Tag Archives: Tuhan
RASA BERTUHAN PARA SAHABAT
Kalau kita lihat di zaman Rasulullah SAW, para sahabat rasa bertuhannya kuat, ertinya ke mana pun pergi mereka membawa rasa bertuhan. Seolah-olah Tuhan berkata, di mana engkau berada di situlah Aku berada, ertinya Tuhan dihayati betul-betul dalam jiwanya. Perasaan bertuhan itu kuat. Kalau rasa bertuhan itu kuat, maka akan terasa selalu diawasi oleh Tuhan di mana pun dia berada.
Mereka memiliki hubungan yang kuat dengan Tuhan. Ibadah-ibadah yang fardhu terutama solat tidak terabai oleh kerja-kerja lain. Walaupun kerja dunia itu kadang-kadang nampak besar dan berjaya, tapi bagi orang beriman ketika datang panggilan Tuhan, maka itulah yang utama. Bahkan bagi mereka, setengah jam sebelum waktu solat sudah mesti menyiapkan diri. Kalau tidak dapat, minimal 15 minit sebelum solat.
Para sahabat Rasulullah SAW, disiplin solatnya sangat kuat. Hal ini disebabkan kekhusyukan dalam solat dapat dibantu dengan datang awal ketika masuk waktu solat. Ketika itu kita bertafakur, berfikir tentang kebesaran Tuhan dan mengingat dosa-dosa. Hal itu sangat membantu untuk mendapatkan khusyuk dalam solat. Cuba bandingkan bila ketika 10 minit lagi hendak solat, kita makan dulu, lihat majalah dulu dll. Tentunya kegiatan itu yang akan ada dalam ingatan kita ketika solat. Sedangkan kejadian yang telah 2 tahun dahulu, tiba-tiba dapat teringat, apalagi yang 10 minit menjelang solat.
Sebab itu sepatutnya 10 atau 15 minit atau setidak-tidaknya sewaktu azan kita sudah ada di tempat solat. Walaupun misalnya 10 atau 15 minit itu kita bukan di tempat solat, tapi mungkin di tempat kerja atau di dalam bilek, tapi kita sudah keadaan siap sedia untuk menunaikan solat. Ketika azan terus menuju tempat solat.
Kalaulah kita menjaga hak-hak Tuhan, terutama ibadah solat, maka hubungan kita baik dengan Tuhan. Nantinya kerja-kerja dunia akan menjadi mudah, sebab Tuhan yang akan melakukannya untuk kita. Kalau kita bersusah-susah untuk amalan yang akan menyelamatkan kita di akhirat, maka dengan dunia ini kita akan dimudah-mudahkan oleh Tuhan.
Sebab itu perlu untuk selalu istiqamah dalam mengerjakan segala ibadah, terutama ibadah yang fardhu. Kita mohon pada Tuhan untuk dapat selalu istiqamah. Bahkan itu lebih utama daripada memohon keselamatan. Dengan istiqamah itulah kita akan mendapat keselamatan. Sebab kalau kita kadangkala istiqamah, kalau Tuhan memberi kejayaan bukan atas dasar kasih sayang-Nya (istidraj).
Istiqamah diawali dengan ibadah yang fardhu, kemudian barulah yang sunat, seperti solat sunat, puasa sunat, sedekah dll. Ibadah solat sunat yang utama diistiqamahkan adalah solat malam. Ibadah itu meningkatkan darjat seorang hamba kerana jatuh kasih sayang Tuhan kepadanya.
Namun istiqamah bukanlah satu yang mudah. Istiqamah itu dapat dilakukan oleh orang yang kuat disiplinkan diri. Sebagaimana Sayidatina Aisyah tidak pernah meninggalkan amalan sedekah walaupun hanya dengan setengah biji kurma. Banyak sekali amalan yang kita buat tidak istiqamah, seperti solat, kadang dibuat tepat waktu, kadang tidak. Bahkan lebih selalu dibuat terlewat dari waktunya. Kadang puasa, kadangkala tidak. Padahal kalau kita dapat membuat amal secara istiqamah, maka insya Allah kerja kita dimudahkan oleh Tuhan.
Kadangkala kita beralasan tidak dapat istiqamah dalam beribadah, seperti solat di awal waktu ataupun solat berjemaah disebabkan kesibukan kerja-kerja rumah tangga, mengurus anak-anak dll. Memang begitulah kenyataan yang kita hadapi sehari-hari. Tapi bila rasa beTuhan telah kuat tertanam dalam hati, sebagaimana kehidupan wanita di zaman para sahabat, maka walaupun kehidupan mereka lebih susah, tapi dapat pertahankan istiqamah.
Sebab bagi mereka kalau kita kita jaga hubungan dengan Tuhan, maka Tuhan akan mudahkan segala urusan kita. Cuba kita bayangkan kehidupan para wanita di zaman Rasulullah SAW, untuk mendapatkan air wudhu mesti pergi dulu ke perigi di padang pasir. Tapi mereka tetap dapat juga istiqamah sembahyang malam. Sebab itu pernah Rasulullah bercerita pada para sahabat, nanti umatku dimudahkan oleh Allah dengan bermacam-macam kemudahan, seolah-olah waktu itu Rasulullah nampak air pun ada di dalam rumah.
Sahabat yang ketika itu mendengar merasa sedih. Seolah-olah sahabat berkata, mudah-mudahan umat Rasulullah SAW di waktu itu kuat ibadah, sebab merasakan betapa mereka susah untuk ibadah kerana susah untuk mendapatkan air. Rasulullah SAW berkata, “Oh tidak begitu,sekarang adalah lebih baik. Seolah-olah Rasulullah SAW berkata kemudahan itulah yang melalaikan, kesusahan kamu itulah yang menjadikan kamu kuat dan bersiap siaga.
Kalau kita sungguh-sungguh maka akan jatuh kasih sayang Tuhan. Walaupun kita letih pada malam hari tapi tetap Tuhan bangunkan pukul 4 pagi untuk tetap istiqamah solat malam, walaupun hanya tidur selama 1 jam. Waktu itu Tuhan beri kemudahan, setelah kita sungguh-sungguh mujahadah pada hari-hari sebelumnya sebagai suatu ujian.
Rasa bertuhan itu perlu dibawa kemana-mana. Walaupun sukar dan belum berjaya tapi mesti dicuba. Tuhan nilai bukan kerana ibadah, tapi usaha yang istiqamah, sehingga datang rahmat Tuhan. Jika tak berjaya, mohon ampun dengan Tuhan. Tuhan tidak berkata, siapa yang berjaya itu selamat, tapi siapa yang mencoba, kemudian tak berjaya tapi rasa tersiksa, maka akan datanglah rahmat Allah kepadanya.
PANDAI-PANDAILAH MENILAI RAHMAT DAN NIKMAT
Ramai umat Islam merasakan rahmat dan nikmat Tuhan itu kesihatan badan
Diberi murah rezeki, dianugerahkan anak, mendapat pangkat tinggi
Rumah besar, banyak harta, kereta mewah dan canggih
Padahal nikmat yang disebutkan belum boleh menyelamatkan kita
Adakalanya ia merosak dan dan membinasakan kita
Kalau tidak di dunia, ia akan berlaku di Akhirat
Tapi ada rahmat dan nikmat Tuhan yang tersembunyi
Setengah orang tidak sedar bahawa itu adalah rahmat dan nikmat
Rahmat dan nikmat Tuhan yang tersembunyi itu banyak pula
Di antaranya kalau kita berdosa diingatkan agar kita bertaubat dan bersedih dengan dosa
Di waktu kita lalai dengan-Nya disedarkan kita
Sekali-sekala disusahkan kita agar kita insaf
Adakalanya kesusahan itu untuk darjat dan pangkat
Selalu sahaja kita mengingati Dia
Dimasukkan di dalam hati kita sentiasa takut kepada-Nya
Di samping itu rasa cinta kepada-Nya selalu ada
Digemarkan kita membuat kebaikan dan dibencikan kita dengan kejahatan
Dijadikan kita boleh berlemah lembut dengan orang
Boleh meminta maaf dan boleh memberi maaf
Boleh beristiqomah dengan kebaikan
Inilah di antara rahmat dan nikmat Tuhan yang tersembunyi
Kalau hendak bersyukur, bersyukur kerana itulah yang lebih utama
Kerana rahmat dan nikmat yang tersembunyi itu jarang orang dapat
Tidak seperti rahmat dan nikmat di atas tadi
Oleh itu pandai-pandailah menilai rahmat dan nikmat
Agar syukur kita lebih sempurna dan tepat
Menjelang Maghrib
22.2.2000
BACAAN TALQIN : SOALAN BOCOR RAHMAT TUHAN UNTUK YANG MASIH HIDUP
Mari kita dengan memikirkan sejenak tentang tajuk di atas… sebagai seorang yang bergelar manusia kita akan melalui 5 alam sama ada kita suka atau tidak. Alam roh,alam rahim, alam dunia,alam barzah dan akhir sekali alam mahsyar.
Segala panduan telah diberi di dalam Al Quran dan Hadis Rasulullah SAW. Dalam kita nak masuk alam barzah, Allah juga dah berikan kepada kita soalan-soalan yang akan ditanya oleh malaikat Munkar dan Nankir…kebanyakan dari kita meremeh-remehkan soalan malaikat dalam kubur seolah-olah itulah dikatakan soalan bocor.
Sepatutnya Munkar dan Nankir marah sebab soalan dah bocor tetapi kebanyakan dari umat manusia tak boleh jawab soalan itu nanti. Kita kena gentlemen, soalan dah bocor tapi tak boleh jawab juga! Kita kena faham bahawa soalan itu susah nak dijawab dan atas rahmat Allah kita dah diberitahu siang-siang.
Cuba kita perhatikan salah satu soalan dalam kubur…Siapakah saudaramu?
Apakah kita boleh jawab? Jawapannya ialah orang mukmin.
Cuba cek berapa sahabat yang kita dapat yang betul-betul mukmin? jangan-jangan belum ada? Dalam sembahyang lebih terlihat lagi dalam kita beri salam ke kanan dan ke kiri: untuk memberi kesejahteraan kepada manusia,itulah target sembahyang. Tapi nampaknya lepas sembahyang kita tak buat apa-apa pun kepada manusia. Orang miskin kita biarkan, kita tak pernah beri kecuali diminta…ertinya aqidah kita tentang sembahyang belum berbuah lagi atau tak ada side effectnya.
Talqin itu lebih manfaatnya kepada orang yang hidup padahal ianya dibacakan sewaktu perkebumian.
Apa itu talqin?…ia adalah himpunan hadis-hadis Rasulullah SAW, ia-itu Rasulullah SAW-lah yang mencipta dan menyusun bacaan talqin itu. Saya tak mahu bincangkan apa yang dibaca tetapi kepada saudara,saudari yang telah biasa menghadiri majlis perkebumian sudah tentu lebih mengetahui apa yang dibacakan.
Talqin itu sikit sangat fungsinya, ianya hanya mengingat-ingatkan kita sahaja sebab bukan waktu kita dalam kubur baru nak belajar ilmu . Talqin itu faedahnya 10% untuk orang yang dah mati, manakala 90% lagi adalah untuk orang yang hidup.
Pengajaran kepada yang hidup – sewaktu kita dengar talqin itu, ia mengingatkan kita, esok bila kita mati kita akan di soal begitu,begini, dah siap ke kita?
Seolah-olah Allah dah beritahu kalau kamu mati, datang malaikat soal, itulah yang akan ditanya,dah siap ke?
Dah ada ke persiapan? Macam mana kita dengan Tuhan? Untuk orang yang dah mati, talqin itu hanya sebagai reminder kepada yang dah siap. Bukan waktu itu baru nak belajar!
Contoh: Kalau ada seorang budak nak ambil PMR,tapi dia tak pernah masuk kelas pun. Kemudian kita suruh dia masuk exam, sudah tentu tak lulus. Tak ada persiapan,macam mana nak pass! Bila kita mati maknanya kita kena masuk exam, sepatutnya dah siap belajar, dah habis semua proses pembelajaran. Dah siap betul.
Anak kita nak ambil PMR, kita dah siapkan dia daripada tadika lagi. Kita masukkan dia dari satu tahap sekolah ke tahap sekolah yang lebih tinggi.Kita ambil perhatian tentang tuitionnya dan sebagainya hinggalah dia meningkat umur 15 tahun.Dia lulus PMR dan persiapannya dah dibuat lebih awal,dari 10 tahun yang lalu. Begitulah kita usahakan persediaan untuk kejayaan seseorang.
Kita tahu yang mati itu dahsyat dan kita dah diberitahu kehebatan mati walaupun kita dah buat persiapan. Allah datangkan kasih sayangNya, itulah rahmatNya disedarkan kita dengan soalan-soalan yang akan ditanya oleh kedua-dua malaikat di dalam kubur nanti.
Kita sebagai orang Islam telah Allah siapkan perjalanan kita seawal saat kita dilahirkan sehinggalah saat kita berakhir. Semua manusia mati dan akan masuk ke dalam tanah dengan kaedah yang sama. Sedangkan Islam sahaja yang mengajarkan…kalau kamu mati, kamu masuk tanah dan kamu akan jadi begini,begini… Islam memberi panduan cara kita hidup sampailah saat kita mati. Tidak bijaklah kita bila sudah dah beritahu yang kita nak masuk exam , soalannya juga dah diberitahu tapi kita tak bersedia pun! padahal semua orang akan ditanya tak kira Islam atau kafir.
Sepatutnya sebagai persiapan untuk mati kita sediakan dari waktu kita dilahirkan lagi. Bukan bila dah masuk kubur baru nak diajar,baru nak dibacakan siapa Tuhan,siapa Allah,siapa Imam kamu,siapa saudara kamu? sudah tentu tak lulus exam.
Salah satu perkataan dalam talqin ialah “Hidup mati kita berpegang kepada konsep Lailahaillah Muhammadar Rasulullah” Jadi tujuan manusia didatangkan ke dunia ini adalah untuk melakukan tuntutan Lailahaillah Muhammadar Rasulullah. itu maksudnya. Kita berikrar hidup mati kita diatas kalimah itu tapi kita buat macam tak perasan saja. Sepatutnya kita ikrarkan secara sedar, dalam bahasa Melayu untuk dijadikan teras dan pegangan hidup kita. anak-anak kita patut dididik seawal mungkin untuk mengambil ikrar Lailahaillah Muhammadar Rasulullah.
Di dunia kita siapkan anak-anak kita dengan jalan yang dia nak lalu iaitu… pertama sekali syahadah, kemudian sembahyang, diikuti dengan puasa,zakat dan haji. Kereta yang dia nak naik ialah Rukun Iman…percayakan Allah, Malaikat,Rasul,Kitab,Hari Kiamat dan Qadak dan qadar Allah. Apa juga sistem kehidupan yang dia nak lalui mesti di atas landasan Rukun Iman dan Rukun Islam.
Kita nak dapat markah 100%…mungkin syahadah 10%, itu pun kita tak pernah tahu dan tak pernah tanya! Sembahyang yang menjadi tiang agama bernilai 40%,dicampur dengan syahadah jadilah 50% tingkat ketaqwaan kita. Ini kita baru nak hafal bacaan sembahyang, baru nak hafal makna. Sembahyang belum lagi dijadikan pakaian dan hiasan diri, rasa-rasa kehambaan belum ada lagi.
Masuk bab puasa, ia bernilai 20%. Ini program Allah yang disetkan untuk kita sebagai workshop untuk overhaul hati,akal dan nafsu dan juga zahir kita. Ini terdapat dalam Rukun Islam. Puasa adalah khazanah maknawiyah( yang kita tak nampak) yang boleh membuat manusia jadi kaya,manusia yang berwatak malaikat… ini pun kita tak pernah kaji.
Seterusnya zakat yang bernilai 20% merupakan satu agenda,satu program pembersihan jiwa daripada sifat bakhil,tamak dan takut miskin…perkara ini pun kita tak pernah study. Istilah zakat pun mungkin 10 tahun sekali keluar.
Akhirnya datang pula Haji yang bernilai 10% dari perjalanan kita keakhirat. Haji adalah pengunci, pemeteri sehinggakan seorang yang pergi haji, maka pulangnya ke tanah air sebagai seorang malaikat berwajah manusia yang dialah yang menjadi aset di negara-negara yang Allah hantarkan kesana.
Bila kita suluh diri kita,terlalu banyak tuntutan Allah yang kita tak buat… begitu zalimnya kita terhadap apa yang Allah dah setkan untuk kita.
Ya Allah, kami berlindung dengan Engkau daripada fitnah hidup dan mati, dan kami berlindung dengan Engkau daripada seksa kubur dan kami berlindung dengan Engkau daripada seksa api Neraka dan kami berlindung dengan Engkau daripada fitnah Dajjal. Aamiin Ya Allah
Rabiul Awal Maulidur Rasul Bulan Mukjizat
Kebesaran dan keistimewaan Rabiul Awal memang tidak boleh dilupakan oleh dunia. Semua lapisan manusia
sekalipun yang bukan Islam, orang baik, orang jahat, terutamanya cerdik pandai dan khususnya umat Islam
akan meraikan, memperkatakan dan merayakan Rabiul Awal setiap tahun bila dia menjelang tiba. Rabiul Awal adalah bulan yang agung kerana di dalamnya terdapat sejarah paling agung bertaraf dunia yang ditempa sejak 1,500 tahun yang lalu. Sungguh belum ada sejarah lain yang dapat memecahkan keistimewaan rekod sejarah ini samada sebelum atau selepasnya.
Rabiul Awal menghadiahkan kepada dunia seagung-agung manusia yang sempurna peribadinya lahir dan batin
(insanul kamil). Jawatannya mengatasi segala-gala jawatan besar dunia.Dia tidak langsung melakukan sebarang kesalahan kecil atau besar (ma’sum). Dia bukan ahli filasof, bukan tokoh politik berpengaruh, bukan raja ekonomi, bukan saintis ulung, bukan juga negarawan atau budayawan terkenal dan tidak tokoh sihir yang handal. Mengatasi semua itu. Baginda adalah berjawatan Maharaja Alam sejagat, tuan punya seluruh zaman sepanjang umur dunia, pembawa rahmat bagi seluruh alam, pemimpin dunia kepada semua bangsa sepanjang 1,500 tahun untuk berbillion-billion manusia.
Dia ialah wakil Tuhan untuk alam berjawatan Rasulullah SAW dengan nama Muhammad Ibnu Abdullah. Di antara gelarannya ummi. Yakni ibu ilmu. Yakni sumber ilmu yang diajar langsung oleh Allah kepadanya tanpa perantaraan membaca dan menulis. Allah menjadi gurunya. Yakni dengan mencurahkan ilmu langsung kepada ibu dirinya iaitu roh atau hatinya. Kadang kala melalui perantaraan Jibril. Rohnyalah yang berbicara padanya. Bukan akalnya yang fathonah atau maha cerdik itu. Baginda pemimpin bukan dengan akalnya tapi dengan rohnya. Roh yang mampu menerima wahyu dari Allah. Ilmu itu semua termaktub dalam Al Quran yang ditafsirkan oleh Sunnahnya.
Inilah satu-satunya manusia yang mampu melakukan keagungan ini sepanjang umur dunia. Dialah Sayyidil Mursalin, penghulu orang bertaqwa. Maka dengan keluarbiasaan inilah Baginda telah merakamkan sejarah yang tiada tandingnya. Ahli-ahli falsafah yang mencetuskan isma-isma atau segala ideologi itu mengerahkan seluruh daya akal fikirannya untuk mencari formula menyelamatkan dunia. Tapi ternyata akal semata telah gagal sama sekali dalam menghadapi masaalah dunia. Maka oleh Rasulullah, dengan rohnya disuluh oleh akalnya telah memberi jawapan pada semua masaalah. Bahkan terbukti mampu menyelesaikan krisis dunia dalam masa yang sangat pendek.
Masyarakat dunia khususnya bangsa Arab yang cukup rosak waktu itu telah dibaik pulih oleh Baginda menjadi begitu bertamaddun sekali. Dengan mudah ilmu Allah telah merubah sistem-sistem zamannya, merubah cara berfikir, cara hidup, sistem kebudayaan, sistem politik, sistem ekonomi, sistem pemerintahan, sistem kekeluargaan, sistem pendidikan dan sistem masyarakat.Dunia menjadi indah dengan keharmonian dan kasih sayang. Sistem jahiliyah hancur punah.
Itulah dia rahsia Rabiul Awal. Sebab itu tidaklah hairan mengapa hingga ke hari ini setiap menjelang bulan mukjizat ini, peribadi ini dan ajarannya dikenang orang dalam forum, tulisan dan syarahan. Lebih menakjubkan lagi di awal kurun ke 15 ini, yakni setelah 1000 tahun lebih kewafatannya kelihatan pengamalan sunnah Baginda sedang giat dihidupkan semula. Inilah mukjizat yang amat besar Allah hadiahkan untuk Baginda di hari lahirnya.
Dalam memperingati hari lahir Rasullah SAW tahun ini, mari kita sebagai umat Muhammad Rasulullah SAW meniliti tentang watak masyarakat jahiliyah yang Baginda telah rubah itu. Dengan maksud mudah-mudahan ajaran Rasullah itu juga kita dapat gunakan untuk merubah sistem jahiliyah moden yang sedang mencengkam kehidupan kita di zaman ini. Sebab Rasul itu datang bukan untuk zamannya saja, tapi juga untuk zaman kita ini.
Apa mustahil bagi Allah dengan kuasaNya melakukan ajaran Nabi Muhammad cukup relevan untuk zaman ini,
dipakai oleh pewarisnya untuk melakukan apa yang dibuat oleh Muhammad pertama, sekalipun Baginda telah
wafat? Kita yakin Allah akan jadikan ia sebagai kenyataan untuk kita pula dapat melihat kebesaranNya, kebenaran
Rasulullah dan kekuatan para pejuang kebenaran.
WATAK DUNIA DI ZAMAN JAHILIYAH
Bulan Rabiul Awal tahun Masihi 621 menyaksikan masyarakat manusia sedang cukup rosak lahir dan batin. Kehidupan penuh dengan kesusahan dan ketakutan. Masaalah-masaalah dunia begitu menjadi kusut hingga tidak terungkaikan lagi oleh mana-mana pemimpin waktu itu. Rasulullah dilahirkan di tengah-tengah kerosakan suasana masyarakat Arab yang berwatak seperti berikut:
1.Manusia putus hubungan denagn Tuhan. Mereka langsung tak kenal pencipta dan penjaganya, mungkin sekadar
percaya wujudnya .Tapi ramai yang tidak percayakan Tuhan lagi. Ertinya manusia tidak merasa lagi Tuhan ada
peranan dalam hidup mereka.Semua masaalah hidup mereka yakin mereka boleh selesaikan sendiri. Akibat pegangan jiwa yang vakuum ini, bila berhadapan dengan masaalah hidup, ramai yang kecewa, putus asa dan bunuh
diri. Kalau Tuhan diambil sebagai tempat rujuk, pelindung dan penyelamat, manusia akan mampu terhadap
penderitaan.
2.Berlaku perpecahan kaum di kalangan manusia, maka berperanganlah bangsa denagn bangsa, puak dengan puak, etnik dengan etnik, agama dengan agama hingga keamanan tidak wujud lagi.
3.Orang yang kuat memakan yang lemah.Silemah menjadi mangsa. Keadilan dan pembelaan tidak berlaku, menjadikan golongan bawahan tambah tertindas dan menderita.
4.Perempuan tidak ada tempat dalam masyarakat.Hanya dijadikan alat pemuas nafsu kaum lelaki, terutama lelaki kaya dan ketua negara waktu itu akan ambil saja dengan paksa mana-mana wanita yang mereka berkenan tanpa peduli anak atau isteri siapa. Menjadikan mana-mana keluarga yang ada anak perempuan hidup tertekan sehingga ada yang bila lahir anak perempuan dibunuh saja.
5.Sistem ekonomi riba yang membolehkan si kaya menekan si miskin, seperi lintah darat hisap darah simiskin, menjadi budaya dalam ekonomi. Orang miskin dicekik dengan hutang, akhirnya diambil jadi hamba sahaya. Kebebasan dan kemerdekaan bagi mereka tiada sama sekali.
6.Amalan hidup nafsi-nafsi, susah tanggung sendiri, senang untuk diri sendiri itu menjadikan masyarakat yang ditimpa macam-macam kesusahan hidup itu bagaikan berendam dalam ketakutan.Kebahagiaan hilang, ketenangan melayang.
7.Kes rompak, samun dan bunuh bermaharajalela.Tinggal dalam rumah pun rasa tak selamat.Apa lagi kalau pergi
musafir atau mengembara.
8.Kemanusiaan dan keturunan bertambah rosak lagi dengan menularnya penyakit-penyakit sosial seperti zina, rogol, liwat, lesbian, sumbang mahram dll. Gelombang jahat ini melanda bagaikan banjir, hingga tak mungkin dapat dikawal lagi.
9.Manusia benar-benar bertuhankan hawa nafsu. Hormat menghormati satu sama lain tak wujud lagi.Rakyat tak
hormat pemimpin, pemimpin tak beri kasih sayang lagi.Orang kaya atau senang tak berperi kemanusiaan lagi. Perompak, penyamun dan pembunuh tumbuh meliar akibat hasad dan dendam.
10.Allah lakukan peringatan-peringatan yang banyak dengan bencana alam, gempa bumi, bah, belalang memusnahkan tanaman, ribut taufan, penyakit berjangkit tanpa ubat.Manusia tambah derita dan melarat.
11.Orang-orang kerajaan jatuh menjatuhkan.Politik tidak stabil.
Demikianlah gambaran secara umum keadaan atau watak dunia yang Rasulullah terpaksa hadapi sistem hidup
yang direka cipta oleh akal fikiran manusia waktu itu sudah hadapi titik buntu.Mereka tiada formula untuk selesaikan penyakit-penyakit kronik, feudalisma, pragmatisma, diktator sudah jam.Pemimpin-pemimpin pening kepala kerana tidak mampu kontrol manusia dengan disiplin.Mereka habis akal, tidak tahu lagi apa boleh dibuat. Sebab makin banyak usaha-usaha atau peraturan-peraturan dibuat makin banyak pula masaalah yang belaku. Peraturan dan undang-undang itu jadi penyakit di atas penyakit yang sudah ada.
Maka dikesempatan beginilah Allah SWT akan mendatangi manusia melalui orangNya. Seolah-olah Allah berkata,”Wahai hamba-hambaKU, setelah kamu mencuba dan gagal maka bertanyalah kepadaKu. Ini wakil Ku untuk menjawab masaalah-masaalah kamu.”