Tag Archives: sembahyang
PENTADBIRAN KERAJAAN DALAM SOLAT BERJEMAAH
Mendirikan sembahyang itu adalah umpama menjalankan sebuah pentadbiran kerajaan Tuhan. Ketuanya Imam dibantu oleh muazzin (bilal), sepatutnya berada lebih awal di saf, selepas panggilan dilaungkan untuk membuat barisan. Imam dan bilal berbaris bersama makmum yang lain. Setelah itu mereka keluar dari saf untuk memastikan barisan saf dari depan hingga ke belakag lurus dan tidak menganggu laluan orang ramai. Setelah selesai barulah imam dan bilal megambil tempat semula dan iqamah bermula.
Suara imam dan bilal pula mestilah jelas dan kuat ketika mengimamkan sembahyang, bacaan doa, wirid dsbnya. Ini juga adalah latihan sebagai ketua atau pemimpin kerana seorang ketua mesti jelas suaranya supaya anak buah faham dan tahu apa arahan yang perlu diikuti. Atas nama latihan, imam dan bilal hendaklah digilir-gilirkan. Barulah dikenali kelemahan-kelemahan samada bacaan atau pegerakan. Bacaan yang jelas dan kuat membantu makmum menghayati sembahyang dan membolehkan imam ditegur kelemahan bacaannya.
Bacaan terutama dalam surah Al Fatehah kenalah satu-satu, tidak dirangkaikan ayat-ayatnya. Ini untuk memberi ruang respon untuk melahirkan rasa-rasa dalam sembahyang. Kerana kita telah diajar, setiap ayat di suratul Fatihah, hendaklah direspon dengan getaran di dada, “agungnya…”.
Imam mesti pandai mengimbangi supaya semua makmum dapat mengikuti pergerakan sembahyang dengan baik iaitu tidak boleh terlalu cepat atau lambat. Pernah seorang yang bersembahyang sunat terlalu cepat, ditegur oleh gurunya dengan soalan, “Adakah Tuhan yang disembah pada sembahyang fardhu lain dari Tuhan yang disembah pada sembahyang sunat? Mengapa tergesa-gesa? Lebih-lebih lagi sembahyang berjemaah, hilang keindahannya jika terlalu cepat atau terlalu lambat.
Maka perlu kerjasama antara imam, bilal dan makmum. Kalau tidak, dari penyusunan saf dah menyebabkan jadi lambat. Inilah yg dikatakan bermula dari sembahyang sudah berlaku satu pentadbiran kerajaan, ada ketua, ada anak buah, ada disiplin, ada peraturan, ada arahan yang perlu diikuti dan saling bekerjasama sama untuk memastikan program sembahyang berjalan lancar dari awal hingga akhir.
Imam sebagai pemimpin hendaklah bertanggung jawab. Tegas tapi bersederhanalah. Ada di kalangan makmum yang mempunyai hajat atau tugas-tugas yang perlu diselesaikan. Makmum pula, jika imam bersalah ada tatacara menegurnya. Umpamanya Imam tersilap bilangan rakaat, jika makmum terus menegur dengan penuh semangat, seperti di padang kawad: ‘Subhanallah!!’ tanpa niat di hatinya, ia adalah zikir untuk memberi faham atau zikir semata-mata, maka batallah sembahyangnya. Itulah ilmu sembahyang, kalau dipraktikkan ke dalam kepimpinan dan pemerintahan akan melahirkan masyarakat yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah.
SOLAT YANG ADA ROH
Solat yang benar-benar dihayati lahir dan batin akan membuahkan peribadi yang agung, iaitu lahir satu bangsa yang kuat dan berdaulat. Bukan sahaja berdaulat tetapi boleh mencatur dunia dengan ajaran Allah hingga bukan umat Islam dapat manfaat tetapi orang bukan Islam pun dapat manfaat di dunia ini. Kalau begitu ajaran Islam ini sangat indah dan hebat, selamat dan menyelamatkan. Selama ini kita lakukan solat sekadar cukupkan syarat dan rukunnya sahaja.
Hasil solat yang tepat dan dijiwai atau ada roh akan menjadikan dirinya sangat memberikan manfaat kepada umat Islam dan orang bukan Islam di atas muka bumi ini. Hasil solat yang agung juga dapat bangunkan satu bangsa yang berkasih sayang, yang bersatu padu, yang boleh rasa bersama, bekerjasama, boleh berdaulat dan menjadi empayar. Islam yang menaungi dunia.
BAGAIMANA SOLAT BOLEH MEMBINA KEKUATAN.
Solat atau sembahyang itu, Tuhan yang menetapkan rukun-rukunnya. Ia bukan ciptaan manusia, bukan direka-reka atau dibentuk oleh manusia. Kalau difahami dan dihayati, sembahyang itu adalah sesuatu yang sangat hebat. Kita akan dapat merasakan bahawa Tuhan itu hebat. Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya tetapi terasa kebesaran-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan bagaimana wujud-Nya tetapi terasa wujud-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya tetapi terasa kekuasaan-Nya. Terasa oleh kita akan kesempurnaan Tuhan. Kita boleh minta apa sahaja dari Tuhan. Tuhan sedia melayannya.
Solat itu adalah satu modul yang lengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia. Dalam solat ada ubat, ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung. Boleh timbul berbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solatnya tetapi dengan syarat, mesti ada ilmunya, faham dan solat itu benar-benar dijiwai serta dihayati.
PENDIDIKAN ITU MELALUI IBADAH.
Untuk mendapatkan sifat-sifat yang agung ini bukanlah sesuatu yang senang. Perlu ada latihan yang berterusan dalam keluarga yang mendidik ke arah solat yang agung. Kalau tidak ada pimpinan dalam keluarga yang mendidik, ia mustahil boleh berlaku. Pemimpin keluarga itu pula tidak boleh sebarang atau calang-calang ketua keluarga. Ketua keluarga yang hendak menjadikan keluarganya kuat dan agung mestilah mempunyai segala ciri-ciri dan sifat-sifat yang agung itu pada dirinya terlebih dahulu. Kalau tidak, bagaimana dia mahu mendidik anak isterinya supaya mempunyai ciri dan sifat yang agung tadi. Dia mesti usahakan berkat dari Tuhan melalui mursyidnya. Bila terhubung berkat dengan mursyidnya barulah ada kekuatan. Dia juga akan memiliki kekuatan yang mampu mendidik hati-hati manusia sepertimana para nabi dan rasul mendidik. Dia mesti faham perjalanan hati dan roh manusia. Dia mestilah orang yang sangat bertaqwa dan mempunyai wibawa yang tinggi. Manusia mudah memberi hati, mencintai dan taat kepadanya.
Pendidikan keluarga mestilah melalui ibadah. Itulah sebabnya Tuhan memerintahkan kita supaya beribadah kepada-Nya sama ada ibadah pokok mahupun ibadah sampingan atau sunat. Kalau ibadah yang Tuhan perintahkan itu kita laksanakan dengan bersungguh-sungguh maka dari situ akan lahirlah kekuatan sesuatu bangsa. Ibadah pokok atau ibadah asas ialah solat lima waktu. Ibadah-ibadah lain adalah sampingan atau sunat. Ibadah pokok atau ibadah asas mesti ada. Ia menjadi syarat. Kalau ibadah pokok atau asas ini tidak cukup untuk memberi kekuatan, ia boleh ditampung dan dicukupkan oleh ibadah-ibadah sampingan yang lain. Kekuatan yang timbul atau yang boleh diperolehi dari setiap ibadah itu pula tertakluk dan berkait rapat dengan tiga perkara iaitu:
1. Ilmu
2. Kefahaman
3. Penghayatan
Setiap ibadah yang dibuat mesti mempunyai ketiga-tiga perkara ini.
Ilmunya sudah tentu penting kerana tanpa ilmu kita tidak tahu cara yang sebenar untuk beribadah dan ibadah kita pasti akan tertolak. Tuhan tidak terima ibadah yang dibuat tanpa ilmu. Kefahaman lebih penting. Faham itulah hikmahnya. Faham itu ialah ilmu dalam ilmu. Sebab itulah ada Hadis yang mengatakan: “Barangsiapa yang hendak dijadikan baik, maka dia diberi faham tentang agama.” (Riwayat Muawiyah)
Dalam doa pun selalu kita minta kepada Tuhan begini: Maksudnya: “Ya Tuhanku, berikanlah aku ilmu dan rezekikanlah aku kefahaman.”
Kemuncak daripada ilmu dan faham itulah penghayatan. Penghayatan itu ialah apabila ilmu dan kefahaman itu betul-betul menjadi roh kita, otak kita, hati kita dan sikap kita. Apabila sesuatu ibadah itu ada ilmunya, difaham dan dihayati maka akan jadilah ibadah itu satu sumber kekuatan. Inilah sumber kekuatan umat Islam yang Allah janjikan. Siapa yang mengusahakannya pasti akan dibantu. Siapa yang bercita-cita menjadi pejuang Islam dan pejuang kebenaran, ini mesti diketahui dan diambil perhatian. Jika tidak, perjuangannya boleh dipersoalkan dan dipertikaikan. Dari mana lagi sumber kekuatan umat Islam jika tidak dari sembahyang!
HIKMAH SEMBAHYANG LIMA WAKTU
Lima waktu sehari semalam Tuhan disembah
Dibesarkan, dipuja, dipuji, munajat dan meminta
Agar hati yang dilalaikan oleh kesibukan dunia,
terbangun semula
Supaya rasa bertuhan, rasa kehambaan hidup membara
Sembahyang lima waktu
adalah rahmat Tuhan kepada hamba-hamba-Nya
Agar manusia tidak terus lalai sepanjang masa
Hampir-hampir jiwa manusia lalai,
dengan sembahyang sedar semula
Tidaklah sampai mati, hingga tertutup pintu hati
Rasa bertuhan dan rasa kehambaan itulah mengawal manusia
Daripada melakukan kejahatan dan kederhakaan
Daripada berlalai-lalai dan daripada melakukan dosa
Kalau tidak manusia tenggelam terus-menerus dengan dosa dan durjana
Oleh itu dirikanlah sembahyang, jangan sekadar sembahyang
Sembahyang sahaja tidak menghidupkan jiwa
Mendirikan sembahyang menghidupkan jiwa yang buta
Inilah hikmahnya mendirikan sembahyang,
kelalaian tidak sampai mematikan jiwa
Apabila sembahyang didirikan ketika tiba masanya
Roh sembahyang itu tertanam di dalam jiwa
Rohnya itulah akan dibawa ke mana-mana
Semangat sembahyang itulah yang akan berperanan
di mana sahaja kita berada
25.10.2002 -Selepas Zuhur
ANTARA SYARIAT DAN TAUHID – Mana yang patut didahulukan?
Umat Islam mesti memahami erti sebenar syariat dan
tauhid dan dimana letak duduknya. Mesti tahu yang mana
satu patut didahulukan dan mana satu yang lebih
utama.Umat Islam juga mesti sedar apakah syariat itu
timbul dari tauhid atau tauhid itu timbul dari
syariat. Kalau semua ini tidak difahami dengan betul,
kita boleh tersalah langkah dalam beragama. Agama kita
boleh jadi tunggang terbalik. Kita boleh kehilangan
Tuhan walaupun kita serius beragama.
Sebenarnya perkara yang pertama yang berlaku dalam
agama ialah soal aqidah atau ketauhidan iaitu soal
mengenal Tuhan. Setelah Tuhan dikenali, barulah timbul
keperluan syariat, sama ada syariat lahir yang kita
sebut juga Fiqah, mahu pun syariat batin atau apa yang
kita namakan tasawuf.
Syariat ialah cara atau kaedah bagaimana kita dapat
memperhambakan diri kepada Tuhan atau cara kita
membesarkan Tuhan setelah Tuhan itu kita kenali
sungguh-sungguh.
Contohnya setelah kita kenal Tuhan dan kita rasa kita
ini hamba dan Tuhan itu Khaliq, maka kita akan
terdorong untuk menyembahnya. Tetapi kita tak boleh
sembah Tuhan ikut suka hati kita. Sebab itu perlu
rujuk kepada syariat untuk mengetahui cara Tuhan mahu
kita menyembahNya. Begitulah juga dengan hal-hal lain
dalam kehidupan seperti pendidikan, dakwah,
masyarakat, pergaulan, perniagaan dan sebagainya yang
Tuhan mahu kita tegakkan.
Kita tak boleh memandai-mandai dalam hal ini atau
mengikut saja sistem orang Nasrani atau Yahudi. Tuhan
hendak kita buat itu ikut cara yang Tuhan mahu. Untuk
itu syariat diturunkan.
Jadi mengenal Tuhan mesti berlaku dahulu. Kemudian
baru timbul keperluan bersyariat. Ini sesuai dengan
hadis yang bermaksud:
“Awal-awal agama, mengenal Allah”
Kalau kita belum kenal Allah, atas dasar apa kita dan
untuk siapa kita hendak beragama?
Tambahan lagi, kalau kita belum betul-betul kenal
Tuhan, sudah tentu kita belum berjiwa tauhid. Kalau
belum berjiwa tauhid, sudah tentu belum khusyuk dengan
Tuhan. Kalau belum khusyuk dengan Tuhan, sudah tentu
belum bertaqwa. Kalau belum bertaqwa, kita tidak ada
kekuatan jiwa untuk melaksanakan dan menegakkan
syariat. Hanya orang yang bertaqwa saja yang mampu
memperjuangkan syariat sungguh-sungguh.
Jadi kenal Tuhanlah menjadi pendorong untuk kita
mengamalkan syariat. Kenal Tuhanlah yang memberi
kekuatan untuk mengamalkan syariat. Orang yang belum
kenal Tuhan tidak akan mampu mengamalkan syariat
secara bersungguh-sungguh dan istiqamah.
Begitu jugalah yang berlaku di zaman Rasulullah SAW.
Selama 13 tahun di Mekah, Rasulullah hanya mengajar
para sahabat tentang Tuhan dan tentang ketauhidan.
Rasulullah tidak mengajar apa-apa tentang syariat.
Hanya apabila di Madinah, barulah turun hukum-hakam
tentang syariat. Maknanya para sahabat diperkenalkan
kepada Tuhan terlebih dahulu sehingga mereka cinta
dan takut dengan Tuhan sebelum mereka didedahkan
kepada syariat. Apabila datang hukum syariat yang
berbagai-bagai rupa, mudah sahaja para Sahabat
menegakkannya.
Oleh itu, dalam mendidik anak-anak atau pun
masyarakat, kita tak boleh utamakan syariat sebelum
kita selesaikan soal tauhid atau soal mengenal Tuhan
terlebih dahulu. Tuhan mesti diperkenalkan. Selepas
itu barulah diperkenalkan syariatNya. Kalau tidak
maka akan timbullah syariat yang tidak dikaitkan
dengan Tuhan.
Orang yang agamanya hanya syariat semata-mata tanpa
dikaitkan dengan Tuhan ialah orang yang nampak seperti
beragama tapi tidak beraqidah. Hakikatnya dia tidak
beragama kerana agama itu ialah sistem penyembahan
atau sistem peribadatan yang ada hubungkait dengan
Tuhan. Kalau tidak ada hubungkait dengan Tuhan, ianya
bukan agama. Ia hanyalah ideologi. Ideologi memang
tidak ada hubungkait dengan Tuhan.
Orang yang bersyariat atau beribadah tanpa Tuhan,
syariatnya dan ibadahnya kosong dan tidak berjiwa.
Kerana Tuhan tidak dilibatkan sama, maka tidak ada
kemanisan, keindahan dan kepuasan dalam ibadahnya.
Walaupun ibadahnya banyak tetapi ianya tidak memberi
kesan apa-apa pada hatinya dan peribadinya. Akhlaknya
tidak berubah malahan bertambah rosak. Mereka tidak
terlepas dari membuat perkara-perkara yang keji dan
mungkar.
Orang yang bersyariat tanpa Tuhan selalunya memandang
syariat itu besar. Tuhan tidak besar. Mereka
memperjuangkan syariat tetapi tidak memperjuangkan
Tuhan. Padahal syariat itu turun untuk membesarkan
Tuhan. Mereka hendak paksa syariat ke atas manusia
termasuk hukum hudud dan sebagainya, tetapi tidak mahu
membawa atau memperkenalkan Tuhan kepada manusia
sehingga manusia boleh jatuh cinta dan takut dengan
Tuhan. Oleh itu tujuan sebenar mereka beragama telah
tersasar. Walaupun mereka nampak seperti beragama,
tetapi mereka sebenarnya kehilangan Tuhan. Mereka
beragama tetapi tidak beraqidah.
Orang yang bersyariat tanpa Tuhan akan mengejar pahala
serta fadhilat dalam beribadah dan bukan untuk menagih
redha, rahmat dan kasih sayang Tuhan. Mereka merasakan
ibadah mereka itu boleh membeli syurga. Mereka lupa
bahawa tidak ada sesiapa pun yang akan masuk syurga
kerana amalan mereka. Tidak juga Rasulullah SAW
sendiri. Manusia masuk syurga hanya kerana rahmat
Tuhan. Fadhilat dan pahala adalah urusan Tuhan. Kalau
kita beribadah kerana Tuhan, nescaya Tuhan akan
kurniakan pahala dan fadhilatnya. Tetapi kalau kita
beribadah kerana pahala dan fadhilat, siapakah yang
akan memberi pahala dan fadhilat itu? Siapakah yang
akan memberinya kalau tidak Tuhan? Oleh itu kenapa
ketepikan Tuhan yang memberi pahala dan fadhilat.
Orang yang membesarkan pahala dan fadhilat akan hilang
takut dengan dosa. Mereka mengangap dengan mengambil
wudhuk akan terhapus dosa. Bila sembahyang akan
terhapus dosa. Bila naik haji akan terhapus
dosa.Walaupun ini benar tetapi ia bentuk fadhilat.
Hakikat ini tidak boleh digunakan untuk meremeh-remeh
dan meringan-ringankan dosa.Kesannya mereka sudah
tidak takut lagi dengan dosa kerana merasakan dosa
terlalu mudah untuk dihapuskan. Akhirnya mereka hilang
takut dengan dosa dan dengan Tuhan itu sendiri.
Itu sebabnya kita lihat ramai orang yang nampaknya
beragama dan kuat beribadah, tetapi dalam masa yang
sama mereka terjebak dengan berbagai-bagai maksiat.
Ramai juga yang dengan mudah boleh murtad dan
meninggalkan Islam atas alasan yang terlalu kecil
seperti hendak kahwin dengan jejaka yang bukan Islam,
walhal sebelum itu mereka berjubah dan bertudung labuh
dan pandai baca Quran dan tidak pernah tinggal
sembahyang. Inilah orang-orang Islam yang tidak
mengikat hubungan atau telah memutuskan hubungan
dengan Tuhan dan hanya mengikat diri dengan syariat
semata-mata.Lagi banyak mereka beribadah, lagi jauh
mereka dengan Tuhan.
Orang yang beribadah kerana pahala dan fadhilat dan
yang beribadah kerana Tuhan ibarat dua orang anak yang
berkhidmat kepada ibu mereka. Seorang berkhidmat
kerana setiap kali dia berkhidmat kepada ibunya, dia
diberi upah. Kalau ibunya tidak menjanjikan upah, maka
dia enggan berkhidmat.
Seorang lagi anak berkhidmat kepada ibunya tanpa minta
upah. Ada upah atau tidak ada upah, dia tetap setia
berkhidmat kepada ibunya.Apabila ditanya kenapa, dia
menjawab bahawa ibunya telah melahirkan dia. Kalau
ibunya tidak ada, maka dia pun tidak ada. Dia
berkhidmat hanya kerana ibunya itu ibunya dan dia
adalah anak. Sudah sepatutnyalah anak berkhidmat untuk
ibunya. Inilah sepatutnya sikap kita terhadap Tuhan.
Oleh itu, jangan kita hanya menyogok hal-hal syariat
sahaja kepada anak-anak kita dan masyarakat seperti
soal sembahyang, puasa, zakat, baca Quran, hukum hudud
dan sebagainya. Kita perlu banyakkan lagi usaha untuk
membawa mereka mengenal Tuhan, untuk merasakan mereka
itu adalah hamba kepada Tuhan. Kita mesti berusaha
untuk menanam di hati mereka rasa cinta dan takut
dengan Tuhan.Kalau ini dapat kita lakukan, maka soal
syariat akan jadi mudah. Orang yang sudah cinta dan
takut dengan Tuhan akan ghairah melakukan syariat
kerana itulah jalan baginya untuk membesarkan Tuhan
yang dicintainya dan untuk taat kepada Tuhan yang
ditakutinya. Orang yang cinta dengan Tuhan sudah tentu
ghairah untuk membuat apa sahaja yang disukai
Tuhannya. Orang yang takut dengan Tuhan sudah tentu
bimbang untuk membuat sesuatu yang tidak disukai atau
yang dibenci Tuhannya.