Tag Archives: Sedekah
Sedekah Paling Utama
Engkau bersedekah ketika engkau masih sihat dan harta tersebut masih disayangi, engkau bimbang menjadi fakir dan bercita-cita untuk menjadi kaya. Jangan kamu tangguhkannya hingga roh sampai di halkum. Dalam keadaan tersebut barulah engkau berkata: Berikannya kepada Si Polan ini dan Si Polan itu. Sememangnya itu adalah hak Si Polan.
Riwayat Sahih Muslim
HURAIAN: Dalam saat kita mahu mengisi hati dengan sifat pemurah, maka kita perlu mujahadah dengan mengeluarkan harta atau barang kita terutama yang kita suka dan sayang untuk diberikan kepada yang memerlukan.
Mulanya tentu terasa berat dan payah tetapi janganlah menyerah. Kita lawan. Ingatkan hati bagaimana orang-orang muqarrobin berebut-rebut untuk dapat pahala sedekah. Sayidatina Aishah r.a di waktu tiada apa-apa untuk dimakan, beliau cuba untuk mendapatkan hanya sebelah kurma untuk disedekahkan. Begitu inginnya mereka pada pahala dan rindunya kepada Syurga. Mereka berlumba-lumba menyahut pertanyaan Allah SWT:
Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik nanti Allah akan melipat-gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya dan dia akan memperolehi pahala yang banyak.(Al Hadid: 11)
Setiap kali kita rasa sayang pada harta kita setiap kali itu pula kita keluarkannya. InsyaAllah lama kelamaan kita akan memiliki sifat pemurah. Begitu juga dengan sifat-sifat yang lain seperti kasih sayang, berani, tawadhuk, pemaaf, zuhud dan semua sifat-sifat mahmudah yang lain perlulah kita miliki dan untuk itu kenalah mujahadah. Jika tidak iman juga turut tiada sebab iman berdiri di atas sifat-sifat mahmudah.