Tag Archives: rumah asnaf near me

IBADAH QURBAN & FADILATNYA

BILA masuk bulan Zulhijjah umat Islam di seluruh dunia berlumba-lumba untuk menunaikan ibadah korban iaitu dengan menyembelih binatang seperti unta, lembu, kerbau dan kambing pada Hari Raya Adha iaitu tanggal 10 Zulhijjah dan hari-hari Tasyrik semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ibadah korban atau dalam bahasa arabnya disebut Udhiyah telah disyariatkan pada tahun kedua Hijrah berdasarkan kepada Al Quran, As Sunnah dan ijmak ulama.

Firman Allah yang bermaksud; “Oleh itu kerjakanlah solat kerana Tuhan mu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” (Al Kauthar: 2)

Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin di Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu pada menyembelih unta yang tersebut ada kebanyakannya pada kamu,” (Al Haj: 36)

Dan hadis daripada Anas r.a di berkata bahawa Nabi Muhammad SAW telah menyembelih dua ekor kambing berwarna putih yang mempunyai dua tanduk. Saya melihat Baginda SAW meletakkan kambing itu di bawah dua kakinya dengan menyebut Allah dan bertakbir dan Baginda menyembelih dengan tangannya.” (Nailul Awtar jilid 5 129-130)

Dan seluruh ulama telah sampaikan tentang persyaritan ibadah korban ini. Antara kelebihan ibadah korban ialah seperti hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah radhiallahu anha Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya; “Tidak ada amalan anak Adam daripada amal di hari Raya Udhiyah yang lebih disukai oleh Allah daripada mengalirkan darah binatang korban. Sesungguhnya ianya akan datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya dan rambutnya serta kuku-kukunya dan sesungguhnya darah korban akan diterima oleh Allah sebelum daripada menitisnya darah korban di bumi.” (Diriwayatkan oleh At Tarmidzi)

Hikmah di sebalik pensyariatan ibadah korban ialah tanda kesyukuran atas nikmat Allah yang tidak terkira banyaknya dikurniakan sepanjang tahun dan juga dengan menunaikan ibadah korban boleh menghapuskan dosa-dosa kecil serta ibadah korban juga sedikit sebanyak boleh meringankan beban orang yang dalam kesempitan.

Selain dari itu ibadah korban diadakan untuk mengingati peristiwa Nabi Ibrahim a.s yang hendak mengorbankan anaknya Nabi Ismail sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Nabi Ibrahim berkata; “Wahai anak kesayanganku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelih mu maka fikirkanlah apa pandangan mu. Anaknya menjawab; “Wahai ayah jalankan apa yang diperintahkan kepada mu, insya Allah ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang sabar.” (Ash Shaffat: 102)

Hukum-hukum berkaitan ibadah korban

Kebanyakan ulama berpendapat bahawa menunaikan ibadah korban adalah sunat muakad maka makruh orang yang ada kemampuan untuk tidak melakukannya berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Bahawasanya Nabi telah menyembelih dua ekor kambing berwarna putih yang mempunyai dua tanduk yang mana Nabi SAW menyembelih sendiri dengan tangannya.” (Bukhari dan Muslim)

Dan hadis daripada Ummu Salamah yang bermaksud: “Jika kamu melihat bulan Zulhijjah dan jika kamu hendak menyembelih binatang korban hendaklah kamu tidak memotong kuku dan rambutnya.” (Muslim)

Dalam Mazhab Syafie bahawa hukum menyembelih seekor binatang korban itu adalah sunat kifayah iaitu memadai bagi ketua rumah dan seisinya berdasarkan kepada hadis Mihnaf Sulaim katanya; “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; “Wahai sekalian manusia bagi tiap-tiap ahli keluarga dan tiap-tiap tahun itu satu binatang korban.” (Ibnu Majah dan At Tarmidzi)

Adalah diriwayatkan bahawa Syadina Abu Bakar dan Syadina Umar Al Khattab r.a tidak menyembelih korban kerana bimbang orang ramai akan menganggap ianya wajib.

Pada dasarnya hukum menyembelih korban itu adalah sunat muaakad tetapi boleh bertukar menjadi wajib dalam dua keadaan: Pertama jika ianya dinazarkan kerana sabda Rasulullah SAW maksudnya; “Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah dan Rasul-Nya maka hendaklah dia mentaati-Nya walaupun jika dia mati hendak dia menggantikan apa yang telah dinazarkan.”

Yang kedua jika binatang korban itu telah ditentukan umpama dia berkata, lembu itu untuk dikorbankan atau yang kambing ini kerana Allah.

Waktu penyembelihan korban ianya selepas terbit matahari pada Hari Raya Adha dan selepas selesai solat sunat Aidil Adha sekalipun ke tanggal 13 hari Tasyrik. (Hadis diriwayat Al Barra’)

Sampai Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang mula-mula kami lakukan pada hari ini (hari Aidil Adha) bahawa kami lakukan solat Aidil Adha kemudian kami balik rumah dan lepas itu kami sembelih korban. Barang siapa yang lakukan demikian ia telah menepati sunahku dan siapa yang menyembelih korban sebelum itu maka dagingnya menjadi daging yang diberikan kepada ahlinya dan bukan dari daging korban.

Kepada mereka yang melakukan ibadah korban disunatkan menyembelih binatang korbannya dengan membawa Bismillah, Allahu Akhbar, Allahuma Haza An Falan, maksudnya; “Dengan Nama Allah, Allah Yang Maha Besar binatang korban ini daripada si fulan bin fulan maka terimalah amalan korban kami. Kepada yang tidak pandai menyembelih sebaik-baiknya dia datang menyaksikannya.”

Sabda Rasulullah maksudnya; “Kepada Fatimah r.a, Ya Fatimah bangun dan saksikan binatang korban kamu maka sesungguhnya Allah mengampunkan dosa kamu ketika darah korban mula menitis ke bumi, bagi tiap dosa yang kamu lakukan.”

Disunatkan bagi orang yang menunaikan korban untuk makan sedikit daripada daging korbannya dan menghadiahkan bakinya kepada kaum kerabat dan yang bahagiannya disedekahkan kepada fakir miskin. Sabda Rasulullah SAW maksudnya; “Makanlah dan berilah makan kepada (fakir miskin) dan simpan sedikit”. 

PETIKAN DARI – HARAKAHDAILY

Solat Sunat Yang Tidak Ditinggalkan Rasulullah

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَدَعُ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْغَدَاةِ

Daripada ‘Aisyah radliallahu ‘anha bahawa “Nabi SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat empat rakaat sebelum Zohor dan dua rakaat sebelum solat Subuh”. (HR Bukhari No: 1110) Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW sentiasa melaksanakan solat sunat empat rakaat sebelum zohor.

2.  Baginda SAW juga sentiasa melaksanakan solat sunat dua rakaat sebelum subuh.

Ayuh kita menuruti sunah Rasulullah SAW melaksanakan solat sunat mengiringi waktu antaranya solat sunat sebelum zohor dan sebelum subuh.

MALAM NISFU SYAABAN


Malam Nisfu Syaaban

عَنْ مُعَاذِ بن جَبَلٍ عَن ِالنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:”يَطَّلِعُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ”

Daripada Muaz bin Jabal RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Allah mendatangi makhlukNya pada malam Nisfu Syaaban. Dia mengampuni makhluk kecuali orang musyrik (berbuat syirik) dan yang bermusuhan (HR Tobrani No: 16639) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bulan Syaaban memiliki kelebihan tersendiri dimana merupakan bulan yang Rasulullah SAW paling banyak berpuasa sunat di dalamnya.

2.  Malam Nisfu Syaaban juga terdapat kelebihan dan keutamaan bagi mereka yang beribadat dengan diberikan keampunan kecuali kepada mereka yang syirik dan bermusuhan sesama mereka.

3.  Digalakkan kita memperbanyakkan ibadat dan memohon keampunan kerana  Nabi SAW bersabda:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً فَخَرَجْتُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ فَقَالَ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كَلْبٍ

Daripada ‘Aisyah RA dia berkata, Pada suatu malam saya kehilangan Rasulullah SAW, lalu saya keluar, ternyata saya dapati baginda sedang berada di Baqi’, baginda bersabda: ” Apakah kamu takut akan dizalimi oleh Allah dan Rasul-Nya?” saya berkata, wahai Rasulullah, saya mengira tuan mendatangi sebahagian isteri-isterimu, baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah ta’ala turun ke langit dunia pada malam pertengahan bulan Syaaban, lalu mengampuni manusia lebih banyak dari sejumlah bulu kambing.” (HR Tirmizi No:670) Status: Hadis Daif

4.  Ibnu Rajab mengatakan, berkaitan dengan malam nisfu Syaaban, para tabi’in penduduk Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Mak-hul, Luqman bin Amir, dan beberapa tabi’in lainnya memuliakannya dan bersungguh-sungguh dalam beribadah di malam itu” (Lathaiful Ma’arif, hlm. 247).

5.  Ulama bersetuju tidak ada jenis ibadat yang dikhususkan pada malam tersebut seperti tidak ada solat Nisfu Syaaban 100 rakaat, tiada doa-doa khusus atau bacaan-bacaan khusus. Namun boleh sahaja untuk kita melaksanakan solat sunat malam juga mempelbagaikan doa dan zikir.

Marilah kita merebut peluang memperbanyakkan ibadat dengan solat sunat, zikir, membaca al-Quran, selawat, doa dan memohon keampunan setiap waktu dan masa.

07hb Mac 2023
14hb Syaaban 1444H

Jangan Menangguh Untuk Bersedekah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ: أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيْحٌ شَحِيْحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَى وَلَا تُمْهِلْ حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الْحُلُقُومَ قُلْتَ: لِفُلاَنٍ كَذَا وَلِفُلاَنٍ كَذَا وَقَدْ كَانَ لِفُلاَنِِ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan bertanya; “Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?”. Baginda menjawab: “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan ketika itu kamu berasa kedekut (kikir) dan  takut menjadi miskin dan berangan-angan untuk menjadi orang kaya. Oleh itu, janganlah kamu menunda-nunda untuk bersedekah sehingga ruh sampai di kerongkongmu, maka, kamu baru berkata, “Ini untuk si fulan dan itu untuk si fulan, padahal harta itu sudah menjadi milik si fulan.” (HR Bukhari no: 2748) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sedekah yang paling besar pahalanya ialah ketika kita sihat dan berasa sayang dengan harta tersebut malah kita bimbang harta akan berkurang apabila bersedekah dan kita pula berhasrat dengan mengumpul harta itu akan menjadi kaya.

2.  Bersedekah jangan ditunda kerana bimbang kematian menjemput kita

3.  Segera bersedekah, jangan tunggu nyawa sampai dihalkum. Bila kita mati, harta yang ditinggalkan akan menjadi harta waris untuk difaraidkan, bukan milik kita. Bila ia menjadi hak orang lain, ia tidak mendatangkan manfaat kepada si mati.

27hb Februari  2023
06hb Syaaban 1444H

Amalan Yang Tidak Ikhlas

Amal Yang Tidak Ikhlas

إِنَّ اَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَعَهَا, قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيْهَا قَالَ: قَاتَلْتُ فِيْكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ قَالَ: كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ ِلأَنْ يُقَالَ جَرِيْءٌ, فَقَدْ قِيْلَ  ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى اُلْقِيَ فيِ النَّارِ, وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ وَعَلَّمَهُ وَقَرَأََ اْلقُرْآنَ فَأُُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَعَهَا, قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيْهَا قَالَ: تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيْكَ اْلقُرْآنَ, قَالَ:كَذَبْتَ, وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ: عَالِمٌ وَقَرَأْتَ اْلقُرْآنَ لِيُقَالَ هُوَ قَارِىءٌٌ  فَقَدْ قِيْلَ  ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى اُلْقِيَ فيِ النَّارِ, وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللهُ عَلَيْهِ وَاَعْطَاهُ مِنْ اَصْْنَافِ الْمَالِ كُلِّهِ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا, قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيْهَا قَالَ: مَاتَرَكْتُ مِنْ سَبِيْلٍ تُحِبُّ أَنْ يُنْفَقَ فِيْهَا إِلاَّ أَنْفَقْتُ فِيْهَا لَكَ, قَالَ: كَذَبْتَ  وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ هُوَ جَوَادٌ فَقَدْ قِيْلَ, ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّارِ

“Sesungguhnya orang pertama yang diadili pada hari kiamat adalah orang yang mati kerana  syahid di jalan Allah.  Diperlihatkan kepadanya kenikmatan yang ia perolehi di dunia, lalu ia pun mengakuinya. Kemudian ditanya kepadanya : Apa yang engkau perbuat dengan nikmat tersebut? Ia menjawab : Aku berperang untuk-Mu Ya Allah, sehingga aku syahid. Allah berkata: Engkau dusta! Engkau berjihad supaya dikatakan engkau seorang yang berani. Dan itu telahpun dikatakan orang padamu. Kemudian diperintahkan para Malaikat untuk menyeret orang itu atas wajahnya, lalu dilemparkan ke neraka. Dan juga orang yang menuntut ilmu, ia juga mengajarkannya serta membaca Al Quran. Ia diperlihatkan kepadanya kenikmatan yang ia dapatkan di dunia, lalu ia pun mengakuinya. Kemudian Allah berkata kepadanya: Apa yang engkau perbuat dengan nikmat itu? Ia menjawab: Aku menuntut ilmu dan mengajarkannya, aku juga membaca Al Quran kerana Mu ya Allah. Allah pun berkata : Engkau dusta! Engkau menuntut ilmu agar disebut alim (orang yang berilmu), engkau membaca Al Quran supaya disebut qari’ (ahli membaca Al Quran), dan orang telahpun mengatakannya. Kemudian diperintahkan para Malaikat agar menyeret atas wajahnya dan  dilemparkan ke dalam neraka. Dan juga orang yang Allah berikan ia kelapangan rezeki dengan bermacam harta benda. Ia diperlihatkan kenikmatan yang ia peroleh di dunia, lalu ia pun mengakuinya. Allah berkata kepadanya : Apa yang engkau perbuat dengan nikmat itu? Dia menjawab : Aku tidak pernah meninggalkan suatu jalan kebaikan kecuali aku berinfaq kerana Engkau ya Allah’. Allah berkata : Engkau dusta! Engkau melakukan itu supaya disebut  dermawan dan orang telahpun mengatakan itu. Kemudian diperintahkan malaikat agar menyeret di atas wajahnya dan ia dilemparkan ke dalam neraka” (HR. Muslim No: 1905). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap kita akan di hadapkan di padang mahsyar untuk dihisab setiap amal dan perbuatan.

2.  Orang yang mati syahid ada yang dihumban ke neraka kerana berjihad mengharapkan orang lain menyebut tentang keberaniannya.

3.  Orang yang menuntut ilmu ada yang dihumban ke neraka kerana belajar bertujuan agar orang menyebutnya sebagai orang alim.

4.  Orang yang membaca al-Quran juga ada yang dihumban ke neraka  kerana mengharap agar dia digelar seorang qari

5.  Orang yang berinfaq juga ada yang dihumban ke neraka kerana mengharap agar orang lain menyebutnya sebagai seorang dermawan.

Pastikan agar setiap amal yang kita lakukan ikhlas untuk mencari keredhaan Allah bukan sebaliknya.

28hb Februari  2023
07hb Syaaban 1444H

Call Now
Directions