Tag Archives: solat

PENTADBIRAN KERAJAAN DALAM SOLAT BERJEMAAH

Aktiviti Harian - Solat Berjemaah Dilatih Pada Awal Usia Kanak-kanak

Aktiviti Harian – Solat Berjemaah Dilatih Pada Awal Usia Kanak-kanak

Mendirikan sembahyang itu adalah umpama menjalankan sebuah pentadbiran kerajaan Tuhan. Ketuanya Imam dibantu oleh muazzin (bilal), sepatutnya berada lebih awal di saf, selepas panggilan dilaungkan untuk membuat barisan. Imam dan bilal berbaris bersama makmum yang lain. Setelah itu mereka keluar dari saf untuk memastikan barisan saf dari depan hingga ke belakag lurus dan tidak menganggu laluan orang ramai. Setelah selesai barulah imam dan bilal megambil tempat semula dan iqamah bermula.

Suara imam dan bilal pula mestilah jelas dan kuat ketika mengimamkan sembahyang, bacaan doa, wirid dsbnya. Ini juga adalah latihan sebagai ketua atau pemimpin kerana seorang ketua mesti jelas suaranya supaya anak buah faham dan tahu apa arahan yang perlu diikuti. Atas nama latihan, imam dan bilal hendaklah digilir-gilirkan. Barulah dikenali kelemahan-kelemahan samada bacaan atau pegerakan. Bacaan yang jelas dan kuat membantu makmum menghayati sembahyang dan membolehkan imam ditegur kelemahan bacaannya.

Bacaan terutama dalam surah Al Fatehah kenalah satu-satu, tidak dirangkaikan ayat-ayatnya. Ini untuk memberi ruang respon untuk melahirkan rasa-rasa dalam sembahyang. Kerana kita telah diajar, setiap ayat di suratul Fatihah, hendaklah direspon dengan getaran di dada, “agungnya…”.

Imam mesti pandai mengimbangi supaya semua makmum dapat mengikuti pergerakan sembahyang dengan baik iaitu tidak boleh terlalu cepat atau lambat. Pernah seorang yang bersembahyang sunat terlalu cepat, ditegur oleh gurunya dengan soalan, “Adakah Tuhan yang disembah pada sembahyang fardhu lain dari Tuhan yang disembah pada sembahyang sunat? Mengapa tergesa-gesa? Lebih-lebih lagi sembahyang berjemaah, hilang keindahannya jika terlalu cepat atau terlalu lambat.

Maka perlu kerjasama antara imam, bilal dan makmum. Kalau tidak, dari penyusunan saf dah menyebabkan jadi lambat. Inilah yg dikatakan bermula dari sembahyang sudah berlaku satu pentadbiran kerajaan, ada ketua, ada anak buah, ada disiplin, ada peraturan, ada arahan yang perlu diikuti dan saling bekerjasama sama untuk memastikan program sembahyang berjalan lancar dari awal hingga akhir.

Imam sebagai pemimpin hendaklah bertanggung jawab. Tegas tapi bersederhanalah. Ada di kalangan makmum yang mempunyai hajat atau tugas-tugas yang perlu diselesaikan. Makmum pula, jika imam bersalah ada tatacara menegurnya. Umpamanya Imam tersilap bilangan rakaat, jika makmum terus menegur dengan penuh semangat, seperti di padang kawad: ‘Subhanallah!!’ tanpa niat di hatinya, ia adalah zikir untuk memberi faham atau zikir semata-mata, maka batallah sembahyangnya. Itulah ilmu sembahyang, kalau dipraktikkan ke dalam kepimpinan dan pemerintahan akan melahirkan masyarakat yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah.

MENERIMA RAMADHAN DENGAN PERASAAN TAKUT DAN BIMBANG

Kenapa kita perlu mempunyai rasa takut dan bimbang ketika menerima kedatangan Ramadhan? Jawabnya kerana Ramadhan adalah bulan berkat, bulan rahmat dan kasih sayang dari Allah untuk kita. Kita bimbang kita tidak benar-benar menghargai anugerah dan peluang dari Allah yang sangat berharga ini.
Ramadhan sepatutnya kita sambut dengan perasaan cemas kerana kita rasa – seperti tahun-tahun yang lalu, kita gagal menghayati Ramadhan. Ramadhan bulan ibadah tetapi biasanya Ramadhan inilah kita lebih bersuka-ria dan lalai dari mengingati Allah.
Ramadhan sepatutnya bulan kita tertumpu hati kepada Allah dan RasulNya tetapi sepanjang hidup kita, Ramadhan adalah bulan yang sibuk dengan pesta membeli belah. Sedangkan Ramadhan adalah bulan orang-orang soleh dan kekasih Allah ‘berpesta ibadah’. Mereka penuhi Ramadhan dengan sembahyang, puasa, bersedekah, menjamu orang, membaca Al-Quran, berselawat, berterawikh, sembahyang malam, berdoa dan sebagainya. Pada kebanyakan kita, Ramadhan hanya bulan menahan lapar dan dahaga. Keseronokan berpuasa dan berbuka dengan hidangan melimpah ruah adalah pesta – ketawa yang tidak pernah sudah.
Ramadhan di sisi orang-orang pilihan adalah menghayati makna kesabaran dan keredhaan. Mereka mahu turut merasa susah dengan penderitaan orang lain. Puasa yang dihayati akan mendorong mereka berusaha menolong yang susah, membantu meringankan bebanan kehidupan orang yang menderita dan kurang bernasib baik.
Sepanjang hidup kita, puasa kita hanya menempuh lapar dan dahaga. Ianya dikatakan puasa yang tertolak. Malanglah kerana tiada nilai di sisi Allah. Hati yang lalai itulah penyebab puasa kita tidak diterima Allah. Ianya sama seperti sembahyang kerana setiap ibadah itu mestilah mempunyai hubungan hati dengan Allah. Hubungan hati itulah yang dimaksudkan dengan rasa kehambaan dan rasa berTuhan. Itulah khusyuk yang sangat dituntut ketika kita mengerjakan ibadah. Ibadah bukan sekadar melakukan yang lahir tetapi menghayati apa yang Allah mahukan dari hati kita.
Hati kita mahu dicelikkan agar tetap kekal dengan Allah. Inilah yang sukar di dalam setiap ibadah kita dan inilah yang membezakan kita dengan orang-orang soleh. Hati yang tetap tidak putus dengan Allah itu bukan sekadar di dalam sembahyang sahaja. Di luar sembahyang – sepanjang 24 jam sehari semalam – jika kita tidak tidur atau pitam, kita wajib mengingati Allah.
Ianya hukum wajib taklifi atas setiap mukallaf. Lalai dari mengingati Allah ini dinamakan dosa batin. Ia dikira berdosa tapi dosa secara batin. Ini adalah dosa yang lebih serius berbanding dosa lahir. Dosa lahir, dapat dilihat dan diketahui oleh ibubapa atau guru tetapi dosa batin tersembunyi di dalam hati. Tiada siapa yang tahu kecuali yang empunya diri. Bahkan kerap kali yang empunya diri pun tidak menyedarinya seperti sombong, ujub (hairan dengan kelebihan diri), riak (mahu menunjuk-nunjuk kebaikan yang dibuat) dan lain-lain.
Jadi, adakah kita tidak boleh bergembira dengan kedatangan Ramadhan? Jawabnya bergembiralah sebagaimana Rasulullah saw dan para sahabat ‘bergembira’ menyambutnya kerana ianya busyra (khabar baik) dari Allah. Ramadhan adalah bulan yang menjanjikan limpahan rahmat dan keampunan Allah bagi sesiapa yang bersungguh-sungguh menghayatinya. Bukankah Allah permudahkan anak Adam dengan dibelenggu syaitan dan dibukakan pintu syurga untuk siapa yang berpuasa lahir dan batinnya?
Justeru sewajarnya kita menyambut Ramadhan dengan melakukan perkara berikut:1.Berdoa seperti doa Nabi saw:
Dari Anas bin Malik r.a berkata: “Nabi saw apabila tiba bulan Rejab baginda akan berdoa: “ Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. (Riwayat Ahmad dan Tabrani)

Para Salafussoleh berdoa kepada Allah supaya mempertemukan mereka ke bulan Ramadhan, kemudian berdoa supaya mereka dapat menyambut Ramadhan. Apabila kelihatan anak bulan Ramadhan mereka bergegas berdoa dengan berkata: “Allah Maha Besar, Ya Allah anugerahilah kami keamanan, keimanan, keselamatan dan Islam. Limpahkanlah kami taufik seperti yang Engkau sukai dan redhai, Tuhanku dan TuhanMu adalah Allah”. (Riwayat At-Tirmizi, Darimi dan disahihkan oleh Ibn Hibban)

2. Panjatkan pujian dan syukur kerana dipertemukan kita dengan Ramadhan. Menurut Imam Nawawi Rahimahullah di dalam Kitab Al-Azkar: “Ketahuilah bahawa Allah sangat menyukai orang yang apabila memperolehi nikmat yang zahir dan mengelakkan daripada terkena sesuatu kecelakaan yang zahir dia akan bersujud dan memuji-muji Allah kerana syukur kepadaNya”.

Di antara nikmat yang paling besar yang Allah kurniakan kepada hamba ialah taufik dan hidayah untuk melakukan ketaatan dan ibadah. Justeru suatu nikmat yang besar apabila seorang tiba bulan Ramadhan dalam keadaan kesihatan yang baik. Dengan itu sewajarnya dia bersyukur dan memuji Allah sebagai pemberi nikmat dan kelebihan kepadanya. Berilah pujian sebanyak-banyaknya sepertimana yang patut dilakukan kepada Allah SWT yang memiliki keagungan dan ketinggian kekuasaan.

3. Bergembira dan suka dengan kedatangan Ramadhan. Satu riwayat yang sahih dari Rasulullah saw, bahwa baginda akan menggembirakan para sahabat dengan kedatangan bulan Ramadhan sambil bersabda: “Telah datang bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan yang Allah wajibkan puasa di dalamnya, di bulan ini dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka”. (Ahmad)

Walaupun para salafussoleh yang terdiri dari para Sahabat dan Tabien sangat memberi perhatian dengan kedatangan bulan Ramadhan serta bergembira dengan ketibaannya, hati mereka yang khusyuk dengan Allah menghalang mereka dari terus merasa gembira. rasa sedih dan cemas itulah yang kembali dirasakan di dalam hati. Itulah hati orang yang kuat dengan Allah.

Gembira pun dalam bentuk sangat bersyukur dan malu dengan Allah. Bukannya gembira yang melalaikan hati dengan Allah. Mereka merasakan Ramadhan adalah bulan ujian untuk mereka. Itulah yang membimbangkan mereka dicelah-celah kegembiraan yang ada dengan kedatangan bulan yang mulia ini. Ganjaran yang dijanjikan Allah seolah-olah tidak mereka perhatikan sangat sebab yang lebih penting bagaimana mereka berusaha untuk taat dan patuh padaNya.4. Berazam memanfaatkan Ramadhan. Jika kita sentiasa merancang untuk dunia, kenapa kita tidak mula membuat perancangan untuk akhirat. Ramadhan adalah bulan yang terbaik bagi memulakan usaha membaiki diri dan meletakkan hati di landasan menuju Allah. Ramadhan adalah bulannya di mana kita memperolehi peluang yang banyak bersama Allah. Jadikan setiap waktunya adalah temu janji penting untuk mendidik jiwa sehingga teguh di atas niat sanggup segala-galanya demi Allah dan Rasul. Tentukan apa yang lebih utama dari yang sampingan. Tentukan agenda untuk Islam dan umat Islam lebih utama dari agenda peribadi dan keluarga. Beribadahlah sebanyak mana pun tetapi yang penting hati yang khusyuk dapat dirasakan dalam setiap ibadah.

5. Jadikan Ramadhan bulan menimba ilmu bukannya bulan untuk bermalas-malas dan hanya tidur seharian.  Menuntut ilmu adalah fardhu dan kewajipan. Hadiri majlis ilmu yang biasanya diadakan setiap pagi selepas subuh di kebanyakan masjid dan surau di negara kita. Beribadah kepada Allah wajiblah mempunyai pengetahuan dan tidak dibenarkan sama sekali jahil tentang perkara-perkara fadhu yang telah Allah wajibkan ke atas hambaNya. Oleh itu tentang puasa Ramadhan, seorang muslim sewajarnya mempelajari permasalahan dan hukum puasa supaya ibadah puasanya betul dan diterima Allah.

6. Sambutlah Ramadhan dengan taubat. Kita hendaklah menyambut ketibaan Ramadhan dengan azam untuk meninggalkan noda dan dosa serta bertaubat dengan sebenar-benarnya daripada semua keburukan, menyesal dan tidak mengulanginya semula. Ramadhan adalah bulan taubat. Justeru jika tidak bertaubat pada bulan ini bila lagi mahu bertaubat? Firman Allah: “Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman agar kamu beruntung”. (An-Nur: 31)7. Berbuat kebaikan dengan sesama insan dan berkasih sayang. Jadikan Ramadhan sebagai bulan kita membanyakkan khidmat kepada masyarakat. Ziarahi sahabat handai, rakan taulan serta saudara mara – jauh dan dekat. Tanyalah khabar mereka dan berusahalah membantu sedaya upaya apa jua masalah mereka. Jika masih ada ibubapa – dapatkan keredhaan dan keampunan mereka kerana apalah maknanya puasa dan ibadat tanpa keredhaan kedua ibubapa. Begitu juga dengan semua yang kita pernah bersalah dengan mereka – minta ampunlah dan berkasih sayanglah sesama manusia.

Bukankah Ramadhan adalah bulan keampunan? Untuk sesama kita – wajarlah kita meriahkan dengan saling maaf memaafkan, bertolak ansur, menjernihkan yang keruh, membuang yang busuk, mendekatkan yang jauh, merapatkan yang renggang dan membina semuanya semula dengan kasih sayang. Rahmat Allah di bulan yang mulia ini sangat besar dan bermakna bagi mereka yang mahu merendah diri serta mahu menghubungkan silaturrahim.
“Ya Allah, sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

KEAGUNGAN SOLAT

24 ciri keagungan solat:

1.Ia merupakan ibu segala ibadah
‎2. Ia merupakan tiang seri agama Islam
‎3. Ia diperintah oleh Allah dengan cara Allah Taala memanggil Rasulullah SAW mengadapNya pada malam Israk Mikraj tanpa melalui Malaikat Jibrail sedangkan suruhan amalan yang lain diterima melalui Malaikat Jibrail.

4. Siapa yang meninggalkan solat , dia menjadi kafir.
Maksud hadis ;
“Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja – kafir yang nyata”

5. Di dalam solat, seluruh anggota terlibat, perbuatan, perkataan, fizikal, bacaan ,( lisan ) dan hati atau roh, kerana merasa dan menjiwai dan akal kerana memahami (4 anggota berjalan serentak ).

6. Mengerjakannya disyaratkan suci lahir dan batin daripada hadas ‎besar dan kecil, najis ‘ain dan najis hukmi.

7. Kena mengadap kiblat, ertinya merupakan lambang perpaduan umat Islam.

8.Terikat dengan waktu.

9. Digalakkan berjemaah.

10. Berbagai-bagai amalan malaikat ada di dalam solat kerana malaikat itu ibadahnya hanya satu perkara sahaja seperti ada yang bertasbih sahaja sejak diperintah hinggalah hari kiamat; ada yang bertakbir sahaja, rukuk sahaja, berdiri sahaja, ada yang sujud sahaja, begitulah seterusnya.

11. Ada berbagai bentuk amalan di dalam solat, ada berdiri, ada ruku’ ada sujud, duduk antara dua sujud, ada tasbih, ada tahmid, ada takbir, ada munajat, ada berbagai bentuk doa, ada zikir, ada selawat, ada fizikal, ada akal, ada roh, ada material ada maknawi.
12. Ia merupakan ibadah yang terikat dengan disiplin yang tertentu dan cara yang tertentu.

13. Amalan solat merupakan intipati dan intisari ajaran Islam. Di dalamnya ada aqidah, ada ibadah, ada thaharah, ada masyarakat, ada perpaduan, ada disiplin ada pemimpin, ada yang dipimpin (politik), ada pendidikan, ada syariat, ada tasawuf, ada akhlak, ada kebudayaan, ekonomi dan psikologi. Ertinya solat menggambarkan ajaran Islam secara ijmali (rangkuman)

14. Ia merupakan penyembahan atau peribadatan yang paling lengkap, kerana segala bentuk ibadah dan zikir para malaikat wujud di dalam solat.

15. Ia merupakan zikir yang paling besar atau agung, kerana seluruh bentuk zikir ada di dalam solat.

16. Ia merupakan peribadatan di mana semua anggota lahir dan batin terlibat, ada yang bersifat fizikal dan ada yang bersifat maknawi dan rohani.

17. Dalam solat seluruh bentuk doa ada, ertinya berbagai ‎permintaan ada di dalam solat.

18. Berbagai amalan para rasul ada di dalam solat.

19. Solat merupakan mikraj orang mukmin.

20. Pada solat ada latihan jasmani, ada latihan mental dan ada latihan rohani.

21. Solat merupakan simbol merendah diri, ketaatan dan kepatuhan dan symbol manusia berdiri di padang mahsyar seolah-olah berhadapan dengan Tuhan menunggu perintahNya.

22. Solat merupakan pembaharuan ikrar manusia kepada Tuhan sehari semalam lima kali.

23. Solat merupakan pembaharuan syahadah dan iman.
Maksud ayat Quran ;
“ Perbaharuilah iman kamu dengan ucapan “Lailahaillallah”.

24. Solat merupakan pembersihan jiwa dan dosa.

‎PERANAN SOLAT

1. Menghayati solat bermaksud menghayati dan merasakan di dalam hati setiap lafaz dan ungkapan di dalamnya. Bukan sekadar tahu maknanya sahaja.
2. Menghayati solat dapat membangun jiwa dan mental, memperolehi hikmah dan didikan, akhirnya akan terbinalah peribadi agung yang memiliki tujuh ciri.

3. Oleh itu peranan solat ;
Akan melahirkan peribadi yang agung dan kuat keyakinannya
Akan melahirkan peribadi yang kuat imannya.
Akan melahirkan peribadi yang kuat dan agung akhlaknya.
Akan melahirkan peribadi yang berdisiplin dalam hidupnya.
Akan melahirkan hamba Allah yang bersih jiwanya dari sifat-sifat mazmumah.
Akan melahirkan hamba Allah yang bersih lahir dan batinnya dari maksiat dan kemungkaran, kalaupun ada sangat sedikit.
Akan melahirkan peribadi yang kuat syariatnya.

4. Peribadi agung yang memiliki 7 ciri ini menjadikan bangsa-bangsa lain boleh bernaung di bawah mereka. Ini kerana peribadi-peribadi agung ini dinaungi oleh Allah SWT Yang Maha Agung.

SOLAT YANG ADA ROH

Solat yang benar-benar dihayati lahir dan batin akan membuahkan peribadi yang agung, iaitu lahir satu bangsa yang kuat dan berdaulat. Bukan sahaja berdaulat tetapi boleh mencatur dunia dengan ajaran Allah hingga bukan umat Islam dapat manfaat tetapi orang bukan Islam pun dapat manfaat di dunia ini. Kalau begitu ajaran Islam ini sangat indah dan hebat, selamat dan menyelamatkan. Selama ini kita lakukan solat sekadar cukupkan syarat dan rukunnya sahaja.

Hasil solat yang tepat dan dijiwai atau ada roh akan menjadikan dirinya sangat memberikan manfaat kepada umat Islam dan orang bukan Islam di atas muka bumi ini. Hasil solat yang agung juga dapat bangunkan satu bangsa yang berkasih sayang, yang bersatu padu, yang boleh rasa bersama, bekerjasama, boleh berdaulat dan menjadi empayar. Islam yang menaungi dunia.

BAGAIMANA SOLAT BOLEH MEMBINA KEKUATAN.

Solat atau sembahyang itu, Tuhan yang menetapkan rukun-rukunnya. Ia bukan ciptaan manusia, bukan direka-reka atau dibentuk oleh manusia. Kalau difahami dan dihayati, sembahyang itu adalah sesuatu yang sangat hebat. Kita akan dapat merasakan bahawa Tuhan itu hebat. Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya tetapi terasa kebesaran-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan bagaimana wujud-Nya tetapi terasa wujud-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya tetapi terasa kekuasaan-Nya. Terasa oleh kita akan kesempurnaan Tuhan. Kita boleh minta apa sahaja dari Tuhan. Tuhan sedia melayannya.

Solat itu adalah satu modul yang lengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia. Dalam solat ada ubat, ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung. Boleh timbul berbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solatnya tetapi dengan syarat, mesti ada ilmunya, faham dan solat itu benar-benar dijiwai serta dihayati.

PENDIDIKAN ITU MELALUI IBADAH.

Untuk mendapatkan sifat-sifat yang agung ini bukanlah sesuatu yang senang. Perlu ada latihan yang berterusan dalam keluarga yang mendidik ke arah solat yang agung. Kalau tidak ada pimpinan dalam keluarga yang mendidik, ia mustahil boleh berlaku. Pemimpin keluarga itu pula tidak boleh sebarang atau calang-calang ketua keluarga. Ketua keluarga yang hendak menjadikan keluarganya kuat dan agung mestilah mempunyai segala ciri-ciri dan sifat-sifat yang agung itu pada dirinya terlebih dahulu. Kalau tidak, bagaimana dia mahu mendidik anak isterinya supaya mempunyai ciri dan sifat yang agung tadi. Dia mesti usahakan berkat dari Tuhan melalui mursyidnya. Bila terhubung berkat dengan mursyidnya barulah ada kekuatan. Dia juga akan memiliki kekuatan yang mampu mendidik hati-hati manusia sepertimana para nabi dan rasul mendidik. Dia mesti faham perjalanan hati dan roh manusia. Dia mestilah orang yang sangat bertaqwa dan mempunyai wibawa yang tinggi. Manusia mudah memberi hati, mencintai dan taat kepadanya.

Pendidikan keluarga mestilah melalui ibadah. Itulah sebabnya Tuhan memerintahkan kita supaya beribadah kepada-Nya sama ada ibadah pokok mahupun ibadah sampingan atau sunat. Kalau ibadah yang Tuhan perintahkan itu kita laksanakan dengan bersungguh-sungguh maka dari situ akan lahirlah kekuatan sesuatu bangsa. Ibadah pokok atau ibadah asas ialah solat lima waktu. Ibadah-ibadah lain adalah sampingan atau sunat. Ibadah pokok atau ibadah asas mesti ada. Ia menjadi syarat. Kalau ibadah pokok atau asas ini tidak cukup untuk memberi kekuatan, ia boleh ditampung dan dicukupkan oleh ibadah-ibadah sampingan yang lain. Kekuatan yang timbul atau yang boleh diperolehi dari setiap ibadah itu pula tertakluk dan berkait rapat dengan tiga perkara iaitu:

1. Ilmu
2. Kefahaman
3. Penghayatan

Setiap ibadah yang dibuat mesti mempunyai ketiga-tiga perkara ini.

Ilmunya sudah tentu penting kerana tanpa ilmu kita tidak tahu cara yang sebenar untuk beribadah dan ibadah kita pasti akan tertolak. Tuhan tidak terima ibadah yang dibuat tanpa ilmu. Kefahaman lebih penting. Faham itulah hikmahnya. Faham itu ialah ilmu dalam ilmu. Sebab itulah ada Hadis yang mengatakan: “Barangsiapa yang hendak dijadikan baik, maka dia diberi faham tentang agama.” (Riwayat Muawiyah)

Dalam doa pun selalu kita minta kepada Tuhan begini: Maksudnya: “Ya Tuhanku, berikanlah aku ilmu dan rezekikanlah aku kefahaman.”

Kemuncak daripada ilmu dan faham itulah penghayatan. Penghayatan itu ialah apabila ilmu dan kefahaman itu betul-betul menjadi roh kita, otak kita, hati kita dan sikap kita. Apabila sesuatu ibadah itu ada ilmunya, difaham dan dihayati maka akan jadilah ibadah itu satu sumber kekuatan. Inilah sumber kekuatan umat Islam yang Allah janjikan. Siapa yang mengusahakannya pasti akan dibantu. Siapa yang bercita-cita menjadi pejuang Islam dan pejuang kebenaran, ini mesti diketahui dan diambil perhatian. Jika tidak, perjuangannya boleh dipersoalkan dan dipertikaikan. Dari mana lagi sumber kekuatan umat Islam jika tidak dari sembahyang!

NASIHAT IMAM AL-GHAZALI

Pada suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu beliau mengajukan 6 pertanyaan.

Pertanyaan Pertama, ”Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?”. Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, kawan-kawan ,dan kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu betul, tetapi yang paling dekat dengan kita adalah “MATI”. Sebab itu sudah janji Allah SWT bahwa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran 185)

Pertanyaan kedua, “Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”. Murid-muridnya ada yang menjawab bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah betul. Tapi yang paling betul adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apa pun kendaraan kita, tetap kita tidak boleh kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.

Pertanyaan yang ketiga, “Apa yang paling besar di dunia ini?”. Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi, lautan dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghozali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah “NAFSU” (Al A’Raf 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

Pertanyaan ke empat, “Apa yang paling berat di dunia ini?”. Ada yang menjawab baja, besi, dan gajah. Semua jawaban itu benar, kata Imam Ghazali. Tapi yang paling berat adalah “memegang AMANAH” (Al Ahzab 72). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi kalifah (pemimpin) di dunia ini.Tetapi manusia dengan sombongnya sanggup menyambut permintaan Allah SWT,sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak mampu memegang amanahnya.

Pertanyaan yang kelima, “Apa yang paling ringan di dunia ini?”.
Ada yang menjawab kapas, angin, debu, dan daun-daun. Semua itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling ringan di dunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.

Lantas pertanyaan ke enam, “Apakah yang paling tajam di dunia ini?”
Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang… Benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling tajam adalah “LIDAH MANUSIA”. Kerana melalui lidah,  manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Call Now
Directions