Tag Archives: Sayidina Abu Bakar
DUNIA PENIPU
Sudah menjadi lumrah pada kita umat Islam, khabar mengatakan bahwa dunia itu penipu. Tapi berapa orang yang sudah benar-benar berusaha untuk lari daripada tipuan dunia. Bagaimana cara tipuan dan untuk apa tipuan itu dibuat, jarang sekali diambil perhatian oleh masyarakat. Bahkan ilmu tentang itu pun jarang diketengahkan oleh ulama-ulama zaman ini. Hingga kita bertanya-tanya adakah kita termasuk orang yang sudah ditipu oleh dunia atau tidak? Kalau sudah, apa jalan keluarnya. Insya Allah saya akan menjelaskan hal ini setakat yang Allah izinkan.
Mula-mula mari kita lihat apa itu dunia. Takrif “dunia” mengikut pandangan Islam ialah apa jua perkara atau amalan yang faedahnya tidak membawa kepada akhirat, hanya habis di dunia saja. Dengan kata lain, dunia ialah sesuatu yang tidak membolehkan kita mencapai keredhaan Allah. Ertinya Allah tidak redha. Jadi ertinya kalau perkara dunia ini diredhai Allah, maka ia disebut akhirat. Yakni dunia yang sudah diakhiratkan. Sebab itu dalam Islam dunia itu ada tiga bentuk:
1. Dunia yang dilaknat
2. Dunia yang menjadi fitnah.
3. Dunia yang manfaatnya dibawa ke akhirat.
Kita lihat bagaimana dunia yang menipu. Banyak hadis Nabi menerangkan hal ini. Dan Allah berfirman:
Terjemahnya: Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan. Perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak-anak seperti hujan yang tanam-tanamannya mengkagumkan para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan daripada Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. (Al Hadid: 20)
Demikianlah Allah menilai dunia sebagai suatu permainan atau sesuatu yang melalaikan. Permainan ialah suatu pekerjaan yang tidak besar faedahnya serta tidak ada masa depannya. Bahkan selalunya permainan akan melalaikan manusia dari tanggungjawab yang lebih utama. Begitulah dunia. Ia tidak menjanjikan kebahagiaan abadi pada manusia. Sifatnya sementara dan sangat melalaikan manusia dari tanggung jawab kepada Allah dan akhirat. Padahal manusia tidak selamanya di dunia, kerana masanya sudah ditentukan untuk setiap kita kembali ke hadrat Allah ke kampung asal, akhirat. Lihat bagaimana Allah memanggil kita ke sana melalui firman-Nya:
Terjemahnya: Berlomba-lombalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurniaan Allah. Diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.
(Al Hadid: 21)
Lawan dunia adalah akhirat. Kalau dikatakan dunia itu penipu, yang tidak menipu ialah akhirat. Apa itu akhirat ? Itulah sesuatu amalan atau pekerjaan yang dilakukan di dunia dan faedahnya untuk kehidupan akhirat. Yakni perkara atau ibadah yang diredhai oleh Allah SWT. Dunia yang menipu, yang tidak ada nilai akhirat, terbahagi kepada tiga:
1. Perkara-perkara yang jelas haram hukumnya seperti arak, judi, berzina, bertenung nasib, dedah aurat, bergaul bebas dan lain-lain. Dunia yang begini adalah dunia yang dilaknat oleh Allah.
2. Perkara-perkara harus yang halal tapi tidak dijadikan ibadah atau tidak diniatkan kerana Allah dan untuk akhirat, serta diambil dan digunakan tidak mengikut syariat seperti tidur, rehat, musafir, makan sedap, berjalan dan lain-lain. Supaya lebih faham akan masalah ini, sila rujuk buku saya Ibadah menurut Islam atau terjemahannya dalam bahasa Inggeris Worship in Islam. Buku ini mengupas dengan terperinci takrif ibadah, serta syarat sesuatu amalan itu jadi ibadah seperti ibadah khusus, ibadah fadhailul amal dan ibadah umum.
Umat Islam perlu diselaraskan kefahaman mereka tentang konsep ibadah serta cara mengamalkannya menurut apa yang dikehendaki oleh Islam. Di samping akan diberi pahala di akhirat, umat Islam akan dapat membangunkan tamadunnya yang dengan itu akan terbentuk sebuah masyarakat Islam yang sempurna.
3. Perkara-perkara kebaikan atau amal-amal soleh yang lahirnya baik bahkan dituntut oleh Islam tapi dibuat bukan kerana Allah. Ia dibuat kerana tujuan duniawi, kerana nama, kemahsyuran, pangkat, pujian, hendak jaga hati orang, untuk jaga imej, kerana mengelak kejahatan orang dan lain-lain. Misalnya sembahyang , puasa, menolong orang, berjuang, mencari ilmu pengetahuan dan lain-lain.
Inilah dia dunia. yakni amalan-amalan yang keuntungannya hanya sementara, setakat di dunia, tidak sampai ke akhirat. Dunia yang beginilah yang dibenci oleh Rasulullah SAW kerana sabdanya;
Terjemahnnya: Aku benci dunia kerana dua sebab. Halalnya dihisab dan haramnya diazab.
Sayidina Ali pun berkata:
“Wahai dunia, janganlah engkau tipu aku. Tipulah orang lain. Jauh, Jauh daripadaku, kerana perjalananku panjang tapi bekalku masih sedikit.”
Sesuai sekali dengan firman Allah:
Terjemahnya: Tidaklah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya. (Al Hadid: 20)
Bagaimana dunia itu menipu? Dunia bentuk mana yang menipu itu? Dan apakah yang dikatakan tipuan itu? Allah SWT berfirman: Terjemahannya: Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa apa yang diingini, yaitu: wanita- wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (Syurga).(Ali lmran: 14)
Maknanya dunia yang menipu itu ialah perkara yang sangat diingini oleh nafsu. Setiap orang, walau siapa pun dia, memang mempunyai keinginan dan kecintaan pada kesenangan dan keindahan duniawi ini. Antaranya ialah apa yang disebut di atas. Mereka ingin memilikinya dan yakin bahawa di dunialah ada kebahagiaan dan ketenangan hidup yang sebenar. Maka berlumba-lumba dan berkejar-kejarlah mereka untuk mendapatkan sama ada harta, pangkat, nama, kemasyhuran atau lain-lain. Berjuang dan berkorbanlah manusia dengan apa cara sekalipun untuk tujuan tadi, yaitu kecintaan dan kegilaan dunia yang dianggap sumber kebahagiaan yang kekal abadi. Apakah yang manusia dapat daripada dunia yang diburunya itu?
Allah berfirman: Terjemahannya: (yaitu) orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurau, dan kehidupan dunia telah menipu mereka. Maka pada hari (Kiamat) ini Kami melupakan mereka sebagaimana mereka melupakan pertemuan mereka dengan hari ini, dan (sebagaimana) mereka selalu mengingkari ayat-ayat kami. (Al A’raf: 51)
Orang yang dapat ditipu oleh dunia ialah orang yang tidak serius dan tidak sungguh-sungguh dalam beragama kerana merasakan dunia lebih utama. Hinggakan amalan-amalan akhirat pun digunakan untuk mencari kepentingan dunia. Dalam keadaan inilah dunia itu boleh menipu:
1. Dunia yang diburu untuk dunia bukan untuk akhirat, tidak pernah memberi kepuasan kepada manusia. Hati tidak pernah rasa cukup dengan apa yang ada. Maka badan kurang dapat rehat, akal tidak henti-henti berfikir dan jiwa tidak tenang-tenang. Lepas satu, satu yang diingini dan digilakan. Umur dan masa habis cuma untuk itu. Apabila mati, segala-galanya ditinggalkan. Pergi menghadap Tuhan dengan tangan kosong. Pemburu dunia, sama ada dunia yang berbentuk harta, wanita cantik, pangkat, atau kemasyhuran kerana mengharapkan kejayaannya di dunia, tidak di akhirat, selalu cemas kalau-kalau apa yang diburu itu tidak dicapai.
Dia akan kecewa dan menderita kalau hal itu berlaku sebab tiada jaminan bahawa setiap usahanya akan berjaya di dunia. Telah banyak terjadi dalam pengalaman-pengalaman manusia yang lepas, kesalahan-kesalahan yang mengakibatkan kegagalan yang amat mengecewakan. Hingga kerana malu, putus asa, sakit jiwa dan penderitaan, ramai yang bunuh diri. Mereka lari dari penderitaan dunia yang dulunya sangat dicintai dan diingini ke kubur yang maha dahsyat. Betapa halnya apabila dilihat di akhirat atau di dalam kubur sana mereka disoal siasat. Begitu dunia menipu mereka.
Bagi yang berjaya mendapatkan dunia yang diburu itu, dia akan mengalami kesusahan yang lain pula. Susah hati pemilik dunia ialah kerana walaupun apa yang diingini sudah dapat, ia risau terlepas semula atau diambil orang atau binasa sebab orang lain juga inginkannya. Dan memang sifat dunia itu tidak kekal. Boleh datang dan boleh pergi tanpa apa-apa isyarat awal. Sebab itu pemiliknya sentiasa dalam kebimbangan. “Bila harta aku ini akan habis atau hilang? Selamatkah aku daripada kena colek atau kena rompak atau kena tembak. Bagaimana cara supaya orang miskin tidak minta pada aku? Bagaimana? Bila? Kalau-kalau itu, kalau-kalau ini, apa nak jadi?” Pertanyaan itu menghantui fikirannya membuatkan hatinya tidak tenang dan fikiran kacau sekali. Hinggakan tidak mustahil bahwa kegelisahan sesudah mendapat dunia lebih teruk daripada sebelum mendapatkannya.
Jawatan misalya, sebelum dapat cuma diganggu rasa tamak inginkan jawatan itu, takut tidak dapat. Tapi apabila dapat, macam-macam yang dibimbangkan. Susah hati kalau-kalau jawatan terlepas tangan kerana maklumlah ramai lagi yang mahukan jawatan yang sama. Susahkan orang bawah tidak hormat, kerana bukan senang hendak jaga hati dan hendak ambil hati orang bawah, apalagi bagi boss yang sombong, memang orang bawah langsung tidak hormat. Kadang-kadang dicabar bossnya itu. Kesusahan lain ialah rasa dengki pada orang yang lebih tinggi jawatannya. Semasa tidak ada jawatan tidaklah gila jawatan. Apabila sudah ada, ingin yang lebih tinggi lagi. Maka keinginan menjatuhkan orang yang di atas menyesak dadanya. Dalam keadaan ini manusia boleh buat apa saja.
Hilang rasa kemanusiaan dan kemerdekaan diri. Apabila hal ini terjadi, tidak mustahil manusia akan sakit jiwa lalu mencari hiburan-hiburan untuk melupakannya termasuk dengan minum arak atau mengambil dadah. Penyanyi-penyanyi popular, bintang-bintang filem terkenal, bos-bos besar dan orang-orang besar terutama di Barat membunuh diri sewaktu berada di puncak kejayaan mereka. Kes terbaru bunuh diri (waktu saya menulis) ialah yang melibatkan bekas Setiausaha kepada Perdana Menteri Jepun. Di Malaysia, pernah terjadi seorang menteri membunuh kawannya.
Demikianlah bukti-bukti bahwa dunia yang kelihatan indah itu sebenarnya berakhir dengan jurang dan gaung yang bahaya sekali bagi manusia. Keindahannya tidak menjamin kebahagiaan hidup. Keselesaan hidup yang dirasa tidak akan kekal selamanya. Bahagia tidak ada pada dunia ini rupa-rupanya. Betullah ia menipu. Nampaknya indah tapi buruk sifatnya.
Wanita cantik misalnya, sangat menarik hati. Malah ramai yang tenggelam dalam mabuk cinta kepadanya. Hingga sedaya upaya ia mahu memperisterikannya secara rasmi atau tidak. Apabila dapat, wanita cantik tadi pun menggunakan kasih sayang yang diberi untuk mengaut segala keuntungan diri. Minta macam-macam rumah besar, perabot mewah, kereta khas, intan berlian, harta-harta atas namanya dan lain-lain, tidak habis-habis. Kerana sayang, diusahakanlah untuk mendapatkan semua itu. Hati bimbang kalau-kalau permintaan tidak dapat ditunaikan, wanita itu akan lari. Kalau duit yang halal tidak cukup, sanggup dicari duit haram melalui tipu, rasuah dan lain-lain. Kesusahan demi kesusahan mula terasa.
Apabila perempuan terasa semua kata-katanya diikuti beranilah dia mengarah-arah suaminya. Hingga dia jadi pengarah; semua program dia yang menentukannya. Ampun maaf, kadang-kadang program ‘tidur’ pun bergantung pada mood perempuan. Lebih dahsyat lagi apabila suami makin tua, si perempuan mula mencintai jejaka lain yang lebih tampan dan handsome. Suami tinggal di rumah sementara dia bebas keluar masuk dengan kekasih barunya. Kekayaan suami yang sudah bertukar jadi miliknya digunakan untuk berfoya-foya dengan lelaki lain di depan mata suami. Alangkah sakitnya jiwa suami. Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan pada tengah hari. Dikira dunia bawa bahagia, tapi celaka akibatnya.
Begitulah dunia yang sangat pandai menipu daya. Kelihatan indah tapi sungguh mengecewakan. Bagai fatamorgana yang kelihatan cantik, tapi apabila kita dekati ia menghilang, menjauh di depan lagi, kita kejar lagi, ia lari lagi. Hingga keletihanlah kita sedangkan yang diburu tidak juga dapat. Akhirnya mati keseorangan. Pergi bertemu Allah dalam keadaan tidak kenal Allah dan tidak mengikut perintah-Nya. Begitulah kalau hidup memburu dunia, di dunia lagi ditipunya kita. Di dunia tidak akan bahagia. Di akhirat tidak dapat apa-apa selain api Neraka. Padahal dunia bukan matlamat. Dunia hanya alat. Dunia hanya kebun atau hanya jambatan. Ia cuma laluan untuk kita kembali ke akhirat. Ertinya hidup di dunia ialah ujian, bukan keputusan. Bersabda Rasulullah SAW:
Terjemahnya: Dunia itu negara bala bencana dan ujian .
Terjemahnya: Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak- anakmu itu hanyaiah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar. (Al Anfaal: 28)
Hasil atau matlamat dan keputusan hidup ialah di akhirat. Di sana kebahagiaannya kekal abadi, azabnya juga kekal. Tidak ada ujian lagi di sana. Pergiliran susah senang tidak berlaku. Kalau senang, senanglah selamanya; kalau susah, pun selama-lamanya.
Sebab itu Allah selalu menganjurkan dan memerintahkan kita agar menjadikan hidup untuk akhirat. Berlomba-lombalah dan bertungkus-lumuslah di dunia untuk akhirat bukan untuk dunia. Firman Nya:
Terjemahnya: Berlomba-lombalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan daripada Tuhanmu dan Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul- Nya. Itulah kurnia Allah. Diberikan Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar. (AI Hadid: 21)
Dalam pada itu Allah selalu pesankan supaya berhati-hati dengan dunia. Firman-Nya:
Terjemahnya: Jangan sampai kehidupan dunia itu memperdayakan kamu.
(Luqman: 33)
Allah ingatkan lagi melalui firman-Nya:
Terjemahnya: Kami singkap tudung, maka mata kamu tajam terbeliak. (Qaf 22)
Begitu juga diberitahu peri terkejutnya kita nanti apabila hampir mati, untuk tinggalkan dunia dan pergi ke akhirat. Waktu ini baru terasa kecilnya hidup di dunia. Dan tidaklah hidup di dunia melainkan sekejap saja. Oleh kerana itu ambillah dunia untuk akhirat. Jadikan kehidupan dunia sebagai persediaan untuk hidup di akhirat. Yakni dengan mencontohi cara hidup Rasulullah SAW dan para sahabat, Khulafaur Rasyidin dan sekalian salafussoleh. Merekalah satu-satunya generasi yang boleh menjadi contoh pada umat Islam seluruhnya. Selain mereka, secara umum manusia merupakan orang-orang yang sudah ditipu oleh dunia dan akan kecundang di akhirat. Bagaimana salafussoleh menjalankan hidup di dunia, yakni menjadikan dunia itu alat atau jambatan ke akhirat? Dunia seperti yang disebutkan di atas tadi, yaitu jawatan, harta, perempuan cantik dan lain-lain lagi, semuanya digunakan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, untuk menegakkan hukum Allah dan untuk jihad fisabilillah.
Semasa kumpulan mereka masih kecil dan lemah, masih belum ada kekuatan, kekayaan dan kuasa, memang mereka tidak berpeluamg untuk menggunakan kemudahan-kemudahan itu untuk jihad fisabilillah, bahkan memang mereka tidak mengimpikannya. Mereka merasa cukup dengan apa yang ada. Kemiskinan di dunia memang mereka rempuh dengan tujuan untuk kaya di akhirat. Zuhud dengan dunia adalah sifat atau ciri-ciri akhlak mulia yang benar-benar mereka praktikkan. Pada peringkat awal mereka cuma berdakwah serta menanamkan aqidah.
Kemudian apabila kumpulan mereka membesar, ada kekuatan, kekayaan dan daerah yang kian meluas, waktu itu mereka adalah tuan-tuan, tauke, pengarah dan pemerintah yang kunci segala khazanah dan kekayaan dunia berada dalam tangan mereka. Walaupun mereka tidak meminta apalagi berjuang untuk mendapatkannya tapi Allah kurniakan juga agar dunia aman di bawah pentadbiran mereka. Lihat apa kata Nabi Musa kepada kaumnya:
Terjemahnya: Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah, dipusakakan-Nya kepada siapa yang dikehendakinya daripada hamba-hamba-Nya. Dan kesudahan yang baik bagi orang-orang yang bertaqwa. (Al A’raf. 128)
Ya kerana bumi ini hak Allah maka bebas dan mudah saja bagi Allah untuk mengalihnya dari tangan ke tangan siapa saja yang dikehendaki-Nya. Maka kalaupun para salafussoleh tidak memintanya tapi Allah mentakdirkan juga kuasa dunia itu jatuh ke tangan mereka. Lalu mengalirlah kekayaan ke dalam tangan mereka, pangkat dan jawatan ke bahu mereka. Dan segala isi dunia jadi milik mereka, di bawah pengawasan dan pentadbiran mereka. Mereka pun tidak menolaknya. Tapi bagaimana mereka mengendalikannya?
1. Tentang jawatan
Sayidina Abu Bakar As Siddiq, ketika jawatan khalifah diberikan kepadanya (walaupun beliau tidak berhajat padanya), telah tampil ke muka umum dan dengan penuh rasa takut kepada Allah, berucap begini:
“Sesungguhnya aku diamanahkan untuk mengendalikan urusan kamu tapi bukanlah aku ini orang yang paling baik di kalangan kamu. Maka bantulah aku kalau aku benar, tapi kalau aku menyeleweng maka betulkanlah aku.”
Demikianlah ucapan daripada seoramg yang merasa dirinya lemah selaku hamba Allah. Menerima pangkat bagaikan mendapat arahan dan amanah daripada Allah untuk mengendalikan keperluan-keperluan manusia dan nanti akan dipertanggungjawabkan oleh Allah kendaliannya itu di mahkamah akhirat. Tidak ada sombong, takabur, memuji diri dan minta dipuji, serta tidak merendah-rendahkan rakyatnya. Bahkan sebaliknya dia yang merendah diri, menyayangi rakyatnya, adil dan tidak minta upah. Bahkan pangkat itu semakin menyusahkannya. Dia jadi orang yang tidak tidur malam dan siang kerana urusan Allah dan dengan manusia. Jadilah dia seperti apa yang diistilahkan:
Terjemahannya: Menjadi pendeta pada malam hari menjadi singa pada siang hari.
Begitulah juga halnya dengan lain-lain Khulafaur Rasyidin. Jawatan khalifah bukan alat untuk berbangga dan mencari kekayaan seperti untuk bangunkan rumah besar tapi untuk mengabdikan diri kepada Allah, menegakkan hukum Allah dan menjamin keamanan, kemakmuran dan keampunan Allah ke atas rakyatnya. Cuba kita lihat apa kata Sayidina Umar Al Khattab kepada tentera-tenteranya, sewaktu berperang menjatuhkan empayar Rom dan Parsi:
“Aku lebih takutkan dosa-dosa yang kamu lakukan daripada takutkan musuh-musuh kamu kerana kalau kamu berdosa, Allah tidak menolong kamu dan membiarkan kamu kepada musuh kamu itu.”
Begitulah pimpinan dan didikan daripada pemimpin yang bertaqwa. Keutamaam diberi kepada orang-orang yang soleh, yang takut dengan dosa. Dia mendidik orangnya dengan taqwa bukan dengan benda. Kemenangan bukan dengan kuasa manusia, tapi daripada Allah. Lalu tenteranya jadi hamba yang tawaduk, adil dan ikhlas, yang benar-benar mengabdikan diri kepada Allah. Maka jadilah pentadbiran mereka sumber keamanan yang hakiki.
Sayidina Umar Abdul Aziz pula, selaku ketua negara berpesan kepada gabenor di daerah pemerintahannya dengan katanya, “Kekuasaan yang ada di tangan saudara-saudara telah memungkinkan saudara untuk menzalimi rakyat. Apabila terasa di hati untuk menzalimi seseorang, ingatlah segera betapa besarnya kekuasaan Allah atas diri saudara-saudara. Ketahuilah bahwa satu kejahatan yang saudara timpakan pada rakyat, akan hilang lambat laun bekasnya daripada mereka, tetapi tetap kekal bekasnya untuk saudara dalam daftar dosa. Ketahuilah pula bahwa Allah SWT membela orang yang teraniaya terhadap yang menzaliminya.”
Kelihatan di sana, kuasa bagi orang-orang soleh bukan untuk diperlakukan sewenang-sewenangnya. Malah bagi mereka kuasa, lebih mendekatkan mereka dengan api Neraka. Lalu mereka jadi lebih takut kepada Allah daripada sebelumnya. Jawatan telah membuatkan mereka makin tawaduk, zuhud, pemaaf, timbang rasa, pemurah, berkasih sayang dengan rakyat, menjadi pembela dan pelindung rakyat dan juga menjadikan makin tinggi kedudukan mereka di sisi Allah SWT. Mereka tidak berebut jawatan, tidak gila kuasa dan tidak mencari kepentingan diri dengannya. Pun tidak berkrisis dan berpecah-belah disebabkan jawatan. Lalu tidaklah jawatan (dunia) itu menipu mereka.
2. Harta kekayaan
Apabila berkuasa, harta kekayaan dunia pun jatuh dan mengalir terus ke tangan sahabat. Mereka bebas melakukan apa saja. Maka apa yang dibuat oleh Khulafaur Rasyidin? Mereka tidak menolaknya, sebab harta itu adalah amanah Allah buat mereka. Mereka mengambil dan menggunakannya sesuai dengan kehendak Allah SWT. Firman Allah:
Terjemahannya: Dan mengapa kamu tidak menafkahkan (sebagian hartamu) pada jalan Allah padahal Allahlah yang mempusakai (mempunyai) langit dan bumi? Tidak sama antara kamu orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sebelum penaklukan (Mekah). Mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang-orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sesudah itu. Allah menjanjikan kepada masing-masing mereka (balasan) yang lebih baik. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. Siapakah yang mau meminjamkan kepada Alah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya dan dia akan memperoleh pahala yang banyak. (Al Hadid:10-11)
.
Lantaran itu para sahabat mengeluarkan harta benda dan wang yang ada untuk jihad fisabilillah. Hingga yang tinggal untuk mereka ialah kemiskinan dan hati yang zuhud (tidak terpaut dengan dunia).
Sayidina Umar Al Khattab, sewaktu jadi khalifah cuma tinggal di dalam rumah yang sederhana, yang kalau rosak, dibaikinya sendiri. Bajunya bertampal dua belas, biasa berehat sendirian di bawah pokok, berlantaikan bumi dan berbumbungkan langit.
Ketua tentera Islam yang berjaya menakluki Syria yaitu Sayidina Abu Ubaidah ibnu Jarrah, rumahnya waktu itu ialah sebuah bilik kecil yang di dalamnya hanya ada sehelai kain dan sebuah mangkuk. Hinggakan menangis Sayidina Umar melihat kemiskinan ketua tenteranya itu. Tapi kata Abu Ubaidah kepada Sayidina Umar: “Kenapa tuan menangis sedangkan saya menjual dunia untuk akhirat.”
Begitulah sikap dan pendirian salafussoleh. Mereka memilih kemiskinan, walaupun peluang untuk kaya terbuka luas. Sumbernya ialah kerana iman dan taqwa. Sebab itu kekayaan dunia tidak dapat menipu mereka. Mereka pulangkan kekayaan kepada Allah, tidak untuk kegunaan sendiri kecuali bagi keperluan dharuri dan kemudahan perjuangan. Kita lihat pula seorang sahabat bernama Said bin Amir ketika menerima kiriman wang seribu dinar daripada Sayidina Umar. Beliau berteriak-teriak dan memohon perlindangan daripada Allah SWT hingga isterinya bertanya, Apa yang terjadi, adakah Amirul Mukminin meninggal dunia?” Said menjawab, Lebih besar daripada itu, sebab dunia telah datang padaku.” Kemudian Said terus keluar membawa wang itu untuk dibagi-bagikan kepada fakir miskin dan dikorbankan untuk jihad fisabilillah.
Itulah cara sahabat mengambil dan menggunakan kekayaan dunia. Tidak digunakan untuk diri tapi untuk jalan Allah. Tidak juga disimpan di bank dunia tapi disimpan di bank akhirat. Maka tidak dapatlah kekayaan itu melalaikannya dan menipunya.
Sayidina Ali k.w, Amirul Mukninin, menyelamatkan dirinya daripada tipuan dunia dengan cara bangun pada tengah-tengah malam, bermunajat di masjid sambil menangis bagai orang kesusahan, dan berkata: “Wahai dunia. janganlah engkau tipu aku. Pergi jauhlah danpadaku. Jauh, jauh. Bekalku masih sedikit sedangkan hidup di akhirat itu kekal abadi.” Dengan ratapan itu kekayaan yang di dalam tangannya habis dikorbankan untuk fakir miskm dan janda-janda. Hingga beliau sendiri menjadi seorang yang paling miskin.
Banyak lagi sejarah hidup para sahabat yang telah menjual dunia untuk akhirat. Dengan itu dunia tidak dapat menipu mereka. Hal ini berlaku kerana mereka ada iman dan taqwa yang tinggi. Mereka cukup dengan Allah sebagai sumber ketenangan dan kebahagiaan hakiki di dunia dan akhirat.
3. Wanita cantik
Memiliki wanita cantik sebagai isteri yang sah tidak dilarang. Tapi bagaimana caranya supaya ia tidak menipu kita? Untuk itu, kita lihat sejarah para sahabat. Pernah anak kepada Sayidina Abu Bakar As Siddiq mengawini seorang wanita cantik. Oleh kerana leka dengan isteri di numah, beliau tidak pergi bersembahyang di masjid. Apabila hal ini disedari oleh Sayidina Abu Bakar, beliau terus memerintahkan anaknya menceraikan isterinya ini. Kerana taat pada ayah, bercerailah suami isteri itu. Hingga apabila masing-masing menyedari kesalahan itu, barulah mereka dinikahkan kembali.
Begitu salafussoleh menghadapi wanita cantik. Mereka didik wanita itu supaya betul-betul beriman dan bertaqwa. Maka tidaklah ia melalaikan suami, sebaliknya taat dan sangat memuliakan suaminya.
Demikianlah secara ringkas kehidupan salafussoleh, bagaimana mereka selamat daripada tipuan dunia. Dengan itu moga-moga fahamlah kita bahwa dunia itu untuk akhirat. Dunia bukan matlamat hidup dan tidak menjamin kebahagiaan yang sebenar. Kebahagiaan sebenar ialah dengan iman dan taqwa, untuk mendapat keredhaan Allah, agar berbahagia di akhirat.
KISAH BERIMANNYA RAJA HABIB
Abu Jahal dan Abu Lahab selalu memikirkan bagaimanakah cara untuk membunuh Nabi Muhammad saw. Tiba-tiba Abu Jahal teringat kepada seorang Raja Syam yang bernama Raja Habib Bin Malik. Mereka pun mula merancang untuk membunuh Nabi saw melalui Raja Habib yang terkenal bengis dan zalim itu.
Mereka pun menghantar sepucuk surat jemputan kepada Raja Habib , mengundangnya ke Mekah. Raja Habib pun bersetuju setelah dijanjikan sambutan dan layanan istimewa dari pembesar Quraisy itu lalu berangkat ke Mekah dengan seribu orang pengawal. Abu Jahal dan semua pembesar Quraisy menyambut kedatangan Raja Habib dengan penuh rasa gembira dan mereka pun memberikan pelbagai jenis hadiah yang mahal kepada Raja Habib. Raja Habib pun ditempatkan di Abthah.
Selepas itu Abu Jahal pun memulakan rancangan jahatnya iaitu mula mengadu masalah yang dihadapi oleh penduduk Mekah dan memohon jasa baik Raja Habib untuk membantu mereka. Abu Jahal pun mengadu bahawa Nabi Muhammad saw telah mengaku menjadi pesuruh Allah dan membawa satu agama baru dan kononnya telah menghina Tuhan-Tuhan yang disembah mereka sejak nenek moyang mereka lagi. Mereka mengadu bahawa Nabi Muhammad saw akan membawa perpecahan dan kekacauan di Mekah jika terus dibiarkan begitu sahaja.
Raja Habib pun memerintahkan supaya Nabi Muhammad saw datang mengadapnya. Pada mulanya pemergian Nabi saw dibimbangi oleh Saiyidina Abu Bakar dan isterinya Saiyidatina Khadijah kerana Raja Habib memang terkenal sebagai seorang Raja yang zalim, namun setelah Nabi saw meyakinkan mereka bahawa Allah akan melindunginya, maka mereka pun berangkat mengadap Raja Habib. Nabi Muhammad saw telah memakai jubah yang berwarna merah dan memakai serban yang berwarna hitam.
Setelah terpandang wajah Nabi saw yang mulia, hati Raja Habib yang terkenal dengan sikap yang bengis itu tiba-tiba menjadi lembut, lalu mempersilakan Nabi saw duduk di sebelahnya.
Raja Habib pun mula bertanya:
“Wahai Muhammad,benarkah seperti apa yang telah saya dengar bahawa kamu telah mengaku menjadi pesuruh Tuhan?”.
Jawab Nabi saw “memang benar”.
Raja Habib bertanya lagi : “Siapa Tuhan kamu?” . ”Allah” jawab Nabi saw.
“Sekiranya kamu seorang Nabi, sudah tentu kamu juga mempunyai mukjizat seperti Nabi-Nabi yang lain sebelum kamu” kata Raja Habib. Lalu Nabi saw pun bertanya, “Apa yang tuan mahukan?”
“Saya mahu melihat perkara pelik yang belum pernah terjadi, sekiranya kamu seorang Nabi sudah tentu kamu mampu melakukannya”. Lalu Nabi saw menjawab: “Dengan izin Allah, pasti terjadi”
“Saya mahu matahari terbenam sebelum waktunya, kemudian bulan terbit lalu turun ke bumi. Bulan itu terbelah dua lalu masuk ke dalam pakaian kamu. Bulan itu akan keluar dari lengan baju kanan dan baju kiri kamu. Kemudian bercantum semula menjadi bulat di atas kepala kamu dan bulan itu mengucapkan syahadah membenarkan kenabian kamu kemudian kembali ke tempat asalnya di angkasa. Bulan itu terbenam. Kemudian matahari terbit kembali dan keadaan seperti biasa.” Kata Raja Habib.
“Sekiranya Muhammad tidak boleh melakukannya, tuan bawa dia balik ke Syam ataupun bunuh saja” Kata Abu Lahab dengan penuh perasaan jahat bercampur gembira kerana beliau yakin Nabi saw tidak mampu melakukan perkara yang rumit itu.
“Sekiranya berlaku seperti yang tuan mahukan, apakah tuan akan beriman kepada Allah ?” Tanya Nabi saw kepada Raja Habib pula.
“Ya, barulah saya percaya kamu adalah pesuruh Allah”.jawab Raja Habib.
Nabi Muhammad saw pun mendaki Bukit Kubaisy yang tidak jauh dari Kaabah lalu berdoa kepada Allah swt . Malaikat Jibril pun datang membawa Firman Allah lalu memberitahu Nabi saw : “Wahai kekasihKu, janganlah engkau takut dan janganlah engkau bersedih hati kerana Aku bersamamu di mana pun engkau berada. Aku sudah mengetahui sejak mula apa yang diminta oleh Habib. Pergilah kepada mereka , tunjukkan ayatKu. Bentangkan secara terang dan tegas risalahmu. Ketahuilah, yang Aku sudah menempatkan matahari, bulan, malam dan siang di bawah perintahmu. Dan ketahuilah yang anak perempuan Habib akan Aku sembuhkan daripada penyakit lumpuh dan kedua-dua matanya yang buta sudah pulih semula”
Tiba-tiba berlakulah peristiwa ajaib yang belum pernah dilihat oleh manusia dan penduduk Mekah sebelum itu. Matahari dengan perlahan bergerak ke ufuk barat lalu terbenam. Cahaya siang bertukar menjadi malam. Selepas itu bulan pun terbit lalu terbelah dua. Bulan yang terbelah itu pun turun lalu masuk ke dalam jubah Nabi Muhammad saw. Kemudian bulan yang terbelah itu pun keluar dari lengan baju kanan dan kiri Nabi Muhammad saw dan bercantum semula di atas kepala Nabi saw sambil mengucap dua kalimah syahadah, iaitu mengaku “Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah”. Kemudian bulan pun bergerak ke tempat asalnya lalu terbenam di ufuk barat. Matahari pun terbit semula lalu suasana menjadi seperti sediakala. Raja Habib dan orang ramai kagum dengan kejadian itu.
Saiyidina Abu Bakar bertakbir apabila menyaksikan mukjizat Rasulullah saw itu. Selepas itu Nabi saw pun turun dari Bukit Kubaisy lalu menemui Raja Habib.
“Ketahuilah wahai Raja Habib , anak perempuan kamu yang sakit telah sembuh dari penyakitnya dan matanya yang buta telah dapat melihat semula” Kata Nabi Muhammad saw kepada Raja Habib.
Raja Habib pun terkejut kerana tidak ada sesiapa pun yang tahu penyakit anaknya itu iaitu lumpuh dan matanya buta kecuali orang-orang istana dan mereka yang dekat dengannya sahaja. Dia merasa gembira lalu berkata :
“Wahai seluruh penduduk Kota Mekah, tidak ada kekafiran sesudah beriman. Ketahui yang saya percaya tidak ada Tuhan kecuali Allah dan mengaku Muhammad adalah hamba dan pesuruhNya”. Selepas itu Raja Habib dan seribu orang pengawalnya telah memeluk Islam, namun Abu Jahal dan Abu Lahab masih terpinga-pinga, marah dan masih tidak mendapat hidayah!
Raja Habib pun terus pulang ke Syam bersama pengawalnya tanpa menghiraukan Abu Jahal dan Abu Lahab. Setibanya di Syam, anak gadisnya yang lumpuh dan buta sedang berdiri menunggu di hadapan istana sambil mengucapkan kalimah syahadah. Raja Habib pun bertanya dari manakah anaknya itu belajar mengucap itu, lalu anaknya menjawab :
“Saya bermimpi di datangi oleh seorang pemuda yang mengatakan bahawa ayah telah memeluk Islam dan saya akan sembuh daripada penyakit bila mengucap kalimah syahadah. Maka saya ucapkannya di dalam mimpi. Bila bangun dari tidur, saya dapati penyakit saya sudah sembuh dan mata saya sudah dapat melihat semula” jawab anak gadisnya itu.
Raja Habib pun bersujud tanda kesyukuran kepada Allah swt. Sebagai tanda ucapan terima kasih kepada Nabi Muhammad saw, Raja Habib pun mengirimkan hadiah berupa emas, intan dan permata yang banyak sehingga perlu dibawa oleh 5 ekor unta!
Bila utusan Raja Habib sampai ke Mekah, maka Abu Jahal pun mendakwa hadiah itu adalah untuk dirinya, tetapi telah dinafikan oleh pengawal utusan Raja Habib bahawa semua hadiah itu adalah untuk Nabi Muhammad saw. Suasana menjadi kecoh dan menarik perhatian ramai bila Abu Jahal menuduh pengawal utusan itu sudah terkena sihir Muhammad.
Bila mengetahui hal tersebut Nabi Muhammad saw pun pergi ke tempat itu. Abu Jahal yang tamak haloba itu masih mendakwa hadiah itu adalah untuk dirinya dan pembesar Quraisy yang lain. Abu Sufian bertanya orang ramai siapakah yang boleh menjadi pengadil dalam hal itu, lalu Nabi saw pun mencadangkan agar bertanya kepada unta yang membawa hadiah itu sendiri. Abu Jahal pun bersetuju, maka tempoh sehari diberikan lalu Abu Jahal pun balik menyembah dan memohon pertolongan dari berhala al-Latta dan al-Uzza bagi mendapatkan harta dari Raja Habib itu.
Bila tiba hari pengadilan, maka bertanyalah Abu Jahal kepada unta itu :
“Wahai unta, atas nama tuhan-tuhanku, al-Latta , al-Uzza dan al-Manata, beritahu kami untuk siapakah hadiah yang kamu bawa ini?” . Unta itu senyap dan tidak menjawab walaupun telah ditanya oleh Abu Jahal berulang-ulang kali sehingga beliau sendiri naik jemu dan penat.
Maka tibalah giliran Nabi Muhammad saw bertanya kepada unta itu pula :
“Dengan izin Allah,maka berkata-katalah wahai unta, untuk siapakah barang-barang yang kamu bawa ini?” Lalu salah seekor dari unta itu pun menjawab “Kami membawa barang-barang ini sebagai hadiah daripada Raja Habib bin Malik untuk Nabi Muhammad saw”. Selepas mendengar kata-kata unta itu, orang ramai sekali lagi terpegun dan Abu Jahal pun terpaksa mengalah.
Selepas itu Nabi saw menyuruh Abu bakar dan sahabat-sahabatnya membawa kesemua barang itu naik ke atas Bukit Kubaisy. Selepas itu Nabi saw pun berdoa kepada Allah swt agar semua emas, permata, intan berlian itu menjadi tanah. Dengan izin Allah, dalam sekelip mata semua barang berharga itu bertukar menjadi tanah!
Itulah serba sedikit kisah seorang Raja yang mendapat hidayah, walaupun Baginda berada jauh di Syam, tidak mempunyai pertalian keluarga dengan Nabi saw , namun selepas ditunjukkan bukti mukjizat Nabi Muhammad saw , baginda terus beriman kepada Allah swt dan Rasulnya, sedangkan Abu Jahal, Abu Lahab dan beberapa orang pembesar Mekah masih tertutup pintu hatinya untuk Islam dan beriman kepada Allah swt walaupun telah diperlihatkan berpuluh-puluh kali mukjizat oleh Nabi Muhammad saw. Itulah nikmat iman dan hidayah…. Semuanya anugerah Tuhan…ianya tidak boleh dijual beli, tidak boleh dipaksa dan tidak boleh ditiru oleh sesiapa, kecuali kepada mereka yang dikehendaki olehNya jua.