Tag Archives: ujian
PENYAKIT LEMAH JIWA
KITA sungguh biasa dengan istilah lemah jantung. Sebut saja lemah jantung segeralah kita fahamianya satu penyakit fizikal yang merbahaya, yang meletakkan pesakit itu di ambang maut. Tapi kita kurang arif dengan penyakit lemah jiwa. Dan kita pun kurang tahu yang penyakit ini lebih bahaya daripada sakit lemah jantung. Sebab penyakit ini bila-bila mass saja boleh membunuh jiwa. Bila jiwa mati, manusia sebenarnya sudah mati sebelum mati. Dan kes ini sebenarnya lebih dahsyat daripada kes kematian itu sendiri. Tapi sayang, doktor-doktor tidak dapat mengesan sakit ini. Sebab ia bukan sakit fizikal, yang boleh dikesan dengan komputer lahir.Ia adalah sakit rohani yang bersifat rohaniah yang hanya dapat dikesan oleh doktor-doktor rohani yang mursyid. Hanya mereka itu yang dapat melihatnya, menggunakan pandangan basyirah mereka serta pandangan hati yang tembus. Seterusnya memka jugalah yang tahu sebab-sebab terjadinya penyakit ini dan apa pula cara pengubatan dan ubat-ubatan yang boleh menyembuhkannya. Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis Qudsi ertinya, “Takutilah olehmu firasat (pandang tembus) orang Mukmin kerana mereka memandang dengan pandangan Allah. ”
Maknanya, Allah-lah yang membukakan rahsia-rahsia di alam hakikat untuk diketahui oleh hamba-hamba-Nya yang dikasihi-Nya. Supaya menjadi panduan pada orang-orang lain, yang mahu mengambil pengajaran dan kebaikan darinya. Sebab itu Allah berfirman:
Terjemahannya: Beruntunglah orang-orang yang menyucikan jiwanya. Rugilah orang-orang yang mengotorkun jiwanya. (Surah Asy Syam : 9-10)
Jiwa yang bersih adalah jiwa yang sihat, sejahtera dan selamat. Manakala jiwa yang kotor itulah jiwa yang sakit.
Sakit lemah jiwa.
Jiwa yang sihat ialah jiwa yang merdeka, berani dan kuat. Jiwa mukmin yang sihat ialah jiwa yang berpegang kuat dan terlalu yakin pada Allah. Maka jadilah dia cukup merdeka, berani dan kuat memegang dan mempertahankan keyakinan jiwanya itu.
Sebaliknya jiwa yang sakit ialah jiwa yang lemah, mudah goyang oleh keadaan, terhoyong-hayang ke sana ke mari tidak ada pendirian dan takut. Bagi seorang Islam yang jiwanya sakit, keyakinan pada Allah adalah lemah, bergoyang-goyang bila ditiup angin dan penakut. Dan inilah yang sudah terjadi pada seluruh umat Islam hari ini. Jiwa mereka yang sakit itu terasa sakitnya dan lemahnya bila bertembung dengan kejadian-kejadian malang atau ujian atau nikmat. Jiwa akan lemah dan bergoyang dan tumbang bila menghadapi keadaan-keadaan yang mencabarnya, sama ada positif atau negatif. Tegasnya keyakinan dan pergantungan pada Allah jadi lemah bila berhadapan dengan ujian atau pun nikmat. Jiwanya akan menyerah pada kehendak keadaan dan jadi longgar atau terlepas langsung pergantungan dengan Allah. Mari kita lihat beberapa contohnya:
Bila berhadapan dengan rumah mewah, kereta besar, binatang ternak dan ladang-ladang tanaman yang luas, terpautlah jiwa padanya.Lemahlah jiwa dan terus menyerah pada dunia itu. Iaitu dengan berusaha dan berharap untuk mendapatkannya. Hingga kerana itu tinggallah perjuangan di jalan Allah, berhentilah ia dari memberi khidmat kepada manusia. Takut untuk menegakkan kebenaran. Jiwa diserah pada dunia yang melambai-lambai itu. Dan lemahlah penyerahan pada Allah SWT.
Bila dapat jadi orang atas, orang besar, pemimpin atau ketua kumpulan, berhadapan dengan kemewahan hidup, sogokan pujian orang, maka lemahlah jiwa dengan Allah. Sebab jiwa terpaut pada kemewahan, sanjungan dan sogokan tadi. Padahal sebelum itu, sebelum berada di kedudukan itu beria-ia berjanji mahu membela nasib rakyat, kalaulah dirinya terpilih jadi pemimpin atau wakil rakyat. Tapi jiwa yang suci itu jadi lemah bila dimasuki oleh keinginan mengambil kemewahan dan sogokan serta pujian orang itu untuk kepentingan diri sendiri. Lupa tanggungjawab. Diri terasa penting, istimewa dan mahu bolot semua peluang-peluang istimewa sebagai orang besar itu untuk diri. Bukan lagi untuk Allah. Itulah penyakit lemah jiwa.
Bila berhadapan dengan perempuan cantik, hati pun tertarik dan jatuh padanya. Lupa Allah, lupa isteri, lupa tanggungjawab. Jiwa diruntun oleh perempuan itu, hinggakan kerja-kerja lain yang lebih besar, jadi kecil dan kurang penting. Keinginan untuk memiliki perempuan itu begitu mencengkam hati hingga jika perempuan itu mengenakan syarat-syarat apa pun, nescaya dia sanggup terima, sekalipun berlawanan dengan syariat Allah.
Bila dapat kejayaan dalam hidup seperti naik pangkat atau dipuji orang, maka hilanglah rasa kehambaan, kekurangan dan kelemahan diri pada Allah SWT, tentu rasa ujub dan riak, rasa diri mampu, besar, istimewa dan hebat. Seterusnya terasalah pula besar diri dan hebat diri, dan terlupalah bahawa segala-gala kejayaan itu pinjaman Allah semata, sedangkan diri tetaplah kerdil dan lemah serta hina. Sama saja dengan orang lain. Lalu menyombonglah ia dengan manusia. Tiada kasih sayang, timbang rasa, kasihan belas pada orang lain terutama orang bawah yang kurang dan lemah. Senyum pun mahal, apa lagi hendak duduk-duduk bersama mereka itu. Kerana rasa tidak layak dan hendak jaga status. Berlanjutanlah keadaan itu hingga akhirnya orang semua benci dan kawan pun lari, tinggallah seorang diri. Itulah akibat penyakit lemah jiwa.
Pejuang-pejuang Islam yang sering berkorban dan terkorban, hingga hiduplah dia dalam susah payah walhal dilihatnya orang lain hidup senang-lenang maka lemah jiwanya pun datang. Dirasanya tidak sabar lagi untuk bersusah-payah. Ingin rasa lapang dan senang macam orang lain. Syaitan pun memberikan suntikan dan menghasut, maka jadilah pejuang tadi pejuang yang letih dan malas.
Para pejuang yang mempunyai isteri yang cerewet, tidak taat, degil dan sombong, selalu mengalah dengan isteri itu. Jiwa perjuangan dan cinta pada Allah dan Rasul tergugat, bergoyang-goyang dan lemah oleh kehendak istri. Bila isteri minta kurangkan keluar rumah, cukup dengan pergi kerja dan balik, tidak payah ‘over-time’ dengan perjuangan, dia pun tidak berani atau tidak sampai hati hendak tolak pandangan isteri itu. Maka tinggallah perjuangan. Tinggallah Allah dan Rasul demi cinta pada seorang perempuan.
Dalam mencari rezeki yang halal, selalunya disiplin sangat ketat. Sengaja orang-orang yang anti-Islam mengenakan undang-undang yang keras misalnya, hendak kerja tidak boleh pakai purdah atau tidak boleh berjubah serban. Maka si lemah jiwa pun tidak berani lagi hendak ikut syariat Allah, maka ikut kata boss pejabat. Atau bagi orang-orang yang berniaga, oleh kerana modal kecil, lambat untung, maka kerana hendak untung besar dan cepat, buatlah pinjaman yang ada riba. Longlailah jiwanya kerana menyerah pada keuntungan dunia yang sedikit. Atau, peniaga-peniaga juga sering berhadapan dengan masalah: barang yang halal, kurang laris, tapi yang haram laris sekali. Maka lemahlah jiwanya. Dijuallah barang haram atau syubhat itu. Maka dapatlah untung di dunia, tapi alangkah ruginya di akhirat nanti.
nAda pemimpin-pemimpin yang kuat jiwanya, pada mulanya. Tapi bila diuji dengan pengikut yang tidak suka dengan perkara-perkara yang diperintahkan Allah seperti sembahyang, tutup aurat, pergaulan yang terbatas lelaki perempuan, menghormati dan mengasihi orang lain, jangan mengata, jangan menuduh. Maka, kerana takut pengikut lari, pemimpin itu pun korbankan prinsip. Berlagaklah dia ikut kehendak pengikut dengan membelakangkan kehendak Allah. Itulah jiwa lemah. Dia sanggup korban prinsip demi harapkan pengikut sokong dan undi dia untuk terus jadi pemimpin. Gila kuasa lebih dari cintakan Allah SWT.
Bila diuji dengan kesusahan hidup seperti turun pangkat, orang kata, miskin, ugutan di tempat kerja, maka jiwa yang asalnya begitu optimis, tiba-tiba saja terasa sakit dan lemah. Rasa kecewa, terhina, takut, putus asa, derita, gelisah, keluh-kesah dan kucar-kacir sekali. Ada yang rasa tidak mahu hidup lagi, terus bunuh diri. Ada yang hendak lupakan semua itu, minum arak atau ambil dadah atau buat maksiat-maksiat lain. Ada yang menuduh-nuduh, meracau-racau, mengadu-ngadu, menghina diri bahkan menyangkan-yangka buruk terhadap Allah SWT. Hingga kerana itu sanggup mengecil-ngecilkan perintah Allah dan Rasul untuk ikut nafsu dan syaitan. Ujian itu tidak dapat diambil sebagai ingatan dari Allah dan penghapusan dosa, pada dosa-dosa yang telah banyak dilakukan. Sedangkan melalui kesusahan-kesusahanlah ramai orang mendapat kebaikan dan kemuliaan dalam hidup. Dalam kesusahan penuh kebaikan, tapi si lemah jiwa jadi lebih susah dengan kesusahan. Susah di dunia dan akhirat. Itulah hasil dari sakit lemah jiwa. Lebih dahsyat dari akibat sakit lemah jantung. Sebab lemah jantung boleh bawa maut tetapi lemah jiwa boleh bawa ke neraka dunia dan akhirat. Ini adalah kerana pesakit jantung tidak bersalah, tapi pesakit lemah jiwa adalah pesalah, penderhaka dan kufur dengan Allah SWT. Allah sudah ingatkan supaya datang ke dunia untuk menghambakan diri pada Allah, yakni dengan merasakan diri adalah hamba Allah. Firman-Nya:
Terjemahannya: Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku. (Surah AZ Dzariat : 56)
Dalam pada itu tiap-tiap kali berdiri sembahyang mengadap Allah berjanji lagi, hanya Allah yang aku abdikan diriku, bahkan hidup mati untuk Allah. Habis kenapa dalam melaksanakan hidup, berdolak-dalik dengan Allah, bahkan Allah dibelakangkan? Kata-kata Allah, pesanan Rasul, tiada dipakai langsung. Bahkan dipertikai dan diragui, bahkan dikecil-kecilkan dan diketawakan. Konon terasa diri itu pandai, mampu, kuat, berkuasa dan rasa tuan bahkan kadang-kadang rasa ketuhanan itu menguasai hati. Rasa hati seperti apa yang dirasa oleh Firaun itu. Hingga dia berkata, “Akulah Tuhan.”
Sebenarnya rasa inilah sudah masuk dalam hati-hati kita. Terutamanya orang-orang yang Allah kurniakan padanya nikmat bijak pandai, kaya, mewah, disanjung, sihat, cantik, mampu dan serba boleh. Seolah-olah dia berkata akulah Tuhan, dilihat pada sikap dan cakapnya. Rasa kehambaan yakni rasa kecil dan hina bagaikan kecil dan hinanya air mani yang darinyalah Allah reka-bentukkan diri ini, sudah disapu bersih oleh kejahilan, kedegilan, kesombongan, keangkuhan yang sudah berkarat di hati. Yang tinggal dalam hati dan jiwa ialah nafsu dari syaitan. Jadilah jiwa itu kotor sekotor-kotornya. Maka sakitlah ia. Sakit lemah jiwa. Bila dapat amat terlonjak-lonjak, lupa diri, lupa asal-usul dan lupa bahawa Allah berkuasa menarik balik nikmat itu, bila-bila masa saja.
Sebaliknya, bila dapat ujian, rasa putus asa, menderita, kecewa dan hilang pertimbangan. Itulah sifat nafsu amarah dan lawwamah. Nafsu yang sangat jahat, yang setiap detik menuntun jiwa untuk kufur pada Allah. Maka nerakalah tempatnya selama-lamanya. Siapa yang boleh lepas? Sedangkan tiada seorang dari kita yang sihat jiwanya. Semuanya sakit. Pemimpin sakit, ulama sakit, pejuang Islam pun sakit, tok guru pun sakit, anak murid apa lagi. Ayah sakit, anak-anak lebih lagi. Suami sakit, isteri sakit. Pemuda kena pemudi pun sama. Pendek kata semuanya sakit-sakit belaka. Semuanya masih berada di senarai ahli neraka. Wal’iyazubillah.
Tepatlah sabda Rasul tercinta, bahawa. di akhir zaman umatnya ramai. Tapi mereka itu dikeronyok oleh musuh bagaikan makanan dikeronyok oleh tangan manusia. Sebab mereka semuanya sakit., Yakni jiwa mereka lemahnya bagaikan buih. Kerana diserang oleh sakit wahan. Cinta dunia dan takut mati.
Inilah taraf taqwa kita semua. Taqwa yang penuh dengan keinginan pada dunia hingga lupakan akhirat, lupakan mati, bahkan mahu lupa-lupakan mati itu, kerana takut dan benci. Maka inilah hasilnya. Umat Islam hidup bagaikan mayat yang boleh diperlakukan apa saja oleh musuhnya. Umat Islam tidak punya identiti sendiri. Semuanya bersalut dengan salutan musuh, hingga kerana itu makin hari makin hancur dan berkecai, punah-ranah. Mana ada satu negara Islam dan masyarakat Islam yang benar-benar ditakuti kawan dan lawan? Hatta jemaah yang memperjuangkan Islam pun tidak wujud identiti Islamnya.
Kesilapan utama dan pertama pada kegagalan ini ialah kerana kita tidak cukup iman. Hati kita, jiwa kita tidak sekuat yang sepatutnya. Iman dan taqwa kita terlalu lemah. Maka selemah itulah jiwa kita dan nilai diri kita. Sebab Allah tidak bersama kita. Yang memimpin dan mendorong kita selama ini ialah nafsu dan syaitan. Dalam pada itu kita kata kita Islam, Allah Tuhan kita, Muhammad nabi kita. Walhal yang sebenarnya jadi Tuhan dan Nabi kita ialah nafsu dan syaitan. Manalah Allah tidak kutuk kita dan umat Islam seluruhnya.
Kalaulah keadaan ini tidak dibaiki, pasti kita tidak selamat, di dunia pun tidak boleh selamat, apa lagilah di akhirat. Tujuh buah neraka telah disiapkan untuk orang-orang yang sesat dan orang- orang yang Allah benci. Pesakit-pesakit lemah jiwa adalah termasuk orang-orang kebencian Allah, yang pasti menjerit melolong nanti di akhirat oleh azab-Nya. Jangan sampai berita ini diragukan atau tidak difikirkan secara serius. Sebab Allah tidak pernah mungkir janji-Nya. Firman Allah:
Terjemahannya: Sesungguhnya Allah tidak mungkir janji. (Surah Ali Imran: 194)
Orang yang selamat di dunia dan akhirat ialah orang yang hatinya selamat. Lihat betapa indahnya firman Allah. Dan firman Allah lagi:
Terjemahan: Pada hari itu, tidak berguna lagi harta dan anak-anak melainkan mereka yang membawa hati yang selamat sejahtera. (Surah As Syuara’ : 89)
Hati dan jiwa yang selamat ialah yang mendapat maqam mutmainnah atau sekurang-kurangnya mulhamah. Iaitu orang-orang yang mempunyai iman ayyan, yang hatinya sentiasa teringat Tuhan yang Pengasih itu, yakni Allah SWT. Hati diperhambakan betul untuk Alah hingga tidak pernah membesar dan memuliakan diri, walau bagaimana besar pun nikmat yang didapati. Dan hatinya tidak pernah cacat dengan Allah, walau bagaimana dahsyat pun ujian yang diberi. Hati ini adalah hati yang sungguh gagah dan kuat. Nikmat dan ujian tidak pun menggoyang dan melemahkannya. Dia cukup merdeka untuk Allah. Berani dan yakin serta tawakal dan harap pada Allah menyebabkan dia sangat mengutamakan kehendak dan hukum Allah. Hinggal sekiranya dia terpaksa mati untuk tugas itu, maka dirasanya kematian itu ialah pintu pertemuannya dengan Allah yang sangat dicinta dan dirinduinya. Dia sanggup mati mempertahankan prinsip Islam.
Kenapa kita tidak mencuba dapatkan hati yang begitu? Sedangkan Allah sudah berlaku terlalu baik dengan kita. Patut kita sudah rasa terlalu terhutang budi dan malu dengan Allah. Jadilah hendaknya kita umat yang merdeka jiwa. Merdeka dengan Allah. Takut hanya dengan Allah. Tidak lagi takut pemerintah, takut isteri, takut periuk nasi tidak berasap, takut miskin, takut masuk dapur, takut emak dan bapa mertua dan macam-macam lagi. Sebab semua itu tidak ada kuasa apa-apa kalau bukan dengan kuasa dan kehendak Allah. Agar dengan itu selamatlah kita dari penyakit lemah jiwa.
=== sekian ===
UJIAN DARI ALLAH
Ada orang kata, Tuhan tidak payah ditakuti tapi dicintai. Sebab Allah itu baik, Dia bukan garang atau jahat. Dia Pemurah, Dia Pemaaf, Pengasih, Lemah Lembut, Baik, jadi mana boleh ditakuti. Sebaliknya Dia wajib dicintai. Bagi orang ini, bertaqwa itu ialah mencintai Allah, sedangkan taqwa itu ialah takut dan cintakan Allah. Sebenarnya bukankah seseorang yang sangat mencintai seseorang akan cukup takut kehilangan orang yang dicintainya atau dimarahi oleh orang itu.
Dalam pengalaman kita, tidak hirau sangat kalau orang yang kita benci marah dengan kita, tapi kalau orang yang kita sayang marah, menderita kita dibuatnya, lalu berusaha sedaya upaya untuk mengelak daripada kemungkinan kehilangannya. Seseorang yang cintakan Tuhan, cukup takut kehilangan Tuhan, takut dimurkai Tuhan, takut dibenci Tuhan dan takut ditinggalkan Tuhan. Sebab Tuhan itu walaupun Maha Baik tapi Dia juga Maha Adil. Setiap kesilapan, kesalahan, kejahatan, kemungkaran, kezaliman dan dosa kecil maupun dosa besar sangat diperhitungkan dan diadili. Yang baik dibalas baik manakala yang jahat dibalas juga akhirnya. Kalau tidak dibalas di dunia ada di Akhirat.
Lihat, segala bala bencana kecil-kecil berlaku setiap hari adalah keputusan yang Maha Adil dari Allah. Allah memberi nikmat cukup semuanya, maka adillah kalau dibimbangi dengan bala bencana sekali sekala supaya manusia jangan sombong dengan nikmat, jangan mabuk nikmat. Bencana alam adalah hukuman Maha Adil dari Zat yang mencurahkan nikmat sekian lamanya hingga manusia berlalai, sombong, ego dan zalim. Lalu mengimbanginya dengan hukuman sebesar itu.
Yang penting manusia mendapatkan darinya nilai-nilai suci yartg diperintahkan Allah agar dilakukan dalam hidupnya iaitu bersyukur dan bersabar. Bahawa untuk mampu bersyukur dan bersabar, manusia perlu takut dengan Allah. Takut dengan nikmat yang diberi kalau tidak disyukuri, nanti Allah akan hukum dan ditarik balik. Takut dengan ujian bala bencana lahir atau batin yang bila-bila pun Allah boleh datangkan tanpa peduli siapa kita, dan dalam keadaan apa kita, sebagai tindak balas-Nya atas tidak pandainya kita melayani Allah dalam liku-liku hidup yang dipinjamkan kepada kita.
– Tidak sabar dengan Allah
– Tidak redha dengan Allah
– Tidak cinta dan rindu dengan Allah
– Tidak malu dengan Allah
– Tidak rasa hina dan lemah dengan Allah
– Tidak mengadu dan meminta pada Allah
– Tidak yakin dengan Allah
– Tidak mengenangi dan mengingati-Nya selalu
– Tidak berbaik sangka dengan Allah
– Tidak membesarkan kata-kata Allah
Semua ini adalah kebiadapan yang akan terhukum juga pada akhirnya.
MANUSIA YANG HIDUP DI DUNIA DAN MACAM-MACAM YANG DICARINYA
Manusia yang hidup di muka bumi Tuhan ini,
Macam-macam yang mereka cari,
Kebanyakan mereka dapat,
Ada yang dapat kekayaan,
Ada yang dapat kekuasaan,
Ada yang dapat nama dan glamour,
Ada yang dapat perempuan di sekeliling pinggang,
Ada yang mendapat kekuatan,
Ada yang mendapat intan berlian,
Ada yang mendapat pengikut yang ramai,
Ada yang dapat Tuhan,
Tetapi yang dapat Tuhan tak ramai orang,
Tetapi pelik, yang mendapat Tuhan
Walau bagaimana besar pun tahan ujian,
Tidak ada seorang pun yang dapat Tuhan yang membunuh diri
Di dalam kehidupan,
Tetapi yang dapat selain Tuhan,
Kebanyakannya membunuh diri
Kerana bila mendapat ujian tidak tahan,
Kadang-kadang disebabkan isteri membunuh diri,
Kadang-kadang disebabkan sakit tidak tahan
Mencabut nyawa sendiri,
Kadang-kadang ujian dari kawan-kawan tidak tahan
Bunuh diri sendiri,
Seolah-olah itu jalan keluar,
Setengah orang kematian isteri atau suami yang disayang
Bunuh diri sendiri,
Setengah mereka kekayaan hilang, hati tak tahan
Membunuh diri sendiri,
Setengah orang ada kekuasaan kemudian didatangkan ujian
Negeri diserang orang, dia tak tahan,
Dia cabut nyawa sendiri,
Tetapi pelik, yang dapat Tuhan, walaupun ujian mereka
Lebih dahsyat yang ditimpakan oleh Tuhan
Tak pernah bunuh diri walaupun seorang,
Contoh di dalam sejarah, untuk ingatan
Nabi Ibrahim AS dibakar oleh api
tak pernah kecewa perasaan,
Nabi Musa AS empat puluh tahun tersesat di Padang Teh
Berhadapan dengan kerenah pengikut-pengikutnya yang jahat
Selepas itu terjun kedalam lautan
Sebesar habuk pun hatinya tidak ada kecewa,
Nabi Yusof AS berpisah dengan bapanya empat puluh tahun
Dikhianati oleh saudara-saudaranya
Kemudian difitnah dengan perempuan
Hatinya tak pernah cacat,
Nabi Muhammad SAW pernah di ISAkan
Bersama keluarganya tiga tahun lamanya,
Didalam peperangan patah gigi Baginda,
Terperosok didalam lubang,
Pernah nak dibunuh oleh musuhnya
Dengan dikepung rumahnya,
Isteri Baginda difitnah oleh musuh-musuhnya yang memalukan
Baginda tetap tenang,
Apa rahsianya?
Orang dapat Tuhan, walau bagaimana besar pun ujian,
Bukan sahaja tidak membunuh diri,
Tapi sedikit pun hatinya tidak ada kecacatan,
Apa rahsianya?
Orang dapat Tuhan, hatinya tidak cacat,
Sedangkan selain itu orang yang mendapat harta,
Kekayaan, kekuasaan,
Intan berlian dan perempuan,
Mereka dapat tapi murah,
Tetapi orang yang mendapat Tuhan,
Walaupun besar ujian
Dia boleh tahan,
Orang yang mendapat selain Tuhan,
Walaupun banyak dia mendapat sesuatu yang murahan
Sedikit pun terima ujian tak tahan
Kalau pun tidak bunuh diri,
Hatinya keluh kesah,
Fikirannya tak keruan,
Hidup gelisah sepanjang zaman,
Itu baru di dunia,
Belum di Akhirat,
Orang yang mendapat Tuhan,
Di Akhirat dapat kebahagian
Didalam syurga selama-lamanya,
Tidak diukur oleh masa,
Yang mendapat selain Tuhan,
Di Akhirat lagilah kecundang,
Masuk dalam neraka, azabnya tidak dapat diceritakan,
Berlaku selama-lamanya
Tidak diukur oleh masa.
09-07-06