Tag Archives: selamat

BERJUANG PADA JALAN ALLAH SEBENARNYA INDAH DAN SELAMAT

islam_itu_indah_by_boulala1415-d4yy09z

Militan, keganasan, terrorist, bom, menyembelih orang, berani mati, jihad semuanya sinonim dengan Islam. Hari ini pejuang Islam tidak dilihat sebagai penyelamat, pelindung, pembawa kasih sayang dan kebahagiaan tetapi membawa gambaran keganasan, kekerasan dan kehancuran. Begitu sekalilah buruk dan hinanya wibawa Islam dan para pejuang Islam di akhir zaman ini. Tetapi apakah itu ajaran Islam sebenarnya. Yang dikatakan berjuang di jalan Islam itu apa dan bagaimana rupaya? Bagaimana pula Rasulullah dan para sahabat berjihad dan melaksanakan perintah berjuang pada jalan Allah.

Islam itu selamat dan menyelamatkan. Rasulullah adalah pembawa kasih sayang. Dalam 74 kali peperangan Rasulullah tidak pernah sekalipun membunuh, bukan kerana Baginda tidak handal menghayun pedang dan memacu kuda, tetapi Baginda adalah penyelamat. Baginda menawan musuh dengan akhlak dan kasih sayangnya dan bukanya melalui hujung pedang. Tidak di nafikan para sahabat sangat aktif dan berjaya di medan perang mengalahkan musuh. Tetapi kita kurang mengkaji apa rahsia di sebalik kejayaan mereka. Sejarah membuktikan bahawa dalam keseluruhan peperangan bilangan tentera musuh lebih ramai dari tentera Islam tetapi tentera Islam mendapat kemenangan kerana apa? Bukan kerana factor kekuatan lahiriah tetapi sebenarnya kerana kekuatan taqwa. Tuhan yang menghantarkan tenteranya nya untuk mengalahkan musuh.

Tetapi sesungguhnya umat Islam sering terlupa bahawa yang Tuhan minta kita berjuang di jalanNya itu bagaimana. Apakah jihad itu bermaksud pedang dan darah, nyawa sebagai tebusannya atau bagaimana? Kalau begitu mari kita cungkil maksud Tuhan dan arahan Tuhan mengenai tuntutan berperang atau berjuang di jalan Allah.

Allah Taala berfirman dalam Surah An Nisa’ : 84 yang bermaksud ;

Hendaklah kamu berperang atau berjuang pada jalan Allah, tidak diberatkan kecuali pada diri kamu dan digalakkan kepada orang mu’min. Moga-moga Allah mengkerasi orang kafir atau orang-orang engkar dan Allah itu adalah sangat keras dan sangat memberi amaran kepada mereka.

Di sini kita akan bahaskan beberapa perkara :

1. berjuang pada jalan Allah
2. tidak diberatkan kecuali diri kita
3. bagi orang mu’min digalakkan
4. moga-moga Allah mengkerasi orang kafir dan memberi amaran kepada orang kafir

A. Perintah berjuang pada jalan Allah

Tuhan suruh kita berperang atau berjuang pada jalan Allah. Apa jalan Allah? berjuang pada jalan Allah di sini maksudnya ada 2 perkara penting :

1. Promosikan Aqidah Tuhan:

Iaitu memperkenalkan Allah hingga aqidah orang betul: iaitu memperkenalkan Zat, sifat dan perbuatan Allah pada manusia. Itulah aqidah asas, tauhid asas. Supaya manusia selamat dari tersalah aqidah. Kalau begitu yang kata berperang pada jalan Allah bukan untuk bunuh orang. Tapi orang tak nampak tugas ini. Yang ada, bila kata perang, mereka mau bunuh orang, mau pancung orang. Padahal patutnya untuk membetulkan aqidah orang yakni untuk fahamkan orang tentang Zat, sifat dan perbuatan Tuhan.

Selepas itu berjuang hingga orang menghayati aqidah yang betul tadi. Bila orang hayati aqidah yang tepat, maka orang akan takut dan cinta dengan Tuhan. Untuk membuat manusia takut dan cinta Tuhan, tak cukup hanya aqidah asas. Tapi kena diceritakan apa kebaikan Tuhan, apa yang Tuhan bagi pada kita, bagaimana Tuhan jaga kita bagaimana Tuhan menyelamatkan kita, dan cerita hingga nafas kita Tuhanpun bagi setiap masa. Setiap bumi yang kita pijak adalah Tuhan punya; setiap nafas dari Tuhan; pandanglah apa saja semuanya Tuhan punya. Mata yang kita gunakan untuk itu semua pun Tuhan yang punya; mendengarlah apa saja menggunakan telinga yang Tuhan jadikan; bercakaplah sebanyak mana kita mahu sedangkan mulut itu Tuhan yang ciptakan ; kita makan dan minum nikmat dari Tuhan ; bekerja menggunakan tenaga dari Tuhan bila letih bekerja datang rahmat Tuhan kita mengantuk, tidur. Kita sudah rehat itu nikmat dari Tuhan bertenaga semula. Janganlah ajar aqidah yang asas saja nanti orang tak takut dan cinta dengan Tuhan.

Ceritakan apa lagi nikmat Tuhan, kebaikan Tuhan, baru tumbuh rasa cinta dengan Tuhan. Kita ingin berhibur Tuhan ciptakan lelaki dan perempuan. Dengan ada lelaki perempuan kita boleh berhibur. Kalau Tuhan buat lelaki saja atau perempuan saja sepi hidup ini. Tapi Tuhan beri nikmat ada lelaki dan perempuan terasa rahmatNya dari Tuhan. Ingin berhibur ada cara khusus Tuhan lakukan. Begitulah caranya kita akan ceritakan begitu banyak nikmat hingga orang takut dan cinta Tuhan. Orang mengajar sifat 20 hanya sekadar untuk sahkan aqidah, sampai jemu bila dengar kelas sifat 20, jemu. Sedangkan cerita tentang Tuhan patutnya seronok, terasa Tuhan penyelamat, pelindung, terasa Tuhan segala2nya, terasa tak boleh hidup tanpa Tuhan, Tuhan segala-galanya barulah orang rasakan ada Tuhan sangat terhibur. Tapi diajar oleh tok guru kita jangan sampai orang rosak aqidah itu saja, tapi tak diajar sampai orang takut dan cinta Tuhan. Ini adalah satu kesalahan yang paling besar, sedangkan Tuhan itu kalau disyarahkan dengan baik orang rasa Tuhan itu keselamatan dunia akhirat, tiap hari kita harap jangan Tuhan tinggalkan kita, kita perlukan Tuhan, Tuhan adalah segala-galanya. Kita ada Tuhan, kita rasa kuat. Mana ada orang ajar semua itu. Sebab itu bila dengar orang mengajar tauhid jemu. Bagaimana cinta dan takut Tuhan tak diajar? Ini adalah satu kesalahan.

Jadi bila Tuhan kata kena berjuang pada jalan Allah maka promosi Tuhan untuk kenalkan Tuhan pada manusia supaya jangan tuduh Tuhan yang bukan-bukan supaya orang kenal betul Tuhan, lepas itu dilengkapkan seperti yang disebutkan tadi. Sebabnya, bagaimana, boleh membuat hingga orang takut dan cintakan Tuhan itulah apa yang dikatakan Tuhan ajak kita berjuang. Bukannya bila Mari berperang, berjuang! maka kita hendak bunuh orang, demonstrasi, lawan orang.

2. Promosikan syariat Tuhan :

Berjuang pada jalan Tuhan itu kita nak kenalkan pada manusia syariat Tuhan. Ertinya cara hidup secara Tuhan atau perlembagaan Tuhan atau undang-undang Tuhan. Perkara aqidah di atas tadi tak begitu banyak perkaranya tapi kalau diceritakan dengan baik terasa indah, terasa kuat dapat Tuhan, terhibur dapat Tuhan. Yang kedua ini syariat, cara hidup jadi banyaklah perkaranya. Walaupun banyak tapi Rasulullah saw memperjuangkannya 10 tahun sedangkan mempromosi Tuhan 13 tahun. Ini menunjukkan promosi dan perjuangkan Tuhan lebih utama dari memperjuangkan syariat. Itulah rahsia kebahagiaan.

Kita disuruh memperkenalkan syariat Tuhan dalam makan minum, dalam pergaulan, syariat mendidik manusia dalam keluarga, dalam perjuangan, dengan jiran, dalam berekonomi, dalam berkebudayaan, dalam hal perhubungan, dalam pentadbiran, segala perkara bahkan syariat juga menunjuk jalan kepada kita bagaimana cara menyelesaikan masalah dengan sebaik-baiknya. Syariat mengenai semua aspek kehidupan supaya jangan accident satu sama lain di situ ada unsur keselamatan, kasih sayang, kerjasama, rasa bersama, ada unsur-unsur perlu memerlu satu sama lain. Itu syariat Tuhan. Kalau benar-benar kenal Tuhan dan diperjuangkan kemudian dicampur syariat Tuhan maka lagi nampak Islam itu cantik. Sudahlah cantik kenal Tuhan dicampur syariat Tuhan. Terasa Tuhan penyelamat dunia akhirat, Tuhan dan syariatnya sangat diperlukan. Tapi mana diajar begitu rupa. Dalam syariat, yang diajar hanya halal-haram saja tapi falsafahnya, misal mengapa Tuhan suruh, mengapa Tuhan tegah, tak disebut. Tak disebut hikmahnya jadi orang terseksa dengan hukum Tuhan, tak seronok kerana approach, pendekatan, penjelasan tak betul.

Jadi itulah yang Tuhan suruh berjuang maksudnya terhadap dua perkara : pertama promosikan aqidahNya, kedua promosi syariatNya. Gabungan dua perkara ini akan terasa indah berTuhan dan indah bersyariat bahkan manusia rasa mabuk dengan Tuhan dan dengan syariat.

B. Maksud Tidak diberatkan kecuali diri kamu bagi orang mukmin digalakkan

Maksud Tidak diberatkan kecuali diri kamu ertinya hendak berjuang itu kita dulu. Orang lain tak boleh dipaksa ikut berjuang. Untuk orang lain hanya boleh dibagi tahu, digalakkan, diajak sama, didorong. Bukan boleh dikasari, bukan boleh dipaksa2. Yang boleh adalah paksa diri kita. Orang lain hanya didorong, dipujuk, gembirakan mereka dengan perjuangan. Yang kena paksa itu diri kita bukan orang lain walaupun anak isteri, bukannya paksa orang “jom berjuang, kalau tak mau kena tampar, kalau tak nak ikut, aku bunuh,” jadilah militan. Itu tak boleh. Dalam ayat ini jelas yang dipaksa dan diberatkan adalah diri kita sedangkan orang lain digalakkan supaya cintakan perjuangan. Inilah peraturan dari Tuhan, ini cara Tuhan suruh kita bersyariat. Diri sendiri kita boleh paksa, orang lain digalakkan.

Kalau begitu bentuknya kita berjuang paksa diri, orang lain kita galakkan. Tujuannya kenalkan Tuhan hingga takut dan cinta Tuhan kedua perkenalkan syariat Tuhan peranannya hingga terhibur dengan Tuhan dan syariat Tuhan.

C. Huraian

Moga-moga Allah mengkerasi orang kafir dan memberi amaran kepada orang kafir

Kalau berjuang begitu, rupanya untuk mengalahkan orang kafir bukan tugas kita. Untuk musnahkan orang kafir bukan bahagian kita tapi Tuhan. Kalau berjuang dalam hal mengalahkan musuh bukan kita tapi Tuhan buatkan. Tuhan yang akan menghukum setelah kita buat untuk Tuhan. Kenalkan orang pada ZatNya hingga orang suka dan cinta Tuhan dan kenalkan syariat. Iaitu kita buat kerja Tuhan, Tuhan akan buatkan untuk kita. Orang yang menentang Tuhan, yang akan memusnahkannya adalah Tuhan. Tuhan tahu bagaimana bertindak. Apa yang kita susahkan dengan hal Amerika kuat? orang berjuang mula fikir kekuatan Amerika, takut yahudi, sedangkan itu kerja Tuhan dan kerja kita, kita tak buat. Bila diajak berjuang kita takut mereka. Mereka banyak duit, kaya. Kalau mereka banyak duit, kaya itu bukan kerja kita tapi itu kerja Tuhan. Kerja kita ialah promosi Tuhan dan syariat Tuhan. Kalau selesai kerja kita maka 10 kali Amerika pun Tuhan boleh kalahkan. Kesilapan orang Islam hari ini bila kata berjuang nampak musuh yang kuat, nampak musuh yang jahat. Akhirnya orang Islam jadi lemah semangat ketakutan pada musuh. Padahal Tuhan suruh promosi Tuhan dan syariat Tuhan, kerja terhadap musuh Tuhan punya kerja, itu ketetapan Tuhan. Kalau buat yang Tuhan suruh maka Tuhan buat untuk kita.

Apa fakta yang berlaku dalam sejarah bila buat kerja kita Tuhanlah yang kalahkan musuh-musuhnya? contoh zaman Nabi Musa. Nabi Musa kerja dia kenalkan kepada Firaun dan bani Israel tentang Tuhan. Itu kerja Nabi dan orang bertaqwa. Masa itu dia tak sentuh kerja Tuhan. Bila ditentang oleh Firaun dia tak ajak berperang tapi lari-lari (menghindar). Akhirnya setelah lengkap kenalkan Tuhan, Tuhan buat kerja orang beriman, tenggelamkan Firaun. Apakah Nabi Musa yang tenggelamkan Firaun?

Nabi Nuh berjuang memperkenalkan Tuhan, syariat Tuhan tapi kaumnya bermusuh dengan Nabi Nuh, susahkan dia dan pengikutnya tapi Nabi tak ajak orang-orangnya berperang. Akhirnya setelah buat kerja Tuhan maka Tuhan buat kerja Nabi Nuh, datang banjir besar.

Rasulullah setelah berperang pada jalan Allah, buat kerja Allah, telah datang 3000 malaikat menolongnya. Tuhan buat untuk Rasul dan sahabat. Dalam perang Khandak Tuhan datangkan angin ribut hingga akhirnya lintang pukang, pecah belah musuh, bukan Rasul dan sahabat buat tapi Tuhan yang buat, setelah Rasul dan sahabat buat kerja Tuhan, nampak ini adalah peluang untuk orang berjuang.

Mengapa kita takut dengan musuh bila perkenalkan Tuhan dan syariat? hadapi musuh bukan kerja kita, itu kerja Tuhan yang kuasaNya tak terbatas. Apa kita takut? seolah-olah kita bincang dengan Tuhan aku buat kerja aku, Engkau akan buat untuk aku. Kita hairan bagaimana orang boleh jadi militan dan ganas? Kenapa sebut berjuang tak fikir untuk kenalkan Tuhan hingga orang takut dan cinta pada Tuhan? supaya hasil perjuangan kita orang akan rasa indah, aman damai?

Sedari sekolah, mengaji tauhid tak rasa indah, tak rasa seronok. Mengaji tauhid aqal-aqal jadi letih. Itu saja pendekatannya padahal Tuhan adalah segala-galanya. Dapat Tuhan manusia akan kenyang, indah, dan rasa kuat.

Sekian.

ISLAM ITU SELAMAT DAN MENYELAMATKAN

 

Dalam Al-Quran, ada satu ayat yang berbunyi:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu masuk ke dalam Islam (keselamatan) secara menyeluruh (global).” (Al-Baqarah: 208)

Di dalam ayat ini, Tuhan memerintahkan manusia dengan perintah masuk ke dalam keselamatan (Islam), secara umum dan menyeluruh, iaitu bukan secara individu atau perseorangan. Masuk ke dalam keselamatan itu pula bukan separuh-separuh atau bukan di sesetengah aspek sahaja tetapi secara keseluruhan iaitu secara global. Dalam ayat ini Allah mengajar kita bahawa hidup ini mestilah bukan secara individu tetapi ada hubungkait dengan orang lain. Dalam memikirkan diri kita, fikirkan juga orang lain. Kita ada hubungan dengan orang lain dan orang lain juga ada hubungan dengan kita. Jadi manusia tidak boleh memikirkan dirinya sahaja.

Tuhan mengajak kita masuk ke dalam keselamatan secara umum dan secara global. Jadi kalau ingin selamat, tentu kita harap agar orang lain juga selamat atau agar orang lain juga berada dalam keselamatan. Kalau kita ingin masuk ke dalam keselamatan secara global, kita harap orang lain pun demikian juga.

Demikianlah perintah Tuhan kepada manusia agar saling jaga-menjaga antara satu sama lain di mana kita menjaga orang dan orang menjaga. Dalam kita memikirkan diri kita, kita fikirkan juga diri orang lain. Dalam waktu orang lain memikirkan dirinya, dia juga memikirkan kita. Sebab itu Tuhan beri nama agamaNya, Islam, sesuai dengan ayat tadi. Perkataan Islam yang istilah asalnya, ‘aslama-yuslimu-islaman’, bukan hanya ertinya ‘selamat’ tetapi juga ‘menyelamatkan’.

Kita bahaskan perkataannya dahulu. Islam itu bukan ertinya ‘selamat’. ‘Selamat’ dikatakan ‘salmun’. Islam maksudnya menyelamatkan. Sesuai dengan perkataan dalam ayat tadi, iaitu menyelamatkan itu secara jemaah, bukan secara individu. Kita fikirkan orang dan orang fikirkan kita. Sebab itu Tuhan beri nama agama-Nya dengan perkataan ‘Islam’ dan bukan ‘salmun’. Ramai orang terjemahkan maksud ‘Islam’ itu ‘selamat’. Agama Islam itu maknanya yang tepat ialah agama yang ‘menyelamatkan’.

Apa ertinya menyelamatkan? Ertinya kita menyelamatkan diri kita dan diri orang lain daripada sebarang perkara yang negatif, sama ada besar mahupun kecil. Sama ada yang berbentuk Akhirat, mahupun yang berbentuk dunia. Sama ada yang bersifat lahir mahupun yang bersifat batin. Diri kita selamat dan orang lain pun selamat. Inilah dasar agama Tuhan. Ini prinsip agama Tuhan yang mesti difahami, yang mesti diperjuangkan dan yang mesti dihayati serta diaplikasikan di dalam kehidupan.

Kalau begitu mari kita lihat, bagaimana untuk mengaplikasikan agama yang selamat dan menyelamatkan itu dalam kehidupan harian.

Dalam kehidupan harian, Tuhan kata, masuklah ke dalam keselamatan itu secara ‘kaaffah’. Bila katakan ‘kaaffah’ atau menyeluruh, maka salah sekalilah apa yang kita dengar dan kita lihat selama ini, yakni:

1. Golongan yang menganggap Islam itu mementingkan ibadah sahaja.
Golongan ini nampak Islam itu di surau, masjid, waktu berpuasa, waktu sembahyang, waktu haji dan waktu wirid sahaja. Yang lain tidak diambil kira. Mereka nampak Islam itu hanya di sudut ibadah sahaja. Yang lain-lain seperti makan, minum, tidur, baring, berehat, dan berkeluarga tidak dianggap Islam. Mereka tidak terfikir bahawa mencari ilmu, menziarah, berhimpun dan berhibur itu juga Islam. Bukankah ini berlawanan dengan prinsip tadi, yakni “Hendaklah kamu masuk ke dalam Islam (keselamatan) secara menyeluruh (global).”

2. Golongan yang mengambil berat tentang Islam itu dari segi politik dan pentadbiran negara sahaja.
Mereka ini selalu sahaja kata, “Lihat Tuhan berkata, masuklah ke dalam Islam secara menyeluruh.” Mereka nampak negara, politik dan pentadbiran. Pada mereka, itulah agama. Ibadah itu kecil. Sebab itu kerana politik mereka tinggalkan sembahyang. Kalau sembahyang pun, Subuhnya pukul tujuh pagi. Ertinya mereka lebih pentingkan politik daripada sembahyang. Itu kalau dia hendak sembahyang. Ramai yang memperjuangkan politik tapi tidak sembahyang. Oleh kerana dia anggap politik itu besar, sembahyang jadi kecil. Ini juga bukankah melanggar prinsip ayat tadi. Mana boleh politik negara dan pentadbiran dianggap global. Itu hanya satu sudut dalam Islam. Sedangkan Islam itu menyeluruh.

Kalau seseorang itu ada ilmunya, boleh dihayati dan boleh pula diamalkan dalam kehidupan, barulah dia benar-benar hamba Tuhan. Bila dikatakan hamba Tuhan, ertinya dia terhubung dengan Tuhan 24 jam. Kalau begitu mari kita lihat bagaimanakah hendak melaksanakan Islam yang bersifat kaaffah tadi di dalam setiap aspek kehidupan kita dengan tidak memikirkan atau mempersoalkan apakah ianya fardhu ain, sunat, fardhu kifayah dan lain-lain. Yang penting ia termasuk dalam kawasan silmi, iaitu kawasan keselamatan, yang selamat dan menyelamatkan.

Tentang ibadah di dalam Islam, itu tidak payah kita persoalkan. Itu orang sudah tahu. Begitulah juga aspek politik dan negara, pun tidak perlu kita bahaskan. Orang sudah faham. Itu sudah satu aspek. Yang hendak disebut di sini ialah satu perkara atau satu aspek yang jarang orang sebut iaitu tindakan kita setiap hari. Setelah kita hurai nanti, barulah kita tahu sama ada kita berada dalam ‘silmi kaaffah’ atau tidak. Sama ada kita masuk dalam keselamatan global atau tidak.

Katalah daripada bangun tidur, bagaimana kita hendak masuk kepada Islam atau kepada ‘silmi’ itu? Kalau tidak berada ‘silmi’, maka syaitanlah yang akan mempengaruhi kita. Ia akan berlaku salah satu. Kalau Tuhan tidak pengaruhi kita, syaitanlah akan pengaruhi kita. Tidak ada vacuum. Di antara contoh bagaimana hendak melaksanakan Islam yang bersifat kaaffah di dalam setiap aspek kehidupan kita adalah seperti berikut:

Apabila kita bangun sahaja dari tidur, kita bersyukur pada Tuhan. Kalau tidak tahu hendak baca doanya, sekurang-kurangnya hati kita berkata, “Terima kasih Tuhan kerana hidupkan saya.” Kita pun niatkan, “Ya Allah, bermula dari saya bangun ini, sampai saya tidur semula, saya hendak buat baik. Tolonglah bantu saya.” Niat sudah ada. Ertinya sudah mula masuk pada silmi. Kalau kita tidak buat begitu, ertinya sudah tidak selamat. Syaitan akan mempengaruhi hati kita sebab kita tidak bermula dengan ingat Tuhan. Bila tidak ingat Tuhan, ertinya syaitan mempengaruhi kita waktu itu.

Kemudian kita pun ke bilik air, dengan niat semua perbuatan adalah untuk Tuhan. Itu kita sudah maklum. Kita terus pergi ke bilik air dengan tujuan hendak bersihkan diri, hendak basuh diri, hendak mandi dan hendak ambil wudhuk. Tujuannya untuk Tuhan. Syaitan sudah tidak boleh mencelah di situ. Kita sudah berada dalam kawasan atau keadaan silmi itu tadi. Selepas itu kita sembahyang. Itu juga dalam silmi.

Selepas itu, tentulah manusia ini hendak bertebaran di atas muka bumi. Tentu hendak keluar rumah. Mengapa Tuhan pilih perkataan ‘bertebaran’? Sebab tidak semua orang bekerja. Ada orang hendak mengaji, ada orang hendak mengembara, ada orang hendak berziarah dan bersilaturrahim dan ada orang hendak menunaikan hajat-hajat lain. Jadi selepas sembahyang, masing-masing akan memenuhi keperluan masing-masing. Bila hendak keluar rumah tentu kita akan berdoa dengan berkata:

بِسْمِ اللهِ تَوَ كَّلْتُ عَلَى اللهِ

Maksudnya: “Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah.”

Jadi kita sambunglah memasuki kawasan keselamatan atau silmi secara global tadi. Kalau kita tidak baca doa itu, kalau kita tidak terfikir atau terlupa hendak baca, di sudut itu sudah tidak selamat. Syaitan sudah menguasai hati.

Bila melangkah, kita langkah dengan kaki kanan. Sebab berkanan-kanan ini Tuhan suka. Selamatlah dari kemurkaan Tuhan. Kalau kita langkah dengan kaki kiri, kita sudah buat sesuatu yang negatif, sebab orang kafir suka mulakan dengan sebelah kiri. Sama ada untuk makan atau lain-lain. Cuba kita lihat orang kafir makan terutama orang Barat sama ada pakai garpu atau pakai tangan, mereka gunakan tangan kiri. Tuhan benci. Apabila Tuhan benci, ia sudah masuk kepada negatif. Ia sudah tidak selamat sebab Tuhan sudah murka sebab kita ikut budaya orang kafir. Ertinya kita sudah tidak selamat.

Selepas itu kita naik kereta dan membaca doa naik kenderaan. Itu paling tidak. Tadi sudah dikatakan bahawa Islam itu bukan kita sahaja selamat bahkan ia selamat dan menyelamatkan. Yang lebih baik waktu itu kita ingat tentang berapa ramai orang yang campur tangan untuk menghasilkan kereta itu dari bahan mentah, siap menjadi kereta hingga sampai ke tangan kita, berapa ribu manusia yang terlibat. Doakan dalam hati:
“Ya Allah berilah mereka petunjuk. Ampunkan dosa mereka dan murahkan rezeki mereka.”

Kalau boleh, hadiahkan Al-Fatehah untuk mereka dan niatkan dalam hati, kita hadiahkan Fatehah untuk yang Islam. Bagi buruh-buruh yang tidak Islam, dia sudah termasuk dalam doa tadi yakni agar diberi petunjuk. Moga-moga dengan itu, kita selamat dan menyelamatkan orang lain. Itu lebih ikhlas. Orang yang kita doakan pun tidak tahu. Itu paling ikhlas. Pahalanya selamat. Kalau kita doakan orang ramai yang ada di depan kita, payah hendak jaga hati kita. Sebab hati akan berkata, “Supaya orang anggap aku baik, aku akan doakan mereka.” Habislah pahala amalan kita. Payah rupanya hendak ikhlas. Bila begitu, ertinya hati kita bukan Tuhan yang dapat tetapi syaitan yang dapat.

Jadi kalau kita mendoakan orang tetapi tidak ada siapa yang tahu seperti mendoakan orang-orang yang terlibat dalam menghasilkan kereta tadi, yang mereka itu duduk merata-rata, inilah yang selamat dan menyelamatkan.

Inilah yang orang tidak buat. Perkara seperti ini mudah dapat pahala tetapi orang tidak buat. Yang susah dapat pahala itulah yang hendak buat sebab kita sudah diberi gambaran yang salah tentang ajaran Islam itu. Perkara-perkara yang tersirat seperti ini tidak pernah digambarkan atau difikirkan orang. Padahal Islam itu selamat-menyelamatkan. Sekarang kita sudah selamatkan orang yakni orang yang ada hubungan dengan kereta kita. Daripada yang menyiapkan bahan mentah, yang proses, yang buat, yang tukang jual, sampai ke tangan kita, berapa ribu orang yang terlibat. Kalau doa kita makbul, berapa ribu orang yang akan selamat.

Seterusnya, kereta pun meluncur. Waktu baru naik kereta, hendak hidupkan enjin, ada bacaan doanya. Waktu kereta berjalan juga ada bacaannya. Mengapa kita baca doa-doa itu? Moga-moga Tuhan selamatkan kita. Sebab ajaran Islam itu selamat-menyelamatkan. Setidak-tidaknya kita dahulu yang selamat. Bila masuk ke simpang, walaupun itu jalan kita, jika ada kereta lain hendak lalu, kita beri laluan. Menyelamatkan. Itulah yang dimaksudkan Islam itu selamat dan menyelamatkan. Bagi peluang kepada orang lain jalan dahulu. Kalau kita cakap, “Mana boleh! Ini jalan aku.” Mengikut undang-undang jalan raya, memang tidak salah kalau kita tidak mahu beri laluan tetapi mengikut undang-undang Tuhan, tidak baik. Kalau mengikut undang-undang kerajaan memang kita yang patut jalan dahulu. Kalau mengikut undang-undang Tuhan, kita beri orang lain jalan dahulu. Kita hendak menyelamatkan orang. Boleh jadi dia memang ada keperluan hendak cepat. Kita beri peluang kepada orang dahulu, senangkan hati orang. Bila kita senangkan hati orang, kita sudah dapat pahala pula. Jadi kesenangan orangitu secara tidak langsung menyenangkan kita pula.

Begitulah pula kalau kita jalan jauh. Bila menuruni jalan yang tinggi, ada pula ayatnya. Selagi menurun, kita baca, “Subhanallah… Maha Suci Tuhan, Maha Suci Tuhan.” Jangan sampai jiwa kita itu vacuum atau kosong. Biar sentiasa terhubung dengan Allah. Kalau jauh kereta kita menurun, lamalah kita baca “Subhanallah…” Apabila tiba-tiba kereta mendaki kawasan atau jalan yang tinggi, baca, “Allahu Akbar” pula. Tuhan siapkan bagaimana agar hati kita sentiasa terhubung dengan-Nya supaya hati kita tidak vacuum.

Katalah tiba-tiba kita nampak orang kemalangan. Kita kata, “Segala puji bagi Tuhan yang telah menyelamatkan aku daripada apa yang telah ditimpakan kepada orang itu.” Terhubung lagi hati dengan Tuhan. Tidak boleh ada vacuum dalam hati. Jika vacuum, syaitan masuk. Bila syaitan masuk, kita sudah tidak selamat. Padahal Islam itu cantik. Bukan sahaja kita selamat, orang lain pun selamat.

Apabila kita teruskan perjalanan lagi, kita haus maka kita pun singgah di restoran. Berapa banyak perhubungan kita dengan Tuhan di situ. Kita baca Bismillah, dan mulakan minum dengan tangan kanan maka kita terhubung secara tidak langsung dengan Tuhan. Bila hendak bayar, kita bayarkan untuk orang yang makan di kiri kanan kita. Selamatkan orang lain. Islam itu selamat-menyelamatkan. Tidak indahkah ajaran Islam itu? Kita sentiasa terhubung dengan manusia, sama ada secara langsung atau tidak secara langsung. Bila terhubung dengan Tuhan, secara automatik kita terhubung dengan manusia. Cantiknya ajaran Islam.

Itulah yang dimaksudkan Islam itu selamat dan menyelamatkan yakni ia merupakan amalan harian. Sedangkan ada orang anggap masuk kepada keselamatan secara keseluruhan atau global itu, hanya di sudut ibadah sahaja atau sembahyang sahaja. Yang minat politik pula nampak keseluruhan atau global itu di sudut negara atau pentadbiran sahaja. Ibadah pun sudah jadi kecil baginya. Apa yang diceritakan ini, lagilah dia tidak nampak. Mana ada orang pernah syarahkan. Seolah-olah ini bukan agama. Agama itu ialah jadual harian. Walaupun satu detik dalam hidup, tidak lepas dari Tuhan dan tidak lepas dari manusia. Tidak ada vacuum. Tidak ada kekosongan.

Jadi itulah perintah Tuhan tadi, “Hendaklah kamu masuk Islam (keselamatan) itu secara menyeluruh (global).” Dan sebab itu Tuhan bagi nama agama-Nya, Islam, sesuai dengan arahan dalam ayat tadi. Islam ertinya selamat dan menyelamatkan. Menyelamatkan diri dan menyelamatkan orang lain. Kalau ini dapat difahami, dihayati, dan diamalkan dalam kehidupan harian, maka dengan Tuhan kita terhubung dan dengan manusia kita terhibur. Kita selamat dan orang lain pun selamat. Kalau begitu, mana ada ruang untuk bergaduh dan berkrisis. Tidak ada. Tetapi oleh sepertimana yang kita faham selama ini, sebab itu Islam yang kita bawa tidak selamat dan tidak menyelamatkan. Kadang-kadang kita bawa Islam, di situ boleh bergaduh. Ini sudah tidak betul. Menyalahi ayat tadi.

Itu sebahagian kecil yang digambarkan bagaimana Islam itu adalah kehidupan seharian. Dalam sudut-sudut lain, kita sudah tahu. Kalau belum tahu, eloklah kita belajar lagi kerana ia terlalu banyak dan menyeluruh. Iaitu tindakan di dalam kehidupan kita. Jadi cantik sekalilah ajaran yang selamat dan meyelamatkan.

Begitulah seterusnya, apabila kita balik ke rumah untuk berehat, ada disiplin-disiplin tertentu dan ada bacaan-bacaan tertentu. Kalau tidak faham bacaan, pasanglah niat-niat baik dengan Tuhan, supaya sentiasa terhubung dengan Tuhan. Itu paling tidak. Memang tajuk semacam ini kurang diminati kerana bab ini susah hendak diamalkan setiap hari. Cukup setakat ini. Setidak-tidaknya kita sudah faham prinsip Islam yakni Islam itu selamat dan menyelamatkan

Call Now
Directions