Barangsiapa memberi makan untuk orang ramai berbuka puasa maka mendapat pahala sebanyak pahala orang puasa tersebut.
مَنْ فَطَرَ صَائِمًا كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أجْرِ الصَّا ئِمِ لَا يَنْقُصَ مِنْ أجْرِ الصَّائِمِ شَيْئٌ
“Barangsiapa memberi makanan untuk berbuka (makanan atau minuman) kepada orang yang berpuasa, maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut.” (Riwayat Ahmad)
6. Sedekah yang paling baik adalah pada bulan Ramadhan.
أيُّ الصَّدَقَةِ أفْضَلُ؟ قَالَ صَدَقَةٌ فَيْ رَمَضَانَ
Rasulullah SAW pemah ditanya; Sedekah apakah yang paling mulia? Beliau menjawab: “Yaitu sedekah dibulan Ramadhan.” (Riwayat Tirmidzi)
7. Orang yang banyak beribadah (menghidupkan) bulan Ramadhan, maka dosa-dosanya diampuni oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إيْمَا نًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barangsiapa beribadah (menghidupkan) bulan Ramadhan dengan iman dan mengharap pahala, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
8. Doa orang yang berpuasa adalah mustajab Rasulullah SAW bersabda:
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٍ ؛دَعْوَةُ الصَّائِمِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُوْمِ
“Ada tiga jenis doa yang mustajab, yaitu doa orang yang sedang puasa, doa musafir dan doa orang yang teraniaya. (Riwayat Baihaqi)
9. Puasa dan ِAl-Qur’an yang dibaca pada malam Ramadhan akan memberi syafaat kepada orang yang mengerjakannya kelak dihari kiamat. Rasulullah SAW bersabda:
اَلصُّيَامُ وَاْلقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ اْلقِيَامَةِ يَقُوْلُ اَلصِّيَامُ
أيْ رَبِّ مَنَعْتُهُُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتَ بِالنَّهَارِ فَشَفِّعْنِى فَيْهِ
وَيَقُوْلُ اْلقُرْآنُ مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِالَّيْلِ فَشَفِّعْنِي فِيْهِ قَالَ فَيُشَفِّعَانِ
“Puasa dan Al-Qur’an akan memberikan syafaat seorang hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: “Ya Rabbi, aku mencegahnya dari makan dan minum di siang hari”, ِAl-Qur’ an juga berkata: “Aku mencegahnya dari tidur dimalam hari, maka kami mohon syafaat buat dia.” Beliau bersabda: “Maka keduanya dibolehkan memberi syafaat.” (Riwayat Ahmad)
10. Orang yang melaksanakan Umrah pada bulan Ramadhan maka mendapat pahala seperti melakukan Haji. Rasulullah SAW bersabda:
فَإِنَّ عُمْرَةَ فِيْ رَمَضَانَ حَجَّةٌ
“Sesungguhnya umrah dibulan Ramadhan sama dengan pahala haji” (Riwayat Bukhari)
Keistimewaan bulan Ramadhan:
Pada awal-awal bulan Ramadhan. Allah akan senantiasa memperhatikan setiap ummat Nabi Muhammad SAW. Dengan harapan segala amal perbuatan baiknya akan dilipat gandakannya. Manakala amalan yang sunat dilipat gandakan lagi seakan-akan menjadi wajib sedangkan amalan-amalan wajib akan dilakukannya lebih dari biasa secara bersungguh-sungguh. Dan barangsiapa yang diperhatikan oleh Allah moga-moga dia akan terhindar dari azab kubur dan siksa neraka.
Bau mulut orang yang berpuasa yang berbau akan berubah menjadi wangi sewangi-wanginya melebihi wangi kasturi di hari kiamat.
Pada setiap malam bulan Ramadhan akan ada berpuluh ribu malaikat yang turun ke bumi dan senantiasa memohon keampunan bagi orang orang yang memanfaatkan malamnya dengan solat, sujud, berzikir serta beribadah pada Allah.
Allah akan memerintahkan Syurga untuk berhias diri, sehingga umat Nabi Muhammad SAW yang memasuki Syurga akan senantiasa merasa nyaman dan tenang. Pada akhir-akhir bulan Ramadhan, Allah akan menghapus dosa-dosa orang yang bertaqwa dan beriman pada Allah.
PENGERTIAN SYAABAN
PENGERTIAN SYAABAN
Bulan Syaaban merupakan bulan kelapan dalam kalendar Islam yang datang selepas bulan Rejab. Bulan Syaaban juga merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, dan pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
Syaaban dimengertikan sebagai berpecah-pecah atau berpuak-puak. Dikatakan masyarakat Quraisy pada waktu itu berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir. Dan apabila datangnya Rasulullah S.A.W, baginda mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah S.A.W telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah S.A.W bertanya kepada sahabat-sahabatnya;
“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah S.A.W, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama)
MALAM NISFU SYAABAN
Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban. Maka, Nisfu Syaaban adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu.
Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam keadaan tidur atau lalai. Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W tidak tidur pada malam itu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a: “Rasulullah S.A.W telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda S.A.W dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda S.A.W berkata dalam sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.” Baginda Rasulullah sendiri telah menggalakkan kita agar beramal pada malam kemuliaan nisfu syaaban dengan sabdanya :
Ertinya : “ Apabila tiba malam Nisfu Syaaban , maka hendaklah kalian bangun pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya, ini kerana Allah swt (turun merahmati hamba-hambaNya) pada malam tersebut mulai dari terbenamnya matahari ke langit dunia. Allah swt berfirman ” Adakah dari kalangan hamba-hambaKu yang memohon keampunan, maka akan Ku ampunkannya. Adakah dari kalangan mereka yang memohon rezeki , maka akan Ku turunkan rezeki untuknya. Adakah dari kalangan mereka orang yang ditimpa bala, maka akan Ku sejahterakannya. Adakah dari kalangan mereka yang begini dan adakah dari kalangan mereka yangt begini sehinggalah terbit Fajar “.
Setelah Baginda S.A.W selesai sembahyang, Baginda berkata kepada Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang2 yang dengki.”
Hari nisfu Syaaban adalah hari di mana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Syaaban bermula pada 14 hb Syaaban sebaik sahaja masuk maghrib).
FADHILAT BULAN SYAABAN
Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
Memperbanyakkan puasa sunat
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah S.A.W lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini. Begitulah tingginya pekerti Nabi Muhammad nabi junjungan kita.
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid.”
Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W.
Kita sebagai umat Islam juga digalakkan untuk memperbanyak doa, zikir, dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: “Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)
BERTAUBAT
Kita juga digalakkan untuk melalukan taubat kepada Allah SWT. Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: “Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu.” Sabda Nabi s.a.w.: Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu. Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi taulan (teman) Nabi Allah Yusuf a.s.di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub a.s. dan Nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya Sakaratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nakir, ditutup Allah keaipannya di hari kiamat dan diwajibkan syurga baginya. Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Syaaban dan akhir Khamis daripada Syaaban, dimasukkan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah). Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w. ialah bulan Syaaban.”
Sabda Nabi s.a.w.: “Syaaban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani). Sabda Nabi s.a.w.: “Bahawa puasa Syaba’an kerana membesarkan Ramadhan. Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Syaaban, kemudian dia bersalawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa maka di ampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatikan rezeki baginya” antara lain sabdanya lagi: “Bahawa Allah Ta’ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat”.
MENYINGKAP RAHSIA PERISTIWA ISRAK MIKRAJ
Israk Mikraj
Peristiwa ini didahului dengan beberapa peristiwa yang mendukacitakan Rasulullah saw. Antaranya kematian ayah saudara Baginda iaitu Abu Talib dan kewafatan isteri Baginda yang tercinta iaitu Saiyidatina Khadijah rha. Begitu juga termasuk peristiwa dukacita ialah penolakan kaum Taif terhadap dakwah Baginda saw. Maka peristiwa Israk dan Mikraj ini dirumuskan sebagai kemuliaan dan hiburan istimewa dari Allah swt kepada kekasihNya.
Israk Mikraj adalah satu peristiwa besar dalam sejarah hidup Rasululah dan dalam sejarah umat Islam. Menurut Imam Nawawi, peristiwa ia berlaku pada bulan Rejab tahun kedua belas selepas kenabian. Peristiwa ini telah menjadikan Masjidil Aqsa dan Baitul Maqdis semakin mulia, Allah yang memberkati tempatnya dan kawasan sekelilingnya. Firman Allah:
سبحان الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي باركنا حوله لنريه من آياتنا
Terjemahannya :
“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil-Haram (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.” Al-Israa’:1
Pada malam yang mulia itu Jibril telah datang kepada Rasulullah Saw yang sedang tidur di Ka’bah. Jibril telah membawa Rasulullah Saw menaiki Buraq dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Di Masjidil Aqsa sedang berlaku satu perhimpunan yang sangat luar biasa. Allah telah menghidupkan para Rasul dan Para Nabi untuk bertemu dengan Rasulullah Saw. Ulamak menyebut jumlah para Rasul adalah 300 orang dan jumlah para adalah Nabi dua puluh empat ribu orang.
Allah hadirkan mereka semua untuk bertemu dengan Rasulullah Saw. Tidak ada tempat di dunia ini yang semua para Rasul dan Para Nabi telah berkumpul di situ melainkan Ka’bah dan Baitul Maqdis. Rasulullah Saw pernah menyatakan bahawa semua Rasul dan Nabi menunaikan haji di Mekah. Rasulullah Saw telah mengimamkan sembahyang seluruh Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi.. Demikianlah kemuliaan Rasulullah Saw. Ia adalah sebuah persidangan para Rasul dan para Nabi. Sebuah peristiwa yang mungkin tidak berulang kali kedua di bumi ini.
Selepas sembahyang Jibril telah membawa membawa satu bekas susu dan satu bekas arak kepada Rasululah Saw. Rasulullah Saw telah memilih susu. Kata Jibril kepada Rasulullah Saw: “Kamu telah terpimpin kerana memilih susu wahai Rasulullah, begitulah juga umat kamu”. Ini adalah isyarat pertama bahwa arak itu satu yang tidak baik. Selepas itu baru ia diharamkan. Allah telah memelihara Rasulullah Saw, Baginda tidak pernah minum arak dari kecil lagi.
Setelah itu Rasulullah Saw dibawa naik ke langit. Inilah kuasa Allah yang tiada batasannya. Rasulullah Saw telah dibawa dalam perjalanan yang begitu jauh dalam masa yang terlalu singkat. Allah mahu mengajar kepada hambanya bahawa kalau Allah mahu, Allah boleh berbuat sesuatu yang diluar jangkauan akal dan kekuatan manusia. Bila dibuka pintu langit pertama kepada Rasulullah Saw. Baginda telah melihat berbagai perkara yang ajaib. Antaranya Rasulullah Saw melihat seorang lelaki yang tinggi, apabila lelaki itu berpaling ke kanan dia tersenyum dan apabila dia berpaling ke kiri dia menangis.
Rasulullah Saw bertanya kepada Jibril: “Siapa ini?” Kata Jibril: “Itulah Adam AS. Apabila dia melihat ke kanan dia melihat kepada umatnya yang masuk syurga tersenyumlah dia. Apabila dia memandang ke kiri dia melihat umatnya yang masuk ke neraka, menangislah dia”. Selepas itu Rasulullah Saw melihat, ada orang orang yang berenang dalam lautan darah. Apabila mereka sampai ketepi mereka mengangakan mulut mereka lalu Malaikat melontarkan api-api neraka ke dalam mulut mereka. Rasulullah Saw bertanya Jibril: “Siapa mereka ini?” Kata Jibril: “Merekalah orang-orang yang makan harta anak yatim. Mereka disiksa disini dulu sebelum disiksa di akhirat nanti”.
Selepas itu Rasulullah Saw melihat orang-orang lelaki yang perut mereka besar. Mereka semua terlentang, kemudian datang kaum Firaun melalui mereka sambil memijak-mijak perut mereka. Kaum Firaun akan dibawa melihat neraka dua kali sehari supaya mereka dapat melihat tempat mereka nanti. Dalam perjalanan mereka pergi ke neraka mereka memijak-mijak perut lelaki-lelaki yang sedang terlentang ini. Rasulullah Saw bertanya: “Siapa mereka itu?” Kata Jibril: “Mereka adalah orang-orang yang makan riba. Mereka diiazab di alam barzakh sebelum diazab di neraka nanti.
Selepas itu Rasulullah Saw melintasi sekumpulan lelaki-lelaki yang dihadapan mereka dua jenis makanan. Satu yang lazat dan bersih satu lagi yang buruk dan busuk. Mereka makan makanan yang buruk dan busuk itu. Rasulullah Saw bertanya: “Siapa mereka wahai Jibril?” Kata Jibril: “Merekalah orang-orang yang berzina. Mereka mempunyai isteri yang halal tetapi mereka tetap mencari perempuan yang haram.
Kemudian di langit yang kedua Rasululah telah bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS. Dilangit yang ketiga Rasulullah Saw telah bertemu dengan Nabi Yusuf AS. Dilangit yang kelima bertemu dengan Nabi Harun. Di langit yang keenam bertemu dengan Nabi Musa. Kemudian di langit yang ketujuh Rasulullah Saw telah melihat Baitul Makmur. Baitul Ma’mur adalah ka’bah kepada penduduk langit. Disitu para Malaikat bertawaf dan beribadah.
Disitu Rasulullah Saw telah melihat seorang lelaki yang sedang bersandar ke Baitul Ma’mur. Rupanya mirip rupa Rasulullah Saw. Rasulullah Saw bertanya: “Wahai Jibril, siapa orang ini?” Jawab Jibril: “Itulah bapa kamu Nabi Ibrahim As”. Di setiap langit Baginda telah disambut dan diraikan oleh para Nabi dan para Malaikat. Apabila sampai di penghujung langit yang ketujuh Rasulullah Saw melihat Jibril sudah berubah kepada kejadian asalnya. Itulah Jibril yang telah Rasulullah Saw lihat pada kali pertama ketika Rasulullah Saw berlari pulang kerumah dari gua Hirak. Ini adalah kali kedua Rasulullah Saw melihat Jibril dalam rupa sebenarnya itu.
Akhirnya Rasulullah Saw sampai di satu tempat yang tidak pernah seorang pun manusia sampai ke situ walaupun dia seorang Rasul dan Nabi. Kemudian Rasululah Saw melalui satu kawasan yang Malaikat pun tidak pernah sampai kesitu kecuali Jibril. Sampai di satu tempat Jibril meminta Rasulullah Saw bergerak ke hadapan dan dia berkata: “Kalau aku ke hadapan walaupun selangkah, aku akan terbakar”.
Begitulah Allah telah memuliakan Rasulullah Saw. Akhirnya Rasulullah Saw sampai di Sidratil Muntaha. Di sebuah tempat yang sangat luar biasa dan pertemuan yang sangat luar biasa. Di situlah Allah telah menyampaikan perintah sembahyang kepada Rasulullah Saw dan umat Baginda. Rasulullah Saw telah menerima perintah sembahyang terus dari Allah. Sementara seluruh syariat yang lain disampaikan melalui Jibril. Demikianlah, betapa agung dan betapa besarnya sembahyang disisi Allah.
Selepas pertemuan itu Rasulullah turun dan bertemu dengan Nabi Musa AS. Nabi Musa bertanya: “Apa yang Allah perintahkan kepada umatmu” Jawab Rasululah Saw: “Allah perintahkan lima puluh fardu sembahyang sehari semalam”. Kata Nabi Musa: “Bani Israel telah diperintahkan kurang dari itu tetapi mereka tidak mampu melaksanakannya. Mintalah keringanan dari Allah”. Rasulullah Saw kerana belas kasihan kepada umatnya telah meminta keringanan dari Allah sehinggalah Allah telah meringankannya menjadi lima waktu sehari semalam. Walaupun hanya lima kali perlaksanaannya tetapi Allah tetap akan memberi pahala lima puluh kali. Demikianlah Maha Pemurahnya dan Maha Mulianya Allah.
Selepas itu Rasulullah Saw turun ke Baitul Maqdis semula. Dari Baitul Maqdis Rasulullah Saw kembali semula ke Mekah. Dalam perjalanan ini Rasulullah Saw telah menyaksikan berbagai pemandangan. Rasulullah Saw telah melintasi satu kafilah yang menunggang unta. Apabila unta-unta itu melihat Buraq, ada yang lari ketakutan. Puaslah tuannya mencari tetapi unta itu sudah hilang. Rasulullah Saw telah memberitahu mereka tempat unta itu bersembunyi. Mereka semua merasa terperanjat apabila mendengar suara dari langit telah memberitahu mereka dimana unta mereka. Anehnya, apabila mereka pergi ketempat itu mereka telah menjumpai unta mereka.
Sebelum terbit fajar pada malam yang sama, Rasulullah Saw telah berada di Mekah semula. Perjalanan dari Mekah ke Baitil Maqdis dan naik kelangit, kemudian turun semula ke Baitil Maqdis dan kembali ke Mekah hanya berlaku dalam masa separuh malam sahaja. Demikianlah, Allah telah memperlihatkan kuasanya. Selepas menunaikan sembahyang Subuh, Baginda duduk di Ka’bah. Baginda cuba mengingati seluruh peristiwa-peristiwa ajaib yang dilaluinya semalam.
Apabila Abu Jahal melihat Rasululah Saw, dia dapat meneka bahawa ada sesuatu yang berlaku kepada Rasulullah Saw. Dia datang kepada Rasulullah Saw dan bertanya: “Wahai Muhammad, adakah sesuatu telah berlaku kepada kamu?” Jawab Rasulullah Saw: “Ada”. Abu Jahal bertanya lagi: “Apa yang telah berlaku wahai Muhammad?” Jawab Rasulullah Saw: “Malam tadi aku telah pergi ke Baitul Maqdis kemudian aku pulang semula kesini”. Alangkah gembiranya Abu Jahal mendengar berita ini. Dia merasakan bahawa dia telah mendapat sesuatu yang baru untuk memburukkan Rasulullah Saw.
Sikap orang Islam dan Kafir Quraisy terhadap Israk Mikraj
Pada pagi itu Abu Jahal mengumpulkan orang ramai. Dia cukup gembira kerana sudah mempunyai bukti bahawa Rasulullah Saw memang adalah seorang yang menipu. Dia telah mengistiharkan kepada orang ramai peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu. Anehnya orang ramai tidak percaya kepada cerita Abu Jahal itu. Mereka bertanya sendiri kepada Rasulullah Saw dan Rasululah Saw membenarkannya. Peristiwa ini telah menguji iman orang-orang Islam. Ada dikalangan mereka yang lemah iman telah kembali kepada kekufuran.
Penduduk Mekah memang sama sekali tidak dapat mempercayai hal ini. Mustahil begi mereka Muhammad boleh pergi ke Baitul Maqdis dan pulang semula ke Mekah dalam masa satu malam. Perjalanan mengenderai unta ke Baitul Maqdis mengambil masa sebulan. Ada di kalangan umat Islam mengadukan hal ini kepada Saidina Abu Bakar. Kata Saidina Abu Bakar: “Kalau itu dari Rasulullah Saw, Rasululah Saw adalah benar”.
Saidina Abu Bakar segera mendapatkan Rasulullah Saw di Ka’bah. Dia melihat Quraisy sedang mengerumuni Rasulullah Saw. Abu Jahal yang panggil mereka semua supaya mereka datang mendengar cerita Rasulullah Saw. Selama ini dia dan pembesar-pembesar Quraisy melarang orang datang kepada Rasulullah Saw. Pada hari itu, merekalah yang memanggil orang datang kepada Rasulullah Saw. Mereka rasa ini satu kemenangan untuk mereka.
Saidina Abu Bakar terus mendapatkan Rasulullah Saw dan bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah Rasulullah telah pergi ke Baitul Maqdis semalam?” Rasulullah membenarkannya. Kata Saidina Abu Bakar: “Kamu telah bercakap benar wahai Rasulullah”. Demikianlah kata-kata yang terbit dari imannya yang tidak berbelah bagi kepada Rasulullah Saw. Hati yang sangat mengenali dan yakin terhadap Rasulullah Saw. Ketika itu Rasulullah Saw telah bersabda: “Kamu telah berkata benar wahai Abu Bakar yang benar (( أبو بكر الصديق .
Demikianlah peristiwa ini telah mengangkat maqam Saidina Abu Bakar kepada maqam “As-Siddiq”. Inilah kali pertama Saidina Abu Bakar dipanggil As-Siddiq. Begitulah iman Saidina Abu Bakar. Dia tidak ragu langsung terhadap kebenaran Rasulullah Saw. Saidina Abu Bakar tidak mempersoalkan Rasulullah Saw sedikit pun. Dia terus membenarkan Rasulullah Saw. Kafir Quraisy telah menyangkal keyakinan Saidina Abu Bakar itu. Mereka berkata: “Bagaimana kamu boleh mempercayainya?! orang mengambil masa sebulan untuk sampai ke Palestin dan mengambil masa sebulan pula untuk pulang ke Mekah! Bagaimana Muhammad boleh melakukannya dalam satu malam?!”.
Jawab Saidina Abu Bakar: “Aku telah membenarkan Rasulullah Saw dalam perkara yang jauh lebih besar dari itu!. Aku telah beriman dengan Rasulullah Saw tentang wahyu yang turun dari langit dalam masa sekelip mata. Kalau itupun aku telah mempercayainya, kenapa pula aku tidak mempercayai Rasulullah Saw telah pergi ke Baitul Maqdis dan pulang semula ke Mekah dalam masa satu malam sahaja?”.
Selepas itu Saidina Abu Bakar telah membuktikan kepada Kafir Quraisy bahwa Rasulullah Saw adalah benar dalam semua yang Rasululah diperkatakannya itu. Demikianlah Saidina Abu Bakar mengenali dan memahami Rasulullah Saw. Saidina Abu Bakar bertanya kepada Rasulullah Saw: “Wahai Rasulullah Saw, kami semua tahu bahawa kamu tidak pernah pergi ke Baitul Maqdis, dikalangan kami ada yang pernah pergi kesana, bolehkah Rasulullah Saw ceritakan kepada kami bagaimana Baitul Maqdis itu?”.
Rasululullah pun menjelaskan keadaan Baitul-Maqdis seperti yang Baginda lihat. Kafir Quraisy pula bertanya Rasulullah Saw, berapa jumlah tiang, pintunya dan tingkap Baitul-Maqdis. Mereka berusaha untuk membuktikan Rasulullah Saw tidak benar walaupun sudah jelas pada mereka Rasulullah Saw telah menceritakan tentang Masjidil Aqsa tepat seperti yang mereka tahu. Allah telah menjelmakan Baitul-Maqddis dalam penglihatan Rasulullah Saw. Apa sahaja yang Kafir Quraisy pertanyakan, Rasulullah Saw dapat menjawabnya.
Kafir Quraisy cukup terperanjat dengan jawapan Rasulullah Saw. Namun, hati mereka belum terbuka untuk beriman. Mereka tetap tidak menerima kebenaran Rasulullah Saw. Rasulullah Saw mencabar mereka: “Di antara kita ada bukti yang dapat disaksikan. Ada satu kafilah yang aku pintas mereka semasa perjalanan pulang”. Rasululah memberitahu Quraisy ciri-ciri kafilah itu bahkan ciri unta yang mengetuai kafilah itu.
Kata Rasulullah Saw lagi: “Ada unta mereka yang hilang semasa perjalanan, aku telah menujukkan kepada mereka tempat unta mereka bersembunyi”. Quraisy bertaanya: Bila kafilah itu akan sampai ke Mekah?” Jawab Rasulullah Saw: “Tiga hari dari sekarang”. Selepas itu semua penduduk Mekah menunggu-nunggu ketibaan kafilah itu.
Pada hari tersebut, orang-orang Mekah sudah menunggu kafilah ini sejak awal pagi. Memang benar, kafilah itu sampai setelah tiga hari seperti yang Rasulullah Saw sebutkan. Kafilah ini didahului oleh seekor unta persis seperti yang disebut oleh Rasulullah Saw. Quraisy bertanya mereka tentang unta mereka yang hilang. Kata mereka: “Benar, seekor unta telah hilang tetapi kami mendengar suara dari langit memberitahu kami tempat unta itu bersembunyi”. Kafilah itu terkejut, darimana Quraisy mengetahui tentang unta mereka yang hilang itu. Demikianlah Allah telah membuktikan kebenaran Rasulnya kepada penduduk Mekah. Tetapi kafir Quraisy tetap tidak mahu beriman.
Ringkasan peristiwa Israk dan Mikraj
1. Sebelum Israk dan Mikraj
Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.
2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
3. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A.S. dilahirkan);
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :
* Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
* Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).
* Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang). Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
* Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
* Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
* Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
* Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
* Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
* Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada Akhirat.
* Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.
* Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
1. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
2. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.
3. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
4. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
5. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
6. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
7. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A.S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-‘AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
9. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
4. Selepas Mikraj
Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.
(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id)
NAZAR
Pada zaman Khalifah Abdul Malik bin Marwan ada seorang pemuda di negeri Syam yang suka bermain dengan menunggang kuda. Pada suatu hari, sedang ia menunggang kudanya dengan laju melalui hadapan pintu Gedung Khalifah tiba-tiba ia terlanggar salah seorang anak Khalifah yang kebetulan ada di situ, lalu anak itu mati. Berita itu telah sampai kepada Khalifah, dengan segera Khalifah memerintahkan agar pemuda itu menghadapnya. Apabila pemuda itu telah hampir kepada Khalifah, berniatlah ia dalam hatinya (bernazar) bahawa sekiranya Allah melepaskan dia daripada hukuman, dia akan mengadakan jamuan yang besar dan ia akan meminta dibacakan Maulid Nabi SAW (Maulid – iaitu kelahiran) di dalam majlis jamuan itu.
Apabila pemuda itu berada di hadapan Khalifah dan Khalifah pun memandang kepadanya, tiba-tiba baginda tertawa. Padahal baru sebentar tadi baginda telah berasa terlalu murka. Khalifah merasa hairan mengapa ia boleh jadi begitu, lalu baginda bertanya kepada pemuda itu, “Adakah engkau pandai ilmu sihir?”
Jawab pemuda itu, “Demi Allah, tidak sekali-kali wahai Amirul Mukminin.”
Berkata Khalifah: “Baiklah, aku ampunkan engkau. Tetapi katakanlah kepada aku apakah rahsia engkau?”
Pemuda itu pun berkata, “Aku telah berniat di dalam hatiku, sekiranya Allah melepaskan aku daripada angkara yang sangat berat ini, aku akan mengadakan satu jamuan Maulid Nabi SAW.”
Baginda berkata, “Tadi aku sudah ampunkan engkau dan sekarang ambillah pula seribu dinar untuk perbelanjaan Maulid Nabi SAW itu dan engkau lepaslah daripada sebarang balasan kerana membunuh anakku itu.”
Sayidina Abu Bakar As Siddiq r.a berkata: “Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi SAW maka sesungguhnya ia akan menjadi temanku di dalam syurga.”
Telah selamatlah pemuda itu daripada balasan kerana membunuh dan telah menerima pula seribu dinar. Ini semuanya adalah berkat niatnya untuk mengadakan Maulid Nabi SAW. Berbagai pengajaran boleh kita ambil dari cerita ini. Jelaslah kepada kita bahawa pembalasan Allah terhadap kebaikan begitu cepat. Terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan sudah Allah nilai. Dan seorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan ia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah. Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis kelahiran Nabi SAW. Baru berniat sahaja hendak mengadakan Maulid Nabi, sudah dimuliakan. Dan sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik adalah merupakan doa dan dikira amal soleh.
Lihatlah akhlak seorang pemimpin yang adil dan bijak, mudah memaafkan kesalahan orang. Malah ia pula sanggup memberi hadiah kepada orang yang bersalah itu kerana terlalu suka untuk turut mengadakan majlis Maulid Nabi SAW. Begitulah para sahabat Rasul dan orang-orang soleh sangat memuliakan Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membesarkan hari kelahiranku nescaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan barangsiapa membelanjakan untuk majlisku seumpama ia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah.”
Sayidina Abu Bakar As Siddiq r.a berkata: “Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi SAW maka sesungguhnya ia akan menjadi temanku di dalam syurga.”
Sayidina Umar r.a pula berkata: “Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi SAW maka sesungguhnya ia menghidupkan agama Islam.”
Berkata Usman r.a pula: “Barangsiapa mengeluarkan satu dirham untuk membaca Maulid Rasulullah SAW seolah-olah ia mati syahid di dalam peperangan Badar dan Hunain.”
Sayidina Ali pula berkata: “Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi SAW ia tidak akan keluar daripada dunia melainkan keadaannya di dalam iman.”
Seorang waliyullah, Hassan Al-Basri telah berkata: “Aku ingin kalaulah aku mempunyai emas sebanyak gunung Uhud nescaya aku akan membelanjakannya untuk membaca Maulid Rasulullah SAW.”
As Sirri As-Saqati berkata: “Barangsiapa pergi ke tempat yang ada dibaca di situ Maulid Nabi SAW sesungguhnya ia diberi satu kebun daripada kebun-kebun syurga kerana ia pergi ke tempat itu tidak lain kerana cinta kepada Rasulullah SAW.”
As Sirri As-Saqati berkata: “Barangsiapa pergi ke tempat yang ada dibaca di situ Maulid Nabi SAW sesungguhnya ia diberi satu kebun daripada kebun-kebun syurga kerana ia pergi ke tempat itu tidak lain kerana cinta kepada Rasulullah SAW.”
Rasulullah SAW pula bersabda: “Barangsiapa cintakan aku nescaya ia akan berada bersamaku di dalam syurga.”
Keberkatan mengadakan majlis Maulid itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya. Jalaludin As Suyuti r.h.m berkata: “Barangsiapa antara orang Islam yang dibacakan di dalam rumahnya Maulid Nabi SAW nescaya Allah SWT akan menghilangkan dan menjauhkan kemarau dan kecelakaan, bala, penderitaan, kebencian, hasad, kejahatan dan kecurian terhadap ahli-ahli rumah itu dan apabila ia mati, Allah SWT akan memudahkan ia menjawab akan soalan-soalan Mungkar dan Nakir dan dia akan mendapat tempat bersama orang-orang yang benar di sisi Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Besar kerajaan-Nya.”
Beliau berkata lagi, “Tiada sebuah rumah atau masjid atau tempat-tempat yang dibaca di dalamnya akan Maulid Nabi SAW melainkan malaikat-malaikat melindungi ahli-ahli tempat itu dan Allah SWT akan melimpahkan rahmat-Nya kepada mereka dan malaikat-malaikat yang berpangkat besar seperti Jibril dan Mikail, Israfil, Quryail, Ainail mendoakan kebaikan bagi yang menganjurkan dan menyebabkan adanya majlis bacaan Maulid Nabi SAW itu.”
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membesarkan hari kelahiranku nescaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan barangsiapa membelanjakan untuk majlisku seumpama ia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah.”
Semoga kita termasuk ke dalam golongan orang-orang yang suka berbuat kebajikan dan memuliakan Rasulullah SAW sekurang-kurangnya dengan menghadiri majlis Maulid Nabi SAW serta memperbanyakkan selawat ke atas junjungan Nabi SAW. Mengingati kelahiran Nabi SAW dan berselawat ke atas Baginda bukan sahaja memberi banyak kelebihan pada umat Baginda tetapi juga senjata menghadapi puak Wahabi dan Yahudi yang sama-sama bekerja untuk menjauhkan umat Baginda dari mengingati Rasulullah melalui Maulid, berselawat, berzanji dan seumpamanya (Video konspirasi Yahudi dan Wahabi boleh ditonton di http://rising-sun.blip.tv/file/3760130/)
Kalau kita mahu menghadapi dua puak yang sedang bermaharaja lela sekarang, inilah kekuatannya dengan banyak berhubung dengan Rasulullah dengan berbagai cara termasuk melalui Maulid, berselawat, selalu menyebut-nyebut tentang Rasulullah, bercerita tentang kehidupan, sejarah dan perjuangan Baginda dan tidak dilupakan mendendangkan nasyid rindu, memuji dan mengingati Rasulullah hingga hati kita benar-benar terasa rindu dan hampir dengan Rasulullah. Semoga kita dapat bersama Rasulullah sepertimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam Hadis Baginda: “Barangsiapa cintakan aku nescaya ia akan berada bersamaku di dalam syurga.”