Tag Archives: Syaaban

PENGERTIAN SYAABAN

PENGERTIAN SYAABAN

Bulan Syaaban merupakan bulan kelapan dalam kalendar Islam yang datang selepas bulan Rejab. Bulan Syaaban juga merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, dan pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Syaaban dimengertikan sebagai berpecah-pecah atau berpuak-puak. Dikatakan masyarakat Quraisy pada waktu itu berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir. Dan apabila datangnya Rasulullah S.A.W, baginda mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah S.A.W telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah S.A.W bertanya kepada sahabat-sahabatnya;

“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah S.A.W, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama)

MALAM NISFU SYAABAN

Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban. Maka, Nisfu Syaaban adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu.

Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam keadaan tidur atau lalai. Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W tidak tidur pada malam itu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a: “Rasulullah S.A.W telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda S.A.W dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda S.A.W berkata dalam sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.” Baginda Rasulullah sendiri telah menggalakkan kita agar beramal pada malam kemuliaan nisfu syaaban dengan sabdanya :

Ertinya : “ Apabila tiba malam Nisfu Syaaban , maka hendaklah kalian bangun pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya, ini kerana Allah swt (turun merahmati hamba-hambaNya) pada malam tersebut mulai dari terbenamnya matahari ke langit dunia. Allah swt berfirman ” Adakah dari kalangan hamba-hambaKu yang memohon keampunan, maka akan Ku ampunkannya. Adakah dari kalangan mereka yang memohon rezeki , maka akan Ku turunkan rezeki untuknya. Adakah dari kalangan mereka orang yang ditimpa bala, maka akan Ku sejahterakannya. Adakah dari kalangan mereka yang begini dan adakah dari kalangan mereka yangt begini sehinggalah terbit Fajar “.

Setelah Baginda S.A.W selesai sembahyang, Baginda berkata kepada Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang2 yang dengki.”

Hari nisfu Syaaban adalah hari di mana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Syaaban bermula pada 14 hb Syaaban sebaik sahaja masuk maghrib).

FADHILAT BULAN SYAABAN

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
Memperbanyakkan puasa sunat

Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah S.A.W lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini. Begitulah tingginya pekerti Nabi Muhammad nabi junjungan kita.

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid.”

Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W.

Kita sebagai umat Islam juga digalakkan untuk memperbanyak doa, zikir, dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: “Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)

BERTAUBAT

Kita juga digalakkan untuk melalukan taubat kepada Allah SWT. Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: “Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu.” Sabda Nabi s.a.w.: Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu. Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi taulan (teman) Nabi Allah Yusuf a.s.di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub a.s. dan Nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya Sakaratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nakir, ditutup Allah keaipannya di hari kiamat dan diwajibkan syurga baginya. Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Syaaban dan akhir Khamis daripada Syaaban, dimasukkan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah). Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w. ialah bulan Syaaban.”

Sabda Nabi s.a.w.: “Syaaban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani). Sabda Nabi s.a.w.: “Bahawa puasa Syaba’an kerana membesarkan Ramadhan. Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Syaaban, kemudian dia bersalawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa maka di ampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatikan rezeki baginya” antara lain sabdanya lagi: “Bahawa Allah Ta’ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat”.

TAKUT DAN BIMBANG MENEMPUH RAMADHAN

Petikan: www.suaramuhajirin313.blogspot.com
Kenapa kita perlu mempunyai rasa takut dan bimbang ketika menerima kedatangan Ramadhan? Jawabnya kerana Ramadhan adalah bulan berkat, bulan rahmat dan kasih sayang dari Allah untuk kita. Kita bimbang kita tidak benar-benar menghargai anugerah dan peluang dari Allah yang sangat berharga ini.
Ramadhan sepatutnya kita sambut dengan perasaan cemas kerana kita rasa – seperti tahun-tahun yang lalu, kita gagal menghayati Ramadhan. Ramadhan bulan ibadah tetapi biasanya Ramadhan inilah kita lebih bersuka-ria dan lalai dari mengingati Allah.
Ramadhan sepatutnya bulan kita tertumpu hati kepada Allah dan RasulNya tetapi sepanjang hidup kita, Ramadhan adalah bulan yang sibuk dengan pesta membeli belah. Sedangkan Ramadhan adalah bulan orang-orang soleh dan kekasih Allah ‘berpesta ibadah’. Mereka penuhi Ramadhan dengan sembahyang, puasa, bersedekah, menjamu orang, membaca Al-Quran, berselawat, berterawikh, sembahyang malam, berdoa dan sebagainya. Pada kebanyakan kita, Ramadhan hanya bulan menahan lapar dan dahaga. Keseronokan berpuasa dan berbuka dengan hidangan melimpah ruah adalah pesta – ketawa yang tidak pernah sudah.
Ramadhan di sisi orang-orang pilihan adalah menghayati makna kesabaran dan keredhaan. Mereka mahu turut merasa susah dengan penderitaan orang lain. Puasa yang dihayati akan mendorong mereka berusaha menolong yang susah, membantu meringankan bebanan kehidupan orang yang menderita dan kurang bernasib baik.
Sepanjang hidup kita, puasa kita hanya menempuh lapar dan dahaga. Ianya dikatakan puasa yang tertolak. Malanglah kerana tiada nilai di sisi Allah. Hati yang lalai itulah penyebab puasa kita tidak diterima Allah. Ianya sama seperti sembahyang kerana setiap ibadah itu mestilah mempunyai hubungan hati dengan Allah. Hubungan hati itulah yang dimaksudkan dengan rasa kehambaan dan rasa berTuhan. Itulah khusyuk yang sangat dituntut ketika kita mengerjakan ibadah. Ibadah bukan sekadar melakukan yang lahir tetapi menghayati apa yang Allah mahukan dari hati kita.
Hati kita mahu dicelikkan agar tetap kekal dengan Allah. Inilah yang sukar di dalam setiap ibadah kita dan inilah yang membezakan kita dengan orang-orang soleh. Hati yang tetap tidak putus dengan Allah itu bukan sekadar di dalam sembahyang sahaja. Di luar sembahyang – sepanjang 24 jam sehari semalam – jika kita tidak tidur atau pitam, kita wajib mengingati Allah.
Ianya hukum wajib taklifi atas setiap mukallaf. Lalai dari mengingati Allah ini dinamakan dosa batin. Ia dikira berdosa tapi dosa secara batin. Ini adalah dosa yang lebih serius berbanding dosa lahir. Dosa lahir, dapat dilihat dan diketahui oleh ibubapa atau guru tetapi dosa batin tersembunyi di dalam hati. Tiada siapa yang tahu kecuali yang empunya diri. Bahkan kerap kali yang empunya diri pun tidak menyedarinya seperti sombong, ujub (hairan dengan kelebihan diri), riak (mahu menunjuk-nunjuk kebaikan yang dibuat) dan lain-lain.
Jadi, adakah kita tidak boleh bergembira dengan kedatangan Ramadhan? Jawabnya bergembiralah sebagaimana Rasulullah saw dan para sahabat ‘bergembira’ menyambutnya kerana ianya busyra (khabar baik) dari Allah. Ramadhan adalah bulan yang menjanjikan limpahan rahmat dan keampunan Allah bagi sesiapa yang bersungguh-sungguh menghayatinya. Bukankah Allah permudahkan anak Adam dengan dibelenggu syaitan dan dibukakan pintu syurga untuk siapa yang berpuasa lahir dan batinnya?
Justeru sewajarnya kita menyambut Ramadhan dengan melakukan perkara berikut:

1.Berdoa seperti doa Nabi saw:
Dari Anas bin Malik r.a berkata: “Nabi saw apabila tiba bulan Rejab baginda akan berdoa: “ Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. (Riwayat Ahmad dan Tabrani)

Para Salafussoleh berdoa kepada Allah supaya mempertemukan mereka ke bulan Ramadhan, kemudian berdoa supaya mereka dapat menyambut Ramadhan. Apabila kelihatan anak bulan Ramadhan mereka bergegas berdoa dengan berkata: “Allah Maha Besar, Ya Allah anugerahilah kami keamanan, keimanan, keselamatan dan Islam. Limpahkanlah kami taufik seperti yang Engkau sukai dan redhai, Tuhanku dan TuhanMu adalah Allah”. (Riwayat At-Tirmizi, Darimi dan disahihkan oleh Ibn Hibban)

2. Panjatkan pujian dan syukur kerana dipertemukan kita dengan Ramadhan. Menurut Imam Nawawi Rahimahullah di dalam Kitab Al-Azkar: “Ketahuilah bahawa Allah sangat menyukai orang yang apabila memperolehi nikmat yang zahir dan mengelakkan daripada terkena sesuatu kecelakaan yang zahir dia akan bersujud dan memuji-muji Allah kerana syukur kepadaNya”.

Di antara nikmat yang paling besar yang Allah kurniakan kepada hamba ialah taufik dan hidayah untuk melakukan ketaatan dan ibadah. Justeru suatu nikmat yang besar apabila seorang tiba bulan Ramadhan dalam keadaan kesihatan yang baik. Dengan itu sewajarnya dia bersyukur dan memuji Allah sebagai pemberi nikmat dan kelebihan kepadanya. Berilah pujian sebanyak-banyaknya sepertimana yang patut dilakukan kepada Allah SWT yang memiliki keagungan dan ketinggian kekuasaan.

3. Bergembira dan suka dengan kedatangan Ramadhan. Satu riwayat yang sahih dari Rasulullah saw, bahwa baginda akan menggembirakan para sahabat dengan kedatangan bulan Ramadhan sambil bersabda: “Telah datang bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan yang Allah wajibkan puasa di dalamnya, di bulan ini dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka”. (Ahmad)

Walaupun para salafussoleh yang terdiri dari para Sahabat dan Tabien sangat memberi perhatian dengan kedatangan bulan Ramadhan serta bergembira dengan ketibaannya, hati mereka yang khusyuk dengan Allah menghalang mereka dari terus merasa gembira. rasa sedih dan cemas itulah yang kembali dirasakan di dalam hati. Itulah hati orang yang kuat dengan Allah.

Gembira pun dalam bentuk sangat bersyukur dan malu dengan Allah. Bukannya gembira yang melalaikan hati dengan Allah. Mereka merasakan Ramadhan adalah bulan ujian untuk mereka. Itulah yang membimbangkan mereka dicelah-celah kegembiraan yang ada dengan kedatangan bulan yang mulia ini. Ganjaran yang dijanjikan Allah seolah-olah tidak mereka perhatikan sangat sebab yang lebih penting bagaimana mereka berusaha untuk taat dan patuh padaNya.

4. Berazam memanfaatkan Ramadhan. Jika kita sentiasa merancang untuk dunia, kenapa kita tidak mula membuat perancangan untuk akhirat. Ramadhan adalah bulan yang terbaik bagi memulakan usaha membaiki diri dan meletakkan hati di landasan menuju Allah. Ramadhan adalah bulannya di mana kita memperolehi peluang yang banyak bersama Allah. Jadikan setiap waktunya adalah temu janji penting untuk mendidik jiwa sehingga teguh di atas niat sanggup segala-galanya demi Allah dan Rasul. Tentukan apa yang lebih utama dari yang sampingan. Tentukan agenda untuk Islam dan umat Islam lebih utama dari agenda peribadi dan keluarga. Beribadahlah sebanyak mana pun tetapi yang penting hati yang khusyuk dapat dirasakan dalam setiap ibadah.

5. Jadikan Ramadhan bulan menimba ilmu bukannya bulan untuk bermalas-malas dan hanya tidur seharian.  Menuntut ilmu adalah fardhu dan kewajipan. Hadiri majlis ilmu yang biasanya diadakan setiap pagi selepas subuh di kebanyakan masjid dan surau di negara kita. Beribadah kepada Allah wajiblah mempunyai pengetahuan dan tidak dibenarkan sama sekali jahil tentang perkara-perkara fadhu yang telah Allah wajibkan ke atas hambaNya. Oleh itu tentang puasa Ramadhan, seorang muslim sewajarnya mempelajari permasalahan dan hukum puasa supaya ibadah puasanya betul dan diterima Allah.

6. Sambutlah Ramadhan dengan taubat. Kita hendaklah menyambut ketibaan Ramadhan dengan azam untuk meninggalkan noda dan dosa serta bertaubat dengan sebenar-benarnya daripada semua keburukan, menyesal dan tidak mengulanginya semula. Ramadhan adalah bulan taubat. Justeru jika tidak bertaubat pada bulan ini bila lagi mahu bertaubat? Firman Allah: “Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman agar kamu beruntung”. (An-Nur: 31)

7. Berbuat kebaikan dengan sesama insan dan berkasih sayang. Jadikan Ramadhan sebagai bulan kita membanyakkan khidmat kepada masyarakat. Ziarahi sahabat handai, rakan taulan serta saudara mara – jauh dan dekat. Tanyalah khabar mereka dan berusahalah membantu sedaya upaya apa jua masalah mereka. Jika masih ada ibubapa – dapatkan keredhaan dan keampunan mereka kerana apalah maknanya puasa dan ibadat tanpa keredhaan kedua ibubapa. Begitu juga dengan semua yang kita pernah bersalah dengan mereka – minta ampunlah dan berkasih sayanglah sesama manusia.

Bukankah Ramadhan adalah bulan keampunan? Untuk sesama kita – wajarlah kita meriahkan dengan saling maaf memaafkan, bertolak ansur, menjernihkan yang keruh, membuang yang busuk, mendekatkan yang jauh, merapatkan yang renggang dan membina semuanya semula dengan kasih sayang. Rahmat Allah di bulan yang mulia ini sangat besar dan bermakna bagi mereka yang mahu merendah diri serta mahu menghubungkan silaturrahim.
“Ya Allah, sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.
Call Now
Directions