Tag Archives: Tuhan
ISLAM ITU SELAMAT DAN MENYELAMATKAN
Dalam Al-Quran, ada satu ayat yang berbunyi:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu masuk ke dalam Islam (keselamatan) secara menyeluruh (global).” (Al-Baqarah: 208)
Di dalam ayat ini, Tuhan memerintahkan manusia dengan perintah masuk ke dalam keselamatan (Islam), secara umum dan menyeluruh, iaitu bukan secara individu atau perseorangan. Masuk ke dalam keselamatan itu pula bukan separuh-separuh atau bukan di sesetengah aspek sahaja tetapi secara keseluruhan iaitu secara global. Dalam ayat ini Allah mengajar kita bahawa hidup ini mestilah bukan secara individu tetapi ada hubungkait dengan orang lain. Dalam memikirkan diri kita, fikirkan juga orang lain. Kita ada hubungan dengan orang lain dan orang lain juga ada hubungan dengan kita. Jadi manusia tidak boleh memikirkan dirinya sahaja.
Tuhan mengajak kita masuk ke dalam keselamatan secara umum dan secara global. Jadi kalau ingin selamat, tentu kita harap agar orang lain juga selamat atau agar orang lain juga berada dalam keselamatan. Kalau kita ingin masuk ke dalam keselamatan secara global, kita harap orang lain pun demikian juga.
Demikianlah perintah Tuhan kepada manusia agar saling jaga-menjaga antara satu sama lain di mana kita menjaga orang dan orang menjaga. Dalam kita memikirkan diri kita, kita fikirkan juga diri orang lain. Dalam waktu orang lain memikirkan dirinya, dia juga memikirkan kita. Sebab itu Tuhan beri nama agamaNya, Islam, sesuai dengan ayat tadi. Perkataan Islam yang istilah asalnya, ‘aslama-yuslimu-islaman’, bukan hanya ertinya ‘selamat’ tetapi juga ‘menyelamatkan’.
Kita bahaskan perkataannya dahulu. Islam itu bukan ertinya ‘selamat’. ‘Selamat’ dikatakan ‘salmun’. Islam maksudnya menyelamatkan. Sesuai dengan perkataan dalam ayat tadi, iaitu menyelamatkan itu secara jemaah, bukan secara individu. Kita fikirkan orang dan orang fikirkan kita. Sebab itu Tuhan beri nama agama-Nya dengan perkataan ‘Islam’ dan bukan ‘salmun’. Ramai orang terjemahkan maksud ‘Islam’ itu ‘selamat’. Agama Islam itu maknanya yang tepat ialah agama yang ‘menyelamatkan’.
Apa ertinya menyelamatkan? Ertinya kita menyelamatkan diri kita dan diri orang lain daripada sebarang perkara yang negatif, sama ada besar mahupun kecil. Sama ada yang berbentuk Akhirat, mahupun yang berbentuk dunia. Sama ada yang bersifat lahir mahupun yang bersifat batin. Diri kita selamat dan orang lain pun selamat. Inilah dasar agama Tuhan. Ini prinsip agama Tuhan yang mesti difahami, yang mesti diperjuangkan dan yang mesti dihayati serta diaplikasikan di dalam kehidupan.
Kalau begitu mari kita lihat, bagaimana untuk mengaplikasikan agama yang selamat dan menyelamatkan itu dalam kehidupan harian.
Dalam kehidupan harian, Tuhan kata, masuklah ke dalam keselamatan itu secara ‘kaaffah’. Bila katakan ‘kaaffah’ atau menyeluruh, maka salah sekalilah apa yang kita dengar dan kita lihat selama ini, yakni:
1. Golongan yang menganggap Islam itu mementingkan ibadah sahaja.
Golongan ini nampak Islam itu di surau, masjid, waktu berpuasa, waktu sembahyang, waktu haji dan waktu wirid sahaja. Yang lain tidak diambil kira. Mereka nampak Islam itu hanya di sudut ibadah sahaja. Yang lain-lain seperti makan, minum, tidur, baring, berehat, dan berkeluarga tidak dianggap Islam. Mereka tidak terfikir bahawa mencari ilmu, menziarah, berhimpun dan berhibur itu juga Islam. Bukankah ini berlawanan dengan prinsip tadi, yakni “Hendaklah kamu masuk ke dalam Islam (keselamatan) secara menyeluruh (global).”
2. Golongan yang mengambil berat tentang Islam itu dari segi politik dan pentadbiran negara sahaja.
Mereka ini selalu sahaja kata, “Lihat Tuhan berkata, masuklah ke dalam Islam secara menyeluruh.” Mereka nampak negara, politik dan pentadbiran. Pada mereka, itulah agama. Ibadah itu kecil. Sebab itu kerana politik mereka tinggalkan sembahyang. Kalau sembahyang pun, Subuhnya pukul tujuh pagi. Ertinya mereka lebih pentingkan politik daripada sembahyang. Itu kalau dia hendak sembahyang. Ramai yang memperjuangkan politik tapi tidak sembahyang. Oleh kerana dia anggap politik itu besar, sembahyang jadi kecil. Ini juga bukankah melanggar prinsip ayat tadi. Mana boleh politik negara dan pentadbiran dianggap global. Itu hanya satu sudut dalam Islam. Sedangkan Islam itu menyeluruh.
Kalau seseorang itu ada ilmunya, boleh dihayati dan boleh pula diamalkan dalam kehidupan, barulah dia benar-benar hamba Tuhan. Bila dikatakan hamba Tuhan, ertinya dia terhubung dengan Tuhan 24 jam. Kalau begitu mari kita lihat bagaimanakah hendak melaksanakan Islam yang bersifat kaaffah tadi di dalam setiap aspek kehidupan kita dengan tidak memikirkan atau mempersoalkan apakah ianya fardhu ain, sunat, fardhu kifayah dan lain-lain. Yang penting ia termasuk dalam kawasan silmi, iaitu kawasan keselamatan, yang selamat dan menyelamatkan.
Tentang ibadah di dalam Islam, itu tidak payah kita persoalkan. Itu orang sudah tahu. Begitulah juga aspek politik dan negara, pun tidak perlu kita bahaskan. Orang sudah faham. Itu sudah satu aspek. Yang hendak disebut di sini ialah satu perkara atau satu aspek yang jarang orang sebut iaitu tindakan kita setiap hari. Setelah kita hurai nanti, barulah kita tahu sama ada kita berada dalam ‘silmi kaaffah’ atau tidak. Sama ada kita masuk dalam keselamatan global atau tidak.
Katalah daripada bangun tidur, bagaimana kita hendak masuk kepada Islam atau kepada ‘silmi’ itu? Kalau tidak berada ‘silmi’, maka syaitanlah yang akan mempengaruhi kita. Ia akan berlaku salah satu. Kalau Tuhan tidak pengaruhi kita, syaitanlah akan pengaruhi kita. Tidak ada vacuum. Di antara contoh bagaimana hendak melaksanakan Islam yang bersifat kaaffah di dalam setiap aspek kehidupan kita adalah seperti berikut:
Apabila kita bangun sahaja dari tidur, kita bersyukur pada Tuhan. Kalau tidak tahu hendak baca doanya, sekurang-kurangnya hati kita berkata, “Terima kasih Tuhan kerana hidupkan saya.” Kita pun niatkan, “Ya Allah, bermula dari saya bangun ini, sampai saya tidur semula, saya hendak buat baik. Tolonglah bantu saya.” Niat sudah ada. Ertinya sudah mula masuk pada silmi. Kalau kita tidak buat begitu, ertinya sudah tidak selamat. Syaitan akan mempengaruhi hati kita sebab kita tidak bermula dengan ingat Tuhan. Bila tidak ingat Tuhan, ertinya syaitan mempengaruhi kita waktu itu.
Kemudian kita pun ke bilik air, dengan niat semua perbuatan adalah untuk Tuhan. Itu kita sudah maklum. Kita terus pergi ke bilik air dengan tujuan hendak bersihkan diri, hendak basuh diri, hendak mandi dan hendak ambil wudhuk. Tujuannya untuk Tuhan. Syaitan sudah tidak boleh mencelah di situ. Kita sudah berada dalam kawasan atau keadaan silmi itu tadi. Selepas itu kita sembahyang. Itu juga dalam silmi.
Selepas itu, tentulah manusia ini hendak bertebaran di atas muka bumi. Tentu hendak keluar rumah. Mengapa Tuhan pilih perkataan ‘bertebaran’? Sebab tidak semua orang bekerja. Ada orang hendak mengaji, ada orang hendak mengembara, ada orang hendak berziarah dan bersilaturrahim dan ada orang hendak menunaikan hajat-hajat lain. Jadi selepas sembahyang, masing-masing akan memenuhi keperluan masing-masing. Bila hendak keluar rumah tentu kita akan berdoa dengan berkata:
بِسْمِ اللهِ تَوَ كَّلْتُ عَلَى اللهِ
Maksudnya: “Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah.”
Jadi kita sambunglah memasuki kawasan keselamatan atau silmi secara global tadi. Kalau kita tidak baca doa itu, kalau kita tidak terfikir atau terlupa hendak baca, di sudut itu sudah tidak selamat. Syaitan sudah menguasai hati.
Bila melangkah, kita langkah dengan kaki kanan. Sebab berkanan-kanan ini Tuhan suka. Selamatlah dari kemurkaan Tuhan. Kalau kita langkah dengan kaki kiri, kita sudah buat sesuatu yang negatif, sebab orang kafir suka mulakan dengan sebelah kiri. Sama ada untuk makan atau lain-lain. Cuba kita lihat orang kafir makan terutama orang Barat sama ada pakai garpu atau pakai tangan, mereka gunakan tangan kiri. Tuhan benci. Apabila Tuhan benci, ia sudah masuk kepada negatif. Ia sudah tidak selamat sebab Tuhan sudah murka sebab kita ikut budaya orang kafir. Ertinya kita sudah tidak selamat.
Selepas itu kita naik kereta dan membaca doa naik kenderaan. Itu paling tidak. Tadi sudah dikatakan bahawa Islam itu bukan kita sahaja selamat bahkan ia selamat dan menyelamatkan. Yang lebih baik waktu itu kita ingat tentang berapa ramai orang yang campur tangan untuk menghasilkan kereta itu dari bahan mentah, siap menjadi kereta hingga sampai ke tangan kita, berapa ribu manusia yang terlibat. Doakan dalam hati:
“Ya Allah berilah mereka petunjuk. Ampunkan dosa mereka dan murahkan rezeki mereka.”
Kalau boleh, hadiahkan Al-Fatehah untuk mereka dan niatkan dalam hati, kita hadiahkan Fatehah untuk yang Islam. Bagi buruh-buruh yang tidak Islam, dia sudah termasuk dalam doa tadi yakni agar diberi petunjuk. Moga-moga dengan itu, kita selamat dan menyelamatkan orang lain. Itu lebih ikhlas. Orang yang kita doakan pun tidak tahu. Itu paling ikhlas. Pahalanya selamat. Kalau kita doakan orang ramai yang ada di depan kita, payah hendak jaga hati kita. Sebab hati akan berkata, “Supaya orang anggap aku baik, aku akan doakan mereka.” Habislah pahala amalan kita. Payah rupanya hendak ikhlas. Bila begitu, ertinya hati kita bukan Tuhan yang dapat tetapi syaitan yang dapat.
Jadi kalau kita mendoakan orang tetapi tidak ada siapa yang tahu seperti mendoakan orang-orang yang terlibat dalam menghasilkan kereta tadi, yang mereka itu duduk merata-rata, inilah yang selamat dan menyelamatkan.
Inilah yang orang tidak buat. Perkara seperti ini mudah dapat pahala tetapi orang tidak buat. Yang susah dapat pahala itulah yang hendak buat sebab kita sudah diberi gambaran yang salah tentang ajaran Islam itu. Perkara-perkara yang tersirat seperti ini tidak pernah digambarkan atau difikirkan orang. Padahal Islam itu selamat-menyelamatkan. Sekarang kita sudah selamatkan orang yakni orang yang ada hubungan dengan kereta kita. Daripada yang menyiapkan bahan mentah, yang proses, yang buat, yang tukang jual, sampai ke tangan kita, berapa ribu orang yang terlibat. Kalau doa kita makbul, berapa ribu orang yang akan selamat.
Seterusnya, kereta pun meluncur. Waktu baru naik kereta, hendak hidupkan enjin, ada bacaan doanya. Waktu kereta berjalan juga ada bacaannya. Mengapa kita baca doa-doa itu? Moga-moga Tuhan selamatkan kita. Sebab ajaran Islam itu selamat-menyelamatkan. Setidak-tidaknya kita dahulu yang selamat. Bila masuk ke simpang, walaupun itu jalan kita, jika ada kereta lain hendak lalu, kita beri laluan. Menyelamatkan. Itulah yang dimaksudkan Islam itu selamat dan menyelamatkan. Bagi peluang kepada orang lain jalan dahulu. Kalau kita cakap, “Mana boleh! Ini jalan aku.” Mengikut undang-undang jalan raya, memang tidak salah kalau kita tidak mahu beri laluan tetapi mengikut undang-undang Tuhan, tidak baik. Kalau mengikut undang-undang kerajaan memang kita yang patut jalan dahulu. Kalau mengikut undang-undang Tuhan, kita beri orang lain jalan dahulu. Kita hendak menyelamatkan orang. Boleh jadi dia memang ada keperluan hendak cepat. Kita beri peluang kepada orang dahulu, senangkan hati orang. Bila kita senangkan hati orang, kita sudah dapat pahala pula. Jadi kesenangan orangitu secara tidak langsung menyenangkan kita pula.
Begitulah pula kalau kita jalan jauh. Bila menuruni jalan yang tinggi, ada pula ayatnya. Selagi menurun, kita baca, “Subhanallah… Maha Suci Tuhan, Maha Suci Tuhan.” Jangan sampai jiwa kita itu vacuum atau kosong. Biar sentiasa terhubung dengan Allah. Kalau jauh kereta kita menurun, lamalah kita baca “Subhanallah…” Apabila tiba-tiba kereta mendaki kawasan atau jalan yang tinggi, baca, “Allahu Akbar” pula. Tuhan siapkan bagaimana agar hati kita sentiasa terhubung dengan-Nya supaya hati kita tidak vacuum.
Katalah tiba-tiba kita nampak orang kemalangan. Kita kata, “Segala puji bagi Tuhan yang telah menyelamatkan aku daripada apa yang telah ditimpakan kepada orang itu.” Terhubung lagi hati dengan Tuhan. Tidak boleh ada vacuum dalam hati. Jika vacuum, syaitan masuk. Bila syaitan masuk, kita sudah tidak selamat. Padahal Islam itu cantik. Bukan sahaja kita selamat, orang lain pun selamat.
Apabila kita teruskan perjalanan lagi, kita haus maka kita pun singgah di restoran. Berapa banyak perhubungan kita dengan Tuhan di situ. Kita baca Bismillah, dan mulakan minum dengan tangan kanan maka kita terhubung secara tidak langsung dengan Tuhan. Bila hendak bayar, kita bayarkan untuk orang yang makan di kiri kanan kita. Selamatkan orang lain. Islam itu selamat-menyelamatkan. Tidak indahkah ajaran Islam itu? Kita sentiasa terhubung dengan manusia, sama ada secara langsung atau tidak secara langsung. Bila terhubung dengan Tuhan, secara automatik kita terhubung dengan manusia. Cantiknya ajaran Islam.
Itulah yang dimaksudkan Islam itu selamat dan menyelamatkan yakni ia merupakan amalan harian. Sedangkan ada orang anggap masuk kepada keselamatan secara keseluruhan atau global itu, hanya di sudut ibadah sahaja atau sembahyang sahaja. Yang minat politik pula nampak keseluruhan atau global itu di sudut negara atau pentadbiran sahaja. Ibadah pun sudah jadi kecil baginya. Apa yang diceritakan ini, lagilah dia tidak nampak. Mana ada orang pernah syarahkan. Seolah-olah ini bukan agama. Agama itu ialah jadual harian. Walaupun satu detik dalam hidup, tidak lepas dari Tuhan dan tidak lepas dari manusia. Tidak ada vacuum. Tidak ada kekosongan.
Jadi itulah perintah Tuhan tadi, “Hendaklah kamu masuk Islam (keselamatan) itu secara menyeluruh (global).” Dan sebab itu Tuhan bagi nama agama-Nya, Islam, sesuai dengan arahan dalam ayat tadi. Islam ertinya selamat dan menyelamatkan. Menyelamatkan diri dan menyelamatkan orang lain. Kalau ini dapat difahami, dihayati, dan diamalkan dalam kehidupan harian, maka dengan Tuhan kita terhubung dan dengan manusia kita terhibur. Kita selamat dan orang lain pun selamat. Kalau begitu, mana ada ruang untuk bergaduh dan berkrisis. Tidak ada. Tetapi oleh sepertimana yang kita faham selama ini, sebab itu Islam yang kita bawa tidak selamat dan tidak menyelamatkan. Kadang-kadang kita bawa Islam, di situ boleh bergaduh. Ini sudah tidak betul. Menyalahi ayat tadi.
Itu sebahagian kecil yang digambarkan bagaimana Islam itu adalah kehidupan seharian. Dalam sudut-sudut lain, kita sudah tahu. Kalau belum tahu, eloklah kita belajar lagi kerana ia terlalu banyak dan menyeluruh. Iaitu tindakan di dalam kehidupan kita. Jadi cantik sekalilah ajaran yang selamat dan meyelamatkan.
Begitulah seterusnya, apabila kita balik ke rumah untuk berehat, ada disiplin-disiplin tertentu dan ada bacaan-bacaan tertentu. Kalau tidak faham bacaan, pasanglah niat-niat baik dengan Tuhan, supaya sentiasa terhubung dengan Tuhan. Itu paling tidak. Memang tajuk semacam ini kurang diminati kerana bab ini susah hendak diamalkan setiap hari. Cukup setakat ini. Setidak-tidaknya kita sudah faham prinsip Islam yakni Islam itu selamat dan menyelamatkan
MAKANAN YANG TIDAK BERKAT
Apabila makanan hasil usaha daripada yang haram,
Makanan itu Tuhan tidak redha dimakan,
Dan siapa yang memakan di dalam kemurkaan Tuhan,
Makanan yang tidak diredhai Tuhan, makanan itu melaknat yang memakan,
Begitu juga makanan tidak mengikut peraturan Tuhan,
Dimula dengan tidak ‘basmallah’ tidak ditutup dengan ‘hamdalah’,
Makan makanan sebelum lapar berhenti setelah terlalu kenyang,
Dia kaki makan pula tidak kira masa,
Nampak sahaja ada makanan selera terbuka,
Lebih-lebih lagi yang makan tidak beribadah kepada Tuhan,
Makanan Tuhan dia makan, Tuhan tidak diendahkan,
Makanan ini Tuhan tidak berkatkan,
Apabila makanan tidak ada berkat dari Tuhan,
Makanan itu jadi musuhnya,
Ertinya makanan itu jadi musuhnya kepada yang memakan,
Makanan yang tidak berkat side effect yang negatifnya pada orang itu
banyak, setidak-tidaknya jangka panjang,
Dia diserang darah tinggi dan sakit jantung yang menyusahkan,
Canser yang menyerang,
Sakit buah pinggang yang mendatang,
Kencing manis yang merbahayakan,
Dan berbagai-bagai penyakit lagi yang menyerang,
Diwaktu itu makanan sebarangan kena pantang,
Kaya dan harta banyak pun tidak ada erti lagi pada seseorang,
Ada harta tapi tidak senang,
Kaya tapi duit terbuang kerana berubat dengan orang,
Hidup merana sekalipun kaya,
Apatah lagi kalau papa kedana,
Susah dan penderitaan berganda-ganda,
Begitulah kalau Tuhan sudah murka,
Makanan pun jadi musuhnya,
Kalau tidak insaf dan bertaubat,
Di Akhirat terjun ke neraka wal iya zubillah,
Barang dijauhi oleh Allah.
11.11.2005
CARILAH HARTA UNTUK ALLAH
Marilah kita berusaha mencari harta benda dunia untuk Allah. Di sini ada pahala, di sini juga ada kemajuan, di sini juga ada jalinan kasih sayang. Ia bukan untuk dicinta, ia untuk ditadbir dan diagih-agihkan sesama insan untuk kasih sayang sesama. Dari kasih sayang lahirlah perpaduan sesama insan.
Apabila diagih-agihkan untuk keperluan manusia kerana Tuhan di situ ada pahala. Apabila diagih-agihkan untuk kepentingan manusia menjelmalah kemajuan bersama. Oleh kerana agihan itu ada tujuan kerana Allah, keredhaan Tuhan pun datang. Agihan itu juga menjalinkan kasih sayang sesama manusia atau insan.
Sungguh indahnya hidup bersama harta kerana Allah sekiranya ia ditadbir dengan bijaksana.
Faedahnya begitu global mencakup dunia dan Akhirat. Dapat pahala, dapat keredhaan Tuhan, dapat kemajuan, dapat jalinkan kasih sayang sesama insan. Hilanglah hasad dengki, hilanglah iri hati, hilang benci membenci, hilang permusuhan.
Hari ini yang terjadi kerana harta datang hasad dengki menyerang. Kerana harta datang berebut-rebutan, pecah ukhwah, retak perpaduan. Pecah belah keluarga, renggang persaudaraan, hilang kasih sayang sesama hamba Tuhan. Kerana harta tercetus permusuhan, datang perbalahan, berlakulah pergaduhan.
Jadikanlah harta untuk keredhaan Tuhan, jadikanlah harta untuk kasih sayang. Jadikanlah harta untuk kemajuan, jadikanlah harta untuk kepentingan bersama. Dunia aman, damai, hidup rasa bersama, bahagia dan harmoni.
Sungguh indah hidup bersama dunia untuk Tuhan, ia selamat-menyelamatkan. Rahsianya adalah cintakan Tuhan, maka dunia ini akan dapat diagih-agihkan sesama insan.
Menjelang Zuhur
21-02-2004
TUHAN SUKA KELUHAN ORANG YANG BERDOSA
Keluhan orang berdosa kerana dosa-dosanya
Tuhan amat suka
Lebih-lebih lagi gugurnya airmatanya
waktu menangis mengenangkan dosa-dosanya
memadamkan api Neraka
Takutnya kepada Tuhan kalau-kalau terbuat salah
atau takut tidak diampunkan dosa
adalah ibadah
Sedangkan orang beribadah
belum tentu jadi ibadah
Kerana ibadah itu mestilah dirasa oleh hati
di dalam ibadahnya
Penghayatan itu adalah kerja hati
Kalau fizikal sahaja yang nampaknya beribadah
hati tidak beribadah
tidak ada erti apa-apa dengan ibadahnya
Tuhan tidak pandang rangka
tapi pandang isinya
Rangka cantik macam mana sekalipun
tidak ada isi, tidak ada erti apa-apa
Rasa bertuhan dibawa ke mana-mana
ini adalah ibadah batin
Pahalanya sentiasa mengalir selagi ada rasa
Rasa hamba dibawa ke mana-mana
lemah dan tiada kuasa
adalah juga ibadah batin
Rasa hamba itulah sifat hamba yang sebenarnya
Janganlah sifat hamba itu ditukar
kepada sifat tuan atau ketuhanan
Itu sombong namanya
Dia ambil pakaian Tuhan dan dipakainya
Tuhan sangat murka
Sifat ketuanan adalah bangga diri, Tuhan benci
Siapalah kita manusia ini hendak rasa bangga
Takkan kita tidak sedar lemahnya diri manusia ini
Mengapa pula kita rasa ada kuasa dan bangga diri pula
Ini sikap orang yang tidak sedarkan diri
Takkan kita tidak sedar
bahawa kita ini dhaif dan lemah
Setiap saat kita perlukan bantuan
Bantuan oksigen, bantuan kesihatan
bantuan kerehatan
Bantuan-bantuan yang diperlukan itu
siapa yang empunya?
Takkan kita buat tidak tahu dari mana kita dapat
Kalau kita sedar ini semuanya
di dalam fikiran setiap masa
atau di dalam perasaan
itulah dia ibadah
IBADAH TANPA PERBUATAN
Ibadah batin atau ibadah rohaniah namanya
Perasaan itu atau kesedaran itu
adalah diberi pahala
Menjelang Asar
08-09-2004
WATAK ORANG KAYA DAN ORANG MISKIN DI AKHIR ZAMAN
Di zaman moden, di akhir zaman ini,
Perbezaan antara orang kaya dan orang miskin
Dalam setengah-setengah hal tidak sama,
Masing-masing ada gaya hidup yang tersendiri tidak serupa,
Orang yang kaya atau yang berada,
Rumah mereka sebiji-sebiji,
Satu sama lain berjauh-jauhan jaraknya,
Mereka lebih banyak berhubung dengan alat-alat kehidupan, daripada manusia,
Mereka bersahabat dengan kereta, dengan comunicator,
Sedikit sekali dengan manusia,
Hidup sendiri-sendiri, dengan manusia prajudis sahaja,
Kalau pun mereka berkawan dengan manusia
Hanya dengan keluarga,
Itu pun berkawan suami isteri kerana benda dan harta,
Satu sama lain prajudis sahaja,
Dengan orang gaji dibuat macam hamba,
Berjumpa dengan manusia, rasmi-rasmi sahaja,
Orang miskin, lain pula,
Di setengah-setengah hal, ada budaya yang tersendiri pula,
Rumah mereka dekat-dekat dan rapat-rapat,
Setiap hari boleh bertemu muka,
Tapi sekadar kita pandang dia, dia pandang kita,
Namun hati tidak seia sekata,
Satu sama lain curiga mencuriga,
Mereka selalu bertemu tidak rasmi,
Tapi bualannya hanya dunia,
Seolah-olah Tuhan dan akhirat tidak ada,
Perhubungan suami isteri nampaknya erat,
Tapi krisis rumah tangga jadi budaya,
Hidup bersama tidak ada bahagia,
Tapi kerana tuntutan biologi damai seketika,
Kedua-dua golongan ini sekarang fikiran dan jiwa mereka sudah rosak binasa,
Kerana tidak kenal Tuhan dan cinta dunia,
Mereka ini kalaulah bukan perintah Tuhan,
Di dalam tanah dikuburkan,
Elok dibakar sahaja atau dicampak di dalam lautan,
Tapi kerana perintah Tuhan kenalah ditanam.
Selasa,
08.11.05-01
06 Syawal 1426 H,
7.35 Malam,