Tag Archives: Tuhan

MANUSIA YANG HIDUP DI DUNIA DAN MACAM-MACAM YANG DICARINYA

Manusia yang hidup di muka bumi Tuhan ini,
Macam-macam yang mereka cari,
Kebanyakan mereka dapat,
Ada yang dapat kekayaan,
Ada yang dapat kekuasaan,
Ada yang dapat nama dan glamour,
Ada yang dapat perempuan di sekeliling pinggang,
Ada yang mendapat kekuatan,
Ada yang mendapat intan berlian,
Ada yang mendapat pengikut yang ramai,
Ada yang dapat Tuhan,
Tetapi yang dapat Tuhan tak ramai orang,
Tetapi pelik, yang mendapat Tuhan
Walau bagaimana besar pun tahan ujian,
Tidak ada seorang pun yang dapat Tuhan yang membunuh diri
Di dalam kehidupan,
Tetapi yang dapat selain Tuhan,
Kebanyakannya membunuh diri
Kerana bila mendapat ujian tidak tahan,
Kadang-kadang disebabkan isteri membunuh diri,
Kadang-kadang disebabkan sakit tidak tahan
Mencabut nyawa sendiri,
Kadang-kadang ujian dari kawan-kawan tidak tahan
Bunuh diri sendiri,
Seolah-olah itu jalan keluar,
Setengah orang kematian isteri atau suami yang disayang
Bunuh diri sendiri,
Setengah mereka kekayaan hilang, hati tak tahan
Membunuh diri sendiri,
Setengah orang ada kekuasaan kemudian didatangkan ujian
Negeri diserang orang, dia tak tahan,
Dia cabut nyawa sendiri,
Tetapi pelik, yang dapat Tuhan, walaupun ujian mereka
Lebih dahsyat yang ditimpakan oleh Tuhan
Tak pernah bunuh diri walaupun seorang,
Contoh di dalam sejarah, untuk ingatan
Nabi Ibrahim AS dibakar oleh api
tak pernah kecewa perasaan,
Nabi Musa AS empat puluh tahun tersesat di Padang Teh
Berhadapan dengan kerenah pengikut-pengikutnya yang jahat
Selepas itu terjun kedalam lautan
Sebesar habuk pun hatinya tidak ada kecewa,
Nabi Yusof AS berpisah dengan bapanya empat puluh tahun
Dikhianati oleh saudara-saudaranya
Kemudian difitnah dengan perempuan
Hatinya tak pernah cacat,
Nabi Muhammad SAW pernah di ISAkan
Bersama keluarganya tiga tahun lamanya,
Didalam peperangan patah gigi Baginda,
Terperosok didalam lubang,
Pernah nak dibunuh oleh musuhnya
Dengan dikepung rumahnya,
Isteri Baginda difitnah oleh musuh-musuhnya yang memalukan
Baginda tetap tenang,
Apa rahsianya?
Orang dapat Tuhan, walau bagaimana besar pun ujian,
Bukan sahaja tidak membunuh diri,
Tapi sedikit pun hatinya tidak ada kecacatan,
Apa rahsianya?
Orang dapat Tuhan, hatinya tidak cacat,
Sedangkan selain itu orang yang mendapat harta,
Kekayaan, kekuasaan,
Intan berlian dan perempuan,
Mereka dapat tapi murah,
Tetapi orang yang mendapat Tuhan,
Walaupun besar ujian
Dia boleh tahan,
Orang yang mendapat selain Tuhan,
Walaupun banyak dia mendapat sesuatu yang murahan
Sedikit pun terima ujian tak tahan
Kalau pun tidak bunuh diri,
Hatinya keluh kesah,
Fikirannya tak keruan,
Hidup gelisah sepanjang zaman,
Itu baru di dunia,
Belum di Akhirat,
Orang yang mendapat Tuhan,
Di Akhirat dapat kebahagian
Didalam syurga selama-lamanya,
Tidak diukur oleh masa,
Yang mendapat selain Tuhan,
Di Akhirat lagilah kecundang,
Masuk dalam neraka, azabnya tidak dapat diceritakan,
Berlaku selama-lamanya
Tidak diukur oleh masa.

09-07-06

AGAMA ADALAH SELURUH KEHIDUPAN

Agama adalah seluruh kehidupan
Ada yang lahir ada yang batin
Iman, Islam dan ihsan adalah patinya atau ajaran terpokok
Pecahan dari tiga aspek tadi yang merupakan satu pakej jadilah agama itu luasnya seluruh kehidupan
Adakalanya disebut hablumminallah wahablumminannas
Hablumminallah adalah asas dan tapak agama dari Tuhan
Hablumminannas adalah cabangnya atau buah daripada hablumminallah
Ertinya agama itu ia berlaku dan mesti berlaku di mana-mana
Di dalam masjid sudah tentu semua orang tahu
Ia berlaku di pejabat, di pasar di tengah masyarakat, di dalam perjuangan, di dalam kebudayaan dan perhubungan
Di rumah tangga di dalam perhubungan, di dalam negara atau antarabangsa
Berlaku di dalam jiran tetangga di dalam pendidikan formal atau tidak formal
Berkasih sayag, rasa bersama bekerjasama bersatu-padu adalah agama
Di dalam perhimpunan di dalam perayaan, di dalam mesyuarat ,di dalam bersukan mesti ada agama
Bertimbang rasa, perikemanusiaan bertolak ansur, berlapang dada agama juga
Di waktu memandu di jalan raya membersihkan bandar ketika bertugas menjadi nelayan bekerja di kilang semuanya agama
Mentadbir negara, menjaga negara menjaga keselamatan dan keamanan juga agama
Berkawan, berkenalan, berbual makan, rehat-rehat ,tidur dan baring adalah agama
Begitulah luasnya agama tidak seperti yang difaham selama ini oleh kita
Tanggapan ramai orang Islam agama itu hanya semata-mata ibadah rukun Islam serta sunat-sunatnya
Kalau agama itu berlaku di mana-mana selagi berlaku syariat Tuhan sebagai disiplinnya, itu ibadah umumlah namanya
Ertinya agama atau ibadah itu berlaku di udara, di darat, di laut di hutan, di bukit, di gunung di padang pasir
selagi ada manusia
Kalau agama berlaku di mana-mana ertinya ibadah umum berlaku di mana-mana sahaja selagi ada manusia
Sekiranya agama berlaku di mana-mana sahaja selamatlah manusia
Kerana maknanya agama itu tidak kacau mengikut bahasa Sanskrit
Ertinya orang beragama tidak huru-hara di dalam kehidupan ertinya aman damai, harmoni, bahagia
Tapi makna agama itu telah dipersempit maka manusia hidup huru-hara dimana-mana bahkan berlaku di masjid
Kerana itulah umat Islam hina di mana-mana kerana agama yang diamalkan selama ini adalah sempit

Menjelang Zuhur
04 – 03 – 2004

KEKAYAAN, KESENANGAN, KEMEWAHAN ADALAH SEKEJAP – YANG LAMA ADALAH PENDERITAAN DAN KESUSAHAN

Mari kita sama-sama menerima peluang rezeki umur dan bermacam pengalaman yang Allah berikan kepada kita untuk menyaksikan berbagai perkara di dunia. Banyaklah yang boleh diambil iktibar. Rupa-rupanya ada perkara yang kita fikirkan di masa muda, secara realitinya tidak dapat kita lakukan. Tuhan telah tetapkan segalanya.

Sebagai contohnya ialah soal mencari kesenangan. Siapa pun memang mempunyai cita-cita hidup senang lenang, kaya raya dan sebagainya. Cuma kita dapati biasanya hal sebegitu tidak lama. Kalau pun sudah berhempas pulas berusaha sejak muda, hanya taqdir Tuhan yang akan berlaku. Kadang-kadang kita lihat dalam berusaha mencari kesenangan – untuk keluarga dan anak cucu – tanpa mengira halal haram semuanya di rempuh asalkan dapat apa yang diharap-harapkan. Bila kekayaan sudah melimpah ruah, baru hendak berehat dan santai, datang pula berbagai masalah baru. Sebenarnya masalah ini wujud sejak awal usaha mengejar dunia.

Ditipu, dirompak, difitnah, dituduh di mahkamah, kerugian, perceraian, kematian anak atau isteri, menderita sakit, sakit jiwa dan berbagai ragam masalah lagi adalah ‘pakej’ ujian yang datang silih berganti. Inilah yang lumrah terjadi. Ianya sangat menginsafkan betapa dunia itu sangat menipu. Kadang-kadang kelihatan tidak ada apa-apa tetapi setelah kesenangan yang dikejar begitu lama, bila sudah dapat, rupanya ada masalah lain yang menanti bersama kesenangan. Banyak kesusahan yang tersembunyi di sebalik kesenangan. Itulah yang malangnya,.

Kita boleh lihat ramai tokoh gerakan Islam di Malaysia yang berkata umat Islam mesti kaya untuk bela Islam. Maka mereka pun berusaha dengan berbagai cara – yang halal dan haram – demi memastikan mereka jadi kaya. Dan untuk membolehkan kekayaan itu menjadi tapak membangunkan ‘Islam’ yang dicita-citakan, maka mereka memujuk anak-anak untuk bersekolah di mana-mana sekolah Islam. Yang hantar ke sekolah tahfiz pun ramai. Asalkan sianak mahu belajar, siayah akan sangup menghantar mereka ke mana sahaja.

Ada seorang tokoh yang ada cita-cita Islam, 30 tahun lalu berfikiran seperti apa yang dinyatakan ini. Anaknya 3 orang dihantar ke sekolah tahfiz. Si ayah sibuk menguruskan dunia korporat – mengejar dan merebut peluang demi peluang. Kesibukan mengurus perniagaan yang makin berkembang menjadikan dia lupa niat awalnya. Dunia korporat yang dikejar. Empayar perniagaan dikembang biakkan dengan pelbagai bidang operasi di bawah anak-anak syarikat. Maka akhirnya anak-anak tidak sempat habis belajar. Mereka dipanggil pulang untuk membantunya menguruskan perniagaan. Cita-cita mewujudkan sekolah tahfiz yang serba lengkap – hasil kekayaan yang ada – tidak kesampaian. Apa yang dicita-citakan dulu hanya mampu wujud dalam hatinya di peringkat awal; apabila masa berlalku, dunia yang melingkari hidup berjaya mengubah cita-citanya ke arah membina empayar perniagaan – tidak lagi ’empayar perjuangan.

Ada seorang tokoh lagi, sibuk dengan usaha perniagaan yang datang tergolek di depan mata. Anugerah kontrak daripada rakannya seorang menteri menjadikan cita-cita untuk bangunkan sebuah pusat kebajikan golongan tua terhenti begitu sahaja. Kesibukan berniaga dan peluang yang sentiasa datang menjadikan dia tidak ada masa memikirkan cita-cita awalnya. Sedangkan niatnya berniaga adalah untuk mencari sumber kewangan bagi membantu golongan warga emas yang ramai terlantar dan terbiar.

Ada pula seorang hamba Allah yang sombong bila sudah kaya raya. Belajar dulu sama-sama di Al-Azhar tetapi setelah balik dan terlibat dalam politik, tawadhuknya hilang. Pura-pura dan menipu menjadi budaya. Dia sempat kaya dan senang lenang dalam masa 8 tahun sahaja. Nafsu tentulah belum puas tetapi 8 tahun itu sudah lama mengecap nikmat dunia. Apa yang berlaku, isterinya meninggal dunia. Dia berkahwin lain. Anak-anaknya ketandusan kasih sayang yang akhirnya terjebak dengan dadah. Kalau dulu dia bergelut mencari dunia, sekarang dia bergelut menguruskan 2 orang anak lelaki yang sudah ketagih dadah. Sudah beberapa kali ditahan polis kerana ditahan di pusat hiburan dan bila diuji air kencing mereka didapati positif dadah. Dia malu dan menderita. Hidupnya kehilangan bahagia.

Apa yang kita nampak, kekayaan dan kesenangan itu hanya beberapa tahun sahaja. Janganlah tersilap menganggap masa yang sama dia juga bahagia; sememangnya dia tidak bahagia sedari awal. Orang yang bergelut dengan dunia tidak menempuh bahagia yang hakiki. Senang lenang yang ditempuh tidak bersama bahagia di hati. Hati yang makin kosong, menjadikan hubungan dengan Tuhan makin longgar. Sembahyang sudah tidak dipentingkan. Jadi ‘kesenangan’ hanyalah sementara. Selepas itu bersedialah pula menerima giliran kesusahan.

Ada berbagai pakej kesusahan yang Tuhan sediakan untuk dirasai setiap insan. Bukankah pergiliran nikmat dan ujian itu adalah janji Tuhan?

Ada seorang wanita korporat bergelar Dato’ yang berjaya. Hartanya berjuta ada di mana-mana. Kekayaannya juga tidak lama. Hasil hubungan baik dengan pihak tertentu banyaklah peluang yang berjaya direbut. Tetapi jangka masanya menempuh kekayaan itu tidaklah lama. Hanya 10 tahun dia merasa mencapai kemuncak ‘kejayaan dan kekayaan’. Tahun ke sebelas, dia disahkan mengidap kanser payu dara tahap 4. Seorang ustaz dibawa suaminya untuk membaca surah Yasin dan mendoakannya. Dato’ ini sedang duduk di kerusi roda. Air matanya mengalir di pipi. Wajahnya pucat, rambutnya tidak terurus. Dato’ ini hanya menggagahkan membuka mulut dengan berkata. “Ustaz! tolonglah saya Ustaz, Saya sekarang sudah tidak fikirkan apa lagi. Semua yang saya miliki, sudah tidak ada ertinya pada saya. Saya insaf Ustaz!! Saya hanya minta satu perkara sahaja dengan Allah Taala… Saya minta saya disihatkan semula. Saya sangat berharap Tuhan sembuhkan penyakit saya ini. Tolonglah doakan saya Ustaz!!”

Selepas 3 hari, Dato’ ini meninggal dunia di hospital yang sama. Dia ada berjanji akan membantu siapa sahaja selepas dia sihat nanti. Dia menyesal selama ini melanggar perintah Allah. Dia berazam mahu menebus kesalahannya yang lalu. Tetapi hajatnya tidak kesampaian kerana Tuhan maha tahu.

Jadi bagi anak cucu yang terfikir hendak mengejar dunia, renungilah semula kisah-kisah tadi. Dunia akan menjauhkan kita dari Tuhan dan akhirat. Dunia akan melalaikan kita. Bukan tidak boleh tetapi siapa yang berani bolehlah cuba tetapi janganlah menyesal seperti mereka yang lain menyesal. Lagi pula, tidaklah lama mengecap kesenangan kerana ada banyak kesengsaraan lain pula yang datang beriringan.

Lihatlah rumah-rumah besar dan mahligai indah di sekeliling kita. Ada yang usang ada yang masih gagah tersergam. Semuanya pernah dan sedang diduduki orang-orang kaya dan berada. Mahligai usang dan lesu itu tentulah sudah tiada penghuninya. Dunia yang dikejar akhirnya terpaksa ditinggalkan bila nyawa ditarik malaikat maut. Mahligai yang masih gagah pula hanya menunggu hari ditinggal pergi.

Mengejar dunia, rosaknya di semua segi, di hujungnya sengsara. Mengejar Tuhan, dapat akhirat yang kekal abadi yang segalanya nikmat kebahgiaan. Inilah tujuan kehidupan.

Di Palembang, seorang wanita pegawai tinggi Tentera Negara Indonesia (TNI) bertemu dengan seorang ustazah. Dia menitiskan air mata ketika memberi ucapan meluahkan rasa hatinya. “Saya tercari-cari tujuan dan matlamat saya hidup di atas muka bumi ini. Adakah sekadar belajar sampai ke universiti, berkahwin, bekerja, mempunyai anak, sakit dan kemudian mati. Saya tidak mahu hidup yang sebegini. Ini hidup yang tidak ada maknanya! Saya mahu hidup yang ada tujuan – kenapa saya dihidupkan Tuhan?”

Luahan hatinya dijelaskan oleh ustazah bahawa hidup kita adalah untuk Tuhan. Bukankah kita dihidupkan oleh Tuhan? Bukankah kita selalu ungkapkan dalam solat, ikrar dan janji kita untuk menyerahkan segala-galanya yang ada kepada Tuhan yang mencatur alam. Jadi kenapa kita tidak jadikan hidup mati kita untuk Tuhan?. Hidup kita adalah Hidup sebagai seorang hamba dan khalifah, sebagai seorang abid dan pejuang.

Percayalah jika kita jadikan Tuhan sebagai matlamat, hidup kita akan penuh dengan aktiviti yang tidak memungkinkan kita bersenang-senang atau santai-santai. Kita akan temui satu kehidupan yang penuh dengan program untuk membesarkan Tuhan. Setiap ruang waktu kita adalah ibadah. Dalam kehidupan kita seharian, kita kena promosi Tuhan di tengah masyarakat. Kita kena wujudkan aktiviti atas nama Islam untuk memperlihatkan Islam itu hebat, gagah, kaya dan berwibawa. Inilah maknanya kehidupan seorang mukmin. Dia mesti aktif dan berperanan sebagai seorang yang kuat hubungan hatinya dengan Tuhan. Dan dalam masa sama, dia juga seorang yang aktif bekerja untuk Islam, untuk Allah dan Rasul. Dia akan sanggup berkorban apa saja demi untuk menjayakan cita-cita ini.

Ibu beranak dua ini meninggalkan majlis dalam keadaan hatinya sudah puas menerima jawapan yang dicari-cari selama ini. “Saya telah bertemu dengan apa yang saya cari. Inilah kebenaran dan Insya Allah, saya akan turut serta memperjuangkannya!!”

MISKIN MELARAT YANG HINA ATAU MISKIN PILIHAN UNTUK KAYAKAN ISLAM

Mari kita lihat, apakah hakikat kemiskinan yang sebenarnya. Muliakah jika kita kaya, hinakah jika kita miskin?

Sebenarnya kemuliaan dan kehinaan tidak ada hubung kaitnya dengan kaya miskin. Kemuliaan di sisi Tuhan adalah Taqwa atau rasa takutkan Allah. Seseorang itu mulia jika Allah sentiasa ditakuti, digeruni, dicintai dan diingati. Orang-orang dunia menganggap miskin itulah kehinaan. Hakikatnya kaya miskin itu tetaplah hina jika melupakan Tuhan atau menderhakai Tuhan. Hinalah seorang jutawan jika dia berzina, minum arak dan makan rasuah. Mulialah orang susah kalau dia taat dan takutkan Allah dalam hidupnya.

Orang yang cerdik akan memilih mulia di sisi Tuhan berbanding yang lain. Kemiskinan atau kekayaan bergantung pada usaha ikhtiar serta ketentuan Tuhan. Bukankah rezeki di tangan Tuhan. Mencari keperluan kehidupan itu disuruh sebagai tanggung jawab. Jika Tuhan anugerahkan rezeki melimpah, itu adalah amanah untuk diagihkan kepada orang yang memerlukan. Berbuatlah apa saja asalkan ada Tuhan dihati kita. Itulah kemuliaan di sisiNya.

Orang yang malang ialah mereka yang hanya melihat kaya dan senang lenang itulah tujuan kehidupannya. Itulah yang disangkanya kemuliaan dan dipandang berharga. Dikejarnya kekayaan tanpa melihat haram halal atau tanpa memperdulikan sembahyang atau kewajipan Islam yang lainnya. Mereka jadi gila mengejar dunia yang semakin dikejar semakin menjauh. Itulah tipu daya.

Walaupun sudah mendapat dunia dan kekayaan melimpah ruah, dunia menipunya dengan mencabut bahagia dari hatinya. Keluarga berpecah belah. Kemewahan menjadikan anak-anak terjebak dengan berbagai gejala menakutkan. Malang berganda. Menjaga harta yang kaku itu sudah sangat menyusahkan. Makin dijaga, makin diurus, semakin tertekan jiwa, hilang rasa bahagia. Harta yang ada, dirasa sentiasa tidak cukup atau bila-bila masa boleh lenyap dari pandangan mata. Maka mereka akan menjadi manusia kedekut. Berkira-kira dalam hendak menggembirakan atau menolong orang yang menderita. Itulah tipuan dunia.

Suatu hal yang pelik pada pandangan ahli dunia ialah kemiskinan menjadi pilihan orang-orang Tuhan atau para kekasih Allah. Para Nabi dan Rasul adalah pelopor pegangan sebegini. Mereka memang diprogramkan sedemikian oleh Tuhan. Mereka walaupun ada pekerjaan mereka tetapi hakikatnya mereka full time dengan Tuhan. Nabi Musa mengembara dari Mesir ke Sinai bukannya untuk berniaga mencari kehidupan seperti manusia lainnya. Sebaliknya itu adalah perjalanan mentaati arahan Tuhan.

Tuhan memperlakukan mereka supaya mereka sepenuh masa memperjuangkan Tuhan. Mereka fulltime dengan kerajaan Tuhan. Itulah kemuliaan dan kehebatan mereka. Kesanggupan hidup susah bersama anak isteri adalah pilihan mereka. Apa yang penting pada mereka ialah Tuhan diperkenalkan kepada umat manusia untuk dipuja dan disembah. Rezeki Tuhan ada di mana-mana.

Mereka tidak bimbang dengan kekurangan makanan atau harta benda dunia. Sebab itu Siti Hajar ditinggalkan di tengah lembah yang kering kontang. Air pun tidak ada apatah lagi tumbuhan lainnya. Apakah yang tersedia untuk meneruskan kehidupan. Dahsyatnya Tuhan mendidik manusia supaya yakin dengan rezeki dariNya!! Itulah ujian keyakinan terhadap Tuhan – benarkah rezeki itu datangnya dari Tuhan?

Lalu bersediakah kita membina generasi yang sanggup utamakan Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya? Bangunkanlah dan didiklah generasi kita sehingga mereka sanggup berkorban membela orang lain dalam keadaan ramai yang lain hanya mementingkan diri sendiri. Asuhlah mereka berjiwa besar untuk mengutamakan Allah dalam segenap kehidupan mereka.

Jika kita mahu membangunkan Islam untuk melihat Islam kembali berdaulat, kemiskinan adalah syarat untuk layak dipanggil pejuang. Inilah sijil untuk dikejar oleh anak cucu kita. Kita bina mereka untuk jadikan Islam itu cita-cita hidupnya, nescaya dia akan sanggup susah dan menderita. Percayalah setiap kali kita bersedia untuk miskin, Tuhan akan membayar semua keperluan kita sepanjang masa. Tuhan ada cara untuk jadikan Islam itu dilihat kaya dalam kemiskinan peribadi yang sengaja kita pilih.

SEBUTIR NASI BUAT RENUNGAN

 

Sebutir nasi adalah rezeki dari Tuhan

Pernahkah kita meluangkan sedikit masa dari umur kita untuk memikirkan hakikat ini?

Sebelum sebutir nasi itu ada di hadapan kita, seluruh jentera kerajaan Tuhan telah bekerja keras menghasilkannya.

Jika kita sedar, pasti kita tidak akan sampai hati untuk memperlekehkannya walaupun sebutir.

Mari kita telusuri perjalanan sebutir padi ciptaan Tuhan, hingga akhirnya terhasilnya sebutir nasi.

Para petani atau pekerja ladang menyemai jutaan benih-benih padi di sawah mereka – benih padi yang sudahpun wujud ratusan kurun, yang belum pernah lagi mengalami kepupusan.

Hari apa dan tarikh bila benih ini diturunkan ke bumi hanya Penciptanya yang tahu.

Setiap hari si petani, pekerja ladang yang rata-rata miskin itu menyiram dan menjaga semaian mereka,

Di sebalik itu sebenarnya para malaikat di bawah perintah Allahlah yang mengawal dan menjaga tumbesaran tanaman rezeki kurniaan Tuhan kepada manusia itu.

Akar-akar padi, Tuhan arahkan agar bergeraklah !! menjalarlah, pecahkanlah!! kelikir-kelikir tanah di bumiKu menjadi ketulan halus..

Molekul2 mineral dan makhluk air pula, TAAT menurut perintah, SETIA berkhidmat terus mengalir di celah-celah tanah, menyerap ke dalam akar tanpa soal,

Sang matahari, SIAJAIB yang tak pernah padam ‘lampu’nya sejak ia diciptakan,
memancarkan cahayanya ke atas dedaunan hijau, demi proses fotosintesis

molekul-molekul O2 yang ‘ghaib’ di udara, juga disedut oleh si makhluk hijau itu untuk proses respirasinya..

Masa ciptaan Tuhan kemudiannya mengizinkan buah-buah padi itu masak, untuk dituai hasilnya.

Ribuan petani atau pekerja yang mengendalikan mesin-mesin di ladang, di kilang, para pekerja sistem pengangkutan, gudang, pasaraya, pekedai, adalah semuanya makhluk Tuhan yang membantu menyampaikan walau sebutir padi kepada kita.

Pernahkah kita si hamba Allah terfikir sesenduk nasi di dalam piring kita itu asalnya dari mana, siapa yang menyemai benihnya ke bumi..dan seterusnya?

Guru mengajar, bila kita di hadapan makanan, rendahkanlah hatimu, berterimakasihlah kepada Tuhan, berdoalah untuk semua petani, nelayan, penanam sayur, pekedai, tukang masak dan semuanya yang membantu memberi nikmat itu kepada kita.

Betapa MAHA baiknya Allah.

Sesungguhnya walau sekaya mana pun manusia, ia tidak akan mampu hidup sendirian.

Call Now
Directions