Tag Archives: Rejab

TAKUT DAN BIMBANG MENEMPUH RAMADHAN

Petikan: www.suaramuhajirin313.blogspot.com
Kenapa kita perlu mempunyai rasa takut dan bimbang ketika menerima kedatangan Ramadhan? Jawabnya kerana Ramadhan adalah bulan berkat, bulan rahmat dan kasih sayang dari Allah untuk kita. Kita bimbang kita tidak benar-benar menghargai anugerah dan peluang dari Allah yang sangat berharga ini.
Ramadhan sepatutnya kita sambut dengan perasaan cemas kerana kita rasa – seperti tahun-tahun yang lalu, kita gagal menghayati Ramadhan. Ramadhan bulan ibadah tetapi biasanya Ramadhan inilah kita lebih bersuka-ria dan lalai dari mengingati Allah.
Ramadhan sepatutnya bulan kita tertumpu hati kepada Allah dan RasulNya tetapi sepanjang hidup kita, Ramadhan adalah bulan yang sibuk dengan pesta membeli belah. Sedangkan Ramadhan adalah bulan orang-orang soleh dan kekasih Allah ‘berpesta ibadah’. Mereka penuhi Ramadhan dengan sembahyang, puasa, bersedekah, menjamu orang, membaca Al-Quran, berselawat, berterawikh, sembahyang malam, berdoa dan sebagainya. Pada kebanyakan kita, Ramadhan hanya bulan menahan lapar dan dahaga. Keseronokan berpuasa dan berbuka dengan hidangan melimpah ruah adalah pesta – ketawa yang tidak pernah sudah.
Ramadhan di sisi orang-orang pilihan adalah menghayati makna kesabaran dan keredhaan. Mereka mahu turut merasa susah dengan penderitaan orang lain. Puasa yang dihayati akan mendorong mereka berusaha menolong yang susah, membantu meringankan bebanan kehidupan orang yang menderita dan kurang bernasib baik.
Sepanjang hidup kita, puasa kita hanya menempuh lapar dan dahaga. Ianya dikatakan puasa yang tertolak. Malanglah kerana tiada nilai di sisi Allah. Hati yang lalai itulah penyebab puasa kita tidak diterima Allah. Ianya sama seperti sembahyang kerana setiap ibadah itu mestilah mempunyai hubungan hati dengan Allah. Hubungan hati itulah yang dimaksudkan dengan rasa kehambaan dan rasa berTuhan. Itulah khusyuk yang sangat dituntut ketika kita mengerjakan ibadah. Ibadah bukan sekadar melakukan yang lahir tetapi menghayati apa yang Allah mahukan dari hati kita.
Hati kita mahu dicelikkan agar tetap kekal dengan Allah. Inilah yang sukar di dalam setiap ibadah kita dan inilah yang membezakan kita dengan orang-orang soleh. Hati yang tetap tidak putus dengan Allah itu bukan sekadar di dalam sembahyang sahaja. Di luar sembahyang – sepanjang 24 jam sehari semalam – jika kita tidak tidur atau pitam, kita wajib mengingati Allah.
Ianya hukum wajib taklifi atas setiap mukallaf. Lalai dari mengingati Allah ini dinamakan dosa batin. Ia dikira berdosa tapi dosa secara batin. Ini adalah dosa yang lebih serius berbanding dosa lahir. Dosa lahir, dapat dilihat dan diketahui oleh ibubapa atau guru tetapi dosa batin tersembunyi di dalam hati. Tiada siapa yang tahu kecuali yang empunya diri. Bahkan kerap kali yang empunya diri pun tidak menyedarinya seperti sombong, ujub (hairan dengan kelebihan diri), riak (mahu menunjuk-nunjuk kebaikan yang dibuat) dan lain-lain.
Jadi, adakah kita tidak boleh bergembira dengan kedatangan Ramadhan? Jawabnya bergembiralah sebagaimana Rasulullah saw dan para sahabat ‘bergembira’ menyambutnya kerana ianya busyra (khabar baik) dari Allah. Ramadhan adalah bulan yang menjanjikan limpahan rahmat dan keampunan Allah bagi sesiapa yang bersungguh-sungguh menghayatinya. Bukankah Allah permudahkan anak Adam dengan dibelenggu syaitan dan dibukakan pintu syurga untuk siapa yang berpuasa lahir dan batinnya?
Justeru sewajarnya kita menyambut Ramadhan dengan melakukan perkara berikut:

1.Berdoa seperti doa Nabi saw:
Dari Anas bin Malik r.a berkata: “Nabi saw apabila tiba bulan Rejab baginda akan berdoa: “ Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. (Riwayat Ahmad dan Tabrani)

Para Salafussoleh berdoa kepada Allah supaya mempertemukan mereka ke bulan Ramadhan, kemudian berdoa supaya mereka dapat menyambut Ramadhan. Apabila kelihatan anak bulan Ramadhan mereka bergegas berdoa dengan berkata: “Allah Maha Besar, Ya Allah anugerahilah kami keamanan, keimanan, keselamatan dan Islam. Limpahkanlah kami taufik seperti yang Engkau sukai dan redhai, Tuhanku dan TuhanMu adalah Allah”. (Riwayat At-Tirmizi, Darimi dan disahihkan oleh Ibn Hibban)

2. Panjatkan pujian dan syukur kerana dipertemukan kita dengan Ramadhan. Menurut Imam Nawawi Rahimahullah di dalam Kitab Al-Azkar: “Ketahuilah bahawa Allah sangat menyukai orang yang apabila memperolehi nikmat yang zahir dan mengelakkan daripada terkena sesuatu kecelakaan yang zahir dia akan bersujud dan memuji-muji Allah kerana syukur kepadaNya”.

Di antara nikmat yang paling besar yang Allah kurniakan kepada hamba ialah taufik dan hidayah untuk melakukan ketaatan dan ibadah. Justeru suatu nikmat yang besar apabila seorang tiba bulan Ramadhan dalam keadaan kesihatan yang baik. Dengan itu sewajarnya dia bersyukur dan memuji Allah sebagai pemberi nikmat dan kelebihan kepadanya. Berilah pujian sebanyak-banyaknya sepertimana yang patut dilakukan kepada Allah SWT yang memiliki keagungan dan ketinggian kekuasaan.

3. Bergembira dan suka dengan kedatangan Ramadhan. Satu riwayat yang sahih dari Rasulullah saw, bahwa baginda akan menggembirakan para sahabat dengan kedatangan bulan Ramadhan sambil bersabda: “Telah datang bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan yang Allah wajibkan puasa di dalamnya, di bulan ini dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka”. (Ahmad)

Walaupun para salafussoleh yang terdiri dari para Sahabat dan Tabien sangat memberi perhatian dengan kedatangan bulan Ramadhan serta bergembira dengan ketibaannya, hati mereka yang khusyuk dengan Allah menghalang mereka dari terus merasa gembira. rasa sedih dan cemas itulah yang kembali dirasakan di dalam hati. Itulah hati orang yang kuat dengan Allah.

Gembira pun dalam bentuk sangat bersyukur dan malu dengan Allah. Bukannya gembira yang melalaikan hati dengan Allah. Mereka merasakan Ramadhan adalah bulan ujian untuk mereka. Itulah yang membimbangkan mereka dicelah-celah kegembiraan yang ada dengan kedatangan bulan yang mulia ini. Ganjaran yang dijanjikan Allah seolah-olah tidak mereka perhatikan sangat sebab yang lebih penting bagaimana mereka berusaha untuk taat dan patuh padaNya.

4. Berazam memanfaatkan Ramadhan. Jika kita sentiasa merancang untuk dunia, kenapa kita tidak mula membuat perancangan untuk akhirat. Ramadhan adalah bulan yang terbaik bagi memulakan usaha membaiki diri dan meletakkan hati di landasan menuju Allah. Ramadhan adalah bulannya di mana kita memperolehi peluang yang banyak bersama Allah. Jadikan setiap waktunya adalah temu janji penting untuk mendidik jiwa sehingga teguh di atas niat sanggup segala-galanya demi Allah dan Rasul. Tentukan apa yang lebih utama dari yang sampingan. Tentukan agenda untuk Islam dan umat Islam lebih utama dari agenda peribadi dan keluarga. Beribadahlah sebanyak mana pun tetapi yang penting hati yang khusyuk dapat dirasakan dalam setiap ibadah.

5. Jadikan Ramadhan bulan menimba ilmu bukannya bulan untuk bermalas-malas dan hanya tidur seharian.  Menuntut ilmu adalah fardhu dan kewajipan. Hadiri majlis ilmu yang biasanya diadakan setiap pagi selepas subuh di kebanyakan masjid dan surau di negara kita. Beribadah kepada Allah wajiblah mempunyai pengetahuan dan tidak dibenarkan sama sekali jahil tentang perkara-perkara fadhu yang telah Allah wajibkan ke atas hambaNya. Oleh itu tentang puasa Ramadhan, seorang muslim sewajarnya mempelajari permasalahan dan hukum puasa supaya ibadah puasanya betul dan diterima Allah.

6. Sambutlah Ramadhan dengan taubat. Kita hendaklah menyambut ketibaan Ramadhan dengan azam untuk meninggalkan noda dan dosa serta bertaubat dengan sebenar-benarnya daripada semua keburukan, menyesal dan tidak mengulanginya semula. Ramadhan adalah bulan taubat. Justeru jika tidak bertaubat pada bulan ini bila lagi mahu bertaubat? Firman Allah: “Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman agar kamu beruntung”. (An-Nur: 31)

7. Berbuat kebaikan dengan sesama insan dan berkasih sayang. Jadikan Ramadhan sebagai bulan kita membanyakkan khidmat kepada masyarakat. Ziarahi sahabat handai, rakan taulan serta saudara mara – jauh dan dekat. Tanyalah khabar mereka dan berusahalah membantu sedaya upaya apa jua masalah mereka. Jika masih ada ibubapa – dapatkan keredhaan dan keampunan mereka kerana apalah maknanya puasa dan ibadat tanpa keredhaan kedua ibubapa. Begitu juga dengan semua yang kita pernah bersalah dengan mereka – minta ampunlah dan berkasih sayanglah sesama manusia.

Bukankah Ramadhan adalah bulan keampunan? Untuk sesama kita – wajarlah kita meriahkan dengan saling maaf memaafkan, bertolak ansur, menjernihkan yang keruh, membuang yang busuk, mendekatkan yang jauh, merapatkan yang renggang dan membina semuanya semula dengan kasih sayang. Rahmat Allah di bulan yang mulia ini sangat besar dan bermakna bagi mereka yang mahu merendah diri serta mahu menghubungkan silaturrahim.
“Ya Allah, sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.
Call Now
Directions